Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Wednesday, September 7, 2011

FJP Bidas Laporan PBB yang Mewajarkan Serangan Israel ke Atas Kapal Bantuan Kemanusian; Seru ICJ untuk Menyiasat

Isnin, 5 September 2011

Naib Presiden Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP), Dr. Essam El Erian mengkritik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyiasat, awal musim panas ini, serangan tentera laut Israel terhadap kapal bantuan di kawasan perairan antarabangsa, yang membunuh sembilan rakyat Turki, termasuk seorang remaja Turki-Amerika, dan mencederakan lebih 40 yang lain di atas kapal Mavi Marmara Mei 2009 lepas.

El-Erian mengecam laporan yang mendakwa Israel mempunyai hak untuk melindungi sempadannya tetapi mengabaikan tragedi yang dipaksa ke atas 1.5 juta orang awam Gaza termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak yang hidup di bawah sekatan Israel.

El Erian juga menyokong seruan Turki yang mendesak Israel untuk membuat permohonan maaf secara rasmi atas tindakan mereka, membayar pampasan yang sesuai kepada keluarga mangsa, dan mengangkat kepungan ke atas Gaza.

Beliau menggesa negara-negara Arab dan Islam dan kerajaan-kerajaan dunia bebas untuk menyokong pelan Turki untuk membawa serangan Israel ke atas Flotilla dan kepungan ke atas Gaza ke muka pengadilan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

"Seluruh dunia perlu mengorak langkah untuk mendedahkan tindakan Israel yang menyalahi undang-undang, dan tidak dipengaruhi oleh AS dan Israel, yang sentiasa cuba untuk menjustifikasikan pencerobohan Israel."

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=29007

Monday, August 29, 2011

Mursyidul Am IM Bincang Isu Perdamaian Palestin dengan Wakil Hamas



Jumaat 19 Ogos 2011

Mursyidul Am IM, Dr Mohamed Badie telah mengadakan pertemuan dengan wakil Hamas yang diketuai Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Mashaal di ibupejabat IM pada hari Rabu lalu.

Di dalampertemuan itu, antara perkara-perkara yang dibincangkan adalah hubungan dua-hala antara kedua-dua pihak terutamanya selepas Revolusi 25 Januari, dan isu perkembangan Palestin, terutamanya hubungan damai di antara Hamas, Fatah, dan kumpulan-kumpulan politik lain.

Selain Pengerusi IM, wakil-wakil Hamas yang di antaranya termasuklah Mousa Abu Marzouk, Samy Khater, Mohamed Nasr, dan Nazar Awad Allah turut bertemu dengan ahliMaktab Irshad IM termasuklah Khairat AlShater, Dr. Mahmoud Ezzat, dan Gomaa Ameen.

Mursyidul Am IM telah menyampaikan cenderahati  yang mengandungi simbol IM kepada pemimpin Hamas.

Tuesday, August 23, 2011

IM dan FJP dekati Rakyat Mesir Ketika Ramadhan



Jumaat, 12 Ogos,2011 16:04

Bulan Ramadhan yang mulia ini telah menyaksikan pelbagai aktiviti-aktiviti komuniti selain jamuan jamuan berbuka puasa dijalankan oleh kedua-dua IM dan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP).

Antara aktiviti-aktiviti tersebut termasuklan seminar, persembahan, perbincangan, dan pertandingan sukan. Program-program ini dibuka kepada orang ramai untuk menjalinkan hubungan dengan masyarakat dari pelbagai latarbelakang.

Ribuan majlis telah diadakan di seluruh Mesir untuk meraikan pelajar-pelajar cemerlang, di mana mereka diberi hadiah di atas kecemerlangan mereka.

Upacara lain termasuklah aktiviti-aktiviti amal. Ini termasuklah pembukaan kedai-kedai amal yang menjual bahan makanan pada harga yang lebih rendah untuk mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi.

Konvoi pasukan perubatan manusia dan haiwan turut dijalankan untuk menolong mereka yang memerlukan. Setakat ini, lebih dari 22 pembedahan telah dilakukan, 17 pembedahan sedang dijadualkan, dan lebih dari 1300 pesakit telah dirawat.

Perlawanan bolasepak persahabatan dan pertandingan sukan turut diadakan.

Di Iskandariah, FJP telah menganjurkan kejohanan tersebut dengan kerjasama pemain-pemain bolasepak terkemuka termasuklah Mohamed Abu Treka, Captain Hady Khashaba, Hazem Emam, dan Kapten Nasr Club Nader elSayed.

48 pasukan atas 18 tahun dan 16 pasukan bawah 18 tahun akan berentap di dalam pertandingan tersebut yang dijadualkan bermula pada 10 Ogos. Setiausaha Pemuda parti, Mohamed Barquky memberitahu Ikhwanweb bahawa perlawanan-perlawanan akan bermula dari pukul 10 malam hingga 1 pagi. Selain itu, pertandingan seumpamanya akan turut diadakan di wilayah Qalubeya dan Beheira.

Aktiviti lain termasuklah pertandingan penyampaian sajak dan cerita pendek berkaitan revolusi Mesir yang telah berjaya menerapkan erti kebebasan, keadilan, patriotism, dan kerjasama.

Semua pertandingan-pertandingan yang dijalankan adalah bertujuan untuk mencari bakat-bakat baru dari semua bidang dan seterusnya menggunakan bakat-bakat mereka di jalan kebenaran.

