Friday, February 12, 2010

Kenyataan IM tentang serangan ganas terhadap ahli-ahli IM


Selasa, Februari 9, 2010







Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang


Sedang warga Mesir dipaksa mengharungi kemelut keganasan rejim yang bermaharajalela dan rasuah yang berleluasa, serta kemunduran dan kebuntuan politik di samping pelbagai masalah lain yang mendesak keselamatan negara dan penduduknya, pasukan keselamatan melakukan beberapa siri penangkapan sebilangan pemimpin IM sekitar fajar 8 Februari 2010.


Dr Mahmoud Ezzat, Naib Mursyidul Am, Dr Essam Elaryan dan Dr Abdel Rahman Al-Barr daripada Maktab Irsyad adalah antara mereka yang ditangkap. Dr Mohyi Hamed, ahli Maktab Irsyad juga diserbu.
Mereka ditangkap tanpa melakukan apa-apa kesalahan selain daripada menyeru ke arah pembaharuan (reform) dan kebebasan dan hanya kerana mereka menggunakan pendekatan sederhana, pendekatan yang begitu diperlukan oleh Mesir pada saat ini.

IM menegaskan bahawa penangkapan tersebut tidak akan mengubah jalan mereka yang telah dipilih untuk membangunkan bangsa dan mereka akan tetap meneruskan perjuangan mereka menggunakan segala cara damai dalam memperjuangkan kebebasan dan menentang rasuah dan kezaliman.


IM mempersoalkan hubungan antara penangkapan ini dengan apa yang sedang direncanakan untuk Palestin dan sokongan terus menerus IM kepada perjuangan rakyat Palestin serta penduduk yang terkepung di Gaza dan perubahan politik yang dijangka berlaku dalam tempoh mendatang serta persiapan untuk pilihanraya presiden dan pemilihan parlimen.

IM menyeru pembebasan serta merta mereka yang ditahan baru-baru ini. Begitu juga, kesemua tahanan IM lain yang dipenjara berdasarkan keputusan mahkamah tentera yang tidak adil hanya kerana mereka menyeru ke arah pembaharuan, sedangkan perasuah-perasuah di serata negara yang merampas kekayaan rakyat dan menghancurkan masa depan negara dibiarkan bebas.


Mereka juga menyeru agar semua kuasa politik yang pelbagai, pertubuhan hak asasi manusia dan masyarakat madani untuk menjalankan peranan masing-masing dalam menyekat sistem pemerintah daripada mempergunakan aparat keamanan dan media untuk mencapai kepentingan ahli dan menentang seteru mereka. Ia hanya memenuhi kehendak kepentingan musuh-musuh bangsa dan menyokong rancangan AS-Israel dalam memprovokasi pertikaian dan krisis di Mesir supaya pengaruh dan keberkesanan peranan mereka dalam arena serantau dan Arab menjadi terhad.


Dalam konteks ini kami ingin bertanya kepada mereka yang menulis, menentang IM dan menuduhnya mengadakan kesepakatan dengan regim pemerintah – ke manakah perginya perjanjian itu dalam situasi sekarang?


Tindakan-tindakan agresif yang dilakukan oleh rejim mempunyai kesan terhadap keselamatan dalam dan luar negara serta mencemarkan reputasi Mesir di mata dunia sedangkan ia hanya akan meningkatkan kekuatan dan ketabahan IM dan memacu mereka untuk melaksanakan tanggung jawab nasional mereka melalui cara-cara damai dan perjuangan berperlembagaan, meskipun ia menuntut pelbagai pengorbanan.


“Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf, 21)


Ikhwan Muslimun
Kaherah,
24 Safar 1432 Hijrah
8 Februari 2010

Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=23080

Tuesday, February 9, 2010

Wawancara Mursyid Am Ikhwan Muslimin Dengan BBC di Kaherah


Laporan: Muhammad Said



Sheikh Dr. Mohammed Badee'
Mursyid ke 8 Am IM

* Jamaah kemukakan contoh tersendiri dalam pelaksanaan demokrasi dan pemilihan bersih.
* Golongan Qibti rakan kongsi satu watan, penolakan mereka sebagai calon Presiden Mesir adalah pendirian syarak.
* Kami menuntut pembentukan sebuah jawatankuasa berkecuali pindaan perlembagaan dan pelaksanaan pilihanraya.
* Cakap-cakap tentang penyingkiran Dr. Mahmud Izzat tidak perlu dijawab. Beliau seorang yang warak
* Kabar angin mengenai IM sepakat dengan pemerintah adalah usaha mencacatkan gambaran tentang IM.
* Kami telah membentuk jawatankuasa untuk menambahbaik pelaksanaan kerja, termasuk cadangan untuk pindaan perlembagaan IM
* Isu penglibatan dalam pilihanraya akan datang belum sampai masa, ia nanti akan diputuskan oleh institusi pembuatan keputusan IM.


Yang berbahagia Dr. Muhammad Bai`ie Mursyid Am IM menekankan bahawa IM telah keluar daripada keriuhan pemilihan anggota Maktab Irsyad dalam keadaan yang lebih kuat daripada sebelumnya. Jamaah juga telah berjaya menunjukkan satu contoh tunggal dalam pelaksanaan sistem demokrasi dan pemilihan yang bersih, sekalipun ada pihak menggambarkan ada perebutan jawatan dalam Jamaah.

