Thursday, July 28, 2011

Risalah Mursyid: Ramadan bulan perubahan


Perutusan dari Prof. Dr. Mohammad Badi’ – Mursyidul Am Ikhwan Muslimin 21 / 7 / 2011

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan kita Rasulullah saw, dan selepas ..

Syaaban menyiapkan umat untuk Ramadan:

Sepatutnya umat Islam melalui hari-hari terakhir bulan Syaaban yang kini sudah membawa kita ke ambang Ramadan, ialah dengan melakukan seperti apa yang dilaporkan oleh Imam Ahmad dari Anas bin Malik yang menyatakan perbuatan Rasulullah saw pada bulan Syaaban, beliau berkata: "Bahawa nabi sangat menyukai berpuasa di bulan Syaaban," Sebabnya telah dinyatakan sendiri oleh baginda saw  dalam sabdanya seperti yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi: 

"... ia adalah bulan di mana amalan-amalan diangkat kepada Tuhan sekalian alam, saya amat menyukai sekiranya ketika amalan ku diangkat, aku sedang berpuasa" ,

Justeru bulan Syaaban adalah musim penutup kepada lembaran anda dan tuaian amalan anda tahun ini. Rasulullah sangat mengagungkan bulan ini kerana ianya sebagai pengenalan kepada bulan Ramadan. Oleh itu Syaaban adalah medan untuk berlumba-lumba dalam amal-amal yang baik dan mengembeleng ketaatan sebelum tiba bulan ‘al-Furqan’.  Allah telah memperlihatkan segala kebaikan di bulan Syaaban kepada anda sebelum ia berlalu.  Menurut Abu Bakr al-Balkhi: "Bulan Rejab adalah bulan untuk bercucuk tanam, bulan Syaaban adalah bulan mengairi tanaman, dan bulan Ramadan adalah bulan menuai tanaman."

Oleh itu, Rasulullah saw pernah bersabda (bermaksud): 

"Inilah bulan yang sering diabaikan orang"

Ini kerana bulan Syaaban adalah seperti pintu pagar yang membawa kita ke bulan Ramadan. Juga kerana Ramadhan adalah bulan di mana pintu-pintu Syurga dibuka, seperti yang diberitakan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya (bermaksud): 

"Apabila tiba bulan Ramadhan, pintu-pintu Syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan dibelenggu." (Bukhari),

Oleh itu, bulan Syaaban adalah bulan latihan dan pemantapan tarbiyah dan rabbani; supaya seorang individu itu layak untuk melakukan ketaatan pada bulan Ramadan, kerana di bulan ini terkandung program pemantapan tarbawi yang dapat dilakukan oleh orang Islam pada bulan Syaaban sebagai persediaan untuk bulan Ramadan yang penuh berkat:



"Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadan"

Ini adalah sebahagian dari doa Nabi saw:

" Ya Allah berkati kami di bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. "

Pada ambang Ramadan:

Inilah bulan Ramadan, yang semakin hampir ketibaannya dengan penuh sinar, harum, kebaikan dan kesucian, di mana Ramadan datang untuk mendidik manusia supaya memiliki kekuatan kemahuan dan kehebatan perubahan dalam menanggung kesukaran, dan kemenangan ke atas rintangan dan kesulitan hidup. Nabi Muhammad saw seringkali mengucapkan tahniah kepada para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadan dan menyampaikan khabar gembira dan berkata kepada mereka: 

Sesungguhnya Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah S.W.T telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tidak diberikan kebajikan malam itu, bererti diharamkan baginya segala rupa kebajikan”. " (Riwayat Ahmad).

Ramadhan dan Perubahan

Bersedia untuk mengubah jiwa individu, umat dan bangsa adalah isu penting masa kini, bahkan ianya salah satu ketetapan Allah (sunnatullah) dalam alam semesta. Firman Allah SWT (bermaksud):

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11)

Oleh itu, perubahan sesuatu keadaan tidak mungkin berlaku dengan angan-angan dan cita-cita semata-mata, tetapi mestilah dengan kerja yang serius dan bersungguh-sungguh, niat yang ikhlas dan akhlak yang teguh. Bulan Ramadan yang mulia ini adalah peluang sebenar untuk perubahan, kerana terdapat program yang praktikal untuk membaiki jiwa dan hati, dan permulaan sebenar dalam pembinaan umat:

“Jangan anda katakan: Dari mana untuk saya mula   kerana mentaati Allah mesti bermula
Jangan anda katakan: Esok baru saya nak mula   kerana mungkin akan datang hari terakhir anda”

Justeru, Ramadan adalah bulan perubahan, kerana berlaku perpindahan spiritual dan fizikal yang membaiki keadaan kita dan mengubah dalam diri kita. Perubahan positif memerlukan kita semua kepada kemahuan yang bergelora, keazaman yang kuat dan mengejar perubahan. Firman Allah SWT (bermaksud):

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.  (Al-Baqarah: 183).

Jika kita tidak merebut peluang di bulan perubahan ini, kita sebenarnya terlepas peluang untuk seumur hidup, kerana perubahan bererti berterusan di atas kebenaran dan suatu revolusi kepada kepalsuan, penipuan, ucapan sia-sia dan kedustaan. Menurut Rasulullah saw (bermaksud): 

Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya. " (Bukhari),

dan Nabi saw bersabda (bermaksud): 

"Tidaklah hanya berpuasa dari makan dan minum, tetapi berpuasa dari ucapan sia-sia dan lucah. Jika seseorang mengherdik kamu atau orang jahil mengeji kamu katakanlah: “Saya berpuasa, saya berpuasa" (Diriwayatkan oleh Al-Hakim dan disahihkan oleh Albani),

Namun semua ini hanya dari orang yang jujur ​​dengan Khaliq. Justeru Allah akan membenarkan apa yang beliau lakukan.

Di antara hasil perubahan terbesar pada bulan Ramadan: Penyerahan kepada hukum (undang-undang) Allah, dan pelaksanaan perintah dan syariat-Nya supaya  seorang individu mencapai ketakwaan kepada Allah dalam semua keadaan, kerana bulan Ramadan dengan sifat semula jadinya mengubah kehidupan secara keseluruhan sebagai penjamin untuk membuat perubahan dalam kehidupan individu dan keluarga melalui program-programnya yang ‘rabbani dan istimewa.

Malah di antara bentuk perubahan pada bulan Ramadan: ketelitian, komitmen dan penyusunan masa. Anda lihat seluruh umat duduk di hadapan hidangan berbuka sementara menunggu makluman waktu berbuka melalui media, dan umat seluruhnya menegah dirinya daripada makan, minum dan hubungan seks mulai waktu Imsak, dan lihat seluruh umat berada dalam satu soff semasa solat, qiam dan Terawih; di mana jelas tergambar bagi setiap pemandangan dari atas atau dari jauh tentang pemandangan umat yang berada dalam suatu sistem, ketelitian dan susunan.

Salah satu waktu perubahan yang paling menarik dalam bulan Ramadhan: waktu berbuka tidak boleh dilengahkan dan tidak ditangguhkan walaupun satu minit. Rasulullah saw telah menjelaskan dalam sabdanya (bermaksud):

"Umatku akan terus dalam kebaikan selagi menyegerakan berbuka dan melambatkan makan sahur."

, yang mengesahkan hubungan rapat antara Ramadan dan umat secara keseluruhannya.