Dalam bidang pembuatan filem, Jawatankuasa Media FJP telah menayangkan sedutan filem Selamat Datang Ramadhan dan beberapa filem-filem revolusi lain.

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28928

Sunday, August 21, 2011

IM Desak Mesir kaji semula Dasar Luar terhadap Israel selepas serangan di sempadan


Ahad, Ogos 21 2011

Berikutan serangan agresif Israel yang mengakibatkan kematian askar Mesir di sempadan, Ikhwan Muslimun mengeluarkan satu kenyataan pada hari Ahad menuntut supaya Duta Besar Israel diusir dari Mesir dan Duta Besar Mesir di Tel Aviv dipanggil balik. Kenyataan itu juga menggesa supaya perjanjian damai dikaji semula dan agar autonomi Sinai dipulihkan sepenuhnya.

Kenyataan itu menegaskan bahawa Mesir berbeza selepas revolusi, dan jenayah seperti itu tidak akan dibiarkan tanpa sebarang tindakan seperti yang mungkin berlaku di bawah rejim lepas.

Kenyataan IM itu memberitahu Israel bahawa mereka silap jika menganggap yang tentera Mesir terlalu sibuk dengan politik dalaman, atau jika kuasa-kuasa politik di Mesir begitu berpecah dalam pandangan mereka sehingga mereka akan membiarkan begitu sahaja sebarang serangan lanjut. Semua rakyat Mesir, tanpa mengira perbezaan ideologi, telahpun dan sentiasa akan bersatu sesama mereka dan juga dengan tentera, dan sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pencerobohan terhadap negara mereka. "Rakyat Mesir bersedia untuk melawan dan mempertahankan tanah air dan anak bangsa mereka," kenyataan itu menambah.

IM menolak kenyataan Setiausaha Negara AS, Hilary Clinton yang menggesa Mesir untuk mengawasi sempadannya, dan menyifatnya sebagai campur tangan yang tidak boleh diterima dalam hal ehwal Mesir. Ia menambah bahawa Mesir tahu bagaimana untuk melindungi tanah dan rakyatnya.

Mengakhiri kenyataan itu IM menyeru majlis tentera untuk menyerahkan kuasa secepat mungkin supaya ia boleh memberi tumpuan kepada peranan asalnya membentengi keselamatan negara, manakala pada pihak polis pula memikul tanggungjawab dalam melindungi dan memulihkan ketenteraman.

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28955

Wednesday, August 17, 2011

Ikhwan Muslimun Seru Puak-puak Palestin Bersatu

Jumaat, Ogos 12, 2011

Oleh Hussein Mahmoud

Dalam satu kenyataan mingguannya, IM menyeru semua puak Palestin mengenepikan perbezaan dan meletakkan kesejahteraan dan kepentingan negara mereka mengatasi segala-galanya.

Gerakan itu menggesa Hamas dan Fatah menghormati majlis perjanjian damai di antara mereka yang ditandatangani di Mesir pada awal tahun ini serta memulihkan semangat persaudaraan, perpaduan dan pengorbanan.

MB menegaskan bahawa walaupun berita yang tersebar menunjukkan tanda hubungan yang stabil, perdamaian yang sebenar hanya akan berlaku jika Fatah dibebaskan dari cengkaman tekanan asing, terutamanya AS dan Israel.

IM mengulangi bahawa usaha perdamaian lepas antara kumpulan-kumpulan Palestin telah berulang kali digagalkan oleh Condoleezza Rice dan percubaan terakhir antara Hamas dan Fatah pada hakikatnya dilihat oleh pentadbiran Obama sebagai satu ancaman kepada keamanan antara Palestin dan Israel.

http://ikhwanweb.com/article.php?id=28931

Tuesday, August 16, 2011

Ikhwan Muslimun Gesa Iran Tamatkan Sokongannya Kepada Rejim Syria



Jumaat, Ogos 12, 2011

IM menyeru Iran untuk menamatkan sokongannya terhadap kerajaan semasa Syria di tengah-tengah pertempuran ganas yang telah meletus sejak pertengahan bulan Mac yang mengakibatkan hampir 2000 mati dan 3000 hilang sejak konflik itu bermula.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan itu Rabu lepas menggesa negara-negara jiran untuk membangunkan strategi untuk merangka penyelesaian bagi menyelesaikan krisis dalaman di Syria dengan menyokong revolusi menentang kezaliman dan rasuah.

IM memuji langkah-langkah yang diambil oleh negara-negara Arab baru-baru ini, termasuk Bahrain, Kuwait dan Arab Saudi yang memanggil duta mereka dari Damsyik, dan menyeru kerajaan Mesir yang baru untuk memainkan peranan mereka serta menyokong rakyat Syria terhadap rejim diktator dan zalim Assad.

Langkah-langkah ini menunjukkan bahawa penyembelihan beramai-ramai rakyat Syria sama sekali tidak boleh diterima dan Syria akan kekal terpencil jika ia meneruskan keganasan ini, tambah kenyataan itu.