Dalam satu wawancaranya dengan Amru Abdul Hamid dari BBC yang diadakan di Kaherah, beliau menyatakan: terdapat keperluan-keperluan yang timbul dari peristiwa-peristiwa mutakhir yang perlu dirawat dengan penuh kematangan dan ketenangan. Ikatan asasi dalam Jamaah sejak kemunculannya di awal kurun yang lalu ialah kasih sayang. Di samping itu beliau memberi isyarat ada kecenderungan Jamaah untuk meminda perlembagaannya, supaya ia lebih lengkap dan mampu menambahbaik perjalanan Jamaah pada fasa-fasa akan datang.

Beliau menambah, “Cubaan sesetengah pihak menggambarkan hubungan IM dengan dua ikhwah yang sangat dikasihi Dr. Abdul Mun`im Abu al-Futuh dan Dr. Muhammad Habib telah ke tahap tertutup adalah tidak benar. Malah yang berlaku adalah sebaliknya. Dr. Abu al-Futuh telah menghubungi saya dan mengucapkan tahniah dan berjanji akan menziarahi saya sekembalinya dari luar negara. Tentang Dr. Habib yang saya kasihi dan sanjung, saya telah menziarahi beliau di rumahnya di Kaherah dan Asyut.”

Yang Berbahagia Mursyid juga menyatakan, “ramai kalangan ahli IM mengemukakan banyak cadangan untuk memajukan pelaksanaan kerja-kerja Jamaah. Cadangan ini telah diterima dengan penubuhan jawatan-jawatankuasa untuk penambahbaikan. Semua cadangan-cadangan ini akan dibincangkan dan cara pelaksanaannya akan dikaji. Beliau juga memberi isyarat bahawa kezaliman pihak keamanan terhadap ahli dan kepimpinan Jamaah adalah sebab yang merencatkan usaha-usaha melakukan pindaan ke atas undang-undang Jamaah, seperti yang berlaku pada tahun 1995 sewaktu masyuarat Majlis Syura Am, sebahagian besar qiadah jamaah telah ditangkap dan dihukum penjara bertahun-tahun.”

Dr. Mahmud Izzat


Yang Berbahagia Mursyid menekankan bahawa keputusan melantik Dr. Mahmud Husin sebagai Setia Usaha Jamaah adalah keputusan syura untuk suntikan semangat baru. Cakap-cakap tentang penyingkiran Dr. Mahmud Izzat mantan Setiausaha Jamaah bertujuan menenangkan keadaan yang mereka gelar sebagai ‘Islahiyyun’ adalah cakap-cakap yang tidak perlu dijawab. Dr. Mahmud adalah seorang murabbi, sentiasa waspada dan warak. Beliau telah berjihad demi umatnya dan memenangkan fikrah Islam yang sederhana, fikrah yang telah didokong Jamaah IM. Usaha-usaha menyifatkannya sebagai penggerak tersembunyi adalah tidak benar.

Beliau menyatakan bahawa Jamaah sentiasa menghulurkan tangannya kepada pihak pemerintah (Mesir), seluruh anasir kekuatan tanahair dan parti politik demi kepentingan Mesir. Menggambarkan pendirian ini sebagai bersekongkol dengan pemerintah adalah usaha-usaha untuk memburukkan Jamaah. Beliau menegaskan bahawa, sekalipun dalam situasi ini, Jamaah akan tetap meneruskan segala usahanya demi kepentingan rakyat Mesir, Arab dan umat Islam. Jamaah akan meletakkan tangannya bersama pemerintah. Jamaah akan bekerjasama selagi pemerintah memberikan kebebasan, mengamalkan demokrasi, melaksanakan undang-undang dan Jamaah akan berusaha mengangkat tekanan, paksaan dan kezaliman. Jamaah akan menunaikan kewajipan terhadap tanahair, bangsa dan memperjuangkan permasalahan bangsa Arab dan umat Islam.

Tidak Diwariskan

Mursyid menekankan bahawa IM menolak prinsip mewariskan kerajaan yang ingin dilaksanakan pemerintah kerana sistem mewariskan kerajaan adalah bertentangan dengan demokrasi yang diperjuangkan oleh golongan terhormat. Beliau memberi isyarat bahawa dalam keadaan peruntukan fasal 76 yang dicela dan perenggan-perenggan yang menyekat kebebasan dan dalam keadaan pemantauan sistem kehakiman ke atas perjalanan pilihanraya, anak presiden samalah seperti orang Mesir lain berhak mencalonkan dirinya untuk dipilih rakyat.

Yang Berbahagia Mursyid meminta Presiden Husni Mubarah melucutkan jawatannya sebagai ketua Parti Kebangsaan dan beliau hendaklah menjadi presiden kepada semua rakyat Mesir. Beliau hendaklah mentaklifkan ‘Kerajaan Sementara’ melaksanakan pilihanraya dalam suasana demokratik, tanpa campur-tangan kuasa Eksekutif . Beliau hendaklah memberikan kuasa penuh kepada rakyat untuk membuat pilihan. Mursyid menekankan pentingnya diwujudkan satu jawatan-kuasa terdiri daripada golongan pakar dan undang-undang untuk melihat semula perlembagaan dengan syarat beliau tidak mengabaikan seseorang atau menjauhkannya.