Di antara peristiwa perubahan yang paling lengkap pada bulan Ramadan: kita memelihara nikmat Allah kepada kita dengan melakukan revolusi rakyat dan meraih hasilnya. Kepantasan perubahan yang telah berlaku dan sedang berlaku sebagai tanda kekuasaan Allah ialah pelaksanaan undang-undang alam pada kadar kemampuan manusia. Inilah peluang yang telah tiba pada bulan Ramadan; untuk melaksanakan  revolusi rakyat Arab dan memperolehi kemerdekaan mereka. Perubahan secara aman  yang diingini rakyat dan kesedarannya yang berterusan mengenai revolusi dan terus memeliharanya walaupun masih menghadapi cabaran. Ini semua adalah hasil perancangan Allah semata-mata, yang telah mengejutkan Barat dan Timur, sepertimana telah mengejutkan ahli politik dan ahli-ahli fikir Islam dan lain-lain.

Salah satu pendirian perubahan yang paling kuat dalam bulan Ramadan: Memecahkan halangan takut dan gerun, yang menekankan bahawa kuasa sebenar untuk meminta pertolongan dan perlindungan hanya kepada Allah. Dengan itu para diktator dan rejim zalim tidak boleh menghambakan rakyat kita sekali lagi dan tidak boleh mengenakan pelbagai jenis ketidak-adilan dan kezaliman, kerana mempraktikkan firman Allah SWT (bermaksud): 

“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu. (Al-Qashash: 5-6)

Akhirnya, Ramadan adalah bulan perubahan dan pembaikan untuk umat:

Salah satu lambang terbesar yang menyumbang kepada penyatuan umat Arab dan Islam dengan semua negara, mazhab, bahasa dan adat; di mana semua bersetuju dengan semua umat Islam di seluruh dunia bahawa berpuasa pada bulan Ramadan adalah fardu yang wajib di dalam rukun Islam.

Di bulan Ramadan umat mengambil berat soal mengeluarkan zakat harta; di mana ianya dapat menyumbang dalam merawat masalah pengangguran dan jenayah dalam masa yang sama, juga menyumbang kepada berakhirnya kemiskinan sejagat. Statistik menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada satu bilion seratus juta (1,100,000,000) orang miskin dan sangat miskin di dunia.

Di bulan Ramadan umat Islam mengeluarkan Zakat al-Fitr kepada orang yang memerlukan dan tidak memerlukan, untuk mewujudkan’takaful’ yang sebenar. Ini merupakan sesuatu yang diperkukuhkan oleh lebih daripada 130 ayat-ayat dalam al-Quran, dan beratus-ratus hadith nabi dalam menggalakkan untuk menderma dan mengorbankan harta kepada orang yang memerlukan miskin sama ada Islam atau tidak.

Ramadan menekankan kemerdekaan umat yang memiliki ciri-ciri tertentu dalam menghadapi serangan globalisasi yang menyeru kepada kemusnahan nilai dan akhlak, kerana umat Islam mempunyai sifatnya yang tersendiri, Allah SWT telah berfirman (bermaksud):

“dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".  (Al-Baqarah: 138).

Bulan Ramadan mengingatkan kita beberapa kemenangan umat dalam lipatan sejarahnya. Dua kemenangan yang paling besar pada zaman Nabi ialah Perang Badar dan penaklukan Makkah berlaku dalam bulan Ramadhan, pembukaan Al-Andalus yang diketuai oleh Tariq ibn Ziyad adalah pada 28 Ramadan 92 Hijrah, dan Pertempuran yang bernama Ain  Jalut, di mana Mongol telah dikalahkan berlaku pada 15 Ramadan 658 Hijrah. Begitu juga Allah telah memberikan kemenangan pada 10 Ramadan pada tahun 1383H (6 Oktober 1973) ke atas Zionis perampas tanah dan tempat suci kita. Ini menepati janji Allah SWT yang telah berfirman (bermaksud): 

“dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Rom: 47),

Justeru, marilah kita jadikan Ramadan sebagai bulan perubahan supaya kita lebih dekat dengan pertolongan Allah yang sentiasa dekat. Firman Allah SWT (bermaksud):

“Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil bertanya secara mengejek: Bila berlakunya?" Katakanlah: "Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!"  (Al-Isra’: 51).

Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw, keluarga dan para sahabatnya.
Dan Allah adalah Maha Besar dan segala pujian hanya bagi Tuhan.


Artikel Asal:http://ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=88142

Tuesday, July 19, 2011

Risalah Khas Mursyid: Suratku kepada suami muslim yang mulia

Assalamu’alaikum wr.wb.

Aku suka memanggil kamu dengan nama di atas, (zauj karim) suami yang mulia. Ia bukan satu panggilan tradisi, sebaliknya ia satu panggilan yang disukai dan digemari Rasulullah s.a.w.. Aku akan beritahu kamu selepas ini dengan izin Allah, kenapa nama ini dipilih.

Adapun sebab aku menulis surat ini ialah beberapa aduan daripada akhawat anggota jamaah IM telah sampai kepadaku. Begitu juga aduan daripada akhawat yang bukan anggota IM. Meskipun aku rasa bertuah kerana diberi peluang hadir di muktamar akhawat yang diadakan beberapa minggu yang lalu di dewan muktamar university al-Azhar di bawah slogan: al-mar’ah al-Misriyyah… min atthaurah ila an-nahdhah (Wanita Mesir.. dari revolusi kepada kebangkitan memajukan negeri), dan aku telah berbicara kepada mereka tentang kewajipan wanita di peringkat individu, keluarga dan masyarakat, tetapi kita mesti tahu bahawa di sana terdapat hak-hak mereka daripada lelaki yang merupakan tanggungjawab aku dan tanggungjawab kamu.

Sesungguhnya aku memilih untuk berbicara kepada kamu secara langsung, mengingatkan kamu peranan yang dipikulkan Allah ke atas bahu kamu, yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kamu ketika baginda berada di ambang kematian. Ia merupakan wasiat terakhir yang paling berharga pernah diungkapkan oleh orang yang berwasiat.

Tuhan yang memiliki kebesaran berpesan kepada kamu supaya menjadikan hubungan kamu dengan isteri kamu bertunjangkan mawaddah dan rahmat, dibaluti kesedaran akan masuliah (pertanggungjawaban). Maka kamu adalah pengemudi bahtera keluarga. Kepimpinan kamu adalah kepimpinan yang berupa pertanggungjawaban, bukan penghormatan. Tuhan kamu berpesan supaya kamu jangan lupa kerana jika kamu lupa, kamu akan dilupakan. “… dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.” (Al-Baqrah:237). Al-fadhl ialah kamu memberi lebih banyak daripada kamu meminta, kamu mengambil hak kamu lebih sedikit daripada yang sepatutnya.

Dia berkata kepada kamu, bahawa kamu melindungi isteri, anak-anak daripada kemudaratan dan perkara yang membahayakan sama ada dari aspek kebendaan dan maknawi, juga usaha kamu membawa manfaat kebendaan dan maknawi kapada mereka merupakan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu kamu sejak mula dijadikan ayah kamu Adam dan ibu kamu Hawwa sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.” (Ta Ha:117)

Dan Nabi Musa a.s. telah merealisasikannya secara amali, sebagai mematuhi tuntutan Ilahi yang penuh dengan hikmah yang sangat mendalam maknanya “Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu: Penunjuk jalan.” (Ta Ha:10). Ayat ini mahu menyampaikan bahawa Musa seolah-olah berkata kepada keluarganya: kamu tunggu di sini! Aku akan meninjau keadaan sekitar untuk mengelakkan kamu daripada bahaya dan perkara yang memudaratkan. Dan aku akan bawa kepada kamu perkara yang bermanfaat dari segi maddi dan maknawi.