Mengakhiri kenyataannya, IM menambah bahawa keadaan telah menjadikannya sukar untuk membezakan antara tindakan tentera Syria dengan Angkatan Penakluk Israel yang secara terbuka mengamalkan penindasan, serangan ganas dan penumpahan darah sewenang-wenangnya terhadap rakyat yang bertindak aman.

http://ikhwanweb.com/article.php?id=28929

Monday, August 15, 2011

Parti Kebebasan dan Keadilan Jelaskan Hubungannya Dengan IM


Jumaat, Ogos 12, 2011

Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP – Freedom and Justice Party) mengeluarkan satu kenyataan yang menjelaskan hubungannya dengan IM. FJP menegaskan bahawa parti itu adalah sebuah organisasi bebas yang berkongsi latar belakang yang sama dengan Ikhwan. Bagaimanapun, parti itu mengambil bahagian dalam politik dan boleh bersaing untuk mendapatkan kuasa.

Kenyataan itu menambah bahawa IM merupakan tapak sosial utama bagi parti dan juga penyokong utamanya. Maka, tentunya wujud penyelarasan di antara parti dan Ikhwan dalam semua aktiviti sosial dan politik.

Parti itu juga akan mengadakan penyelarasan dengan MB semasa pilihan raya kerana penyokong IM mewakili blok pengundi bagi calon-calon FJP, tetapi tanpa mencabar kebebasan parti itu, kenyataan itu menyimpulkan.

http://ikhwanweb.com/article.php?id=28921

Friday, August 12, 2011

IM Pilih 3 Ahli Baru ke dalam Maktab Irshad di bawah Sorotan Media


Ahad 7 Ogos 2011

Ikhwan Muslimin telah mengadakan pemilihan dalaman terbuka buat julung kalinya selepas penyisihan Mubarak dari tampuk pemerintahan. Ini menggambarkan keinginan IM kepada ketelusan dan demokrasi di mana 3 ahli baru telah dipilih ke dalam Maktab Irshad menggantikan Dr Mohamed Morsy, Dr. Essam el Erian, dan Dr. Saad Katatny yang telah menyertai barisan pimpinan Parti Kebebasan dan Keadilan yang baru ditubuhkan. Pilihanraya diadakan ketika majlis berbuka puasa tahunan yang dianjurkan IM setiap Ramadhan.
Mursyidul Am Dr. Mohamed Badie menegaskan di dalam ucapannya di majlis tersebut bahawa pilihanraya terbuka yang mendapat liputan media ini menjadi simbol kebebasan yang dinikmati Mesir ketika ini, setelah Revolusi 25 Januari.

Dalam pemilihan pada hari sebelumnya (Sabtu), tiga ahli baru iaitu Abd El-Azim Abou Seif, Mohamed Ahmed Ibrahim, dan Dr. Hossam Abu Bakr telah terpilih ke dalam Maktab Irshad IM.

Detik bersejarah ini nyata menunjukkan perubahan dari keadaan di masa lalu, di mana IM diharamkan dari politik dan ahli-ahlinya terus-menerus menjadi sasaran tindakan pihak keselamatan.

Acara tersebut telah mendapat liputan meluas dari pihak media. Kehadiran Associated Press, CNN, AlHurra, AlArabiya Aljazeera, dan beberapa media lagi telah menjadi saksi lebih 100 ahli membuang undi ke dalam kotak undi lutsinar.