Dalam isu berkaitan pilihanraya yang akan datang, apakah IM akan turut serta atau tidak Mursyid menekankan bahawa IM ada perinsip umum; iaitu akan turut serta dalam semua pilihanraya. Khusus mengenai pilihanraya akan datang, penglibatan IM akan ditentukan pada masa itu. Jamaah akan memutuskan pendiriannya berdasarkan pendapat Majlis Syura daerah.

Bersabit dengan soalan BBC bahawa pihak pemerintah tidak akan membenarkan IM memenangi lebih daripada 20 kerusi, Mursyid menjelaskan bahawa cakap-cakap ini sangat pelik dan patut ditanya siapa yang menyebarkannya. Beliau membuat contoh pemilihan dalam Maktab Irsyad, tiada siapa tahu siapa yang masuk dan siapa yang keluar daripada Maktab Irsyad kecuaali selepas keputusan pengundian. Itu pemilihan dalam Maktab Irsyad, apa pandangan anda tentang pilihan raya umum yang keputusannya terserah kepada rakyat Mesir. Mursyid menekankan lagi bahawa ada cakap-cakap yang IM hanya akan memenangi 20 kerusi sahaja. Ini bererti bahawa ada pihak yang membocorkan rahsia maklumat ini. Ini juga petanda awal yang menunjukkan bahawa pihak pemerintah telah membuat keputusan terhadap perkara yang akan datang. Di masa sama Mursyid meminta supaya pilihanraya dilaksanakan dengan cara yang bersih dalam suasana penuh demokratik, jauh daripada campurtangan pihak keselamatan yang mengarahkan pilihan pengundi.

Mursyid berterima kasih kepada wakil-wakil IM dalam perlimen yang telah menjalankan tugas mereka di samping menarik perhatian bahawa mereka yang dahulunya mengundi calon-calon IM itulah juga insya Allah yang akan memilih mereka pada pilihanraya akan datang. Beliau juga menekankan bahawa Jamaah sedang meneliti saiz penglibatan yang didasarkan kepada kaedahالمشاركة لا المغالبة (melibat bukan memenangi) di samping memberi peluang kepada calon wanita. Jamaah akan bekerjasama dengan semua pihak tanpa terikat dan tanpa bertolak ansur dalam perkara-perkara thawabit IM

Golongan Qibti

Bersabit soalan lain mengenai pendirian Jamaah terhadap golongan Qibti (penganut Kristian) Mursyid menekankan bahawa mereka adalah rakan kongsi tanah watan, mereka punya hak sama dengan orang Islam dan mereka ada kewajipan sama dengan orang Islam. Beliau menjelaskan keputusan Jamaah mengenai isu pencalonan wanita dan golongan Qibti ke jawatan wilayaah ammah adalah pilihan Jamaah yang bersifat fiqhi yang diambil berdasarkan fatwa ulamak-ulamaknya dari Universiti Azhar. Ini tidak bermakna Jamaah memfardukannya ke atas individu. Apapun ia terserah kepada rakyat menentukan siapa pilihan mereka. Beliau memberikan kenyataan Pope Syenudah ketiga sebagai bukti. Syenudah menjelaskan bahawa golongan Qibti tidak pernah berfikir untuk melantik Qibti menjadi presiden Mesir, kerana perkara ini tertakluk kepada majoriti rakyat Mesir, iaitu orang Islam.


Mursyid menambah lagi bahawa keputusan Syenudah adalah bijak. Inilah juga pandangan IM atas dasar Mesir adalah Negara Islam dan jawatan ketua negara ada tuntutan tersendiri sejajar dengan identiti negara ini.

Bersabit soalan bahawa cadangan ini bercanggah dengan prinsip hak asasi kerakyatan, beliau menjawab bahawa IM menuntut prinsip ini diberikan kepada IM, kerana merekalah golongan paling banyak menerima tekanan di Mesir. Beliau menuntut supaya apabila semua pihak bercakap mengenai hak asasi ia mestilah merangkumi semua kelompok yang tertindas, IM adalah satu daripada kelompok-kelompok itu, merekalah yang dirampas hartanya, ditangkap, dibawa ke mahkamah tentera, kehormatan rumahtangga mereka dicabul. Beliau menjelaskan bahawa sistem pemerintahlah yang telah mengeruhkan keadaan umum Negara.

Beliau menekankan lagi bahawa cubaan memainkan fitnah kelompok adalah permainan yang sangat merbahaya. Merawat fitnah ini tidak cukup dengan pelukan, kucupan dan majlis propaganda rasmi. Ia memerlukan rawatan serius yang dapat menyelamatkan Mesir dan penduduk Qibti dan Islam daripada bahaya fitnah dalaman yang dianggap sebagai salah satu yang bercanggah dengan sistem dan menghakis hak. Ini akan menambah lagi ketegangan dalaman.

