Thursday, August 30, 2012

Risalah Mursyid: Antara hasil bulan puasa .. meneguhkan cita-cita dan menguatkan kemahuan.. dan Eid kemenangan



Perutusan daripada Prof. Dr. Muhammad Badi’ Mursyidul Am Ikhwan Muslimin 16 Ogos 2012

Segala pujian hanya bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka sehingga hari kiamat. Adapun selepas itu:

Bulan Ramadhan akan meninggalkan kita dan kita akan berpisah dengannya sedangkan hati kita telah terikat dengannya, ruh kita sangat dekat kepadanya dan berharap hari-hari yang masih tinggal ini terus berpanjangan. Janganlah malam-malam penghujuang ini berakhir melainkan setelah kita dapat menikmati rahmat yang diturunkan di dalamnya, menjadi semakin dekat dengan Allah dan meraih pembebasan diri dari api neraka.. dengan menerima keampunan dan keredhaan daripada Allah.

Diriwayatkan Jabir bin Abdullah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda (bermaksud):

"Telah diberikan kepada umatku di bulan Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada Nabi sebelumku. 1: Di malam pertama Ramadhan Allah memerhatikan umatku. Barangsiapa yang diperhatikanNya tidak akan diazab lagi selama-lamanya. 2: Bau mulut mereka yang berpuasa di siang hari lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi. 3: Para malaikat memohon ampun untuk mereka setiap hari dan malam. 4: Allah memerintahkan syurgaNya dan berfirman kepadanya: “bersiaplah kamu dan hiasilah untuk hamba-hambaKu. Mereka akan berehat dari kepayahan dunia menuju negeriKu dan kemulianKu. 5: Pada malam terakhir Ramadhan Allah mengampuni semua dosa mereka. Seorang sahabat bertanya: “Apakah itu malam Lailatul-qadar ya Rasulullah? Beliau bersabda: "Bukan, tidakkah engkau melihat para pekerja yang telah bekerja, jika mereka telah selesai dari pekerjaan mereka nescaya dibayar upah mereka dengan sempurna?" (HR. al-Bazzar)

Puasa adalah madrasah

Bulan Ramadhan adalah madrasah umum. Tempoh pembelajarannya ialah selama sebulan. Di dalam madrasah ini akan memperbaharui iman seorang muslim lelaki dan perempuan dan menguatkan perhubungan dengan Tuhannya. Oleh itu ia menjadi makhluk yang lain, tidak lagi cenderung untuk memilih kehidupan dunia, meningkat ke puncak malaikat dan melengkapkan diri dengan tiga ciri: Rabbaniah, insaniah dan menyebarkan kebaikan dan menentang kejahatan.

1. Rabbaniah bermaksud puasa anda semata-mata kerana Allah dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaranNya . Puasa anda dalam bentuk ini adalah rahsia antara anda dan Tuhanmu .. Di dalamnya mengandungi erti tajarrud dan ikhlas serta meninggalkan keperluan-keperluan fizikal. Siapakah yang mampu meraih tampuk dirinya dan memutuskan kehendak hawa nafsunya hingga berjaya menakluk musuh utama dirinya sendiri, iaitu nafsu yang berada di dalam dirinya?

“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.” (An-Naziat: 40-41)

Tanpa perubahan di dalam diri dan jiwa, pastilah keadaan umat tidak berubah:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11).

Dan kemudian seorang penyair pernah menyebutkan:

“Terimalah jiwa sendiri dan lengkapkan segala kelebihannya
Kerana anda hidup dengan jiwa (nyawa) bukan dengan tubuh manusia.”

Puasa adalah madrasah tarbiah rohani; di mana para salaf agung menjadikan Ramadhan sebagai daurah (kursus) iman bagi ruh insan dan sekolah khas bagi tarbiah nafsu atau jiwa. Mereka membebaskan diri daripada kehendak-kehendak fizikal dan meninggalkan keinginan material yang boleh merantai ruh dengan belenggu yang ketat dan menghalang hati manusia untuk meningkat ke puncak  malaikat. Pada siangnya mereka berpuasa dan berzikir. Manakala pada malamnya mereka berqiam, bertilawah dan berfikir. Pandangan dan pemikiran mereka adalah pengajaran, pembelajaran dan inspirasi ..Percakapan mereka adalah al-Quran dan akhlak mereka adalah al-Quran .. Aishah ummul mukminin pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW, beliau berkata: "Bahawa akhlak baginda adalah al-Quran."

