Tuesday, October 30, 2012

Disiplin Tarbiah Dalam Gerak Kerja Dakwah Umum



Tulisan: Ustaz Mohamed Hamed Eliwa
Terjemahan: UsTACZ

Sesungguhnya termasuk dalam tujuan dakwah kepada Allah itu ialah menyebarkan kebaikan di kalangan manusia, amar makruf dan nahi mungkar, menggalakkan manusia melakukan kebaikan serta memberi amaran bagi manusia dari perkara keji dan mungkar. Di jalan dakwah ini, kita menghadapi 
dua jenis amal dakwah:

1) Pembinaan dan takwin.
2) Propaganda dan pengenalan.

Usaha yang dicurahkan untuk kedua-dua garis (Takwin – Takrif) selamanya tidak akan terpisah, bahkan ia saling menyempurna antara satu sama lain. 

Memandu Masyarakat

Imam Al-Banna membicarakan konsep ini ketika bercakap tentang maratibul amal (susunan amal) yang dituntut daripada seorang al-akh yang benar. Tajuk ini disebut selepas  tajuk ‘Dua Susunan Amal’, iaitu islah al-nafs dan takwin al-bait (baiki diri dan membentuk keluarga). 

Kata Imam: “Dan memandu masyarakat dengan menyebarkan kebaikan padanya, memerangi perkara keji dan mungkar, menggalakkan melakukan kebaikan, amar makruf dan nahi mungkar, bersegera ke arah kebaikan, menarik pandangan umum masyarakat kepada fikrah Islamiyah serta sentiasa berusaha mewarnai fenomena-fenomena umum dengan fikrah tersebut….”. (Risalah Ta’alim)

Tidak syak lagi bahawa dakwah pada marhalah terbuka dalam  masyarakat mestilah bermula dari sifatnya sebagai dakwah dan tarbiyah yang praktikal. Individu-individunya mestilah bergerak menyebarkan kebaikan di tengah-tengah masyarakat dengan kemuliaan akhlak - hasil tarbiyah dan nilai-nilai yang ditanam oleh dakwahnya - berdasarkan manhaj Islam. Bekalan seseorang tidak terpisah dari gerak kerjanya. Tarbiyah tidak terpisah dari dakwah dan khidmatnya kepada masyarakat. 

Di sini kita tidak mahu berbincang tentang faedah bekerja dalam masyarakat umum serta faktor-faktor  pendorong ke arah itu, tetapi sebagaimana kerja bersama masyarakat punyai banyak faedah, ia juga 
punyai disiplin yang mesti dipelihara pada batas-batasnya.