Beliau berkata: IM berusaha dengan apa sahaja cara yang mereka dapat untuk mencabut duri fitnah ini melalui seruan hidup bersama dalam keadaan damai melalui satu system Islam yang memberikan kepada orang-orang Qibti hak mereka bersama saudara-saudara mereka orang Islam.

Hamas Dan Tembok Besi

Berkaitan isu Palestin, Mursyid menekankan bahwa ia adalah kewajipan tanah air yang syar`ie. Beliau menuntut supaya Presiden (Mahmud Abbas) kembali kepada bangsanya, berkubu bersama saudara-saudaranya. Beliau menyatakan bahawa IM tegak bersama barisan pejuang syar`ie yang diwakili Hamas dan seluruh kekuatan pejuang Pelastin.

Tentang tuduhan yang dilemparkan BBC bahawa IM membantu Hamas dengan mengorbankan kepentingan rakyat Palestin, kerana Hamas merupakan sebahagian daripada Ikhwan. Buktinya ialah Ismaih Haniyeh telah memberikan bai`ah kepasa Mursyid baru Ikhwan. Tuduhan ini dijawab Mursyid dengan menyatakan bahawa Ustaz Mahdi `Akef mantan Mursyid Ikhwan telah banyak kali berhubung dengan mereka yang bertanggungjawab di Palestin, di antara mereka yang dihubungi Mantan Mursyid ialah Mahmud Abbas. Beliau telah menasihatinya supaya tidak menyimpang di sebalik apa yang berlaku dan fitnah dalaman. Sekiranya Presiden Mahmud mendengar nasihat Ustaz `Akef keadaan tidak akan sampai seperti apa yang berlaku. Mursyid memberi tahu bahawa Hamas dan kerajaannya adalah satu-satunya kerajaan yang sah dari sudut undang-undang di Palestin, sama ada dari sudut realiti atau dari sudut keputusan pilihanraya lalu.

Tentang isu Ismail Haniyeh memberi bai`ah Mursyid menjelaskan bahawa Perdana Menteri Palestin di Gaza telah berhubung dengannya dan memberi tahniah, sama seperti keanamaan-kenamaan lain di Mesir dan lainnya memberi tahniah.

Mengenai soalan berkaitan pendirian Ikhwan terhadap tembok besi, Mursyid menjawab bahawa laluan Rafah adalah penyambung hidup rakyat Palestin yang terkepong di Gaza. Mengenakan sekatan ke atas rakyat Palestin bererti membunuh 1.5 juta manusia yang tidak berdosa kecuali kerana mereka memilih orang yang mewakili mereka dalam pilihanraya. Menutup pintu laluan tidak memberikan peluang lain kepada rakyat Palestin kecuali mencari laluan lain yang dapat memberikan udara kehidupan agar mereka mampu hidup. Laluan ini ialah terowong-terowong. Oleh kerana itu membina tembok besi dan menutup laluan bererti menghukum mati kelaparan 1.5 juta rakyat Palestin. Mursyid menuntut Presiden Husni Mubarak menunaikan janjinya yang beliau tidak akan membiarkan rakyat Palestin dilaparkan. Rakyat Palestin yang menghadapi bencana kemanusiaan kini di dalam kepungan yang kukuh dengan ketiadaan makanan dan ubatan.

Dialog Dengan Amerika

Berkaitan isu dialog dengan Amerika atau Barat, Mursyid menyatakan bahawa pintu IM terbuka kepada mana-mana pihak yang rasmi dengan syarat dialog itu dilakukan melalui saluran rasmi di Mesir, ini kerana Ikhwan menghormati institusi, memeliharanya dan berusaha mempertahankannya, tanpa mengambil kira pendiriannya terhadap sistem pemerintah. Apa pun, beliau juga menyatakan bahawa dialog dengan bangsa Amerika dan pertubuhan NGO adalah sangat dialu-alukan oleh IM. Ia bertujuan memperkenalkan Islam yang sedarhana atas perkiraan bahawa ia adalah senjata utama memelihara manusia daripada pertelagahan. Di samping itu Mursyid meminta rakyat Amerika membuat tekanan ke atas kerajaan mereka supaya mengambil pendirian yang adil terhadap isu Arab dan Islam, tanpa campur tangan dalam urusan khusus negara lain dan memaksakan siasahnya dengan paksaan atau tekanan.

Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=210

Monday, February 8, 2010

Kempen Maya menuntut pembebasan Dr. Mahmoud Izzat dan Saudara-saudaranya


Isnin, 8 Februari 2010

Berikutan dengan penahanan pemimpin dan ahli IM, beberapa orang aktivis internet telah mewujudkan satu kumpulan baru bahasa Arab di Facebook bagi menunjukkan solidariti dengan yang ditahan dan menuntut pembebasan mereka.

Kumpulan “Mesir menentang penahanan Dr. Mahmoud Ezzat, Essam el-Erian dan saudara-saudara mereka” menuntut pembebasan segera Dr. Mahmoud Ezzat, Dr Essam el-Erian dan Dr. `Abdur-Rahman Al-Barr yang ditahan dalam satu operasi keselamatan subuh tadi.

