Risalah dari: Dr Muhammad Badie’, Mursyid Am Ikhwanul Muslimin, 16 April 2010
Dengan nama Allah, selawat dan salam ke atas Rasul saw dan orang yang mengikutinya sehingga hari Kiamat..
Allah berfirman dalam hadis Qudsi:
يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا
“Hai hamba-hamba-Ku, Aku telah mengharamkan sebarang bentuk kezaliman ke atas Aku sendiri, dan menjadikannya haram di antara kalian, kerana itu janganlah kalian melakukan kezaliman .. “ (Muslim)
Rasulullah saw juga bersabda:
اتَّقُوا دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا تُحْمَلُ عَلَى الْغَمَامِ ، يَقُولُ اللَّهُ جَلَّ جَلالُهُ:
وَعِزَّتِي وَجَلالِي لأَنْصُرَنَّكَ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ
“Takutlah kalian akan doa orang-orang tertindas kerana doa mereka diangkat melepasi awan. Allah berfirman: “Demi Kemuliaan dan Keagungan-Ku, Aku pasti akan menolong kalian walau setelah beberapa waktu”. (Tabrani)
Setelah lebih dari tiga tahun berada dalam penjara tentera (2 tahun lebih sejak tahun 2007 dihukum dengan undang-undang tentera), bukankah sudah tiba waktunya untuk menghentikan ketidakadilan dan kezaliman yang secara nyata dan terang-terangan berlaku ke atas Ir. Khairat Shatir dan temannya yang lain seperti Prof. Hassan Malik, Ahmad Shousah, Ahmad Ashraf dan Shadiq Syarqawi; yang masih berada di dalam penjara dan menderita akibat ditimpa berbagai penyakit serius di sana yang mengancam nyawa mereka semua. Mereka terus menjadi mangsa kezaliman di dalam penjara dan diancam penyakit padahal mereka tidak melakukan kesalahan apapun?!
Saya telah meneliti isu ini sendiri di mana wujud beberapa petunjuk yang mencemaskan dan membimbangkan perasaan anggota Ikhwan tentang kezaliman yang semakin menjadi-jadi terhadap mereka, terutama yang dijatuhi hukuman secara tidak adil, terhadap keluarga, staf yang ada bersama mereka, dan orang-orang yang dekat dengan mereka. Justeru, ia menegaskan pentingnya bertindak dengan cepat untuk menghentikan ketidak-adilan dan mengembalikan hak-hak kepada pemiliknya:
Pertama:
Kerana pihak pemerintah dan pihak keamanan berkeras untuk terus melanjutkan hukuman melalui mahkamah tentera dan mengenepikan mahkamah khas bagi rakyat biasa merupakan satu pelanggaran terhadap perlembagaan dan undang-undang. Ini merupakan pengadilan yang ketujuh yang memutuskan hukuman terhadap sejumlah besar pemimpin Ikhwan Muslimin, padahal mereka sama sekali tidak melakukan sebarang tindakan kekerasan atau ancaman keselamatan, sebagaimana mereka juga tidak melakukan sebarang jenayah terhadap negara dan rakyat Mesir dan pasukan keamanannya. Mengikut rekod, mahkamah tentera telah menjatuhkan hukuman kepada 178 kes pertuduhan dan 118 daripadanya bercanggah dengan pengadilan biasa dan melanggar berbagai pertimbangan undang-undang negara dan antarabangsa. Oleh itu ia merupakan pengadilan yang tidak sah, salah dan batal kerana berunsur politik melalui pertuduhan politik.
Kami sering menyeru pihak berkuasa segera menghentikan tindakan-tindakan yang memalukan Mesir di mata dunia dan menghapuskan semua undang-undang mahkamah tentera terhadap rakyat biasa. Kami menekankan perlunya menggugurkan perkara 179 daripada pindaan perlembagaan baru-baru ini yang telah membuat satu peruntukan perlembagaan, mewujudkan mahkamah khusus di luar dari kerangka undang-undang biasa. Hal ini, jika tidak diubah akan mengancam kedudukan/status negara sebagai sebuah negara undang-undang.
