Saturday, April 24, 2010

Risalah Mursyid: Perdamaian suatu kewajipan di dalam Islam











Risalah dari Dr. Muhammad Badie’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin.


8 April 2010

Dengan nama Allah, segala pujian hanya untuk Allah, selawat dan salam ke atas Rasul saw dan orang yang mengikutinya.

Perdamaian di dalam Islam adalah asas gerakan umat atau bangsa…

Pada ketika ini dunia meletakkan harapan kepada nilai dan prinsip Islam bagi menangani masalah ekonomi dan sosial, lebih-lebih lagi dalam menghadapi bencana politik yang berpunca dari sistem rekaan manusia, persengketaan dan ketamakan duniawi, khasnya selepas kebangkitan rakyat dan aktivisme yang pesat dalam mendokong perubahan dan reformasi.

Jelas bahawa manhaj Islam yang pernah memberi kebahagiaan kepada manusia satu ketika semasa pelaksanaannya dahulu adalah satu-satunya jalan yang Allah redai.

Manhaj Islam inilah yang telah menyelamatkan manusia daripada kesakitan dan kepedihan dengan melimpahkan kemerdekaan dan kebebasan bukan kediktatoran, keadilan bukan kekejaman, bersistem dan tersusun rapi bukan caca-merba, menjaga kehormatan diri bukan kegiatan berfoya-foya, kesatuan dan perpaduan bukan perpecahan. Segala keindahan hidup insan terdapat di dalam Islam.

Firman Allah:

وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلافًا كَثِيرًا
“Sekiranya(Al-Quran) itu bukan dari Allah, pastilah mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya”.(An-Nisa’:82)


Di antara perkara terunggul yang dibawa oleh Islam ialah seruan yang jelas kepada kedamaian dan kesejahteraan bukan kepada asabiah atau perkauman sempit. Berdasarkan hadith nabi:

ليس منا من دعا إلى عصبية، وليس منا من قاتل على عصبية، وليس منا من مات على عصبية
“Bukan golongan kami orang yang menyeru kepada asabiah, bukan golongan kami orang yang berperang atas dasar asabiah, dan bukan golongan kami orang yang mati atas dasar asabiah”.(Abu Daud)

Firman Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا
“Tidaklah kamu diutuskan melainkan kepada semua manusia dengan membawa berita gembira dan peringatan”. (Saba’:28)

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Tidak kami utuskan kamu melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam”.
(Al-Anbiya’:107)

Sesungguhnya apa yang dilaungkan oleh pendokong perubahan dan reformasi di serata dunia sebenarnya telah lama diperkukuhkan oleh Islam yang berupa keadilan, kemerdekaan dan kebebasan, kedamaian dan keselamatan padahal hal ini tidak pernah dicapai walau seketika oleh Pertubuhan PBB, Majlis Keselamatan PBB dan apa jua pertubuhan.

Di dalam Islam perdamaian adalah asas gerakan umat dan bangsa.

Lihatlah pada malam yang damai yang di dalamnya Al-Quran telah diturunkan (malam alQadr), ucapan penghormatan Allah kepada hamba-Nya dengan perkataan ‘salam’ (sejahtera atau damai), salah satu nama Allah ialah ‘salam’ dan orang-orang Islam tidak boleh menolak seruan kepada perdamaian berdasarkan firman Allah:

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Tetapi jika mereka condong kepada perdamaian, maka terimalah dan bertawakkallah kepada Allah, Sesungghuhnya Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui”.
(Al-Anfal: 61)









Panorama Perang Oktober 1973
(Tentera Mesir)



Jika Islam adalah agama perdamaian maka apakah pendirian Islam terhadap peperangan?

Imam Al-Banna pernah menyebut hal ini: “Jikalau peperangan itu bertujuan untuk mengekang pelampau, menghentikan kezaliman, mendokong kebenaran dan membantu mangsa kezaliman, maka ia termasuk perkara yang dianjurkan oleh Islam kerana menghasilkan kebaikan, keberkatan dan kemuliaan kepada manusia”.

Oleh itu menentang permusuhan dan mempertahankan nyawa, keluarga, harta-benda, tanahair atau negara merupakan tindakan yang dibenarkan oleh Allah kepada mangsa kezaliman.