Kumpulan ini telah memuat-naik foto anggota-anggota Maktab Irsyad dan motto “Allahu Akbar, Hidup Mesir!”.

Menurut mereka, penangkapan ini dianggap satu skandal bagi Mesir yang kini tidak lagi menghormati hak asasi manusia, perlembagaan dan undang-undang.

Bilangan yang menyertai kumpulan ini hampir mencecah 2000 dalam masa satu jam ia dilancarkan, kebanyakannya dengan komentar “Inna Lillah wa inna ilaihi Rajiun”.
(Pembaca digalakkan menjadi ahli kumpulan ini, sekurang-kurangnya bagi menunjukkan solidariti dan menunjukkan bilangan ramai yang menentang kezaliman ini - Admin)

Pautan ke Facebook: http://www.facebook.com/group.php?v=info&gid=60388571827
Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=23069

Penangkapan Pemimpin IM termasuk Dr. Mahmoud Ezzat, Dr. Essam El-Erian, Dr. Abdur-Rahman Al-Barr


Isnin, 8 Februari 2010

Pasukan keselamatan Mesir melancarkan gerakan penangkapan ke atas IM termasuk pemimpin-pemimpinnya sebelum subuh hari ini. Di antara yang ditahan ialah Naib Mursyid Am, Dr. Mahmoud Ezzat, anggota Maktab Irsyad Dr Essam el-Erian dan Dr. `Abdur-Rahman Al-Barr, Profesor Ulumul Hadis yang juga anggota Maktab Irsyad.

Mereka juga menggeledah rumah Dr. Mohi Hamid, anggota Maktab Irsyad tetapi beliau dan ahli keluarganya tiada di rumah ketika itu.

Di Wilayah Kaherah, pasukan keselamatan menahan Ahmed Abbas manakala di Giza, mereka menahan Dr. Mohamed Saad El-Ewa, Ketua Jabatan Urologi di Hospital Bolaq el-Dakrour.

Sementara itu di Wilayah Sharqia, Dr. Mohammad Abdel Ghani, pakar ophthalmologi di Hospital Perubatan, Zagazig University serta penulis Islam Waleed Shalabi juga ditahan.

Turut ditahan ialah Dr. Ali Abdel Rahim, Professor di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Assiut University dan Khalaf Thabit Hareedy, seorang kakitangan di Pejabat Pelajaran di Wilayah Assiut

Di Iskandariah, pasukan keselamatan menggeledah rumah Ibrahim Al-Sayyed, Ahmed Abdel-Ati dan Mustafa Al-Sharbatly, semuanya kakitangan pentadbiran pejabat IM di Iskandariah.

Peguam IM, Abdel-Moneim Abdel-Maksoud, menegaskan bahawa penahanan ini sebenarnya bersifat provokatif dan zalim. Menurutnya, bilangan tahanan dijangka meningkat kerana peguam-peguam masih mengumpulkan nama-nama mereka yang terlibat di semua wilayah.

Artikel asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=23068

Monday, February 1, 2010

Badee’: IM meninggalkan politik adalah ramalan tidak berasas

Menjawab khabar angin tentang penglibatan politik


Sabtu, Januari 23, 2010







IM akan menyertai semua pilihanraya


Mursyidul Am IM yang baru Dr. Mohamed Badee’ membidas pandangan yang meramalkan IM akan mengurangkan penyertaan politik atau meninggalkan kerja politik. Beliau menganggapnya sebagai ramalan yang tidak berasas.
Dalam satu kenyataan eksklusif kepada "islamiyoon.net" sebelum pelantikannya, Badee’ menekankan yang IM akan mengambil bahagian dalam semua pilihanraya parlimen, kesatuan sekerja, kelab guru, dan majlis tempatan kerana "Islam yang kami wakili adalah Islam yang syumul (komprehensif) yang merangkumi seluruh aspek kehidupan."

Ketika ditanya mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh IM dalam perdebatan di kalangan masyarakat Mesir berkaitan pemilihan presiden mendatang dan kebimbangan tentang pemerintahan yang diwarisi secara turun-temurun, ketua IM itu menegaskan, "kami akan terus memainkan peranan kami" sambil menjelaskan bahawa "dalam beberapa bulan terakhir gerakan ini sibuk dengan urusan dalamannya." Badee’ menekankan bahawa tidak akan ada perubahan pada perancangan, matlamat atau pendekatan mereka.
"Dalam hal ini kami menggalakkan semua badan dan pertubuhan sosial dalam masyarakat untuk menyokong sebarang gerakan ke arah kebaikan masyarakat," beliau menambah.

Kebimbangan tentang kumpulan pemisah


Kebimbangan perpecahan muncul setelah timbul kekhuatiran tentang masa depan penyertaan politik IM di bawah Maktab Irsyad yang didominasi oleh puak konservatif. Hal ini menimbulkan perdebatan mengenai kemungkinan IM akan meninggalkan kerja politik untuk menumpukan kepada kerja amal di samping tumpuan kepada urusan pentadbiran dan pendidikan dalaman dan dengan itu meminggirkan kehadiran mereka dalam masyarakat umum. Dengan itu juga dibimbangi suara pembangkang terbesar di negara itu akan menyepi.