Kedua:
Pelanggaran keputusan/penghakiman mahkamah sivil lebih dari sekali; seperti ketika mahkamah menjatuhkan tiga keputusan membebaskan anggota Ikhwan kita, tetapi pihak berkuasa berkeras melakukan penangkapan dan penahanan atas alasan pentadbiran, dan kemudian dirujuk ke mahkamah tentera yang sebenarnya tidak berhak untuk menjatuhkan hukuman terhadap rakyat biasa. Tindakan ini terus berlanjutan pada permasalahan-permasalahan lain, di mana pihak berkuasa sering mengenepikan keputusan mahkamah. Ini menjadikan rakyat hilang kepercayaan terhadap keputusan mahkamah, tidak yakin akan keadilan, kebebasan serta ketelusannya.
Ketiga:
Pencabulan yang keterlaluan dalam menjatuhi hukuman, seperti yang terjadi pertama kali ketika menjatuhkan hukuman selama sepuluh tahun ke atas tertuduh yang tidak berada di kamar mahkamah. Ia bertujuan menghalang mereka kembali memasuki negara Mesir, kemudian menjatuhkan hukum penjara selama tujuh tahun ke atas Ir. Kherat Shater dan Profesor Hassan Malik, dan berkeras menolak rayuan dengan mengekalkan hukuman tersebut dengan kuasa veto tentera. Semua pihak menanti perkara ini dilihat kembali dan hukuman yang dikenakan biarlah pada kadar yang boleh diterima akal semoga dengan itu ketidak-adilan dan kezaliman yang begitu ketara ke atas anggota Ikhwan dapat diringankan. Dan jelas bahawa kuasa veto tentera bukanlah yang lebih baik daripada peringkat pertama. Tidak berlaku peralihan mahkamah tentera kepada mahkamah sivil. Bahkan hal tersebut akan tetap berlaku dalam ruang-lingkup hukuman mengikut undang-undang tentera sahaja. Sewajarnya tidak boleh ada campurtangan mahkamah tentera ke dalam mahkamah sivil untuk rakyat biasa selamanya bagaimanapun keadaan atau dengan apa cara sekalipun.
Keempat:
Hukuman yang bersifat menyeluruh dan berkait dengan ekonomi ke atas semua pengusaha dan pekerja di syarikat-syarikat swasta di dalam isu ini, sehingga menyebabkan kerugian besar terhadap perusahaan tersebut. Semua mereka menderita kerugian akibat penutupan perusahaan dan syarikat mereka, pembekuan aset dan wang mereka di bank-bank, dan menggantung aktiviti perniagaan masa lalu mereka serta melumpuhkan mata pencarian mereka, meskipun beberapa ketetapan resmi telah membebaskan perusahaan ikhwah ini dan lembaga-lembaga pengarah mereka dari berbagai tuduhan pencucian wang secara haram. Semua ini, tentunya menjadi penyebab salah faham secara sengaja terhadap perjuangan ikhwah dan yang berpegang teguh terhadap ajaran Islam. Ini merupakan hukuman yang kejam yang memberi kesan kepada ratusan keluarga yang bekerja keras untuk menampung hidup dengan mencari rezeki secara halal dan bekerja untuk pertumbuhan masyarakat dan mengangkat kedudukan ekonominya.
Kami menyeru kepada semua golongan yang berfikir, bahawa fenomena ini sangatlah serius kerana boleh membantutkan pembangunan dan pelaburan di Mesir dan memaksa pelabur luar negeri lari meninggalkan Mesir. Ini berpunca daripada tindakan pihak berkuasa menghancurkan perusahan dan syarikat berdaya saing akibat sengketa politik yang tidak adil. Kami juga menuntut dikembalikan dana dan harta yang disita dan dipulangkan kembali perusahaan dan syarikat yang ditutup kepada pemiliknya.