Dan Allah juga telah menjadikan ikatan hubungan suami isteri ini dengan aqad yang kukuh yang diikat sendiri oleh kamu. Kamulah yang wajib memeliharanya. Allah akan menghisab kamu faktor-faktor yang menjadi ikatan itu kekal kukuh atau terburai “Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” (an-Nisaa’:21)

Adapun kesalahan wanita atau keaipan mereka, ia seumpama keaipan kamu dan kesalahan kamu. Kedua-dua kamu perlukan kesabaran untuk merawatnya. Namun tali kekangannya tetap berada di tangan kamu agar kapal ini hanya dikemudikan oleh seorang individu sahaja. Urusan keluarga bukan tempat untuk berebut kuasa atau beradu tenaga untuk jadi ketua sabagaimana yang cuba dilakukan oleh musuh-musuh Islam dan musuh-musuh kemanusiaan untuk mencarikkan ikatan yang suci ini. Mereka cuba menyalakan api pertentangan antara lelaki dan perempuan dengan mengunakan setengah kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian suami dan mengaitkan kesalahan itu dengan sistem Islam, syariah rabbaniah yang telah meletakkan tanggungjawab kepimpinan di bahu lelaki, semua lelaki ke atas semua wanita, demi memelihara kesejahteraan masyarakat.

Sesungguhnya al-Quran telah menyatakan dengan ringkas dan padat semua sistem-sistem yang diperlukan oleh manusia. Semua itu tersimpul di dalam beberapa ayat yang sangat ringkas. “Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), Dan siang apabila ia lahir terang-benderang; Demi Yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina); (Maksud al-Lail:1-3)

Malam dan siang, lelaki dan perempuan, saling bergandingan, lengkap melengkapi. Bukan berebut dan bersaing. Tiada kelebihan yang satu ke atas yang lain kecuali dengan melaksanakan peranan masing-masing.

Sebagai contoh, lihat isteri Firaun. Firaun mendakwa dirinya sebagai tuhan. Namun dakwaan itu sedikitpun tidak menjejaskan iman isterinya. Sebaliknya dua orang wanita lain yang menjadi isteri kepada dua orang nabi yang mulia, tidak mendapat apa-apa kelebihan di sisi Allah di sebabkan keingkaran mereka. Dan Maryam pula, seorang wanita solihah yang tidak bersuami. Jadi setiap individu mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Allah. Ia dihisab secara berasingan daripada pasangan masing-masing. Setiap orang mempunyai masuliah fardiah yang tidak boleh dipikul oleh orang lain.

Ketika Nabi s.a.w. menyebut bahawa wanita seperti tulang rusuk yang bengkok, itu tidak bermakna keaipan bagi wanita kerana wanita tidak menciptakan dirinya sendiri. Dari sisi lain kita dapati tulang rusuk yang bengkok itulah sebenarnya bentuk yang paling baik dan paling ideal. Kalaulah tidak kerana tulang rusuk itu bengkok, jantung tidak akan berada dalam keadaan yang selesa dan tidak akan dapat menjalankan pungsinya membekalkan darah ke seluruh anggota. Sepasang paru-paru juga begitu. Jika tulang rusuk tidak bengkok, seluruh tubuh tidak dapat bernafas, insan tidak akan hidup sihat dan sejahtera, tidak akan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya.

Justeru, Allah Azza wa Jalla berkata, ketika kamu tidak suka kepada sesuatu perkara yang ada pada isteri kamu – kesempurnaan itu hanyalah milik Allah jua - kamu juga tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Dalam kontek ini Allah berfirman maksudnya: “… Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa’:19)

Rasulullah s.a.w. pula telah menghuraikan perkara ini dengan terperinci dan praktikal yang kamu boleh laksanakan dengan segera. Kamu yang mesti laksanakan, bukan dia (isteri kamu) kerana kamu adalah pengemudi, kamu yang bertanggungjawab. Baginda bersabda maksudnya: “Janganlah seorang mu’min itu (suami) membenci seorang mu’minah (isterinya) kerana boleh jadi dia tidak suka pada sesuatu perangainya, dia suka perangainya yang lain”. Maksudnya di sini, jika kamu melihat sesuatu yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip iman, maka kamu mesti mengubah mood kamu sendiri, sehingga kamu dapat melihat dan mengiktiraf kelebihannya dari aspek yang lain yang pastinya terlalu banyak yang kamu sukai. Maka dengan itu perasaan benci dengan segera akan bertukar menjadi sayang.

Aku ingin mengingatkan kamu satu maklumat yang mudah yang kadang-kadang kita lupa. Tidakkah kamu yang membayar zakat fitrah isteri kamu, anak-anak dan khadam kamu  walaupun isteri kamu seorang yang kaya raya? Itu merupakan lambang pertanggungjawaban yang dipikulkan ke atas kamu kerana itu bukan zakat harta. Zakat harta yang dimiliknya adalah tanggungjawab dia sendiri. Dia yang mesti tunaikan secara berasingan daripada kamu. 

Awas kamu! Jangan ambil sedikitpun daripada hartanya tanpa izinnya dan jangan halang dia berbuat baik kepada keluarganya mengikut sukanya. Jika kamu berbuat demikian maka hisab kamu di sisi Allah amat sukar. Allah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Nya dan menjadikan kezaliman itu haram ke atas sesama hamba-Nya.

Jadilah kamu orang yang sentiasa setia kepada isteri kamu kerana Rasulullah s.a.w. sentiasa setia kepada isterinya Khadijah r.a., kesetiaan yang sungguh indah sehingga selepas Khadijah meninggal dunia. Ia menjadi contoh bagi seluruh umat manusia. 
 
Begitu juga baginda tidak menyembunyikan perasaan cintanya kepada Aishah r.a. ketika baginda ditanya siapakah manusia yang paling baginda cintai. Maka dengan spontan baginda menjawab dengan terang dan tegas: “Aishah!” . Lalu sahabat berkata bahawa mereka bukan tanya tentang wanita, dan sekali lagi baginda menjawab: “Ayahnya!”. Baginda tidak berkata “Abu Bakar”, sebaliknya berkata: “Ayahnya”. Ia memberikan gambaran hubungan mesra dan intim antara baginda dan Aishah dan secara tidak langsung menggambarkan kedudukan Abu Bakar di sisi baginda.

Adakah kamu fikir ada ungkapan yang lebih indah daripada ini bagi menggambarkan rasa cinta seorang suami kepada isterinya? Ungkapan yang begitu tulus lahir dari bibir suami pastinya mampu memadam apa-apa kesilapan dan perselisihan antara kamu berdua. 

Seandainya ada masalah yang kamu hadapi, na’uzubillah, sudah sampai ke tahap bercerai, dan cerai adalah perkara halal yang paling dibenci Allah, isteri yang diceraikan itu berhak tinggal di rumah kamu, hak yang ditentukan sendiri oleh Allah, agar dengan keberadaannya di rumah itu, hati kamu dan hatinya akan jadi lembut, dan perselisihan yang berlaku sebelumnya akan lebur. 

Tidakkah kamu nampak, dalam keadaan yang begitu genting sekalipun, Allah tetap menghendaki kamu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Perhatikan ayat-ayat berkaitan dengan talaq, kebanyakannya dibasahi dengan ciri-ciri kelembutan dan kebajikan. Lihat surah at-Talaq ayat 1 hingga 3.

Akhirnya jangan kamu lupa wasiat perpisahan kekasih kita Rasulullah s.a.w. “Hendaklah kamu berpesan agar berbuat baik kepada wanita…”. Sungguh mengkagumkan, wasiat ini digandingkan dengan wasiat supaya menjaga solat. Tidakkah kamu rasa bahawa ia merupakan suatu perkara yang sangat penting?