2. Insaniah (nilai-nilai kemanusiaan) dapat dicapai melalui puasa. Ianya berlaku dengan cara merubah diri, islah nafsu, menaik taraf mereka sehingga ke tahap rabbaniah dan mencapai takwa yang merupakan hasil daripada puasa. Kesan tersebut akan menghidupkan perasaan dan nurani, menyucikan jiwa serta mencetuskan pancutan kelembutan dan keghairahan yang mendorong kepada kemurahan hati dan sanggup berkorban serta menggemari kebaikan dalam nilai-nilai kemanusiaan. Begitulah Nabi kita merupakan orang yang paling pemurah dan lebih pemurah pada bulan Ramadan! Dan begitulah juga puasa menemukan golongan kaya dan miskin di dalam nilai kemanusiaan yang satu.

Bulan Ramadhan adalah bulan rangkaian sosial, mendahulukan kebajikan dan menggembling kebaikan. Semua ini antara faktor kesatuan, kecintaan dan kasih sayang. Semua ini sangat diperlukan oleh umat Islam dalam rangka melakukan perubahan seperti yang berlaku sekarang di rantau Arab dan Islam.

3. Menyebarkan kebaikan dan menentang kejahatan dan kebatilan. Ini adalah tujuan kebangkitan umat ini:

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat anusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baaik dan melarang daripada segala perkarayang salah, serta kamu beriman kepada Allah.” (Ali-Imran: 110)

Bukanlah Ramadhan sekadar bulan untuk menanamkan pengetahuan tentang Al-Quran dan perlaksanaan sifat ihsan sebagai perlaksanaan amali kepada matlamat dan objektif ini.

Takwa merupakan rahsia perubahan dan asas kebangkitan

Takwa adalah hasil puasa:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Kita tidak diperintahkan oleh Allah untuk beribadah melainkan hanya untuk mencapai takwa:

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.” (Al-Baqarah: 21)

Malah Allah telah mewajibkan perlaksaan qisas adalah untuk tujuan takwa:

“Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 179).

Takwa ialah melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan. Oleh itu orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang melihat Allah seperti yang diarahkan dan tidak mendahulukan apa dilarang. Orang-orang yang bertakwa juga mengiktiraf, mengetahui dan menegakkan kebenaran, menolak kebatilan dan menjauhinya serta takut kepada Rabb al-Jalil yang tiada satupun yang tersembunyi dariNya.

Orang-orang yang bertakwa adalah orang beramal berdasarkan Kitab Allah di mana mereka mengharamkan apa yang telah diharamkan dan menghalalkan apa yang telah dihalalkan. Mereka tidak mengkhianati amanah, tidak rela menerima penghinaan dan perlecehan, tidak membenci dan memutuskan perhubungan, tidak memudaratkan jiran-jiran, menyambung persahabatan dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang orang yang pernah menghalang mereka dan memaafkan orang-orang yang pernah menzalimi mereka. Kebaikan bagi mereka adalah perkara yang diharapkan dan kejahatan bagi mereka adalah perkara yang selamat. Mereka tidak mengata, tidak berbohong, tidak berpura-pura, tidak mengadu-domba dan tidak berhasad dengki. Mereka tidak menunjuk-nunjuk, tidak bingung dan tidak menfitnah. Mereka tidak menyuruh kepada perkara buruk dan tidak melarang perkara baik, bahkan mereka sentiasa menyuruh kepada perkara baik dan melarang segala perkara yang buruk. Itulah sifat orang yang benar-benar bertakwa yang takut kepada Tuhan yang mengetahui perkara yang ghaib. Mereka sepanjang masa dalam ketakutan.

Antara kesan puasa kepada golongan salaf  ialah terdapat tanda takwa yang anda boleh lihat melalui kekuatan dalam agama, ketegasan dalam kelembutan, kepercayaan dalam keyakinan, kesungguhaan dalam ilmu, pengetahuan dalam kesopanan, kemuliaan dalam kekayaan, kekhusyukan dalam ibadah, ketabahan dalam kemiskinan, kesabaran dalam kesulitan, keinginan dalam perkara halal, kecergasan dalam petunjuk dan berlepas dari sifat tamak.