Kelima:
Hukuman bagi suatu kemenangan .. Hukuman ini diputuskan ke atas anggota Ikhwan Muslimin atas kemenangan besar mereka dalam pilihanraya parlimen pada tahun 2005. Iaitu satu tahun sebelum meledaknya isu hukuman yang tidak adil, sebagai ganjaran kepada siapa saja yang memberikan sumbangan terhadap kemenangan calon IM atau yang dilihat oleh pihak berkuasa bahawa seseorang terlibat dalam menolong calon dari Ikhwan Muslimin dengan berbagai cara.
Allah SWT berfirman:
هَلْ جَزَاءُ الإِحْسَانِ إِلاَّ الإِحْسَانُ
“Tidak ada ganjaran orang yang melakukan kebaikan kecuali kebaikan” (Ar-Rahman:60)
Sementara itu sistem di Negara kita mengatakan bahawa hukuman bagi kemenangan adalah siksaan ke atas orang yang tidak bersalah.
أَخْرِجُوا آلَ لُوطٍ مِنْ قَرْيَتِكُمْ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ
“Usirlah pengikut nabi Lut dari kampung halaman kalian, karena mereka adalah orang-orang yang merasa dirinya suci”. (An-Naml:56)
Hal ini merupakan satu bentuk halangan penglibatan politik secara total dan peringatan kepada siapa saja yang berkecimpung dalam politik. Tujuannya supaya tidak ada harapan lagi dalam melakukan reformasi undang-undang dan politik. Akhirnya menghilangkan keyakinan rakyat dan kekuatan politik terhadap berbagai slogan reformasi dan perubahan.
Keenam:
Menciptakan api permusuhan antara Al-Azhar dan Ikhwan Muslimin. Pihak keamanan negara secara terus menerus membakarkan api permusuhan antara Al-Azhar As-Syarif sebagai institusi pendidikan agama dan para pemimpinnya, dan antara Ikhwan Muslimin sebagai pertubuhan sosial Islam dan pemuda Al-Azhar yang terdiri dari pensyarah Al-Azhar yang memiliki kecenderungan terhadap pemikiran Ikhwan Muslimin yang moderat dan seimbang. Ini dibuktikan melalui berbagai pengajian yang diminati di Universiti Al-Azhar dan berbagai laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Akademi Pengajian Islam (majma’ Al-Buhuts Islami). Hal ini kerana tidak mungkin Ikhwan Muslimin mencipta api permusuhan dengan berbagai pertubuhan Islam atau jamaah Islam lainnya, sekalipun berbeza dengan mereka dalam beberapa cabang dari permasalahan feqah atau berbagai pandangan politik. Bahkan kita semua bersatu dengan semua orang yang bekerja untuk kemenangan Islam dan menegakkannya, bersatu dalam satu ikatan kasih sayang, persaudaraan, kerjasama dan ketaatan kepada pemimpin.
Ketujuh:
Peranan tersembunyi yang dimainkan oleh beberapa media berkaitan isu ini. Mereka terlibat dalam memberikan gambaran dan mentaliti negatif dan samar kepada para pemuda yang baik. Isu ini bermula ketika pemuda itu mempertontonkan seni bela diri seperti karate dan Kung Fu, yang menyebabkan munculnya ‘topeng hitam’ yang mengelirukan orang awam. Sementara pihak media bebas sepatutnya menjelaskan hakikat yang sebenar dengan cara berdialog bersama para pemuda itu dan menunjukkan niat ikhlas dan keperihatinan mereka terhadap masalah Negara mereka; Mesir, Arab dan Islam. Kecuali beberapa kerat sahaja daripada pihak media yang tidak terlibat. Sedang kebanyakan mereka segera menabur fitnah dengan menggembar-gembur bermacam-macam tuduhan dan syak wasangka terhadap pemuda itu melalui tv dan akhbar. Jadi, mereka sebenarnya telah terlibat secara langsung dalam melakukan kezaliman secara nyata terhadap para pemuda yang pada akhirnya telah dibebaskan oleh pasukan penyiasat dan pembela sehingga tidak dibawa ke pengadilan. Namun kekejaman yang keji dan nyata tetap terjadi ke atas para pemimpin ikhwan Muslimin yang hingga sekarang dikurung di balik tembok dan jeriji besi yang terdiri daripada para pensyarah universiti, usahawan, pengusaha dan pemimpin bangsa. Persoalannya adalah, setelah berlalu bertahun-tahun lamanya, tidakkah orang-orang yang telah terlibat dalam melakukan penindasan sedar dengan apa yang dilakukan? Sudahkah mereka membuat penilaian semula ke atas apa yang mereka lakukan? Sudahkah mereka meminta maaf kepada semua pihak, kepada keluarga mereka yang masih merasakan pedihnya penderitaan akibat kekejaman yang mereka lakukan?