Justeru, wahai saudaraku para suami, di manapun kamu dan dalam keadaan apapun, maka setia dan setialah kepada isteri kamu! Berbuat baik dan berbuat baiklah kepada isteri kamu! Beri perhatian dan beri perhatianlah kepada perasaan isteri kamu! Berbakti dan berbaktilah kepada keluarga isteri kamu! 

Bantu dan bantulah isteri kamu untuk berbakti kepada keluarganya. Bawalah isteri kamu memikul bersama kamu beban keluarga dan beban dakwah. Jadikan dia sandaran belakang kamu supaya dia dapat berjalan seiring kamu sambil membawa risalah dakwah yang diwajibkan Allah ke atas kamu.

Awas dan awas daripada mengambil hartanya tanpa kerelaannya. Adapun jika dia rela, Allah telah jelaskan hukumnya di dalam firmanNya yang bermaksud: “… Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya." (An-Nisaa’:4)

Ingat neraka dan neraka! Selamatkan isteri kamu darinya. “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka…” (At-Tahrim:6)

Ingat syurga dan syurga. Bawalah dia bersama kamu serta anak-anaknya. “Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin.” (Ya Sin:56)

Dan ingatlah juga bahawa orang yang terbaik dalam kalangan kita ialah yang paling baik kepada isterinya. Dan sesungguhnya Rasulullah s.a.w. orang yang paling baik kepada isterinya dalam kalangan seluruh umat manusia. Maka adakah kita mencontohinya?

Akhirnya, Rasulullah s.a.w. menamakan kamu suami yang mulia (zauj karim) selama kamu melaksanakan wasiatnya yang bermaksudnya: “Tidak memuliakan wanita kecuali orang (suami) yang mulia, dan tidak menghina wanita kecuali orang yang tercela!”. Maka jadilah kamu wahai saudaraku suami muslim yang mulia.

Semoga Allah berkati kamu pada isteri kamu, harta kamu dan anak-anak kamu. Semoga Allah rahmati ibu bapa kamu dan ibu bapa isteri kamu sama ada mereka masih hidup di dunia ini atau telah berpindah ke alam abadi. Semoga Allah himpunkan kamu berdua dalam kebaikan dunia dan akhirat. Semoga Allah berkati zuriat kamu berdua.

Sesungguhnya aku telah berbicara kepada para isteri dalam muktamar lepas dengan membawakan satu Hadis yang menjamin pahala untuk mereka, iaitu seorang wanita yang melayan suami dengan baik pahalanya menyamai jihad, solat jamaah, solat jumaat dan mengiringi jenazah. Dan redanya kamu kepada mereka merupakan pintu untuk mereka masuk syurga.

Aku berharap kamu tidak lupa kepada kami dalam doa-doa kamu yang baik-baik.

Was-salamu’alaikum wr.wb.

Saudara kamu,
Dr. Muhammad Badi’
Murshid Am Ikhwan Muslimin. 

Sumber: http://zaadut-taqwa.blogspot.com/

Friday, July 15, 2011

Risalah Mursyid: Umat dan Mi’raj ke langit

Risalah daripada Prof. Dr. Mohammed Badie
– Mursyid Am Ikhwan Muslimun

30 Jun 2011

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah dan orang-orang yang mengikutinya.

Tiada seorang pun dalam sejarah manusia melalui pengalaman yang sama seperti Rasulullah saw. Baginda melalui pengalaman luar biasa melepasi blok kehidupan ini ke tingkatan langit terakhir, dan berpindah dari alam yang nyata ke alam ghaib. Baginda melihatnya sendiri – dengan dua mata kepalanya – dan menerima berita atau pendengaran tentang risalah langit seluruhnya. Kemudian baginda kembali semula untuk memberitahu manusia apa yang beliau lihat melalui matanya sendiri sambil diperkuatkan dengan sumpah dari Tuhan yang memiliki ketinggian. Firman Allah swt (bermaksud):

“Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan indah yang diizinkan ia melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.” (An-Najm: 17-18)

Jelasnya mukjizat Isra’ dan Mi’raj adalah satu keajaiban buat Nabi Muhammad saw, untuk menggembirakan hatinya, meninggikan kedudukannya dan melapangkan fikirannya … selepas usaha keras dan kerja yang berterusan semasa berdakwah kepada manusia dan menyampaikan syariat Allah … selepas Rasulullah saw menempuh pelbagai kesusahan, keletihan, tentangan dan pendustaan, penipuan dan keangkuhan yang tidak mampu dipikul oleh manusia. Dan selepas berakhirnya tahun kesedihan buat Rasulullah saw setelah kehilangan isterinya yang mulia, Khadijah ra dan bapa saudaranya, Abu Talib dan dihambat oleh kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa hingga pulang dari Taif dalam keadaan kaki berdarah dan hati yang sedih. Baginda telah membacakan doa berikut dengan penuh khusyuk (bermaksud):

“Ya Allah aku mengadu kepadaMu. Lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku, dan hinanya aku ini di kalangan orang ramai. Wahai Tuhan yang paling penyayang di kalangan yang penyayang, Engkaulah Tuhan orang-orang yang kena tindas dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapa ingin Engkau serahkan diriku wahai Tuhan. Adakah kepada orang jauh yang bermasam muka denganku ataupun kepada musuh yang Engkau jadikan mereka itu menguasai urusanku. Jika Engkau tidak murka kepadaku wahai Tuhan, aku tidak peduli. Namun afiatMu lah yang paling luas untukku. Aku berlindung dengan wajahMu wahai Tuhan yang dengannya diterangi kegelapan. Jangan Engkau turunkan marah-Mu kepadaku. Dan jangan Engkau halalkan kemurkaan-Mu kepadaku. Selagi tiada murkaMu kepadaku wahai Tuhanku, aku tidak peduli. Tidak ada daya dan tidak ada upaya melainkan dengan mengharapkan Engkau jua wahai Tuhan.

Jelasnya perjalanan Isra’ dan Mi’raj adalah satu bukti tentang keupayaan dan kekuasaan Allah apabila memecahkan undang-undang fizikal, dan menampakkan kemutlakan kuasa Ilahi … Halangan masa dan tempat tidak mampu menyekat kehendak Ilahi dan kemahuan Tuhan. Inilah Mi’raj sebenar, yang memerlukan kita berlindung kepada Allah swt, memastikan hubungan yang baik denganNya, memperbanyakkan amal solih, melaksanakan ibadah dengan pengertian yang sebenar serta mengambil berat isu dan hal ehwal umat. Semua itu dan lain-lain telah memi’rajkan kita supaya memperolehi sokongan Allah, bantuan dan pertolonganNya.

Meskipun bumi ini sempit baginya namun dibuka pintu langit yang luas terbentang kepadanya. Meskipun pelbagai penghinaan dan tentangan dari kejahatan kaumnya namun diperlihatkan kemuliaan dan penghormatan di langit yang tertinggi hingga sampai ke Sidratul Muntaha. Meskipun para pembesar menentang dan menolaknya, namun semua nabi dan rasul solat di belakangnya, yang dihimpunkan oleh Allah melalui kekuasaanNya yang mutlak dalam satu tempat dan satu masa … Para nabi dan rasul mengisytiharkan kepimpinannya dalam agama dan penyudah risalah para rasul, dan memikul amanah dan menyampaikan risalah. Ini merupakan suatu tanda tentang tanggungjawab umat selepasnya. Firman Allah swt (bermaksud):

“supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).” (Al-Baqarah: 143).

