24/04/2010
Tanggungjawab kita terhadap orang lain
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah.
Saudara-saudaraku dan kekasih-kekasihku di jalan Allah,
Salam sejahera buat kamu, salam daripada Allah, rahmat serta keberkatan-Nya. Bicara hatiku kali ini mengenai tanggungjawab kita terhadap orang lain. Ya, kita memikul resah derita umat ini. Permasalahan yang mereka hadapi mesti diletakkan di bawah pemerhatian kita. Apakah caranya untuk mengatasi segala permasalahan ini?
Inilah sebenarnya peranan kita. Kita berpegang kepada sabda Nabi صلى الله عليه وسلم "إنكم لن تسعوا الناس بأموالكم ولكن يسعهم منكم بسط الوجه وحسن الخلق". Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat menguasai dan memenuhi kehendak manusia dengan harta kamu, tetapi kamu boleh menguasai dan memenuhi kehendak mereka dengan kemanisan wajahmu dan keindahan akhlakmu”
Masalah paling besar yang dihadapi oleh umat manusia pada hari ini ialah masalah ekonomi. Sebagaimana kamu ketahui, Rab’ei bin ‘Aamir رضي الله عنه ketika beliau menyimpulkan misi kehadirannya di Parsi telah berkata: “Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki dari penyembahan kepada hamba (makhluk) kepada penyembahan kepada Tuhan sekelian hamba, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.
Bahagian kedua daripada ungkapannya itulah menjadi tumpuan saya di dalam bicara ini. Ungkapan yang ringkas itu sangat penting dan bermakna sekali. Ini kerana kita ingin memimpin tangan manusia membawa mereka keluar dari kesempitan dunia, meluaskan kepada mereka dunia yang sempit ini.
Sesungguhnya dunia kini sangat sempit buat mereka kerana banyaknya masalah yang mereka hadapi. Dan dunia yang sempit itu menyempitkan jiwa-jiwa mereka yang lapang. Jalan keluarnya berada di tangan-tangan mereka yang membawa cahaya kebenaran, yang membawa sinar Islam. Islam mengemukakan penyelesaian yang menyeluruh dari akar umbi segala permasalahan manusia, bukan sahaja masalah umat Islam semata-mata.
Soalanya, bagaimana ia akan terlaksana? Bagaimana hendak keluar dari kesempitan dunia kepada keluasannya? Bagaimana dunia ini dapat diluaskan? Caranya ialah dengan membuka jendela akhirat. Bayangkan kamu berada di dalam sebuah bilik yang sempit, kemudian kamu membuka tingkap yang mengadap ke arah taman yang luas saujana. Ketika itu pasti kamu tidak akan merasai bilik yang kamu diami itu sempit.
Begitulah dunia ini menjadi luas jika kita melihat dari celah-celahnya alam akhirat. Seandainya mereka berkata, kata-kata kamu ini bukan penyelesai masalah! Ayuh bersamaku! Kita selesaikan masalah! Sesungguhnya pokok pangkal penyelesaian segala masalah ialah kembali ke pangkal iman dalam semua urusan.
Sebagai contoh, lihat simen. Simen yang digunakan untuk menguat seluruh bangunan adalah satu sahaja. Begitulah untuk menyelesaikan semua masalah manusia mesti kembali kepada asas yang satu, iaitu iman. Di dalamnya teradun nilai-nilai akhlak yang menjadi teras kepada penyelesaian semua masalah. Tanpa asas ini dan adunan nilai-nilainya yang murni bangunan akan runtuh berkecai walau setinggimanapun ia didirikan.
Di atas asas inilah, dan dengan diperkukuhkan oleh simen terbinalah bangunan dengan berbagai-bagai reka bentuk yang berbeza. Apabila kita kembali kepada asas iman dan kepercayaan kepada Tuhan, di sana terdapat nilai-nilai murni yang disepakati hatta di kalangan penganut agama bukan Islam. Jadi, bagaimana masalah ekonomi dapat diatasi?
Jika kita telusuri kisah Nabi Musa عليه السلام salah seorang Nabi Bani Israel yang paling masyhur, kita dapati kisah ini mengemukakan contoh seorang lelaki, seorang manusia yang sedang berhadapan dengan keadaan yang amat kritikal. Beliau lari dari musuh yang sedang memburu untuk membunuhnya. Lari sehelai sepinggang tanpa bekalan, tanpa sebarang persediaan.
Perhatikan apa yang dikisahkan oleh al-Quran tentang lelaki ini: “Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu. Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.” (Al-Qasas:20-21)
“Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya)” Kata-kata ini menggambarkan keadaan Musa yang dalam ketakutan, kelaparan, kesempitan dalam serba serbi. Bayangkan betapa jauhnya perjalanan yang telah dilalui!
Dari Mesir, melintasi negeri Syam hingga tiba di Madyan. Ratusan batu diredahi tanpa harta, tanpa kenderaan, makanan, minuman dan pakaian untuk disalin. Berjalan dalam ketakutan, kebimbangan dan ketidaktentuan.