 Disiplin Amal Dakwah Umum dan Propaganda

Ketika kita sibuk dengan aktiviti-aktiviti umum di pelbagai medan, kita mesti tunduk kepada disiplin tarbiah yang telah ditetapkan. Disiplin berkaitan bagaimana kita mempromosi program dan aktiviti kita supaya ia selari dan secucuk dengan projek pengaktifan dakwah, bagaimana cara sesuai untuk kita wara-warakan itu semua kepada masyarakat.  Semua disiplin berkaitan faktor-faktor yang mendorong usaha ini dan juga objektif pengiklanan kepada masyarakat dan juga hubungkait antara aktiviti kita dengan usaha selain daripada kita yang juga berada di medan amal umum:
  1. Kepentingan menghadirkan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala. Amal yang dilakukan diniatkan kerana Allah SWT demi mengharapkan keampunan dan keredhaanNya dan kita tidak akan sekali-kali menuntut balasan selain itu.
  2. Bahawa hakikat sebenar harakah umum dakwah di kalangan manusia adalah ibadat. Kita beribadat kepada Allah dalam semua pergerakan dan diam kita pada semua medan gerakan (ekonomi, social, politik, dakwah, pendidikan, kesihatan… dsb). Dari sini kita mestilah merasai makna beribadat dan ubudiyyah dalam kerja-kerja dakwa umum bersama masyarakat.
  3. Mesti berhati-hati supaya kerja yang dilakukan – zahir yang diperlihatkan kepada orang ramai – tidak dihinggapi penyakit riya’ atau sum’ah, lalu kerja menjadi punah. Maka rosak dan sia-sialah usaha tanpa pahala.
  4. Orang yang terdedah dalam kerja kemasyarakatan daripada individu kita mestilah terdiri dari kalangan mereka yang punyai sum’ah (reputasi) yang baik, profil dan perjalanan hidup yang cemerlang. Mereka punyai keistimewaan dengan taqwa, akhlak mantap, mampu mempengaruhi dan tidak terpengaruh dengan penyakit dan tingkahlaku jelek. Mereka adalah cerminan dakwah di hadapan khalayak manusia.
  5. Memelihara kesempurnaan adab dan kemuliaan akhlak ketika bersama masyarakat. Dalam bab ini, Imam Al-Banna mengatakan: “Hendaklah kamu berusaha agar sentiasa benar dan jangan melampaui batas. Berusahalah agar propaganda yang kamu laksanakan berada pada batas-batas adab dan akhlak yang mulia. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh mengumpulkan hati dan menjinakkan ruh serta ingatlah setiap kali dakwah berjaya, ia adalah dengan sebab kelebihan Allah SWT jua. Firman Allah SWT:  “….bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dia lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”.
  6. Jangan sampai kerja dakwah, kerja kemasyarakatan dan propaganda tersebut membawa kepada perbalahan atau persaingan tidak sihat sehingga menyebabkan perjalanan dakwah tergendala atau melambatkannya dari mencapai matlamat.
  7. Perhatian khusus mestilah diberikan terhadap mereka yang berada pada posisi amal am dari segi tarbiah dan iman. Tabiat kerja  sedemikian amat berhajat kepada keprihatian tarbawi secara konsisten. Ini disebabkan tabiat kerja tersebut menuntut demikian; seperti terlibat dengan penganjuran majlis-majlis besar, pentas, mimbar, sentiasa diburu oleh cahaya flash kamera atau terserlah nama dan kerjanya di dada-dada akhbar dan kaca televisyen. Faktor pendorong kepada keperluan tersebut bertujuan bagi menjaga mereka dari terpengaruh dengan fitnah dan kebimbangan dari berlakunya sesuatu perubahan kepada jiwanya bilamana hilangnya perhatian di atas. Lantas hati nanti tergantung dengan dunia bersifat sementara, hawa nafsu yang terdorong ke jalan yang terseleweng dan akan menjauh dari objektif dan matlamat asal dakwah. Maka akan binasalah mereka –na’uzubillah- (Semoga Allah SWT memelihara ikhwah dan akhawat sekalian). Daripada Qatadah, daripada Anas, Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang membinasakan: kedekut yang ditaati, nafsu yang diikuti dan rasa ujub dengan diri sendiri”. (Hadis Baihaqi dan dihasankan oleh Al-Albani)
  8. Kerja untuk masyarakat termasuk aktiviti propaganda dakwah bagi mencapai objektif itu seharusnya dibuat berlandaskan prinsip. Ia bukan untuk tindakbalas (reaksi balas) terhadap orang lain atau untuk memperlekehkan usaha lain (pertubuhan atau individu), atau bagi menzahirkan keinginan kita untuk tertonjol bahawa kita lebih baik dan lebih kuat daripada orang lain. Objektif kita mestilah jelas, iaitu sentiasa mengutamakan dakwah, menyebarluaskan kebaikan kepada manusia, memberi khidmat dan memperbaiki yang rosak. Sebelum itu semua mestilah didorong oleh matlamat agong kita iaitu mencapai darjat ubudiyyah sebenar semata-mata kerana Allah SWT
  9. Hendaklah kita semua konsisten dengan hikmah kebijaksanaan dalam dakwah dan propaganda kita. Hendaklah kita memperindahkan jalan dan mu’amalah kita kerana kita disuruh oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman:
 (ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ. [النحل:125].)
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

(وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْناً[البقرة:83

“dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik”.

Termasuk makna dari hikmah kebijaksanaan itu ialah mempamerkan dakwah kita ini dengan ‘approach’ terbaik dan memperelokkan seni komunikasi dengan mereka. Termasuk  juga menunjuk qudwah sesuai dengan apa yang kita seru kepadanya. Tidak berlaku apa yang kita cakap tak serupa bikin. Termasuk dari hikmah juga ialah kita mendahului dalam mempraktikkan apa yang kita seru kepadanya kerana:
(إذا كنت إمامي فكن أمامى)
“Bila kamu menjadi imam saya, maka hendaklah kamu berada di hadapan saya”.
Alangkah baiknya jika kita boleh menjiwai bahawa kita ini adalah pembawa kebaikan dan penghubung bagi ummah dan manusia semua mendapat hidayah Allah SWT. Tidak patut ada dalam diri kita rasa tinggi diri, bersikap kasar dan merasa lebih, malah perlu bersikap pro aktif dan sentiasa prihatin. Allah SWT berfirman:

(لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ [التوبة:12

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”.