Kita telah berbicara tentang Isra’ dalam risalah yang lalu, dan hikmah yang terdapat di negeri yang suci antara Mekah dan al-Quds - di Semenanjung Arab dan Syam tempat turun wahyu dan terbit cahaya kebenaran. Rasulullah saw telah dibawa mengelilinginya seolah-olah dia menerima kunci kepimpinan risalah langit keseluruhannya. Dengan itu, baginda adalah pewarisnya, penutupnya dan pemegang amanah sehingga ke hari Kiamat.

Kemudian datang perjalanan Mi’raj … untuk membuktikan keutuhan hubungan antara langit dan bumi, antara kehidupan dunia dan kehidupan akhirat, antara dunia yang ghaib dan dunia yang nyata, antara dunia material dan dunia roh. Tiadalah kehidupan dunia yang penuh dengan pancoraba, peristiwa, suka dan duka melainkan satu masa yang singkat. Singkat jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat tanpa kesudahan ... Firman Allah swt (bermaksud):

“sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil.” (Ar-Ra’d: 26)

“Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja.”
(Ar-Rum: 55)

Walaupun kita dituntut – dari segi syarak – bekerja dan mengembling tenaga, berusaha bersungguh-sungguh dan berinovasi, dan beramal solih dalam kehidupan dunia, namun kita sebenarnya mengharapkan di sebaliknya ialah memperolehi balasan yang baik, keluasan ganjaran dan nikmat yang kekal di dalam;

“dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Imran: 133).

Sesungguhnya kezaliman material pada zaman kita – dan sejak zaman dahulu – telah menyebabkan ramai manusia tidak mengambil berat melainkan kehidupan duniawi, harta benda dan keseronokan yang sementara …

"Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman" (Al-Jatsiah: 24)

… dan kemudian mereka sangat rakus untuk mendapatkan harta dan kesenangan tanpa mengira halal atau haram, jalan kesusahan dan kerja keras, rampasan atau rompakan. Fiman Allah SWT (bermaksud):

“Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).”
(Al-Qiyamah: 20-21 )

Kesudahan kerakusan ini menyebabkan kehidupan manusia bertukar menjadi kasar dan buas … yang kuat menindas yang lemah, yang besar menzalimi yang kecil, yang kaya bertambah jahat dan yang miskin bertambah hina dan susah, semua orang berjuang untuk mendapatkan kesenangan tanpa kawalan atau batas. Dengan itu ia akan melanggar hak-hak asasi, kehilangan maruah, menghancurkan kemuliaan, menjatuhkan moral dan memusnahkan umat manusia seluruhnya. Manusia hidup dalam kesengsaraan yang tiada kesudahan setelah mereka hilang tujuan dan matlamat serta lenyap sistem dan panduan.

Sesungguhnya perjalanan Mi’raj membuktikan dengan jelas dan terang, penuh yakin dan pasti bahawa setiap amal yang solih di dunia ini akan diberikan balasan yang amat besar di akhirat – jauh lebih utama daripada kesenangan di dunia. Balasan itu tidak tertanding dan menjangkau ke dunia penuh abadi.

Begitu juga setiap penyelewengan, kesalahan, dosa dan kejahatan di muka bumi akan mendapat hukuman sehingga melahirkan ketakutan, jauh lebih hebat daripada hukuman sementara di dunia ini kerana bencana untuk dirinya di akhirat tiada kesudahan dan tidak ada tempat untuk melarikan diri darinya.

“Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah. Dan tiada sesiapapun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belengguNya.” (Al-Fajr: 25-26)

Rasulullah saw telah melihat balasan kepada orang-orang berjihad yang menanam dan menuai dalam satu masa, dan melihat kenikmatan orang-orang yang beramal solih dengan mata kepalanya. Begitu juga Rasulullah saw telah menyaksikan balasan pemakan riba, pengumpat, orang yang enggan membayar zakat, penyebar fitnah dan orang yang mengkhianati amanah.

Jelasnya asas ganjaran dan hukuman adalah asas hak dan keadilan di alam semesta ini … dengan tertegak langit dan bumi … Kehidupan manusia tidak akan sejahtera melainkan adanya asas ini.

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya
(dalam surat amalnya)!” (Al-Zalzalah: 7-8)

“Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?”
(Ar-Rahman: 60)

“Siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?" (Al-An’am: 47).

Beriman kepada perkara ghaib adalah melalui pengetahuan dan kepastian, pemikiran dan akal, memerhatikan ayat-ayat Al-Quran, dan keyakinan dari kata-kata Rasulullah saw, dan kemudian melalui riwayat yang benar dari orang yang menyaksikan semua ini dalam suatu perjalanan yang unik; supaya tidak ada lagi sebarang alasan atau ragu-ragu … Keimanan yang benar dan tulus kepada perkara ghaib adalah satu jaminan untuk memastikan kehidupan manusia dan perjalanan mereka di atas jalan yang benar.

Oleh sebab itu minda dan perasaan Rasulullah saw hendaklah diperluaskan termasuk alam ghaib dan memindahkannya ke dunia nyata, dan melangkaui pandangan beliau sehingga ke langit yang jauh dari kesempitan di dunia ini kepada keluasan dunia dan akhirat. Rasulullah saw menyedari bahawa untuk memperolehi kejayaan pada akhirnya, baginda mestilah melalui amal solih yang dilakukan dalam kehidupan ini. Justeru dunia adalah tempat beramal, bekerja dan berusaha;

“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.” (Al-Anbiya’: 90)

“Dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.” (Al-Mutaffifin: 26)

“Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).” (As-Saffat: 61)

Apa yang berlaku hasil keimanan kepada perkara ghaib – dengan tulus dan yakin - membawa kepada menjunjung kehidupan dunia dengan menyempurnakan amalan, pengorbanan dan usaha keras, dan melindunginya daripada kejahatan dan korupsi, di samping berasa tenteram tentang balasan di akhirat walaupun mereka terlepas dari mendapat balasan di dunia sama ada sebahagian atau keseluruhannya.

Sementara mereka yang suka kehidupan dunia dan tidak mempercayai hari pembalasan, sudah tentu mereka tidak menyempurnakan amalan melainkan ingin mendapatkan faedah di dunia dan keuntungan peribadinya sahaja. Oleh itu jika sesuatu usaha yang diperlukan itu tidak menghasilkan balasan atau habuan yang lebih besar, pasti mereka menolaknya, berasa malas dan berundur ke belakang …

“Oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah.” (At-Taubat: 58)

Begitu juga mereka tidak boleh dilarang dari melakukan kejahatan kecuali apabila merasa takut kepada hukuman di dunia. Namun sekalipun mereka mempercayai hukuman ini atau menangguhkannya mereka masih berkeliaran di tempat yang haram, dan menjadi ketagih untuk melakukan kejahatan yang tidak mampu dihalang oleh mereka yang menghalang, tidak mampu ditegah oleh mereka yang menegah … Oleh itu, manakah antara dua golongan ini lebih baik untuk dunia ini?!

Orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang berjaya … Dunia mereka dan akhirat mereka adalah kejayaan, serta ketenangan hati dan kelapangan dada mereka. Mereka tetap mencetak kebaikan dan meneruskan usaha biarpun balasannya ditangguhkan.