“Takutlah kepada Allah dan janganlah anda meninggalkannya
Kerana takwa ialah yang paling berkuasa, paling utama dan paling tepat”

Wahai umat Islam di mana-mana .. Wahai manusia sekalian:

Dalam seluruh syariat Islam bertujuan membebaskan jiwa umat Islam dari ketamakan, hawa nafsu dan keinginan, menghubungkan jiwa mereka kepada Allah Pencipta alam semesta dan kehidupan ini, mengikat kemahuan mereka dengan kemahuanNya sahaja, Allah sahaja yang benar, Allah jualah petanda kebaikan, kasih sayang dan belas kasihan. Oleh itu, orang yang menyukai kebenaran dan seterusnya cenderung menyukai kebaikan dan belas kasihan, maka dia  bebas dari semua sifat-sifat mazmumah (tercela). Mereka adalah orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT dengan kurnianNya sepertimana sabda Rasulullah SAW (bermaksud):

"Sesungguhnya Allah mempunyai segolongan hamba yang diberikan keistimewaan untuk memenuhi keperluan manusia, mereka menyukai manusia dalam kebaikan dan manusia juga menyukai kebaikan untuk mereka. Mereka adalah golongan pengaman ketika manusia ketakutan. "

Jikalau manusia mesti dikuasai oleh idea, kecenderungan atau perilaku, maka orang yang diasuh dan dipimpin supaya menyukai kebenaran lebih baik dan mulia daripada orang yang diperhambakan kepada kebatilan. Orang yang jiwa mereka diisi supaya suka untuk cenderung kepada nilai kemanusiaan yang mulia, sumbernya berasal daripada Allah SWT, maka adalah lebih mulia daripada orang yang diperhambakan untuk cenderung kepada syahwat dan keinginan yang bersumber daripada. Orang yang tunduk kepada Allah, mematuhi perintah dan meninggalkan laranganNya lebih baik, sempurna dan bijak daripada orang yang tunduk kepada syahwat dan nafsu. Malah Rasulullah SAW telah menyebutkan hal ini:

"Orang yang menjual akhirat untuk mendapatkan habuan dunia adalah orang yang bodoh. Orang paling bodoh ialah orang menjual akhirat untuk mendapatkan habuan dunia orang lain. "

Namun wahai saudaraku, tidakkah anda lihat bahawa mereka berhak mendapat belas kasihan dan keprihatinan anda, lebih utama daripada rasa tidak puas hati dan kemarahan dalam dirimu?

Mereka yang berusaha untuk memberikan kebebasan kepada manusia paling besar di sisi Allah dalam ibadah. Mereka ini tidak diperhambakan dengan kekayaan, tidak dikawal oleh nafsu dan syahwat, tidak diperhinakan dengan harta. Keseronokan tidak menghilangkan kemuliaan diri mereka, ketamakan dan kesedihan tidak menghina maruah mereka, ketakutan dan kepanikan  tidak menguasai diri mereka. Jelasnya ibadah kepada Allah telah membebaskan mereka dari perasaan takut selain-Nya:

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (Yunus: 62-64)

Benarlah kata-kata Rasulullah yang pernah bersabda (bermaksud):

" Barangsiapa yang takutkan Allah, maka segala perkara akan dijadikan Allah takut kepadanya. Barangsiapa yang tidak takutkan Allah, maka Allah akan menjadikannya takut kepada segala perkara. "

Dalam penyembahan kepada Allah, mereka telah memutuskan daripada semua ketundukan kepada selain-Nya. Maka, mereka adalah ketua pada diri sendiri, merdeka pada hakikat sebenarnya,kemuliaan pada akhlak mereka dan kekayaan dalam hati mereka. Inilah kebebasan dan kemerdekaan yang terbesar. Benarlah sabda Rasulullah SAW bermaksud:

" Bukanlah kekayaan itu dikira daripada harta yang banyak, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa "

Juga bersabda Rasulullah SAW:

"Barangsiapa yang telah menjadikan cita-citanya hanya cita-cita yang satu, iaitu Allah dan akhirat, maka Allah telah menjadikan kekayaan di dalam hatinya dan dunia baginya hanyalah kehinaan dan kebenciaan. "

Betapa indah pandangan Ibn Ata’illah:

“Anda merdeka selagi anda memutuskan angan-angan, dan anda menjadi hamba selagi anda tamak!

Dengan pengertian ini, fahamilah kata-kata hikmah yang dituturkan oleh Ahmad Bin Khaddroah:

"Melalui kemerdekaan akan menyempurnakan penyembahan, Dalam mencapai penyembahan akan menyempurnakan kemerdekaan."

Wahai umat Islam ..