http://ikhwanweb.com/article.php?id=28910

Tuesday, July 12, 2011

Wacana Tarbawi oleh Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin


PDF Cetak E-mail  Share on MySpace
SHAH ALAM – Wacana Tarbawi anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia yang disampaikan Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum’ah Amin dihadiri lebih 2,000 orang yang memenuhi dalam dan luar Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam, Isnin 11 Julai 2011.
Wacana yang bertajuk “Tarbiah Ikhwan Muslimin dan Peranannya dalam Membangunkan Masyarakat” disampaikan oleh Syeikh Jum’ah dalam bentuk yang ringkas, mudah difahami dan meliputi seluruh aspek perubahan yang dilakukan oleh Ikhwan Muslimin dalam rangka membangunkan masyarakat.
Sebelum wacana, semua hadirin berdiri untuk menyanyikan lagu rasmi IKRAM dan Allah Ghayatuna dengan jemputan khas penyanyi rasmi, kumpulan Saff-One. Terjemahan wacana disampaikan oleh Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar dari JK Tarbiah IKRAM Pusat dan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dari JK Perhubungan Antarabangsa IKRAM Pusat.
Permulaannya, Syeikh Jum’ah menekankan bahawa Islam tidak akan tertegak dengan usaha individu, bahkan Islam tertegak dengan usaha secara kolektif iaitu dengan jamaah. Tanpa usaha secara kolektif, tidak akan akan tertegak syariat Islam secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan. Tambahnya, Islam bukanlah milik individu atau jamaah, tetapi Islam adalah milik setiap Muslim yang wajib diperjuangkan dan dibela oleh mereka.
Katanya, apa yang diperjuangkan oleh Ikhwan Muslimin mempunyai manhaj perubahannya yang tersendiri berasaskan aqidah, syariat dan akhlak antaranya memperjuangkan hubungan kasih sayang dan ukhuwwah sesama ahli supaya kasih sayang itu tersebar kepada masyarakat dan seluruh alam.
Seterusnya, Ikhwan Muslimin berjuang melahirkan umat yang berkorban dalam menegakkan Islam. Menurutnya dalam perjuangan Islam, sudah pasti ada halangan dan cabarannya daripada musuh Islam, yang memerlukan insan yang ditarbiah dan mampu menghadapi dan mengatasi halangan daripada golongan tersebut.
Beliau menegaskan di hadapan ribuan hadirin bahawa tarbiah yang dibawa oleh Ikhwan Muslimin kepada masyarakat adalah tarbiah ke arah tercapainya pengisian dua kalimah syahadah iaitu jalan yang lurus, bertitik tolak dengan cahaya berupa petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah, dan penghujungnya berakhir dengan syurga. Perubahan masyarakat yang ingin dilakukan mestilah dengan menggunakan pendekatan lemah lembut dan berakhlak mulia. Beliau menyebut kata hikmah Saiyidina Ali r.a. iaitu “Sesiapa yang lembut kata-katanya, maka wajiblah mencintainya.
Beliau menyorot kembali bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hassan Al-Banna di Mesir. Katanya, keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu amat menyedihkan ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.
Tambahan pula, kata beliau, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hassan Al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin lantaran untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam  dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka  untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.
Menurutnya, antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu mengubah diri sebelum mengubah masyarakat. Mereka yang mampu mengubah dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu mengubah masyarakat di sekelilingnya.
Untuk mengubah ummah katanya, perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah swt dengan membanyakkan amal yang medekatkan diri dengan Allah swt.
“Jadilah kamu hamba (Allah swt) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesannya.
Beliau mengambil contoh program perubahan diri yang dilakukan oleh Ikhwan iaitu Katibah, iaitu malam kerohanian melalui mendengar tazkirah (peringatan) pada malamnya, pada paginya qiyamullail dengan solat tahajjud, berzikir  dan membaca Al-Quran dengan penekanan tarbiah individu sebagai elemen perubahan.
Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah swt dengan membaca Al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Syeikh Jum’ah mengambil kata hikmah Saiyidina Abu Bakr r.a. kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.
Beliau menyeru hadirin supaya rapatkan diri kepada Allah dengan solat apabila ada masalah. Beliau juga menasihatkan supaya sebelum merancang dan berbincang apa-apa program dakwah, hendaklah berwuduk dan melakukan solat hajat supaya pendakwah itu ingat bahawa Allah sentiasa bersama mereka. Setiap masalah dan ujian dalam dakwah akan mudah dihadapi dengan mendirikan solat.
Beliau turut menggariskan usaha-usaha yang dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji  cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.
Syeikh Jum’ah turut berpesan supaya jangan kedekut masa dengan Allah swt dalam perjuangan Islam, jika kedekut, nescaya Allah akan ganti dengan kaum lain yang akan memperjuangkannya. Antara tanda Allah swt mencintai kita ialah Allah swt sentiasa memberi taufik kepada kita untuk taat kepada-Nya.
Beliau juga mengingatkan usaha para orientalis yang cuba memesongkan makna sebenar ayat-ayat Al-Quran daripada hati umat Islam supaya lahir individu Muslim yang cacat kefahamannya terhadap Islam yang sebenar. Menurutnya, orientalis cuba memomokkan bahawa isi kandungan Al-Quran adalah isi lama, tiada yang baru.
Beliau menambah, dalam membangunkan masyarakat, pentingnya pendakwah menunjukkan akhlak yang mulia yang merupakan kurniaan daripada Allah swt. Allah kurniakan akhlak seperti rezeki, berbeza antara satu sama lain. Dengan akhlak yang mulia, pendakwah itu akan dicintai oleh Allah swt.
“Allah swt memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah swt tidak memberi  agama  ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya,” akhir pesanan beliau.

Gambar Ehsan: Abu Ikram (Wan Abdullah Mujahid)

Rakaman Audio: http://www.4shared.com/audio/QYZu5Koe/Tarbiyyah_Ikhwan_dan_Perananny.html


http://ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=439:wacana-tarbawi-oleh-naib-mursyid-am-ikhwan-muslimin&catid=54:utama&Itemid=52

Saturday, July 2, 2011

Mursyidul Am IM Lantik Jurucakap Rasmi


Khamis 30 Jun 2011

Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am Dr. Mohamed Badie, IM telah mengesahkan pelantikan jurucakap rasmi IM seperti berikut:


• Naib Mursyidul Am Dr. Rashad Mohamed Bayoumi


• Naib Mursyidul Am Ustaz Jum’ah Amin Abdul Aziz


• Dr. Mahmoud Ezzat


• Eng. Khairat al Shater


• Setiausaha Agung Dr. Mahmoud Hussein


Jurucakap Media bagi Maktab Irsyad ialah Dr. Mahmoud Ghazlan

Wednesday, June 22, 2011

Pilihanraya Mesir Dedahkan Perpecahan di kalangan IM?

Selasa 21 Jun 2011


Media barat sering dihantui oleh teori “perpecahan dalaman IM” setiap kali perbezaan pendapat di dalam organisasi berkenaan diketahui umum.

Ini juga ternyata di dalam sebuah  artikel New York Times  mengenai keputusan Dr. Abdel Moneim Abul Fotouh bertanding  sebagai calon bebas di dalam pilihanraya presiden. Ini sekaligus membelakangkan keputusan sebulat suara Majlis Syura IM yang mengambil keputusan untuk tidak bertanding bagi memberi keutamaan kepada perpaduan nasional dan menumpukan kepada aktiviti  pengukuhan akar-umbi.  Natijahnya, IM melucutkan keanggotaan Dr. Aboul Fotouh, sebagai satu proses normal bagi mana-mana organisasi yang berwibawa bagi memastikan disiplin dan integriti di kalangan ahli-ahlinya.