Dalam Mi’raj Nabi Muhammad saw ke Sidratul Muntaha hingga di hadapan Allah swt, merupakan satu situasi yang tidak pernah dirasai oleh manusia dan raja sebelum Nabi saw atau selepasnya. Dalam situasi ini difardukan solat lima waktu, sebagai hadiah daripada Allah swt kepada semua orang yang beriman; supaya hati mereka tetap berhubung dengan Tuhan siang dan malam. Inilah yang membahagiakan setiap orang yang beriman, ketenangan setiap hati, kelapangan setiap dada dan hidayah kepada setiap jiwa. Dan setelah selesai menukilkan kejadian ini tentang kesaksian solat untuk mengingat setiap Muslim dan Muslimah yang mencintai Rasulullah saw supaya tidak melupakan kedudukan ini. Selepas Allah swt memujinyanya, "salam sejahtera kepada anda wahai Nabi, rahmat dan keberkatan Allah untuk anda," lalu beliau berkata, "salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh"; supaya kesejahteraan, rahmat dan keberkatanNya menyeluruh dan tidak hanya kepada dirinya sahaja ... Benarlah Allah telah menyebutkan tentang beliau … Firman Allah swt (bermaksud):

“(dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubat: 128)

Justeru, perjalanan Isra’ dan Mi’raj adalah satu penghormatan buat Nabi Muhammad saw khasnya dan hadiah buat setiap orang yang beriman amnya, membetulkan kehidupan manusia antara material dan roh, yang ghaib dan yang nyata, kehidupan dunia dan di akhirat.

Selepas Mi’raj, solat masih sebagai ‘Mi’raj’ bagi setiap orang yang beriman lelaki dan perempuan sehingga hari kiamat.

“dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.” (Al-Mutaffifin: 26).

Oleh itu, adakah kita mengulang perhitungan dan menyusun lembaran kita, dan mempersiapkan diri kita untuk melaksanakan ‘Mi’raj’ sebenar yang akan membangkitkan masa depan semua manusia?

“Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Qasas: 83)

Adakah anda menjadi sebahagian dari mereka?!

http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=86895

Tuesday, July 12, 2011

Wacana Tarbawi oleh Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin


PDF Cetak E-mail  Share on MySpace
SHAH ALAM – Wacana Tarbawi anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia yang disampaikan Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum’ah Amin dihadiri lebih 2,000 orang yang memenuhi dalam dan luar Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam, Isnin 11 Julai 2011.
Wacana yang bertajuk “Tarbiah Ikhwan Muslimin dan Peranannya dalam Membangunkan Masyarakat” disampaikan oleh Syeikh Jum’ah dalam bentuk yang ringkas, mudah difahami dan meliputi seluruh aspek perubahan yang dilakukan oleh Ikhwan Muslimin dalam rangka membangunkan masyarakat.
Sebelum wacana, semua hadirin berdiri untuk menyanyikan lagu rasmi IKRAM dan Allah Ghayatuna dengan jemputan khas penyanyi rasmi, kumpulan Saff-One. Terjemahan wacana disampaikan oleh Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar dari JK Tarbiah IKRAM Pusat dan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dari JK Perhubungan Antarabangsa IKRAM Pusat.
Permulaannya, Syeikh Jum’ah menekankan bahawa Islam tidak akan tertegak dengan usaha individu, bahkan Islam tertegak dengan usaha secara kolektif iaitu dengan jamaah. Tanpa usaha secara kolektif, tidak akan akan tertegak syariat Islam secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan. Tambahnya, Islam bukanlah milik individu atau jamaah, tetapi Islam adalah milik setiap Muslim yang wajib diperjuangkan dan dibela oleh mereka.
Katanya, apa yang diperjuangkan oleh Ikhwan Muslimin mempunyai manhaj perubahannya yang tersendiri berasaskan aqidah, syariat dan akhlak antaranya memperjuangkan hubungan kasih sayang dan ukhuwwah sesama ahli supaya kasih sayang itu tersebar kepada masyarakat dan seluruh alam.
Seterusnya, Ikhwan Muslimin berjuang melahirkan umat yang berkorban dalam menegakkan Islam. Menurutnya dalam perjuangan Islam, sudah pasti ada halangan dan cabarannya daripada musuh Islam, yang memerlukan insan yang ditarbiah dan mampu menghadapi dan mengatasi halangan daripada golongan tersebut.
Beliau menegaskan di hadapan ribuan hadirin bahawa tarbiah yang dibawa oleh Ikhwan Muslimin kepada masyarakat adalah tarbiah ke arah tercapainya pengisian dua kalimah syahadah iaitu jalan yang lurus, bertitik tolak dengan cahaya berupa petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah, dan penghujungnya berakhir dengan syurga. Perubahan masyarakat yang ingin dilakukan mestilah dengan menggunakan pendekatan lemah lembut dan berakhlak mulia. Beliau menyebut kata hikmah Saiyidina Ali r.a. iaitu “Sesiapa yang lembut kata-katanya, maka wajiblah mencintainya.
Beliau menyorot kembali bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hassan Al-Banna di Mesir. Katanya, keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu amat menyedihkan ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.
Tambahan pula, kata beliau, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hassan Al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin lantaran untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam  dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka  untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.
Menurutnya, antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu mengubah diri sebelum mengubah masyarakat. Mereka yang mampu mengubah dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu mengubah masyarakat di sekelilingnya.
Untuk mengubah ummah katanya, perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah swt dengan membanyakkan amal yang medekatkan diri dengan Allah swt.
“Jadilah kamu hamba (Allah swt) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesannya.
Beliau mengambil contoh program perubahan diri yang dilakukan oleh Ikhwan iaitu Katibah, iaitu malam kerohanian melalui mendengar tazkirah (peringatan) pada malamnya, pada paginya qiyamullail dengan solat tahajjud, berzikir  dan membaca Al-Quran dengan penekanan tarbiah individu sebagai elemen perubahan.
Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah swt dengan membaca Al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Syeikh Jum’ah mengambil kata hikmah Saiyidina Abu Bakr r.a. kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.
Beliau menyeru hadirin supaya rapatkan diri kepada Allah dengan solat apabila ada masalah. Beliau juga menasihatkan supaya sebelum merancang dan berbincang apa-apa program dakwah, hendaklah berwuduk dan melakukan solat hajat supaya pendakwah itu ingat bahawa Allah sentiasa bersama mereka. Setiap masalah dan ujian dalam dakwah akan mudah dihadapi dengan mendirikan solat.
Beliau turut menggariskan usaha-usaha yang dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji  cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.
Syeikh Jum’ah turut berpesan supaya jangan kedekut masa dengan Allah swt dalam perjuangan Islam, jika kedekut, nescaya Allah akan ganti dengan kaum lain yang akan memperjuangkannya. Antara tanda Allah swt mencintai kita ialah Allah swt sentiasa memberi taufik kepada kita untuk taat kepada-Nya.
Beliau juga mengingatkan usaha para orientalis yang cuba memesongkan makna sebenar ayat-ayat Al-Quran daripada hati umat Islam supaya lahir individu Muslim yang cacat kefahamannya terhadap Islam yang sebenar. Menurutnya, orientalis cuba memomokkan bahawa isi kandungan Al-Quran adalah isi lama, tiada yang baru.
Beliau menambah, dalam membangunkan masyarakat, pentingnya pendakwah menunjukkan akhlak yang mulia yang merupakan kurniaan daripada Allah swt. Allah kurniakan akhlak seperti rezeki, berbeza antara satu sama lain. Dengan akhlak yang mulia, pendakwah itu akan dicintai oleh Allah swt.
“Allah swt memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah swt tidak memberi  agama  ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya,” akhir pesanan beliau.