Sesungguhnya orang Islam yang menegakkan syiar-syiar agama dan memelihara ibadat-ibadat yang difardukan kepadanya akan menjadi orang yang lebih menyayangi orang-orang di sekelilingnya, sanggup mencurahkan kebaikan untuk mereka kerana taatkan Allah dan bertaqarrub kepada-Nya, berjaga malam untuk memberikan mereka kerehatan demi mengharapkan keredhaan Allah. Rasulullah menyatakan orang Islam ini sebagai:

 " Beliau menyatukan dan disatukan."

Malahan Rasulullah menyatakan lagi:

 "Tiada kebaikan orang yang tidak menyatukan dan tidak boleh disatukan."

Kerana sabdanya:

 "Orang yang paling baik ialah orang paling bermanfaat untuk orang lain. "

Antara sifatnya yang lain ialah menghentikan kejahatan dan kesusahan ke atas orang lain kerana takutkan Allah dan gerun kepada balasannya. Justeru, Pengawalan ini lebih penting dan berkuasa daripada pengawalan undang-undang dan kekuasaan. Ianya seperti yang anda lihat ke atas orang sangat setia terhadap tanah airnya, berkorban dalam berbakti dan bekerja secara berterusan dan bermutu dalam agenda pembangunannya. Begitu juga anda dapati orang yang bersegera dalam mempertahankan umatnya, membela tanah airnya dan menawarkan pengorbanan demi Negara dan bangsanya.

Wahai umat Islam ..

Berbanggalah dengan agammu, dan beramallah dengan bersungguh-sungguh untuk Islam hingga berkibar panjinya, supaya mereka mendapat nikmat kebebasan, keadilan sosial, kasih sayang dan persamaan. Juga supaya mereka merasa aman dan selamat di tanah air mereka. Dunia menjadi damai dan tenang mahupun menghilangkan keperitan peperangan dan penyeksaan. Keamanan dinikmati di seluruh alam dan kepada semua manusia tanpa mengira perbezaan warna, bangsa atau kepercayaan. Di samping mendatangkan kebaikan yang lain iaitu Allah membuka pintu-pintu kebaikan dari langit dan bumi untuk anda:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Al-A’raf: 96)

Akhirnya kami mengucapkan tahniah kepada semua umat Islam di atas ketibaan Eid al-Mubarak yang merupakan hari kemenangan setelah tamatnya ibadah. Namun ibadah kita sentiasa menjadi tanda syukur di atas kesempurnaan nikmat dan sebagai hadiah di atas amal-amal yang terbaik. Tangan dan hati kita saling bersalaman sambil memohon kepada Allah supaya jangan membiarkan Ramadhan akan datang melainkan Allah telah meneguhkan kedudukan agama yang diredhai untuk mereka, memberikan kebebasan di tanah air mereka, memberikan kepimpinan di negeri mereka, membebaskan daripada penjagaan selain mereka dan meninggikan panji Islam supaya berkibar di negeri-negeri Islam.

“Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf: 21)


http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=117270

Friday, August 24, 2012

Hamba Rabbani Bukan Hamba Ramadhani





Oleh: Dr. ‘Isam al-‘Iryan

Ramadhan telah pergi seolah-olah seperti tetamu yang pulang dan kita tidak merasai kunjungan yang lebih hangat dan indah dari tetamu istimewa ini. Kini tibalah kita merayakan kegembiraan yang pertama kepada orang-orang yang berpuasa. Sabda nabi:

Bagi orang yang berpuasa akan memperolehi dua kegembiraan di mana kegembiraan yang pertama ialah semasa berbuka akan merasa gembira dan kedua apa bila bertemu dengan Allah dengan sebab puasanya”. (Bukhari)

Kegembiraan pertama

Iaitu hadiah kemenangan kepada orang berpuasa setelah menyempurnakan amalan mereka dengan baik dan penuh ihsan. Lalu mereka layak menanti ganjaran daripada Allah dan keluar ke masjid untuk menunaikan solat Eidul Fitri dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Para malaikat menemui mereka di sepanjang jalan ke masjid dan surau untuk mengucapkan tahniah dengan berakhirnya bulan Ihsan dan qiam. Mereka saling mengucapkan tahniah antara satu samal lain dengan penerimaan anugerah dariAllah yang bersifat Rahman. Mereka tidak lupa pada hari bahagia ini untuk memberikan kegembiraan kepada orang-orang fakir dan miskin sebelum mereka keluar menunaikan solat Eidul Fitri. Mereka mengeluarkan zakat fitrah untuk membersihkan puasa mereka daripada kekurangan dan memberikan kebahagiaan ke dalam hati orang-orang miskin supaya semua lapisan masyarakat turut merasai kemeriahan Eid Mubarak.