Ramalan ini diperkuatkan oleh apa yang disebut oleh pemerhati sebagai "perjuangan berlarutan" dalam IM di antara dua kecenderungan. Masing-masing mempunyai visi, pendekatan dan rancangan untuk masa depan IM. Satu pihak adalah terbuka kepada masyarakat termasuk menerusi kuasa politik dan parti, sementara yang satu lagi mahu menumpukan dedikasi ke arah reformasi hal ehwal dalaman IM.

Perkara ini dapat disaksikan baru-baru ini dalam apa yang disebut oleh sebahagian pihak sebagai "pertempuran sengit" dalam pilihanraya Maktab Irsyad yang baru lepas di mana pihak yang dikatakan berkecenderungan konservatif telah menewaskan pihak yang digelar penyokong reformasi seperti Dr Mohamed Habib, mantan ahli Maktab Irsyad, dan Dr Abdel Monem Abul Fotouh, setiausaha agung Persekutuan Doktor Arab.
Berikutan keputusan itu, khabar angin tersebar luas tentang masa depan politik IM dan penyertaannya dalam pilihanraya parlimen dan pemilihan presiden mendatang, terutama dalam konteks isu pemerintahan yang diwarisi secara turun-temurun di Mesir.

Diaa Rashwan, seorang penyelidik dan penganalisis hal ehwal gerakan Islam meramalkan bahawa IM tidak akan mengambil bahagian dalam pilihanraya parlimen dan Majlis Syura pada tahun 2010, terutamanya kerana kumpulan yang menang tidak begitu cenderung dengan pilihanraya umum.
Dalam sebuah wawancara dengan saluran TV satelit Al-Hiwar, Rashwan percaya bahawa pihak yang mendominasi IM akan membawa IM kembali ke bidang pendidikan dan keagamaan, sambil menggambarkan yang situasi ini sebagai "menyenangkan" kerajaan Mesir.

Namun Dr Rafiq Habib tidak bersetuju dengan pandangan ini. Beliau melihat perubahan struktur Maktab Irsyad boleh "mengakibatkan keseimbangan antara penekanan aktiviti pendidikan dan aktiviti politik." Atas alasan itu beliau tidak menjangkakan sebarang pemencilan IM daripada penglibatan politik, sambil menambah, "mungkin dalam tekanan politik dan media semasa, yang akan berubah ialah kuantiti dan bukannya prinsip."
Dalam satu kenyataan kepada "islamiyoon.net" penyelidik hal ehwal gerakan Islam itu menyentuh mengenai perbahasan tentang dua kecenderungan dalam IM. Menurut beliau, menghadkan kes kepada dua kelas tidak tepat. Seharusnya trend itu dikategorikan kepada tiga, "trend yang difokuskan kepada kerja politik, dan trend yang memfokuskan kepada kerja kemasyarakatan dan trend ketiga yang mengimbangkan keduanya." Ini yang dominan dalam IM, namun tidak diberikan perhatian sepatutnya atas beberapa sebab, seperti yang ditekankan Dr Habib. Beliau mengutarakan bahawa ketiga-tiga trend sepakat tentang keutamaan kerja politik dan penglibatan awam. Trend-trend ini masih wujud dan pelantikan Maktab Irsyad dan Mursyidul Am baru "tidak membawa perubahan besar atau asas memandangkan beberapa ahli lama masih terpilih."

Dalam konteks perjuangan antara reformis dan konservatif, pemerhati percaya bahawa pihak reformis yakin bahawa segala macam penglibatan sosial dan politik gerakan itu adalah suatu keperluan. Penyertaan dalam kegiatan pembangkang dan penglibatan dalam arena politik termasuk kuasa politik dan kebudayaan melalui dialog, seiring dengan kumpulan-kumpulan lain, adalah untuk tujuan pembaharuan (reform). Ia merupakan faktor umum yang disepakati oleh mereka.


Namun, kecenderungan konservatif melihat bahawa penting untuk meninggalkan pentas politik untuk menumpukan perhatian kepada struktur IM, terutamanya selepas serangan keselamatan yang yang dikenakan kepada IM, di samping kempen penangkapan yang mengganggu kegiatan IM dan menghalangnya daripada mengajak ahli baru kepada kumpulan itu terutama dari kalangan universiti dan kesatuan sekerja.
Dibandingkan dengan keputusan sederhana yang telah dicapai oleh IM dalam Parlimen di mana mereka memenangi 88 kerusi, mereka tidak mampu menghalang keputusan oleh kerajaan disebabkan dominasi parti yang berkuasa (NDP) dalam Parlimen.

Penyertaan adalah Perlu


Dr. Abdel Rahman El-Bar, seorang ahli Maktab Irsyad dari kalangan konservatif mengkritik para penyelidik dan penganalisis yang membuat ramalan tentang IM. Beliau menekankan bahawa penyertaan dalam semua pilihanraya "adalah keputusan yang IM tidak akan ubah." Beliau percaya yang IM tidak akan mengundurkan diri daripada menyertai mana-mana kegiatan," kerana pendekatannya berasal dari al-Quran dan Sunnah.