Gambar Ehsan: Abu Ikram (Wan Abdullah Mujahid)

Rakaman Audio: http://www.4shared.com/audio/QYZu5Koe/Tarbiyyah_Ikhwan_dan_Perananny.html


http://ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=439:wacana-tarbawi-oleh-naib-mursyid-am-ikhwan-muslimin&catid=54:utama&Itemid=52

Monday, July 4, 2011

Risalah Mursyid: Isra’..Hak orang Arab dan Islam di Palestin

Risalah daripada Prof. Dr. Muhammad Badi’ Mursyidul Am Ikhwan Muslimin 

23 Jun 2011






Pujian hanya bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga baginda, para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik hingga hari kiamat. Adapun selepas ..

Firman Allah SWT (bermaksud):

“ Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”  (Isra).

Risalah Islam yang bersifat universal

Sesungguhnya perjalanan Isra’ mengandungi banyak pengertian dan tanda-tanda yang penuh hikmah jangka panjang: iaitu terkandung kisah Isra’, bahawa Muhammad saw adalah nabi dua kiblat, pemimpin timur dan barat, pewaris nabi yang terdahulu darinya, pemimpin generasi selepasnya.

Muhammad saw telah melalui secara peribadi dan di dalam perjalanan Isra’nya dari Mekah ke Baitul Maqdis, dan di Baitul Haram ke Masjid Al-Aqsa, dan para nabi menunaikan solat di belakangnya.

Semua ini menandakan keluasan risalah dan berkekalan kepimpinannya, memiliki nilai-nilai kemanusiaan pada ajarannya, kesesuaian dan pembaikan untuk manusia, semua manusia, di mana-mana dan pada semua zaman. Firman Allah swt (bermaksud):

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian.” (Al-Anbiya’:107)

Begitu juga di dalam peristiwa Isra’ menunjukkan kesetiaan para nabi dan rasul tentang  perjanjian yang telah Allah ambil ke atas mereka di dalam ayat (bermaksud):

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): "Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?" Mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu."  (Al-Imran: 81).

Sesungguhnya barisan para nabi di Baitul Maqdis dan menunaikan solat di belakang Rasulullah saw sebagai bukti yang terang dan muktamad bahawa mereka beriman kepadanya, dan mereka telah mengambilnya sebagai pemimpin, dan pengikut semua nabi diseru untuk beriman dengan apa yang diimani oleh Rasul mereka, kerana yang demikian adalah satu kebaikan untuk mereka di dunia dan keselamatan bagi mereka di akhirat. Justeru, disebutkan perlembagaan kita (Al-Quran) bermaksud: 

“Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik (Al-Imran: 110).

Sekiranya mereka menolak dan mengabaikan kebaikan ini, malah melakukan tipu daya dan konspirasi terhadap Islam dan umat Islam dengan menyalakan api perpecahan dan peperangan:

“orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi.” (Al-Maidah:  33),

Maka, umat Islam janganlah berasa lemah dan dukacita, tetapi bertenanglah dengan janji Allah, bahawa tipu daya dan konspirasi mereka ini akan dikembalikan ke tempat kehancuran mereka, dan penyiksaan dan kekejaman yang mereka timpakan hanyalah sedikit, dan diikuti dengan kemenangan dari Allah dan pembukaan yang nyata. Firman Allah swt (bermaksud):

“Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.” (Al-Imran: 111).

Manusia menuju kepada kebaikan

Sesungguhnya memperingati Isra ' dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Aqsa di Syam menandakan padamnya kepalsuan, pedagang perang, penerbit riba dan kekejian di seluruh muka bumi, dan akan terbit matahari Islam, dan berpindah kepimpinan manusia daripada tangan orang-orang yang mendokong kerosakan di muka bumi kepada kepimpinan baru Muhammad saw yang dipilih oleh Allah sebagai penutup para Nabi dan Rasul  di dalam perjalanan Isra’; untuk mengeluarkan manusia, semua manusia, daripada kegelapan kepada cahaya dan hidup menikmati kebebasan, keadilan, kesaksamaan dan memelihara kepercayaan, maruah, nyawa dan harta. Kini sudah tiba masanya untuk kepimpinan nilai-nilai kerohanian di kalangan umat; kebenaran dan kebaikan mengambil tempat, dan al-Quran yang agung masih terpelihara dan memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam)  (Isra: dari ayat 9),

Ayat ini datang selepas hadith tentang Isra’, kerosakan dan kehancuran Bani Israel dalam Surah Al-Isra ', yang juga dinamakan surah Bani Israel, seolah-olah ia mendedahkan mengenai sifat semula jadi mereka, dan tindakan mereka terhadap kemanusiaan. Umat Islam tidak akan mengecapi kemuliaan dan tidak akan merasai kemerdekaan dan keselamatan mereka melainkan mengikuti manhaj yang lurus seperti  yang telah ditetapkan oleh Al-Quran. Manhaj Al-Quran yang mulia mampu membentuk umat yang mendapat petunjuk, dengan semua nilai-nilai dan kemuliaan yang merupakan asas risalah samawi keseluruhan (Sepuluh pesanan di dalam Surah Al-Isra ), yang dirumuskan oleh Nabi saw tentang risalahnya iaitu:

"Sesungguhnya aku hanya diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

Ayat al-Quran telah menegaskan tentang kesatuan risalah samawi. Firman Allah SWT (bermaksud):

“ Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya". Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).  (As-Shura: 13)

Dari segi sumbernya yang berasal dari Allah dan kemudian diikuti dari satu generasi ke generasi di atas asas yang sama dan pada wahyu terakhir kepada Nabi Muhammad saw.

Isra’ mengenal pasti pemilik yang sebenar untuk Palestin

Peristiwa Isra’ membuktikan bahawa tanah Palestin adalah tanah orang Arab dan Islam, suatu perintah yang wajib dituruti dengan menjadikan rantau ini kepunyaan pemiliknya supaya menjadikan jalan ke Masjid Al-Aqsa selamat, terbuka kepada orang-orang yang memulakan perjalanan, dan seorangpun tidak boleh ditegah dating ke sini . Jika benar bahawa negeri tersebut telah ditentukan untuk penganut agama samawi dan menghalang orang lain kepadanya, maka negeri ini mesti dihormati dan dipelihara, malah mesti dipertahankannya.

Semua orang tahu bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang hidup di bawah pemerintahannya semua penganut agama samawi dan kepercayaan, tanpa memaksa mereka dalam kepercayaan, ibadah dan hal ehwal mereka yang khusus. Malah orang yang bertindak kejam ke atas mereka, kepercayaan, peribadatan, harta benda, nyawa dan maruah mereka akan dihukum dengan azab yang pedih, kerana mereka berada di bawah perlindungan Allah SWT itu yang merupakan jaminan tertinggi yang pernah dikenali oleh umat manusia.

Isra’ mengandungi amaran terhadap percubaan untuk mengenakan kawalan dan campurtangan:

Di samping berita baik tentang kesedaran dan kebangkitan daripada orang-orang Arab-Islam, dan munculnya angin kemerdekaan, dan terbitnya fajar baru bagi umat, ia juga menimbulkan kehairanan kepada pihak berkepentingan di Barat dan Timur, dan berfikir dengan penuh kekaguman: Bagaimana mereka boleh terus menjaga rantau ini secara umumnya dan Timur Tengah khasnya hinggalah mereka tidak mampu lagi melaksanakannya? Apakah yang mereka lakukan untuk menjaga pergantungan kepada mereka dan bersedia melaksanakan perintah mereka? Apakah langkah untuk menjadikan negara ini sebagai sumber strategik berterusan seperti bahan-bahan mentah, tenaga dan pasaran untuk produk-produk?