Bagi kita orang Islam sambutan Eidul Fitri diisi dengan takbir, tahlil dan zikrullah seperti sebagai pujian dan kesyukuran kerana memberi peluang kepada kita melaksanakan ibadah puasa yang merupakan salah satu rukun Islam yang agung. Slogan semasa Eid ialah تقبل الله منَّا ومنكم dan laungan kita ialah الله أكبر. Perasaan kita semasa Eid dipenuhi suatu kegembiraan yang diiringi keazaman untuk berpindah dari ketaatan kepada ketaatan yang lain.

Justeru kita merayakan Eid Mubarak dengan menunaikan solat dan merapatkan silaturrahim dengan jiran tetangga, sanak saudara, rakan dan taulan. Bukanlah kita sekadar bergembira dengan pakaian baru, hidangan kuih muih dan bukan sekadar melalui infak dan sedekah kita itu sahaja.

Kegembiraan kedua

Iaitu kegembiraan orang mukmin semasa bertemu dengan Allah. Bagi orang mukmin yang menempuh Ramdhan demi Ramadhan tentu telah memperolehi bekalan setiap Ramadhan untuk dibawa ke bulan-bulan yang lainnya supaya ia benar-benar menjadi seorang hamba yang rabbani dan bukan seorang hamba Ramadhani seperti yang pernah dipesankan oleh para salaf as-soleh.

Puncak kegembiraan orang berpuasa ialah ketika di hadapan pintu Ar-Rayyan yang dibuka untuknya di hari Kiamat nanti dan melaikat akan memanggil orang-orang yang berpuasa supaya masuk dari pintu yang dikhususkan untuknya.

Puncak kegembiraan orang berpuasa juga ialah ketika puasa dan al-Qur’an akan memberi syafaat untuknya dari sisi Allah. Puasa berkata: Ya Tuhan, orang ini menahan dari makan dan minum pada siang hari. Qiam berkata: Ya Tuhan, orang ini menahan dari tidur pada waktu malam. Kedua-duanya merayu kepada Allah yang bersifat Rahman dan syafaat kedua-duany telah diterima Allah. Lalu orang-orang yang berpuasa masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah dan kurniaNya yang besar yang telah dipilih di kalangan hamba yang berpuasa dan mendirikan qiam.

Puncak kegembiraan orang yang berpuasa juga ketika dirinya tergolong dalam orang yang diampunkan dosa-dosa yang terdahulu setiap tahun dan kunjungan Ramadhan tahun demi tahun menghapuskan segala kesalahan dan kejahatan masa lalu. Lalu dirinya bertemu Allah dalam keadaan dosa yang telah terampun. Benarlah sabda nabi saw:

“Solat lima waktu ke solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan berikutnya menghapuskan kesalahan-kesalahan yang terjadi di antara masing-masing selagi kesalahan syirik dijauhi”. (Muslim)

Benar anda telah menjadi hamba yang rabbani dan bukan hamba Ramadhani.

Benar puasa telah meninggalkan kesan dalam mengubah kebiasaan dan tingkah laku muslim dan muslimah kerana puasa telah menukar peribadi yang lalai dan tenggelam dengan maksiat menjadi seorang yang bertaubat dan insaf diri.

Benar seorang hamba keluar dari madrasah puasa selepas 30 hari dengan suatu penyaksian yang melayakkannya memperolehi kegembiraan besar pada hari bertemu dengan Allah.

Tanda sebagai hamba rabbani

- Sentiasa mendampingi Allah, berterusan dalam ibadah dan tidak terputus daripada amal soleh.

-Sentiasa menjaga solat berjamaah di masjid tanpa mencuaikan dalam solat-solat fardunya.

-Sentiasa memastikan hubungan dengan al-Quran dan tidak memisahkannya pada bulan-bulan selepas ramadhan. Berhati-hati dari tenggelam bersama mereka yang meninggalkan al-Quran seperti peringatan Allah kepada nabi saw tentang mereka:

“Dan rasul berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran itu diabaikan”. (Al-Furqan: 30)

Seandainya mahu membuat persediaan untuk Ramadhan akan datang, maka seorang itu hanya akan merasai kemanisan al-Quran dan kesannya ke dalam hati jika ia mengambil bekalal-Quran lebih awal dengan membaca, menghafaz, mentadabur, memperhatikan maknanya. Justeru sepanjang tahun digunakan untuk mempelajari al-Quran, membaca, mentadabur dan mengulangkaji tafsirnya hingga dadanya terbuka tatkala membaca beberapa ayat atau mendengar bacaan al-Quran.