Pengulas politik ingin mentafsirkannya sebagai tanda perpecahan di dalam organisasi dan tanda keruntuhannya. Padahal, ia sebenarnya mencerminkan kemantapan dan kekuatan IM yang membenarkan anggota-anggotanya (termasuk anggota kanan) bebas menyuarakan pandangan di khalayak ramai dan membuat keputusan selagi mereka sedar tentang natijah tindakan yang mungkin diambil terhadap mereka.


Apa yang sering gagal  difahami oleh pemerhati dan pengulas politik ialah  hakikat  kekuatan dan kemantapan IM tidak bergantung semata-semata kepada bilangan ahlinya yang ramai, tetapi pendirian teguh dan disiplin ahli-ahlinya. 




Friday, June 10, 2011

Maktab Irsyad IM bincang agenda masa depan


Jumaat 10 Jun 2011


Mesyuarat pertama Maktab Irsyad IM selepas Jawatankuasa Hal Ehwal Parti menerima penubuhan Parti Kebebasan dan Keadilan (PKK)  pada Rabu lepas telah membincangkan empat isu penting.


Perbincangan berkisar mengenai kaedah bagi memastikan kebebasan PKK dalam membuat keputusan politik dan pentadbiran.  Turut dibincangkan ialah bagaimana sokongan dan kerjasama di antara IM dan PKK dapat diwujudkan di wilayah-wilayah, termasuk memanfaatkan  pejabat IM di wilayah untuk kegunaan PKK.

Mesyuarat juga berbincang mengenai jadual pemilihan Majlis Syura bagi menggantikan Dr. Essam El-Erian, Dr. Mohamed Saad al-Katatni dan Dr. Mohamed Morsy yang telah meninggalkan kerusi mereka bagi memimpin PKK.


Senarai calon PKK bagi pilihanraya parlimen yang akan datang pada bulan September turut diteliti. Senarai bakal calon  telah disediakan melalui pemilihan dalaman di pelbagai bandar dan wilayah.   

Mesyuarat turut membincangkan cadangan dialog di antara IM dan Dewan Nasional untuk Perubahan (NAC). Dialog tersebut bertujuan untuk menubuhkan satu perikatan nasional dan senarai calon yang disepakati di dalam pilihanraya.

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28701

Monday, May 30, 2011

Pimpinan IM berforum di Malaysia awal Jun













Kuala Lumpur.  31 Mei.  Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) akan menganjurkan satu forum umum bertajuk: “Ikhwan Muslimin’s Role In Building A New Middle East” Sabtu depan. Penceramah yang dijemput terdiri daripada dua anggota kepemimpinan IM di Mesir dan Kuwait serta seorang pemimpin Islam Nusantara. 

Penceramah pertama ialah Sheikh Hussein Ibrahim, anggota pimpinan kanan IM dan bekas ahli  Parlimen Mesir, manakala Dr. Nasser Soni'  akan mewakili Gerakan Islam yang diterajui IM di Kuwait. Sementara itu Presiden Partai Keadilan Sejahtera Indonesia, Bapak Luthfi Hassan Ishaaq dijangka memberikan perspektif Nusantara mengenai tajuk forum tersebut.

Sesi forum akan dipengerusikan oleh Ir Hj Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM. Forum berkenaan yang akan diadakan di Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dikendalikan di dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab  dan terbuka kepada umum.

Saturday, May 28, 2011

IM akan terus Melindungi dan Membentengi Revolusi Mesir

Ringkasan berita-berita Ikhwanweb.

Khamis 26 Mei 2011

IM telah menganjurkan Majlis-majlis Seminar Hari Selasa di wilayah-wilayah di seluruh negara bagi mengingatkan rakyat Mesir supaya memelihara dan melindungi revolusi yang telah menumbangkan rejim Hosni Mubarak daripada kumpulan yang cuba menyelewengkannya untuk kepentingan mereka sendiri. IM mengecam usaha-usaha yang dibuat oleh kroni bekas rejim yang cuba merosakkan kejayaan revolusi sebagai kumpulan opportunis yang ingin merampas kejayaan revolusi.

Pemimpin-pemimpin IM yang berucap memuji Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata yang telah berjanji untuk membuka jalan bagi sebuah sistem dekorasi terbuka. Walaubagaimanapun, mereka menyedari kekecewaan pelbagai kumpulan politik yang mengkritik kelambatan proses reformasi dan penyiasatan pencabulan hak serta tuntutan bagi perbicaraan segera bekas presiden dan pembantu-pembantunya yang bertanggung-jawab terhadap pelbagai kesalahan selama tiga dekad. Mereka juga menuntut pengembalian semula wang negara yang telah dilarikan.

Pemimpin IM di Ismalia menyuarakan tentangan terhadap menentang seruan sebahagian pihak yang mahukan pengampunan untuk bekas Presiden. Beliau menegaskan adalah tidak wajar untuk memberi pengampunan kepada seorang yang bertanggung-jawab mengarahkan pembunuhan beratus-ratus orang penunjuk perasaan secara aman, mencuri aset negara dan menggalakkan rasuah. Beliau menambah, adalah sangat penting keadilan ditegakkan dan pihak yang bertanggungjawab di bawa ke muka pengadilan.

Bekas Ahli Parimen IM Dr. Gamal Heshmat juga menentang usaha-usaha saki-baki rejim bagi menimbulkan huru-hara. Beliau menegaskan perpaduan nasional perlu diberikan keutamaan oleh semua rakyat mesir tanpa mengira perbezaan agama atau latarbelakang ideologi.