Mari kita lihat lelaki ini, seorang insan yang berada dalam suasana yang segenting itu, kepayahan yang tidak boleh kita gambarkan lebih dahsyat daripada itu. Tiba-tiba dia bertemu dengan dua orang gadis remaja yang memerlukan pertolongan. Dua gadis remaja ini memiliki segala-galanya sedang dia seorang pemuda yang tidak memiliki apa-apa. Dua gadis remaja itu mempunyai keluarga, ada ayah, rumah, makanan, minuman, binatang ternakan yang pastinya mengeluarkan hasil yang mencukupi untuk keperluan hidup mereka sekeluarga atau lebih daripada itu.
Yang mereka perlukan ketika itu hanya pertolongan seorang lelaki yang memiliki dua ciri. Apakah dua ciri itu? Ciri pertama ialah keazaman untuk menolong orang lain dan keinginan untuk menjadi seorang yang mulia, istimewa, bermaruah dan perasaan ‘izzah kerana dapat membantu orang lain seperti yang digambarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam sepotong Hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dikhususkan untuk menunaikan hajat manusia, mereka cintakan kebaikan dan kebaikan cinta kepada mereka”.
Ciri yang kedua pula adalah kekuatan tubuh badan yang membolehkan dia menolong dua orang gadis tadi. Bagaikan saya dapat menggambarkan bahawa Sayyidina Musa tidak memiliki apa-apa di dunia ini kecuali dua ciri tadi. Dalam pada itu dia bertemu dengan dua orang gadis yang berhajat kepada dua ciri itu yang merupakan itu sahajalah yang dimiliki oleh Musa عليه السلام .
Musa tidak lokek untuk memberikan dua ciri yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukannya. Himmahnya yang tinggi, keazamannya yang kental, ketokohan dan kelelakian yang merupakan ciri dalamannya di samping kekuatan dan keperkasaan tubuh badan yang merupakan ciri luarannya ( قوي أمين ). Dengan sifat mulia dalaman dan luaran yang dianugerahi oleh Allah عزوجل kepadanya dia pergi menghulurkan bantuan kepada dua orang gadis yang memerlukan pertolongannya kerana mengharapkan redha Allah. Selesailah perkara. Dia telah menjalankan tanggungjawabnya.
Cuba bayangkan, seandainya Nabi Musa عليه السلام hanya sibuk memikirkan masalah dirinya, mungkin dia akan berkata, aku lebih memerlukan pertolongan daripada mereka berdua. Untuk apa aku harus sibukkan diriku fikir masalah orang lain? Masalah aku sudah tak tertanggung banyaknya! Bayangkan kalau itulah cara fikir Nabi Musa, adakah akan terbuka jalan penyelesaian sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran?
Mari kita perhatikan. Sesungguhnya semua masalah telah berjaya diselesaikan kerana tindakan bijaknya membantu golongan yang memerlukan. Ketika dia memberikan apa yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukannya, dia mendapat penghormatan dari Allah عزوجل. Dengan pertolongan yang ikhlas mencari keredhaan Allah terhurai semua masalah yang dihadapinya. Dia dapat berkahwin dengan seorang gadis mulia lagi suci, dapat tempat tinggal yang aman, makanan, minuman dan pendapatan yang lumayan serta aman dari ketakutan dan kegusaran dikejar musuh. Bukankah semua masalahnya telah selesai?
Ya! Telah selesai! Ini kerana dia tidak hanya melihat ke dalam dirinya, tinggal tenggelam dalam memikirkan permasalahan diri sendiri semata-mata. Sebaliknya dia sentiasa melangkahi derita yang ditanggungi dan mencari insan lain yang memerlukan pertolongannya walaupun apa yang mereka perlukan itu, itu sajalah miliknya sedangkan orang yang berhajat itu memiliki segala-gala yang tidak ada padanya.
Kita lihat pula Sayyidina Yusuf عليه السلام. Dia terperosok di dalam penjara kerana dizalimi dan sangat memerlukan pertolongan. Dia melangkahi deritanya dan mencari derita orang lain untuk ditolongnya. Oleh kerana yang dilakukan adalah ikhlas mencari keredhaan Allah, datanglah pertolongan-Nya. Dia dapat kembali ke pangkuan keluarganya, pertemuan dengan saudara dan ayah bondanya.
Semua mimpi di zaman kecilnya terlaksana menjadi nyata. Semua permaslahan ini apabila kita lihat dengan kacamata iman, kita dapati bahawa sesiapa yang Allah عزوجل muliakan dengan melangkahi derita sendiri, melupai keperluan dan kepentingan diri sendiri, kemudian mencari keperluan orang lain untuk ditolongi, maka Allah عزوجل akan menyelesaikan permasalahan dan keperluannya.
Inilah titik permulaan berlandaskan iman. Di sinilah kita temui jalan keluar. Seungguhnya Allah akan memuliakan orang yang memberi kerana mencari keredhaan-Nya. Dia yang akan selesaikan masalah yang dihadapi. Dengan itu kita akan dapat keluar dan mengeluarkan diri kita dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.
Dalam bicara lain, kita akan kupas penyelesaian dari sudut kebendaan bagi mengatasi masalah kebendaan ini. Kita akan sempurnakan binaan di atas permukaan bumi setelah kita tanam kukuh-kukuh asas keimanan di dalam diri.
Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=63846&SecID=210