-Tidak terputus daripada melakukan puasa sunat antara dua Ramadhan. Di sunatkan puasa di bulan Syawal seperti yang dinyatakan oleh nabi saw apabila seorang hamba mendirikan puasa Syawal selepas Ramadhan ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun. Ini kerana satu hasanah menyamai sepuluh gadaan. Jumlah hari puasa ialah 36 hari bermakna seolah-olah setahun jikalau digandakan dengan sepuluh.    

Rentetan dari itu sepanjang tahun tersedia kurniaan Allah kepada orang berpuasa. Oleh itu ia bergembira dengan ketibaan 10 hari awal dari bulan Zulhijjah yang terdapat sebaik-baik hari untuk beramal soleh seperti yang dinyatakan oleh nabi saw. Pada penghujungnya terdapat hari yang paling utama “Hari Arafah” di mana ganjaran puasanya menghapuskan dosa dua tahun iaitu setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang. Jikalau seorang hamba berjaya memperolehi Malam Lailatul Qadr pada bulan Ramadhan yang merupakan sebaik-baik malam dan diikuti Hari Arafah dan berdoa kepada Allah sambil memuji dan berthamid kepadaNya, maka seluruh usianya benar-benar berada dalam ketaatan kepada Allah.

-Sentiasa berpuasa sunat tanpa terputus seperti puasa hari Asyura’, puasa hari-hari putih setiap bulan hijrah, puasa isnin dan khamis setiap minggu sehingga puasa baginya telah menjadi satu kebiasaan.

-Sentiasa bersifat belas ihsan kepasa fakir dan miskin dengan mengkhususkan sebahagian dari pendapatan anda untuk bersedekah. Tidak cukup sekadar mengelurkan zakat harta sahaja. Kamu mengambil berat penyaluran sedekah ke tempat dan sasaran yang betul iaitu keluarga miskin, rumah anak-anak yatim, pelajar dan penuntut.

-Sentiasa mengekalkan hubungan persaudaraan, tali silaturrahim dan menziarahi saudara dan jiran tetangga serta mengambil berat cabang-cabang iman.

Inilah insan rabbani yang keluar dari “Madrasah Ramadhan” dengan cemerlang. Seandainya kita Berjaya mengubah jiwa setiap tahun dan memperolehi ‘kemahuan’ beramal soleh, maka kita akan menukar kehidupan sepanjang tahun seumpama Ramadhan. Namun Ramadhan tetap kekal istimewa yang tidak boleh disaingi oleh mana-mana hari atau bulan dalam setahun kerana Allah telah memberi suatu keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain di mana siang dan malamnya mengandungi rahsia yang besar yang tidak mungkin kita ketahui. Di sini kita menyeru orang-orang yang beribadah kepada Allah di bulan Ramadhan kemudian terputus ibadah mereka setelah berakhir bulan puasa yang agung supaya meneruskan apa yang telah mereka lakukan di bulan Ramadhan..Teruskan dengan amalan soleh.

Kita mohon kepada Allah memandang kita dengan pandangan rahmat dan kasih sayang, memberi kita kesihatan dan memanjangkan umur kita sehingga dapat bertemu Ramadhan pada tahun akan datang. Kita berazam bersungguh-sungguh membawa sebanyak-banyak bekal untuk bertemu Allah supaya kita memperolehi kegembiraan bersama orang-orang yang bergembira ketika bertemu Allah nanti.

Setiap tahun anda dalam kebaikan. Taqabballahu minna wa minkum. Selamat Hari Raya Edul Fitri. Dari ketaatan kepada ketaatan sehingga kita menemui Allah.

http://zadud-duat.blogspot.com/2010/09/hamba-rabbani-bukan-hamba-ramadhani.html
 

Ucapan Tahniah dari Pimpinan Ikhwan sempena Eid Mubarak



Oleh: Ahmed Jundy

Sambutan Eid Mubarak bagi umat Islam dengan kemeriahan dan kegembiraan berbeza dari sambutan-sambutan yang lain, kerana Eidul Fitri di dalam Islam bukan sekadar mempunyai nilai-nilai kemasyarakatan yang menghubungkan umat Islam antara satu sama lain, tetapi sebagai ketaatan dan ibadah yang mendekatkan dengan Allah. Bahkan hari Eid Fitri al-mubarak ialah hari kemenangan, di mana Allah telah menyempurnakan pahala dan ganjaran untuk orang-orang Islam yang berpuasa dengan penuh ketaatan sepertimana orang-orang Islam sampai pada hari Eidul Fitri dengan penuh ketaatan dan ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.
Bagi saya sambutan Eidul Fitri mempunyai banyak nilai-nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan kerana semasa Eid manusia bertemu dan saling bertaut hati-hati yang menghasilkan kasih saying dan kemesraan dan saling bersalaman antara satu samal lain. 