Semua pemimpin IM menekankan kepentingan kesatuan dan tidak jatuh kepada helah beberapa bekas pendukung rejim lama, serta berusaha memastikan usaha anti-revolusi yang bertujuan untuk menimbulkan huru-hara dapat dielakkan.

Penekanan kepada usaha melindungi revolusi dari disia-siakan ini juga menjadi tema ucapan Mursyidul Am IM Dr. Mohamed Badie’ di dalam majlis rapat umum sempena perasmian Pejabat IM di wilayah Qalyoubeya semalam.

Tegas beliau, “ Hak mereka yang menumpahkan darah semasa revolusi adalah tanggung-jawab kita dan kita tidak boleh membenarkan sesiapa pun mencuri atau menyelewengkan revolusi ini.”

Menurut Dr Badie’, revolusi Mesir adalah kurniaan dan perancangan Allah. Suatu fakta yang menarik disebutkan oleh beliau iaitu malam pemecatan Mubarak bertepatan dengan ulangtahun pembunuhan pengasas IM, Imam Hasan AlBanna. “ Allah memilih malam syahidnya AlBanna untuk memberi kemenangan kepada revolusi”, ujar beliau.

Beliau menyeru agar pembinaan semula Mesir dibuat dengan kerjasama semua kumpulan politik termasuk kumpulan Kristian.

Sementara itu, Timbalan Mursyidul Am IM, Eng. Khairat el Shater juga menyeru rakyat memelihara revolusi. Beliau menerangkan bahawa IM dan ahli-ahlinya akan meneruskan seruan untuk pemerintah sementara memenuhi tuntutan revolusi tetapi tidak akan terlibat dengan konfrontasi tidak berfaedah terutama dengan angkatan tenteara Mesir. Beliau menegaskan pemilihan rakyat semasa pungutan suara mesti dihormati sebagai satu prinsip negara demokrasi dan IM akan terus menggesa demokrasi di Mesir melalui masyarakat madani berasaskan Islam.

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28637
http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28635
http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28643


.

Monday, May 23, 2011

Mursyid Am: IM berpegang kepada Prinsip Masyarakat Madani


Isnin 23 Mei 2011

Dr. Mohamed Badie, Mursyid Am IM menegaskan IM mahukan masyarakat madani yang berlatar-belakangkan Islam. Tegasnya lagi, IM tidak mendahului atau di belakang rakyat Mesir, sebaliknya sentiasa bersama mereka di masa kesusahan.

Ketika memberikan ucapan di hadapan ribuan yang menyertai majlis perasmian Ibu Pejabat IM, beliau berkata, “ Setiap ahli IM, lelaki, wanita, pemuda dan pemudi menwarkan khidmat mereka kepada negara, bukan sahaja di Mesir tetapi juga seluruh dunia melalui pelbagai jawatankuasa”.

Beliau menambah, ini adalah detik bersejarah di mana semua pihak bekerjasama untuk membina semula Mesir dan mebangunkannya. Semua pihak diseru untuk bekerja keras mempertahankan revolusi dan tuntutan-tuntutannya.

Beliau menambah, “ Peranan Mesir di arena antarabangsa dahulunya telah pudar, tetapi Allah telah mengembalikan kedudukannya, tentera kini memainkan peranannya yang sebenar manakala rakyat Mesir, institusi Azhar dan Gereja kini dihormati semula.

Dr. Badie menegaskan semua rakyat Mesir berbangga sebagai warga Mesir selepas kejayaan revolusi dan pengorbanan para syuhada’.

Beliau menyifatkan kehadiran perwakilan daripada pelbagai kumpulan politik nasional di majlis perasmian Ibupejabat IM sebagai simbol kecintaan kepada Mesir. Ujarnya,” IM telah menderita seperti semua rakyat Mesir yang lain tetapi kami tetap tidak berganjak dan ahukan Mesir memainkan peranannya.”

Menurutnya, IM sedang berusaha memerangi sebarang usaha untuk merosakkan imej Islam dan Mesir dan setakat ini, IM dengan bantuan Allah telah berjaya memastikan imej Mesir tidak tercemar.

Dr Badie berdoa agar Allah menyempurnakan kegembiraan kita dengan memberi kemenangan kepada rakyat Syria, Yeman dan Libya bagi membolehkan mereka memperolehi hak-hak asasi mereka.

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28615

Sunday, April 3, 2011

Mursyidul Am IM Merasmikan Markaz IM di Alexandria


Jumaat, 1 April, 2011

Mursyidul Am Dr. Mohamed Badie merasmikan Markaz IM di Alexandria pada petang Rabu. Sebilangan pemimpin IM turut hadir termasuk Gomaa Amin, Naib Mursyidul Am Mohamed Abdel Monem, Hassan Ibrahim dan Mohamed Sowidan.

Mursyidul Am telah bertemu sejumlah pemuda dan pemimpin di Alexandria. Beliau mengulas tentang projek pembangunan kerja IM, sambil menyebut setiap ahli mestilah mengambil bahagian dalam tugas membina kerja IM dalam fasa Mesir yang bersejarah ini.

Beliau menegaskan bahawa pemuda telahpun mengambil peranan dalam penulisan sejarah Mesir sambil menyebut yang IM akan menyusun kem-kem buat pemuda selepas era kejatuhan Mubarak dan rejimnya. Beliau menekankan yang perkhemahan ini sangat penting dalam membina keperibadian dan watak ahli IM.