Tunjukkan sikap lemah lembut dan sopan santun serta berlapang dada. Allah SWT merahmati orang yang mengatakan: “Orang yang melapangkan dirinya (baik sangka) untuk orang lain bermakna dia memiliki dada yang lapang”.

Iaitu orang yang dengan rela hati bersusah payah menyeru manusia kepada dakwah dan ringan tulang berkhidmat untuk kesejahteraan masyarakat, sudah barang tentu dia adalah seorang yang punyai sikap berlapang dada yang  tiada tolok banding dan dia adalah seorang yang paling bersedia untuk menerima tanggungjawab.

10. Hendaklah kita sentiasa merenung diri sendiri setelah selesai melaksanakan program dan kerja kemasyarakatan berupa propaganda dan lainnya untuk bermuhasabah: “Apa pulangan yang diperolehi oleh dakwah kita dari kerja-kerja tersebut? Apa pula keuntungan yang kembali kepada kita sebagai individu yang bekerja? Adakah kita menjadi semakin dekat dengan Tuhan kita dari kerja ini? Adakah benar kita telah menyumbang faedah berguna untuk masyarakat dan umat kita? Apakah kesan positif dalam konteks takwin dan tarbiyah kita? Apakah usaha-usaha tersebut telah menambahkan sesuatu kemahiran atau pengalaman untuk dibawa ke masa depan? Dan lain-lain soalan yang boleh ditanya guna untuk menonjolkan kepentingan perbahasan seumpama ini dalam sudut-sudut – faedah dakwah dan tarbiyah daripada kerja umum.


اللهم ارزقنا الاخلاص في القول والعمل ، والسر والعلن ، وكلمة الحق في الرضا والغضب ، واجعلنا ممن عبادك الصالحين ، ومن جند دعوتك العاملين المخلصين .

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين
 

Thursday, October 18, 2012

Kelebihan 10 Zulhijjah



Penulis: Ustaz Tajul Arifin bin Che Zakaria (UsTACZ)
Pengerusi JK Tarbiah 
Pertubuhan Ikram Malaysia

Di antara rahmat dan kurniaan Allah kepada umat Muhammad s.a.w.  ialah Dia telah menjadikan  khusus untuk umat ini hari-hari dan musim-musim untuk menambah kebaikan dan ganjaran yang berganda. Allah s.w.t.  membuka pintu-pintu  dan memberi peluang bagi hamba-hambaNya mendapat keberkatan dan rahmat.
 