Sebaliknya, mereka berfikir dan konspirasi mereka berterusan siang dan malam; untuk melenyapkan revolusi-revolusi umat yang diberkati supaya tidak membuahkan hasil kepada rakyat seperti kemuliaan, kebebasan, ketinggian dan kebangkitan. Mereka menggunakan segala muslihat mereka, dan mengerahkan seluruh kebolehan dan potensi mereka, dan menyediakan semua godaan harta dan lain-lain, untuk menarik apa yang mereka dapat dari unsur-unsur umat yang agung ini untuk menjadi semboyan untuk mereka, kerja mereka berdasarkan pihak mereka, dan menyiarkan pendapat mereka, dan menggalakkan kepalsuan mereka, dan membangkitkan perasaan takut dalam hati orang-orang yang mengajak kepada kemerdekaan penuh dan keluar daripada pergantungan kepada orang lain, penolakan terhadap mana-mana campurtangan timur atau barat.

Kehidupan kita yang mulia tidak akan tercapai melainkan dengan menyahut seruan Allah kepada kita, dan kebaikan dan kebahagiaan kita hanya diperolehi dengan mengikut Rasulullah saw. Firman Allah SWT (bermaksud)

“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurn.” (Al-Anfal: 24),

Dengan itu akan tercapai keadilan dan kepentingan umat manusia seluruhnya.

Wahai kaum kami: kami adalah sebahagian anda dan bersama anda  dan kami tidak akan rela anda dalam kehinaan selamanya:

Ikhwan Muslimin telah menjadikan matlamat mereka sangat jelas dalam slogan ini: "Allah matlamat kami".

Mereka tidak pernah walau dalam sehari sejak penubuhannya hingga sekarang inginkan apa-apa kepentingan atau menjadi opportunis. Ini kerana, kita adalah sebahagian daripada komponen umat ini, dan kita berhasrat untuk bangkit bersama warga-warga mereka, dan kita sedang bekerja untuk meningkatkannya.

Kita merasa hairan pelbagai media, termasuk akhbar-akhbar, saluran satelit dan majalah telah berubah untuk menyerang kita dengan berita yang tidak betul dan mencemuhnya, menyampaikan maklumat secara palsu, dusta dan fitnah, namun semua itu tidak akan menjejaskan kita, Insya-Allah, tidak akan menghentikan perjalan kita.

Bagi kita pada diri Rasulullah saw terdapat contoh yang baik tentang kesabaran yang unggul dalam menanggung penderitaan dari kaumnya dan apa yang menimpa baginda sebelum perjalanan Isra’ yang mencapai tahap maksimum dalam pengepungan, dan kembali dari Taif selepas dibaling batu oleh anak-anak yang lemah akal, sehingga mengalir darah dari kaki baginda yang mulia, dan Allah telah menghidangkan kuasa-kuasa langit dan bumi kepadanya untuk mempertahankannya. Namun Rasulullah saw hanya berdoa (bermaksud): 

"Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku kerana mereka golongan yang tidak mengetahui." 

Kita menyeru semua umat Islam supaya berpegang teguh dengan nilai-nilai dan akhlak yang dikenakan oleh semua agama samawi. Kita menyeru semua penyokong reformasi di Mesir supaya bekerjasama dalam membina dan membangunkannya, memelihara pencapaian revolusi, mendahulukan kepentingan awam daripada kepentingan peribadi, menghiasi diri dengan kejujuran dan kredibiliti dalam semua yang kita seru .. mendahulukan perbuatan dari perkataan kita.. kita menghormati pilihan rakyat .. tiada sesiapa atau kumpulan yang berhak untuk mengenakan kawalan terhadap rakyat yang hebat ini .. ,di antaranya dengan menyangka bahawa rakyat ini tidak hebat, atau tidak memahami kepentingannya atau lain-lainnya .. Semua orang mesti mengekalkan kehormatan orang lain.

Sebagai permulaann ialah menahan lidah dan pena dari sebarang kecaman dan serangan yang berupa sangkaan dan ilusi .. kadang-kadang ucapan yang keluar adalah kata-kata yang merosakkan, Jika dia mahu menarik balik, dia sudah tidak boleh. Sebuah hadith nabi saw tentang peristiwa Isra’:

".. bahawa Rasulullah saw menyatakan tentang seekor lembu jantan yang besar keluar dari sebuah lubang sempit, namun lembu jantan tidak dapat memasuki semula ke dalam lubang itu. Nabi saw bertanya: “Apakah ini, wahai Jibril”. Jibril berkata: “Itulah orang yang bercakap besar (takbur), kemudian menyesal tapi sudah terlambat., "




Sabda nabi saw (bermaksud):

“Sesungguhnya seseorang itu terkadang bercakap dengan satu percakapan dengan tujuan supaya orang lain menjadi tertawa dari sebab percakapannya itu. Dia tidak menyangka bahawa perkataannya itu akan menyebabkan dirinya dihumbankan ke dalam api neraka selama tujuh puluh tahun." (Hadis riwayat At Tirmizi daripada Abu Hurairah R.A).

Nasihat saya kepada Ikhwan Muslimin:

Wahai Ikhwan Muslimin lelaki dan wanita, tua dan muda: Ikhlaskanlah niat anda kepada Allah, dan buktikanlah kejujuran anda dengan Allah dalam jihad anda, dan ikutlah sesuatu amalan dengan amalan yang lain, bersama dengan orang-orang yang ikhlas dari semua lapisan masyarakat dalam perkara kebaikan yang kita sepakati untuk berkhidmat di negeri yang baik ini dan rakyat yang bergelora dalam semua bidang.

Ketahuilah bahawa Allah melihat anda dan mengira setiap perbuatan anda, dan tidak akan menyia-nyiakan amalan anda dan bersyukurlah atas kebaikan yang telah Allah berikan kepada  anda beruapa amalan, dan yakinilah tentang ketinggian dakwah anda, kemuliaan tujuan anda, dan sokongan Allah kepada anda, dan eratkanlah ikatan persaudaraan anda, dan pastikan anda dalam ketaatan dan keteguhan. Semua itu adalah terkandung dalam rukun Baiah anda.

Berhati-hatilah dari pertengkaran dan perdebatan kerana ianya adalah punca perpecahan, dan jalan kegagalan, kerana "Sesuatu kaum itu tidak sesat selepas mereka mendapat petunjuk kecuali orang-orang yang suka berdebat." Bersabarlah di atas penyiksaan yang dilakukan orang lain yang ditujukan kepada anda. Ketahuilah, bahawa kesudahan yang baik bagi mereka yang memberi nasihat, jujur, ikhlas dan semata-mata kerana Allah. Firman Allah SWT (bermaksud): 

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan". (At-Taubah: 105).

Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw, keluarganya dan para sahabatnya
Allah Maha besar .. dan pujian hanya bagi Allah

Kaherah: 21 rejab 1432H bersamaan dengan 23 Jun 2011


Saturday, July 2, 2011

Mursyidul Am IM Lantik Jurucakap Rasmi


Khamis 30 Jun 2011

Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am Dr. Mohamed Badie, IM telah mengesahkan pelantikan jurucakap rasmi IM seperti berikut:


• Naib Mursyidul Am Dr. Rashad Mohamed Bayoumi


• Naib Mursyidul Am Ustaz Jum’ah Amin Abdul Aziz


• Dr. Mahmoud Ezzat


• Eng. Khairat al Shater


• Setiausaha Agung Dr. Mahmoud Hussein


Jurucakap Media bagi Maktab Irsyad ialah Dr. Mahmoud Ghazlan

 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template