Profesor di Universiti Al-Azhar itu menambah bahawa semua Muslim yang mengimani al-Quran dan Sunnah memahami bahawa "setiap Muslim sepatutnya berminat dengan politik." Secara umum, semua perlu peduli dengan urusan-urusan negara, bekerja untuk kesejahteraannya serta terlibat dalam kerja ekonomi, sosial dan amal. Beliau menolak tuduhan bahawa ahli IM mungkin sibuk dengan kegiatan politik sehingga melupakan tugas dan tanggung jawab mereka, sambil menekankan, "menjadi ahli politik tidak bererti seseorang itu mengabaikan solat, puasa, haji atau zakatnya."

El-Bar menyebut bahawa adalah salah untuk menganggap bahawa ketiadaan Dr Mohamed Habib dan Dr Abdel Monem Abul Fotouh dalam Maktab Irsyad akan menukar prinsip-prinsip mereka. Beliau menambah Habib dan Abul Fotouh mengambil bahagian dalam semua urusan IM kerana mereka "dalam hati dan fikiran setiap Ikhwan Muslimun" dan mereka adalah "tokoh utama dan sangat disanjung" dalam gerakan itu. Dia menolak desas-desus yang menyatakan bahawa kumpulan tersebut dikawal oleh satu orang atau satu kelompok kerana IM mempunyai perancangan dan pendekatan yang tidak berubah, sambil mengatakan, "kami tidak menimbangkan perubahan apa pun kecuali untuk yang terbaik."

Berkaitan perbezaan antara pendidikan dan kegiatan politik dalam gerakan tersebut, El-Bar yang merupakan penceramah Islam terkenal di beberapa saluran satelit melihat bahawa pendekatan IM tidak melebihkan satu trend dari yang lain. Tambahan pula, IM berpegang kepada keseimbangan dan inilah yang membezakan IM daripada pertubuhan lain kerana "ia menempatkan semua yang baik dalam satu bakul."


El-Bar menyeru semua kuasa sosial untuk menjabat tangan yang dihulurkan oleh IM yang berusaha untuk membantu semua melalui penyertaan dan kerjasama. Beliau menyebut "kami mencintai negara ini dan kami mahu memperbaharui seluruh anggota tubuhnya" sambil menambah, "IM tidak mahu dikecualikan orang lain dan tidak mahu mengecualikan orang lain."


Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=22779

Temuramah Dr. Mohammed Badee' dengan Reuters


Mursyidul Am Dr. Mohammed Badee’ kepada Reuters: Ikhwan Muslimun mengecam keganasan dalam semua bentuk dan menggesa ditubuhkan satu barisan sepadu bagi memerangi sikap tidak toleransi.

Jumaat 29 Januari 2010


Merujuk penglibatan Ikhwan Muslimun dan khabar angin menyatakan rejim pemerintah tidak akan memberi peluang yang sama seperti pilihanraya parlimen tahun 2005, Mursyidul Am menjawab Ikhwan Muslimun akan menurut mengikut kehendak orangramai. Ikhwan Muslimun juga menyatakan jika pilihanraya adalah bebas, adil dan telus, maka ia akan menerima keputusan rakyat dan menekankan bahawa gerakan ini sentiasa menghormati kebebasan membuat pilihan serta bersuara.

Peranan Ahli Parlimen Ikhwan Muslimun


Mursyidul Am berbangga dengan pencapaian gerakan ini di Parlimen dan pelaksanaan meluas kaedah pemantauan oleh ahli Parlimen seperti penyiasatan, soal-siasat, pembentangan soalan, serta cadangan deraf undang-undang. Beliau memperincikan kesungguhan ahli Parlimen IM menghadiri mesyuarat dewan rakyat serta penglibatan dan interaksi yang dimainkan mereka dalam perbincangan-perbincangan yang penuh kontroversi. Beliau menambah, 90% soalan yang dikemukakan di Parlimen datangnya dari ahli parlimen Ikhwan dan sekiranya tiada campurtangan rejim, Ikhwan Muslimun sepatutnya berhak diberi 40 kerusi tambahan. Mursyidul Am menyatakan masalah sebenar bukan berpunca daripada badan perundangan ataupun pada pencalonan tetapi daripada mekanisma yang tidak cekap bagi mengendalikan pilihanraya secara bebas dan adil. Beliau mencemuh pengendalian pilihanraya masakini yang mana terdapat kertas undi mencatatkan nama pemilih yang telah meninggal dunia yang mengundi parti pemerintah, NDP.

Beliau menyatakan pindaan perlembagaan yang diluluskan baru-baru ini tidak dilihat sebagai ancaman politik kepada gerakan ini kerana Ikhwan Muslimun bukan sekadar berminat dalam politik sahaja, malah ianya adalah gerakan Islam yang wujud berdasarkan Quran dan Sunnah. Gerakan ini lebih memberi tumpuan kepada reformasi dan kemajuan dalam negara Mesir dan untuk Mesir.


“Kami menggalakkan rakyat Mesir supaya memperjuangkan hak mereka dan kami menentang penindasan dan penafian hak serta kebebasan asasi yang sedang berlaku sekarang. Maka kami menuntut pemerintah dan kerajaan mengembalikan hak-hak ini.”