Di antara hari-hari tersebut ialah hari-hari sepuluh pertama dari bulan Zulhijjah sebagaimana yang telah dinyatakan Allah dalam Surah Al-Fajr ayat 1 dan 2:
والفجر وليال عشر
"Dan demi waktu fajar dan malam-malam yang sepuluh".
Berkata Ibnu Kathir: "10 Malam yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut ialah malam-malam bulan Zulhijjah".  Ini jugalah yang disepakati oleh  Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan  ramai dari kalangan ulama' salaf dan khalaf. Pendapat ini telah ditarjihkan oleh majoriti ulama' terutamanya bilamana malam-malam 10 tersebut digandingkan bersama waktu fajar kerana kebanyakan mufassirun (ahli tafsir)  mengatakan ia adalah  fajar hari Nahr (Hari Raya Qurban).
Telah thabit di dalam Sahih Bukhari daripada Ibnu Abbas (hadis marfu'): "Tiada dari hari-hari untuk beramal soleh padanya terlebih dikasihi kepada Allah selain hari-hari 10 Zulhijjah ini".   Para sahabat bertanya: "Tidak juga berjihad di jalan Allah? Nabi s.a.w. bersabda: "Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki yang keluar dengan jiwa dan hartanya, kemudian dia tidak lagi ...".
Hari-hari sepuluh ini termasuk Hari Arafah yang telah thabit di dalam Sahih Muslim darada Abu Qatadah katanya: Rasulullah s.a.w. berkenaan puasa Hari Arafah. Sabdanya: "Aku mengharap Allah s.w.t. akan menghapuskan dosa setahun yang lepas dan akan datang ". Ini pendapat yang paling kuat dalam bab fadhilat Hari-hari 10 Zulhijjah.
Sesetengah ulama' menafsirkan rahsia di sebalik kelebihan yang besar ini. Mereka mengatakan ia berkaitan dengan Ibadat Haji dan diakhiri dengan Hari Arafah. Kelebihan hari ini amat besar, demikian juga kelebihan Hari Raya; ia adalah sebesar-besar kemuliaan di sisi Allah Ta'ala kerana padanya terdapat Haji Akbar. Demikian juga faktor-faktor yang membawa kepada kelebihan beramal padanya berkait dengan  suasana keamanan di Mekah itu sebagai persediaan menyambut kedatangan bakal-bakal haji, termasuk juga mereka yang ditinggalkan oleh para hujjaj demi menyahut seruan Allah s.w.t.  Semua itu demi satu tujuan iaitulah untuk menumpukan perhatian hanya kepada amal ibadat dan zikir dan ia juga peluang untuk menyibukkan diri masing-masing dengan segala jenis amal ibadat  solat, puasa, sedekah dan haji.
Berkata Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari Jilid ke 2 pada muka surat 234: "Dan yang jelas di sini bahawa sebab mengapa istimewanya 10 Hari dari bulan Zulhijjah kerana ia menjadi tempat terhimpunnya  Ummahatul Ibadah padanya(أمهات العبادة), iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Semua ibadat itu tidak terhimpun  pada selain bulan Zulhijjah".
Betapa besarnya kelebihan hari-hari ini, Allah s.w.t. menjadikannya kembar kepada 10 hari-hari terakhir dari bulan Ramadhan. Ibnu Qayyim mengambil jalan pertengahan dalam hal ini. Di dalam kitab Zadul Ma'ad katanya: "Maka yang benar pada masalah ini ialah: 10 malam akhir daripada Ramadhan lebih afdhal dari 10 malam akhir dari bulan Zulhijjah dan sebaliknya 10 hari dalam bulan Zulhijjah terlebih afdhal dari 10 hari terakhir dalam bulan Ramadhan. Dengan huraian ini, maka hilanglah kekeliruan. Ini menunjukkan bahawa 10 malam dari bulan Ramadhan diberi kelebihan dengan sebab adanya Lailatul Qadar -ia berlaku di waktu malam- dan 10  hari dari bulan Zulhijjah  lebih afdhal  disebabkan hari-harinya itu iaitu padanya terdapat Hari Nahr (Hari 10,11,12 dan 13), Hari Arafah dan Hari Tarwiyah.
Persoalannya apakah 'amal soleh' yang dimaksudkan di dalam hadis riwayat Bukhari di atas? Adakah ia jenis tertentu dari amal ibadat ataupun semua jenis amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla?
Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan persoalan di atas. Di antaranya hadis yang telah diriwayatkan oleh At-Tobarani dengan sanad jayyid: "Tiada hari-hari di sisi Allah dan tiada hari-hari yang paling aku sukai untuk  beramal padanya selain Hari-hari 10, maka perbanyakkanlah padanya tasbih, tahmid, tahlil dan takbir".
Di dalam sunan Abu Daud menyatakan bahawa adalah Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari-hari 10 ini, iaitu selain Hari Raya.
Kesimpulannya:
Allah s.w.t. telah memuliakan kita semua dengan kedatangan bulan yang mulia ini, maka marilah sama-sama kita mengambil peluang keemasan ini untuk mendekatkan diri kepada Allah Azzawajallla. Semoga segala amalan kita diterima dan kita menjadi hamba-hamba Allah yang bijaksana dalam usaha meraih redhoNya.

Monday, October 8, 2012

Usrah Adalah Qaedah Asas dalam Struktur Dakwah Kita


Tulisan: Sheikh Mohamed Hamed Eliwa
Terjemahan: Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria (TACZ)

Sesungguhnya Imam Al-Banna telah menegaskan makna ini ketika bercakap di hadapan Ikhwan pada suatu hari: “Usrah merupakan Qaedah Asas dalam binaan dakwah kita. Naqib usrah pula adalah batu penjuru dalam binaan ini”. Ia merupakan kalam pengasas (Ikhwah Muslimin) bagi menunjukkan betapa mustahak dan betapa kesatuan dakwah ini terbina di atas sistem ini. Justeru Imam Al-Banna telah meletakkan Peraturan Khusus (Laihah Khas) bagi menjamin kelangsungannya berdasarkan disiplin yang telah ditetapkan dan efektif agar pentarbiyahan individu terlaksana. Itulah matlamat daripada dakwah ini. Peraturan ini telah ditetapkan pada bulan Rabi’ul Awal 1362H bersamaan bulan Mac 1943.