Walaupun begitu, kami akan tetap meneruskan hubungan dengan para pengamal media semuanya. Namun seluruh media hendaklah melakukan tugasnya dengan jujur, terbuka dan adil.
Sementara itu, kepada mereka yang berperanan besar dalam melakukan kezaliman ini, kami sampaikan pesanan segeralah hentikan kezaliman tersebut dan ambillah pengajaran ke atas kaum yang tertindas. Semoga itu semua dapat meringankan beban kalian di hadapan Zat yang Maha Adil yang akan menghisab seluruh perbuatan manusia sekecil manapun perbuatan itu..!!
فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَه* وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَه
“Barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar biji sawi maka kelak akan melihatnya. Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan walau biji sawi maka kelak akan melihatnya”. (Az-Zalzalah: 7-8)
Saya berharap semoga Allah SWT menerima taubat kalian dan meringankan hukuman atas kalian. Kami tetap akan bersabar di atas kehendak dan kekuatan Allah. Kami akan berjalan menuju cita-cita yang diidamkan demi meninggikan kemuliaan agama dan negara kami. Kami tidak berharap apa-apa kecuali cinta dan kasih sayang keluarga.
Adapun kalian wahai ikhwah yang sedang mendapat ujian ..
Tahniah kepada kalian di atas kesabaran yang indah ini. Hanya Allah yang mampu memberikan bantuan dan pertolongan berupa petunjuk kepada semua orang yang terlibat dalam melakukan kezaliman ke atas kalian dan mengembalikan hak-hak kalian kepada kalian. Tidak ada yang dapat memberikan ganjaran sempurna untuk kalian kecuali Allah yang Maha Pengampun dan Maha Mengetahui orang yang bersyukur.
Adapun kalian wahai anggota Ikhwan Muslimin ..
Kalian telah mengetahui bahawa jalan yang kalian tempuh adalah yang penuh dengan ranjau, cobaan dan pengorbanan di jalan Allah. Kalian tidak mengharapkan sesuatu kecuali ganjaran besar di sisi Allah yang Maha Mulia. Kalian tidak bertujuan lain kecuali mengharapkan keredhaan-Nya.
Wahai bangsa Mesir yang mulia…
Kami tidak berharap dari sesiapapun di atas pengorbanan kami. Kami tidak berharap ganjaran apapun kecuali dari Tuhan kami. Namun kami sampaikan kepada kalian bahawa tuntutan untuk melakukan reformasi dan perubahan memerlukan ‘harga’ yang sangat besar; penat, kerja keras dan penderitaan, serta tetap berdiri bersama kebenaran dalam menghadapi segala bentuk ketidakadilan, kebejatan dan kekejaman. Oleh itu, marilah sama-sama bekerja, bergerak, bekerja keras dan berkorban, kerana tidak ada di sebalik kebenaran kecuali ada tuntutannya..
Allah Maha Besar dan segala puji hanya miliki Allah ..
Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=63452&SecID=213