Begitu juga semasa Eid mengingatkan kita hak orang-orang miskin di dalam masyarakat Islam supaya kegembiraan turut dirasai oleh semua golongan . Inilah tujuan syariat seperti zakat fitrah semasa Eidul Fitri ini.
Adapun nilai kemanusiaan di hari Eidul Fitri terbukti di dalam penyertaan umat Islam keseluruhannya dengan merasai kegembiraan dan keriangan pada masa yang sama. Ini kerana jelas kesatuan mereka dan banyaknya perhimpunan dan pertemuan mereka. Apabila umat Islam bertemu dengan perasaan yang sama akan menguatkan ikatan pemikiran, semangat dan kemasyarakatan.

Hari Eid ialah hari keriangan dan kegembiraan bahkan orang-orang mukmin berhak menikmati kegembiraan di dunia dan akhirat kerana Allah memberi kelebihan kepada mereka dengan satu perlindungan berdasarkan firman Allah: 

“Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". (Yunus: 58)

Barisan pimpinan ikhwan amat menekankan ucapan tahniah kepada saudara-saudara mereka dan umat Islam seluruhnya setiap kali Eidul Fitri sebagau suatu cara untuk menguatkan hubungan silaturrahim dan ikatan pemikiran,semangat dan kesatuan antara mereka dan saudara-saudara mereka yang lain.

Dr.Rasyad Bayoumi

Beliau yang juga Naib Mursyid Am berkata: “Sempena hari bahagia saya ingin mengucapkan tahniah dengan ketibaan Eidul Fitri yang mulia dengan memohon Allah Taala mengembalikan kemuliaan dan kemenangan kepada mereka, dan mencapai impian mereka dan menerima amal soleh mereka. Beliau mengkhususkan ucapan kepada  saudara-saudara yang berada di sebalik jeriji dengan mengucapkan tahniah dan selamat sambil memohon Allah mengembalikan mereka dalam keadaan selamat dan sihat kepada keluarga mereka serta membahagiakan keluarga dengan kepulangan mereka. 

Dr. Muhammed Morse

Dr. Muhammed Morse anggota Maktab Irsyad dan jurucakap resmi mengucapkan tahniah dengan nama kesatuan umat Arab dan Islam bersempena Eidul Fitri al-Mubarak sambil memohon Allah mengurniakan kemenangan kepada ummah, membebaskan bumi Iraq daripada penjajahan terkutuk, menamatkan kepungan yang kejam ke atas Gaza, melumpuhkan Zionis dan sekutunya, Allah memuliakan para pejuang, mengembalikan Masjidil Aqsa, menyatukan perjuangan rakyat Palestin sehingga permasalahan mereka dapat diselesaikan, bagi membebaskan tanah air mereka dan menghadapi musuh mereka dan musuh kita sedangkan di belakang mereka ialah rakyat yang berkorban demi mendapatkan hak-hak mereka sambil melaungkan “Berdiri teguhlah dan bersabarlah, kuatkan ikatan kamu..wahai saudara kami di Gaza”.

Dr. Morsey turut berpesan kepada Ikhwan di semua tempat, di mana mereka telah mengemblingkan tenaga di jalan dakwah sambil memohon Allah menerima amalan, waktu dan pengorbanan mereka. Beliau berkata: “Ketahuilah bahwa kamu dengan kurniaan Allah berada di atas kebenaran dan kita wajib mengorbankan segala yang bernilai dan seluruh jiwa demi kemaslahatan akidah dan tanah air kita. Semoga Allah meneguhkan kamu dan kita semua di atas kebenaran serta mengurniakan kebaikan di dunia dan akhirat..

Begitu juga beliau turut mengucapkan tahniah dan salam buat Ikhwan yang dikurung khasnya yang dipenjarakan oleh undang-undang tentera yang kejam. Mangsa yang paling utama ialah Ir. Khirat Syatir, naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin dan seluruh anggota Ikhwan yang lain dengan menegaskan bahwa mereka adalah golongan yang paling mulia di sisi Umat Islam biarpun undang-undang menzalimi mereka kerana kuasa Allah mengatasi tujuh petala langit di mana Allah pasti akan menghukum dan membalaskan kekejaman mereka. Segala pengorbanan mereka pada jalan meninggikan panji kebenaran dan pengislahan sekali-kali tidak akan lenyap. Mereka sebenarnya berdagang dengan Allah
dengan jiwa dan harta mereka. Dengan izin Allah perniagaan mereka tidak akan sia-sia. 