Beliau juga menyatakan kepentingan untuk mengembangkan karya media IM dan turut mengisytiharkan bahawa mereka akan menubuhkan sebuah saluran TV satelit dan menerbitkan sebuah akhbar.

Beliau menyeru para pemuda untuk menghargai dan memahami pandangan-pandangan yang berlawanan dan berkata: "Kita harus terus istiqamah dalam mencapai yang terbaik untuk misi kita dan kita akan menganjurkan banyak pertemuan dengan para pemuda dan pemimpin IM untuk mendapatkan pandangan sebanyak mungkin bagi membangunkan kerja kita."

Pada akhir pertemuan itu pemuda-pemuda telah mendesak Mursyidul AM IM agar mereka boleh memperbaharui janji setia mereka kepada beliau, memandangkan keadaan keselamatan sewaktu rejim lalu telah membuatkan mereka sukar untuk melakukannya.

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28315

Friday, March 25, 2011

IM Tuduh Mubarak dan rejim terlibat dalam pembunuhan dan siksaan

22 Mac 2011


Peguam pembela utama Ikhwan Muslimin Abdel Monem Abdel Maqsoud, mengumumkan Ikhwan Muslimin sedang menyediakankan fail mengandungi senarai pencabulan-pencabulan yang dilakukan oleh beberapa pemimpin keselamatan negeri terhadap ahli-ahli Ikhwan Muslimin semasa era pemerintahan Mubarak.


Aduan akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya terhadap bekas Presiden Hosni Mubarak, sebagai Ketua Majlis Tertinggi Polis, menuduh beliau bertanggungjawab membunuh dua ahli Ikhwan Muslimin; Mossad Qutb, yang mati di Pusat Keselamatan Negeri pada 2003 dan Ayman Al-Zoheiry yang telah mati di dalam kereta pemulangan di Kaherah


Aduan-aduan tersebut juga termasuk tuduhan terhadap bekas Menteri Dalam Negeri Habib Al-Adly dan bekas ketua Siasatan Keselamatan Negeri, Hassan Abdel Rahman dan satu permohonan untuk penyiasatan semula kematian kedua-dua ahli Ikhwan Muslimin tersebut.


Tambah Abdel Maqsoud:” Tuduhan termasuk membunuh dan menyeksa beberapa ahli Ikhwan Muslimin”, sambil menunjukkan mereka sedang mengumpul ratusan aduan penyeksaan dari Ikhwan Muslimin pelbagai daerah untuk dimasukkan ke dalam fail yang akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya.


Ikhwan Muslimin juga akan memfailkan kes bagi mendapat pampasan untuk ahli Ikhwan Muslimin selepas menetapkan kerugian kewangan terhadap beberapa ahli dan pemimpin Ikhwan Muslimin akibat tindakan kejam oleh pihak keselamatan negeri terhadap mereka.


Sementara itu Rashad Bayoumi Timbalan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, menyatakan pihak Ikhwan Muslimin akan memfailkan satu kes terhadap pemimpin-pemimpin keselamatan dalam negeri termasuk Mejar Jeneral Fouad Allam, yang menyelia seksaan kepada Bayoumi di penjara Abu Zaabal.

Abdel Maqsoud juga menekankan Ikhwan Muslimin akan membuka semula penyiasatan terhadap pembunuhan Kamal El-Sananeiry, pemimpin Ikhwan Muslimin yang ditahan sewaktu kempen penahanan beramai-ramai tahun 1981.


http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28267

Friday, March 18, 2011

Al-Shater: Program Parti Kebebasan dan Keadilan akan diumumkan dalam beberapa minggu




Rabu 9 Mac 2011

Timbalan Mursyidul Am yang baru dibebaskan dari penjara, Jurutera Khairat Al-Shater telah mengesahkan bahwa Parti  Kebebasan dan Keadilan akan menjadi sayap politik IM dan berazam untuk berkhidmat kepada rakyat Mesir.

Ketika temubual di rancangan “ Mubasher” Aljazeera Live TV baru-baru ini, Al-Shater menyebutkan bahwa undang-undang dan peraturan parti itu kini sedang dibincangkan.

Al-Shater jua menerangkan bahwa program parti, lembaga pengasas dan peraturan mengenai hubungannya dengan IM akan dijelaskan sedikit masa lagi. Tambahnya lagi, keahlian parti akan terbuka kepada semua rakyat Mesir yang menerima program Parti.

Dia juga menyatakan terdapat tokoh Qibti yang mahu turut bersama di dalam parti ini beserta beberapa orang tokoh lain yang sedang menunggu pengisytiharan penubuhan parti.

“Tekanan dan ancaman serta usaha menakut-nakutkan orang terhadap IM oleh bekas Presiden Mubarak telah menjadikan sukar bagi IM memainkan peranan utama di dalam politik Mesir”, ujarnya.

Dia  menyatakan prinsip yang dipegang oleh IM dalam mana-mana pilihanraya ialah penyertaan, bukan bagi mendominasi. Ini terserlah semasa penyertaan IM  ketika demonstrasi di Medan Tahrir.

Al-Shater menekankan bahawa IM bermatlamat untuk mengislahkan sistem sosial, kebudayaan, politik dan ekonomi secara menyeluruh.