Firman Allah:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ
“Dizinkan (berperang) kepada orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka dizalimi. Dan sesungguhnya, Allah Maha Berkuasa menolong mereka”.
(Al-Haj: 39)

Islam memberi jaminan kepada kebebasan beragama dan kepercayaan kepada orang-orang mukmin ketika para musuh cuba memesongkan daripada agama mereka dan menimbulkan persengketaan dan pertentangan sesama mereka. Begitu jelas firman Allah yang menyebut:

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انْتَهَوْا فَلا عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِين
“Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah, dan agama hanya bagi Allah semata. Jika mereka berhenti, maka tidak ada lagi permusuhan kecuali terhadap orang yang zalim”.
(Al-Baqarah: 193)

Mempertahankan golongan tertindas dan lemah merupakan jihad dan perang pada di jalan Allah.

Firman Allah:

وَمَا لَكُمْ لا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيّاً وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا
“Dan mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah, baik lelaki, perempuan mahupun anak-anak yang berdoa, “ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang penduduknya zalim. Berikanlah kami pelindung dari sisi-Mu, dan berilah kami penolong dari sisi-Mu.”
(An-Nisa’: 75)

Memelihara Islam daripada konspirasi dan rencana jahat musuh yang cuba menghancurkan Islam atas nama ‘perjanjian damai’, adalah termasuk suruhan Allah kepada para mukminin. Firman Allah:

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا
“Orang-orang yang beriman, mereka berperang pada jalan Allah, dan orang-orang kafir mereka berperang pada jalan thaghut, maka perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah.”(An-Nisa’: 76)

Menyedarkan orang-orang yang cenderung kepada ‘rundingan damai’, menyelamatkan orang-orang yang tertindas dan mempertahankan mereka dengan menentang pihak yang menindas mereka, merupakan syiar al-Quran yang berkekalan. Firman Allah:

وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْر
“Dan jika mereka minta tolong kepada kamu dalam agama maka atas kamulah tanggung-jawab memberi pertolongan..”.(Al-Anfal: 72)

Seterusnya secara langsung Islam menyatakan wajib dari segi syarak menghormati perjanjian dan perundingan yang ditegakkan atas dasar keadilan.

إِلَّا عَلَى قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ
“..Kecuali kepada kaum yang antara kalian dan antara mereka ada perjanjian.”(Al-Anfal: 72)



Selepas penjelasan ini adakah masih ada perasaan takut pada segelintir umat?





Celebrating the signing of the Camp David 17 September 1978:
Menachem Begin, Jimmy Carter, Anwar El Sadat



Adakah mereka takut menolak perundingan di atas nama ‘damai’ kerana bimbang diperangi sebagai alasan kerana menolak perundingan?! Adakah peperangan melawan Israel telah berakhir selepas Presiden Anwar Sadat mengumumkan di Knesset: “Sampaikan berita gembira kepada anak-anakmu bahawa perang Oktober 1973 adalah perang terhadap Yahudi yang terakhir??”.


Justeru adakah perundingan damai benar-benar membuahkan impian umat ataupun hanya sebuah ‘damai’ yang kejam dan penuh penipuan yang terhasil dari persetujuan itu?? Adakah menyemak semula ‘perjanjian’ atau membatalkan bermakna pengisytiharan perang? Jika dikaji, Zionis Israel yang kerap melanggar atau mencabul perjanjian malah tidak pernah menghormati perjanjian dan tidak pernah menepatinya. Mereka tidak pernah mengisytiharkan perang walhal mereka sentiasa bersedia untuk berperang.

Selepas lebih 31 tahun (daripada Perjanjian Camp David 1978 dan Perjanjian Damai Mesir Israel Mac 1979)...pihak yang menurun tandatangan tidak pernah menghentikan perang risikan yang merupakan satu strategi ketenteraan yang paling banyak menghancurkan, sama ada dari segi kebudayaan, ekonomi, sosial dan keilmuan. Terakhir sekali ialah pembunuhan (wakil Hamas) Mabhouh di atas bumi Arab sendiri.