Berkenaan Sistem Usrah ini, Imam Al-Banna berkata: “Wahai Ikhwan sekalian, sistem ini amat berguna untuk kita dan dakwah ini dengan izin Allah SWT. Ia berfungsi untuk mengontrol ikhwan yang ikhlas dan menjadikan mereka berada dalam suasana mudah dihubungi dan menerima arahan dari masa ke semasa untuk kepentingan dakwah yang mulia ini. Ia akan menguatkan ikatan dan meningkatkan ukhuwah satu sama lain dari tahap kata-kata (teori) ke tahap perbuatan dan praktikal (pelaksanaan)”.

Usrah adalah Wadah Utama Tarbiyah kerana tarbiyah berdasarkan Sistem Usrah adalah merupakan tarbiyah sebenar (hakiki) disebabkan beberapa faktor:
(1) Di dalam usrah kehalusan dan kedalaman tarbiyahnya wujud (kerana bilangan sedikit dan mudah dimutaba’ah dan berlakunya muayasyah).
(2) Di dalam usrah adanya hikmah dan berlakunya proses pemindahan pengalaman (di bawah seliaan seorang mu’allim dan murabbi iaitu naqib) berpandukan Manhaj Tarbiyah bersumberkan Al-Quran, As- Sunnah dan terikat dengan jadual masa secara bertahap dan terarah.

Tatkalamana tarbiyah melalui jalan usrah memungkinkan tersedianya individu secara islami dan sempurna, maka ianya (Sistem Usrah) akan berterusan sekalipun setelah tertegaknya Kerajaan Islam. Kerana tarbiyah melalui jalan usrah akan berfungsi sebagai pembekal untuk kerajaan memenuhi keperluan sumber manusia berkualiti. Ciri-ciri insan soleh seumpama itu memang diperlukan oleh mana-mana kerajaan secara berterusan. Ini bermakna bahawa Sistem Tarbiyah melalui Usrah adalah Unsur Tetap (thawabit) dakwah Ikhwan Muslimin.

Sebagaimana Usrah merupakan wadah utama tarbiyah, Usrah juga merupakan Unit bagi mengawal keanggotaan dan tanzim dalam Struktur Jemaah. Bagaimana mungkin unit keanggotaan (sepenting ini) boleh berubah? Ia boleh berubah mengikut situasi dan keadaan?!!

Ingatlah bahawa Unit Keanggotaan adalah sebahagian dari sistem itu. Ia adalah batu bata dalam struktur binaannya dan tidak mungkin mana-mana binaan akan kekal bilamana batu bata- batu batanya terpisah (terkeluar) dari struktur asalnya.

Usrah merupakan keluarga setiap al-akh dan ia adalah kaum kerabat terdekatnya. Ia merupakan ikatan sebenar dan amat diperlukan bagi menghubungkan antara individu dan Jemaah. Ia merupakan satu-satunya wasilah yang akan membantu Jemaah memutaba’ah anggotanya dari pelbagai sudut. Semua kepentingan tersebut menjadi ciri-ciri khusus bagi usrah.

Tidak ada seorang pun yang mengatakan bahawa Sistem Usrah merupakan Unsur Thawabit dalam Islam, tetapi sebagai anggota Ikhwan Muslimin kita telah bersetuju menjadikannya sebagai salah satu Unsur Thawabit dalam dakwah kita.
Penentuan tersebut sebagai mencontohi tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya di Darul Arqam ibn Abi Al-Arqam. Penentuan tersebut juga berdasarkan pendirian yang diambil oleh Nabi SAW bersama kaum Ansar yang berbai’ah dengan baginda pada Bai’at Aqabah Kedua.

Justeru itu tidak harus ada seorang pun daripada kalangan kita yang  boleh mengeluarkan kenyataan bahawa Usrah bukan dari Thawabit Ikhwan Muslimin. Kita tegaskan kepadanya …”tidak sekali-kali tidak”.

Dalam Ikhwan Muslimin, Usrah merupakan Unsur Tetap (tidak berubah) daripada Thawabit Sistem Tarbiyah dan keanggotaan kerana ia adalah wadah tarbiyah utama dan unit keanggotaan dalam struktur tanzim Jemaah. Lebih-lebih lagi ia juga merupakan unit terpenting untuk kelangsungan individu dan jemaahnya. 

وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمي
                       
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template