Artikel asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28183

Tuesday, January 4, 2011

Al-Qaradawi: Pelaku Jenayah Pengeboman Iskandariah adalah Pembunuh Kejam dan Bukan Muslim

Isnin, 3 Januari 2011

Dr Yusuf al-Qaradawi, Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama’ Muslim (IUMS), mengecam keras serangan bunuh diri, yang berlaku pada Malam Tahun Baru di luar gereja Al-Qiddissine pada hari Sabtu. Kejadian itu membunuh 21 orang dan mencederakan 80 yang lain.

Al-Qaradawi menegaskan bahawa "pelaku-pelaku kejahatan ini adalah penjenayah, pembunuh dan bukan Islam kerana Islam menegaskan kesucian nyawa manusia dan sangat melarang pencerobohan keatasnya. Islam tidak membenarkan pembunuhan orang awam tak berdosa dari mana-mana bangsa atau warganegara kecuali sebagai hukuman yang disabitkan. Membunuh orang awam dari sebarang warga secara rawak oleh sebarang kumpulan, individu bahkan negara sekalipun, terutama jika mereka sedang merayakan sesuatu perayaan di tempat ibadah sama sekali tidak boleh dipandang sebagai jihad. Tanpa sebarang syak dan ragu lagi ia bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah".

Al-Quran, bersama-sama dengan tulisan suci yang lain, menyatakan bahawa [Barang siapa membunuh seorang manusia selain sebagai hukum balasan pembunuhan atau kerosakn di bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh semua umat manusia] (Al-Ma'idah: 32).
Islam menganggap membunuh orang lain sebagai salah satu dosa paling besar di sisi Allah. Dosa keji dan kejahatan menjijikkan ini mengundang kutukan Allah di dunia ini dan hukuman berat-Nya di akhirat.

Persatuan Ulama Muslim Antarabangsa (IAMS) terkejut melihat insiden berdarah yang meninggalkan sejumlah besar korban awam yang tak berdosa. Mereka dibunuh secara terancang dan disengajakan sedangkan mereka tidak melakukan sebarang dosa terhadap penyerang mereka.

Perlembagaan etika peperangan yang sah dalam Islam menggariskan bahawa membunuh siapapun adalah dilarang kecuali bagi mereka yang terlibat dalam pertempuran. Dalam perang yang sah seperti itu, pertempuran dihadkan kepada konfrontasi semuka antara Muslim dan tentera penceroboh. Setelah melihat seorang wanita terbunuh dalam medan perang, Nabi SAW mengutuk perbuatan tersebut dan melarang pembunuhan perempuan, kanak-kanak, orang tua, biarawan di dalam biara, petani di ladang, dan pedagang. Semua ini dilindungi, jadi bagaimana mungkin membunuh orang-orang yang menyembah Allah dalam acara keagamaan itu dibenarkan? Hal ini tidak pernah dibenarkan oleh Islam.

Al-Qaradhawi melontarkan kemungkinan ada tangan asing di sebalik pengeboman ganas berani mati itu sebagai langkah untuk mencetuskan perselisihan sektarian di Mesir. Tegasnya, “tak dapat dibayangkan bahawa rakyat Mesir berada di sebalik kejadian itu. Hasutan adalah suatu bahaya yang tidak akan kami biarkan berlaku. Bahkan, saya mengutuk tindakan tercela ini kerana ia benar-benar melanggar undang-undang.”


Artikel asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=27726

Monday, January 3, 2011

IM kutuk serangan bom di luar gereja Iskandariah sebagai jenayah keji


IM mengutuk keras pengeboman yang berlaku di luar sebuah gereja di Iskandariah, menganggap tindakan pengeboman tersebut sebagai jenayah keganasan yang pengecut dan tidak berperi kemanusiaan. Ia menyeru agar penyiasatan dilakukan segera bagi mengenalpasti penjenayah dan menghukum mereka yang bertanggung-jawab.

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 24 orang cedera akibat serangan ke atas gereja di Daerah Sidi Bishr di wilayah utara Iskandariah.

Menurut saksi dan sumber polis, sebuah kereta yang diletakkan di luar gereja diletupkan sejurus selepas penganut Nasrani Qibti melaksanakan upacara sembahyang tengah malam sempena tahun baru.

Berikutan dengan pengeboman tersebut, penganut-penganut Nasrani yang keluar dari gereja berkenaan bertempur dengan pasukan keselamatan yang tiba di tempat kejadian. Beberapa kecederaan dilaporkan ketika polis menyuraikan penunjuk perasaan dengan gas pemedih mata.

Serangan itu berlaku setelah Kementerian Dalam Negeri Mesir berjanji akan meningkatkan keselamatan di sekitar kawasan Nasrani berikutan ancaman terhadap penganut Nasrani Mesir oleh kumpulan Al-Qaeda Iraq. Peristiwa ini juga berlaku setahun selepas serangan tembakan rambang ke atas Nasrani Qibti di bandar Nag Hammadi mengakibatkan kematian enam orang Nasrani dan seorang Muslim.

IM mengutuk sekeras-kerasnya satu tindakan keganasan yang tidak menghargai nyawa manusia. Ia menekankan bahawa tidak ada sebab yang membenarkan tindakan keganasan sedemikian yang merupakan pencerobohan terhadap nilai-nilai Islam yang melarang sebarang tindakan kekerasan tanpa membezakan bahasa, budaya atau agama.

IM meminta pihak berkuasa untuk maju dan memikul tanggung jawab dalam menyediakan langkah keselamatan di sekitar tempat ibadat dan menuntut agar mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah keji ini segera dibawa ke muka pengadilan.

Artikel asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=27711
 

Tags

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template