Selepas lebih 31 tahun...negeri Palestin hingga kini masih belum dapat kembali kepada kita. Bahkan kita saksikan kerja meruntuhkan rumah penduduk Palestin semakin bertambah dan membina penempatan Yahudi di atasnya, usaha mengyahudikan Al-Quds, ancaman untuk meruntuhkan Masjid Al-Aqsa, tekanan berterusan ke atas gerakan rakyat dan serangan yang bertali arus ke atas Gaza yang terkepung.

Selepas lebih 31 tahun...Semenanjung Sinai hingga kini masih belum dapat kembali kecuali dari segi fizikal sahaja kerana askar, pesawat dan kem tentera dilarang daripada wujud di sini. Lapangan terbang tentera dilarang daripada digunakan untuk tujuan ketenteraan. Satu pertiga bumi Sinai sifar senjata, bahkan dilarang daripada dimajukan untuk perumahan, pelaburan ekonomi dan program yang bermanfaat. Tiada kampung yang boleh dilawati, tiada penempatan penduduk.

Selepas lebih 31 tahun...sebahagian pengalisis politik berpendapat bahawa ‘perjanjian damai’ itu tidak membawa kepada perlaksanaan yang betul di dalam hubungan dua-hala. Ini kerana perjanjian itu ternyata berat sebelah yang hanya menuntut satu pihak dan tidak pihak yang satu lagi. Oleh itu hubungan ynag terhasil daripada perjanjian itu masih longgar dan lemah.

Selepas lebih 31 tahun... Zionis masih memperlekeh bangsa dan umat kita, seperti keengganan mereka menandatangani perjanjian larangan membangunkan senjata nuclear yang mengancam keamanan dan keselamatan Mesir. Mereka masih menduduki kampung Ummu Rasharash yang menjadi milik Mesir yang menjadi bandar para jemaah haji Mesir. Mereka masih mengancam untuk meruntuhkan empangan tertinggi (Aswan). Mereka membangunkan dinding dan tembok yang memisahkan kampung-kampung Arab dan meluaskan pembinaan penempatan haram yang dirampas daripada penduduk Arab terutamanya di Baitulmaqdis.

Selepas lebih 31 tahun...Mesir telah kehilangan kuasa autonomi ke atas Semenanjung Sinai. Sejak dari awal Menachem Begin telah mengumumkan semasa menyerahkan Sinai kepada Mesir hanya secara fizikal: “Kita akan kembali kepada Sinai. Kamu akan mendapati Sinai dalam dakapan kita”. Oleh itu sumber kuasa autonomi Mesir ke atas Sinai berakhir, tinggal sejarah kepada kerajaan Mesir selepas terikat dengan perjanjian Mesir-Israel 1979. Justeru menjadi hak eksklusif Israel untuk kembali menduduki Sinai sekiranya Mesir melanggar syarat-syarat yang mengelirukan, dengan hujah bahawa pengunduran tentera Israel dari Sinai sebagai syarat dengan mengiktiraf kerajaan Israel di Palestin dan menyokong serta melindungi kepentingannya. Di akhir sekali Menteri Pertahanan Israel mengukuhkan lagi pendirian mereka: “Kami akan kembali ke Sinai apabila di Mesir berlaku sesuatu yang kita tidak sukai”.

Selepas lebih 31 tahun…perjanjian itu telah melahirkan golongan pekerja dan buruh yang mendokong agenda Amerika dan Zionis serta bertindak atas kepentingan mereka, bukan atas kepentingan Arab dan Islam seperti mengekspot petrol dan gas. Tugas utama mereka melindungi agenda musuh dari dalam negara Mesir sekalipun dengan melumpuhkan kekuatan bangsa dan tanah air.