“Sesungguhnya Allah Telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu Telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang Telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar”. (At-Taubah: 111)

Dr. Morsy berpesan kepada mereka yang menjadi tawanan dengan menegaskan bahawa ganjaran mereka dilipat gandakan insya Allah. Mereka adalah contoh pengorbanan, sumbangan dan ketaatan kepada apa yang diredhai Allah sambil mendoakan mereka supaya Allah meneguhkan pendirian mereka dengan menegaskan bahwa tahanan ini merupakan teladan dalam keteguhan, pengorbanan dan kesabaran di atas kesukaran dan ujian, bahkan mereka mempamerkan contoh kepada orang yang bekerja untuk Islam dan orang yang membela Islam. Mereka akan dibalas oleh Allah di atas apa yang menimpa mereka. 

Beliau mengatakan kepada mereka: “Kami pada hari yang mulia ini menyampaikan khabar gembira kepada kamu di atas kesabaran dan keteguhan kamu dengan ganjaran dan pahala di dunia dan akhirat, kerana sesuatu kezaliman adalah kegelapan yang pekat biarpun panjang tetap akan lenyap dan musnah sedangkan fajar kebenaran tetap akan menyingsing tidak lama lagi. Begitulah kehendak Allah yang Maha Perkasa. Firman Allah: 

"Dalam sedikit waktu lagi pasti mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal." (Al-Hajj: 40)

Dr. ‘Issam ‘Iryan

Dr. ‘Issam anggota Maktab Irsyad turut memberi perutusan tahniah kepada mereka yang berpuasa yang melaksanakan ibadah puasa, qiam dan bersungguh-sungguh beribadah dan mendekatkan diri dengan Allah. Beliau memberikan tahniah khusus untuk ikhwah yang dikasihi yang berada di balik jeriji yang telah diperlakukan melalui undang-undang zalim yang telah merampas kegembiraan mereka dan keluarga mereka sempena Eid Mubarak ini sambil mendoakan supaya Allah memberikan kegembiraan di dalam tahanan, membebaskan mereka dan seterusnya bergembira merayakan Eidul Fitir bersama keluarga tersayang.
Beliau turut menambah bahawa Eidul Fitri adalah kegembiraan buat semua muslin yang tidak dicemari melainkan oleh darah-darah umat Islam yang mengalir di Somalia, Iraq dan Afghanistan, sama ada akibat tangan musuh atau tangan kumpulan-kumpulan tertentu yang kita tidak tahu siapakah disebaliknya, sambil memohon kepada Allah supaya menyempurnakan kegembiraan kita dengan pembebasan negeri-negeri Islam seluruhnya. 

Beliau turut mengucapkan tahniah khusus kepada Ikhwan Muslimin sambil mengharapkan Allah mendatang Eid yang akan dating dalam keadaan mereka lebih teguh keazaman dan tekad untuk melaksanakan syariat Allah, berjalan di atas landasan kebenaran dan membawa kebaiakan kepada semua manusia.

Dr. Muhammad Ali Basyar

Dr. Muhammad anggota Maktab Irsyad mengucapkan tahnia kepada Ikhwan yang berada di balik jeriji seperti Ir. Khirat Syatir, Hassan Malik, Shadiq Syarqawi, Ahmaed Syausyah dan Ahmad Asyraf sambil memohon Allah agar membebaskan mereka secepat yang mungkin dan juga semua saudara-saudara islam yang lain.


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ikhwan Muslimin di seluruh dunia dengan mendoakan supaya meneguhkan agama ini dan membuka pintu hati sehingga kebaikan dan kebahagan tersebar di segenap ceruk kampung dan bandar kerana agama ini membawa penawar yang mampu mengubati penyakit yang melanda dunia hari ini.


Beliau juga berpesan kepada Ikhwan supaya menjaga hubungan dengan Allah, sentiasa membaca al-Quran, berdoa supaya Allah mengangkat segala bencana dan petaka yang melanda kita dan seterusnya Allah mengembalikan kedudukan umat Islam ke tempat yang tertinggi.
 
Sumber: http://zadud-duat.blogspot.com/2010/09/ucapan-tahniah-dari-pimpinan-ikhwan.html
 
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template