Ikhwan Muslimun dan kaum Copt (Kristian Mesir)

Berhubung dengan pandangan Ikhwan tentang kaum wanita dan Copt, Badie menegaskan bahawa kaum Copt merupakan rakan senegara. Beliau menerangkan bahawa keputusan Ikhwan untuk mencalon kalangan Copt atau wanita untuk Presiden bergantung pada pandangan ulama. Oleh itu terpulang kepada rakyat untuk menentukan pemimpin mereka. Beliau memetik kenyataan Pope Shenouda III (Ketua kaum Copt) yang mana telah berkata bahawa kaum Copt tidak bertujuan untuk mencalon untuk Presiden sebab perkara ini akan ditentukan oleh kehendak rakyat, yang dalam konteks Mesir akan berpihak kepada kaum Islam.
Mursyidul Am berpendapat bahawa keputusan Pope itu adalah bijak dan selaras dengan pandangan Ikhwan Muslimun bahawa Mesir adalah negara Islam dan jawatan Presiden berkehendakkan ciri-ciri tersebut.

Ikhwan dan keganasan

Amaran Presiden Mubarak akan mengamalkan pendekatan yang yang tegas terhadap keganasan tidak membimbangkan gerakan ini kerana mereka juga menentang keganasan. Keganasan dalam apa bentuk pun akan dikecam oleh Ikhwan Muslimun. Gerakan ini tidak pernah dan tidak akan menerima keganasan. Sebaliknya mereka menuntut keamanan, kesabaran dan toleransi. Beliau merujuk kepada Biro panduan pilihanraya gerakan itu sebagai contoh aliran pemikiran yang sederhana yang mana mereka lebih mementingkan demokrasi dan kematangan dialog dari keganasan dan kezaliman.

Merujuk kepada pilihanraya Presiden beliau menafikan ada pemimpin Ikhwan Muslimun yang pernah bertanding sebagai calon atau pun kemungkinan akan bertanding pada pilihanraya akan datang, atau memberi sokongan pada satu calon untuk menidakkan peluang calon lain kerana isu ini adalah terlalu awal.
Beliau menggesa pertubuhan masyarakat, kesatuan sekerja, dan kesatuan pelajar digunakan sepenuhnya. Badee menafikan adanya dailog dengan mana-mana Pentadbiran Amerika atau Eropah, menegaskan bahawa sebarang dailog dengan mereka mestilah mengikut saluran sah negara Mesir.

Badee mengakhiri temuramah dengan menegaskan bahawa kebebasan hak adalah perjuangan kemanusiaan dan semua negara patut diberi layanan yang sama. Tidak ada negara yang berhak untuk menundukkan atau menzalimi orangramai. Barat sepatutnya mendukung persamarataan untuk semua orang dan dan bersatu melawan kezaliman dan ketidakadilan seperti yang sedang berlaku di Palestin dengan penjajahan Israel. Begitu juga di Iran dan Afghanistan. Beliau mengingatkan sekiranya mahu melawan kezaliman, kita mesti mampu menyuarakannya. Kezaliman boleh terus berleluasa jika tiada yang bersuara menentangnya.

Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=22864

Kenyataan IM Mengenai Keganasan di Nigeria


Ikhwan Muslimun Mesir mengecam keganasan terhadap orang awam yang tidak berdosa di Nigeria

Islam menjaminkan kebebasan beragama dan toleransi untuk semua. Badee’ menggesa semua organisasi kerajaan dan bukan-kerajaan campurtangan untuk mempelopori usaha untuk keamanan dan kestabilan.



Isnin 25 Januari 2010

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Berdasarkan pengajaran Islam yang melarang penumpahan darah yang sia-sia serta mempelopori kehendak-kehendak menghormati kemanusiaan, Ikhwan Muslimun di Mesir mengecam sekerasnya persengketaan kaum dan pembunuhan beramai-ramai antara puak Muslim dan puak Kristian di Nigeria. Pembunuhan beramai-ramai ini telah mengorbankan puluhan nyawa serta mengakibatkan ratusan terbunuh dalam kejadian keganasan agama yang terbaru, yang mula meletus pada tahun 2001 dan sekali lagi pada 2008.


Mursyidul Am IM Dr Mohamed Badi menggesa Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), Kesatuan Afrika dan Majlis Kemanusiaan Afrika untuk campurtangan serta merta dan menggesa semua pihak yang bertelagah supaya menghentikan pembunuhan terhadap orang awam yang tidak berdosa. Beliau menyatakan betapa penting dan perlunya disiasat punca berlakunya pergaduhan itu.


Kami ingin mengingatkan rakyat Nigeria akan nilai-nilai Islam dan Kristian yang mementingkan semangat toleransi, hidup bersama serta sepakat untuk menangani cabaran yang dihadapi Nigeria masakini, termasuk kemiskinan, pengangguran, perkauman dan penindasan.
Kami juga menggesa kerajaan Nigeria supaya mengambil tindakan serta melaporkan hasil siasatan dan mempercepatkan usaha ke arah reformasi sosio-politik dan membina kekuatan Kebangsaan sebagai negara Afrika yang terbesar.

Dr Mohammed Badee'

Mursyidul Am IM


Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=22797
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template