Oleh itu sesungguhnya perjanjian itu telah lenyap syarat-syarat dan terma-termanya. Ia tidak menepati hukum dan prinsip Islam, tidak mendatangkan masalahat kepada umat bahkan menumbuhkan pelbagai kerosakan dan bencana, dipenuhi dengan kekaburan dalam teks dan objektifnya, tidak bertujuan untuk mengembalikan peraturan dan memberikan umat (sumber kuasa) haknya untuk menyatakan pendapatnya selepas pengalaman yang berlalu ini mempunyai hasil tuaian di atas perjanjian damai itu. Ini tidak bermaksud bahawa menamatkan perjanjian ini sebagai mengisytiharkan perang sebagaimana sangkaan orang yang menyangka..
Justeru, kita berkewajipan;
Pertama: Menamatkan perjanjian untuk memutuskan hubungan dan ikatan dengan pihak Zionis Israel. Ini kerana tindakan mereka yang terus memerangi Palestin, melakukan kekejaman di Gaza dan membunuh pemimpin Hamas. Sejarah membuktikan sikap Israel yang sering mencabul perjanjian yang telah dimeterai dan yang paling ketara ialah nenek moyang mereka pernah mencabul perjanjian bersama Nabi (saw) di dalam Negara Islam.

فَبِمَا نَقْضِهِمْ مِيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ
“(Tetapi) kerana mereka melanggar janjinya, maka Kami melaknat mereka.”
(Al-Maidah: 13)

Kedua: Memberi perhatian serius dengan membuat persediaan rapi bagi menghadapi ancaman ketenteraan yang ditunjukkan oleh musuh secara terang-terangan. Buktinya, mereka terus berpegang dengan cita-cita menubuhkan Israel Raya daripada Sungai Nil hingga Sungai Furat! Mereka mengadakan perarakan tahunan angkatan bersenjata Israel sebagai persiapan untuk berperang pada masa akan datang.

Ketiga: Kita terus beriltizam dengan ketakwaan kepada Allah, bersenjatakan sifat sabar, keteguhan hati (thabat) dan mendokong perjuangan serta penentangan terhadap musuh Islam.

Firman Allah:

وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيط
“Jika kamu bersabar dan bertakwa, tipu daya mereka tidak akan menyusahkan kamu sedikit pun. Sungguh Allah Maha meliputi segala apa yang mereka kerjakan”.
(Ali-Imran: 120)

Justeru, dengan kewajipan yang dinyatakan ini dan disertai dengan keteguhan ini akan leburlah apa yang dikatakan sebagai takut. Ketahuilah sebiji batu berupaya menewaskan alat persenjataan canggih Israel di dalam Intifadhah Pertama dan Kedua. Keteguhan dalam perjuangan dan penentangan berupaya menewaskan Israel seperti peperangan yang berlaku di Gaza. Yakinlah bahawa kemenangan bukan mustahil selagi perjuangan dan penentangan berterusan. Bahkan kita percaya dengan perancangan daripada Perancang yang Terbaik, Allah SWT. Firman Allah:

قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآياتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ
“Sungguh telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang tersembunyi di hati mereka lebih jahat. Sungguh, telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu mengerti”.
(Ali-Imran: 118)

Dengan keteguhan ini akan terpadamlah api pergaduhan sesama sendiri, akan terhenti penyebaran rasa gentar kepada musuh. Tiada lagi huru-hara, kacau-bilau dan mementingkan diri di dalam saf. Kita menolak sikap pesimistik dan senang menyerah kalah. Kita akan memperkuatkan barisan pejuang dan menyatukan hati-hati mereka di dalam satu barisan yang kukuh. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang pada jalanNya di dalam satu barisan yang teratur seakan-akan sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.
(As-Shaff: 4)

Dengan keteguhan ini kita dapat merealisasikan perdamaian sebenar yang mampu menyelamatkan manusia daripada penindasan dan ketidakadilan.

Imam Al-Banna pernah berpesan: “Tidakkah manusia yang berada dalam kebingungan mahu berteduh di bawah naungan agama Allah? Tidakkah mereka mahu belajar erti kedamaian dari segala seginya (secara teori dan praktikal) daripada Islam agama perdamaian..?”

قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَسَلامٌ عَلَى عِبَادِهِ الَّذِينَ اصْطَفَى آللَّهُ خَيْرٌ أَمَّا يُشْرِكُون
“Katakanlah (Muhammad),“Segala puji bagi Allah dan salam sejahtera ke atas hamba-hambaNya yang dipilihNya. Apakah Allah yang lebih baik, ataukah apa yang mereka persekutukan (dengan Dia)”.(An-Naml: 59)

Allah Maha Besar dan segala pujian hanya bagi Allah.

Artikel Asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=63089&SecID=213
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template