Risalah dari Dr. Muhammad Badie’, Mursyid Am Ikhwan Muslimin, 14-05-2010
Segala puji hanya bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah saw beserta keluarganya dan para sahabat serta orang-orang yang mengikutinya. Selanjutnya ..
Bekerja dalam Islam merupakan sunnah kehidupan, hukum alam, dan jalan menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat. Islam mendorong umatnya untuk sentiasa bekerja, berusaha, bergiat dan bergerak sehingga mampu melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi dan memakmurkannya dengan mudah dan lancar, jelas dan padu.
Islam telah mengangkat pekerjaan pada kedudukan yang tinggi dan mulia, iaitu dengan meletakkan pekerjaan yang baik (amal shalih) pada tingkat kedua setelah iman kepada Allah, sebagaimana Allah berfirman:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلاً
“Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal saleh, tentulah Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik”. (Al-Kahfi:30)
Islam juga tidak membezakan antara pekerjaan berasaskan pemikiran dan pekerjaan menggunakan tenaga, tetapi dalam Islam pekerjaan yang kedua dianggap sebagai dasar kehidupan dan jenis rezeki terbaik. Nabi saw bersabda:
مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ
“Tidaklah seseorang makan makanan sedikitpun lebih baik dari makan yang dihasilkan dari pekerjaannya sendiri, Bahawa Nabi Allah Daud AS makan dari hasil pekerjaannya sendiri,” (Bukhari)
Sunnah menunjukkan dengan jelas bahawa para anbiya’ a.s (sekalipun memiliki darjat yang tinggi) tetap memilih bekerja sebagai jalan dan cara mereka menjalani kehidupan. Nabi Adam memiliki kepakaran dalam bertani, Nabi Nuh pakar dalam perkayuan, Nabi Daud pakar dalam pembuatan barangan besi, Nabi Musa pakar dalam menulis, bahkan baginda yang menulis Kitab Taurat dengan tangannya sendiri, dan semua nabi pernah menjadi pengembala kambing, Nabi Zakaria adalah tukang kayu, Nabi Muhammad saw memulai hidupnya dengan menggembala kambing dan pada masa mudanya bekerja dalam perniagaan.
Justeru kita lihat bahawa kecintaan untuk bekerja di kalangan umat Islam ini telah berakar umbi dalam tubuh mereka sehingga para pelopor ideologi beralih kepada pekerjaan hasil tangannya sendiri dan mereka tidak merasa malu atau berat sedikitpun. Oleh kerana itu seorang ilmuan ulung Al-Kaddouri bekerja membuat pelita, dan ilmuan Al-khasaf (penulis buku Al-Kharraj) menyambung hidupnya dengan membuat kasut, dan At-Tsa’alibi (tokoh terkemuka dikalangan penulis di zamannya) disebutkan seperti itu (bermaksud serigala) kerana beliau adalah pelari pecut, Az-Zujaj seorang ilmuwan bahasa bekerja dalam membuat dan mereka bentuk kaca.
Dalam Hadis nabi saw bersabda:
مَنْ أَمْسَى كَالاًّ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ أَمْسَى مَغْفُوْرًا لَهُ
“Barangsiapa yang pada petang harinya kepenatan kerana bekerja dengan tangannya sendiri maka di malam harinya ia mendapat keampunan”. (Thabrani)
Rasulullah saw pernah memegang tangan seorang yang membuat kerja kasar, lalu bersabda:
هَذِهِ يَدٌ يُحِبُّهَا اللهُ وَرَسُوْلُهُ
“Ini adalah tangan yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya.”
Sementara itu bidang kerjaya dan golongan pekerja diberi keutamaan khusus oleh Ikhwan Muslimin dengan perhatian yang serius dan keprihatian yang besar, bertitik tolak daripada ajaran Islam yang meletakkan kedudukan yang tinggi terhadap kerja dan menyumbangkan tenaga, berjuang dan berkorban. Ia juga berdasarkan penghormatan Islam yang diberikan kepada orang-orang yang bekerja dan menggalakkan umat manusia untuk bekerja dan berusaha di muka bumi ini dengan membangun, mendirikan dan menyebarkan kebaikan dan cahaya serta menggemblingkan tenaga dan daya usaha, sehingga mencapai kehidupan yang selesa, mulia dan halal, serta memberikan contoh dan teladan kepada mansia dengan menghimpunkan ciri-ciri kebenaran dan ketakwaan.
Ikhwan Muslimin juga telah mendidik generasinya dalam pelbagai bidang, di antaranya ialah bidang kerjaya dan pekerja yang telah meninggalkan jejak dalam sejarah negeri ini yang bebas dari sebarang kekeliruan yang sangat mengkagumkan dan lebih mulia dari apa yang terjadi. Di antara pekerja yang dididik dan dibina dalam madrasah Ikhwan Muslimin adalah para Mujahidin yang telah mengorbankan nyawa mereka dalam membela tanahair dan kehormatan, sebagaimana mereka telah menjadi contoh yang sangat mengkagumkan dalam agenda kebangkitan dengan membawa risalah dan memainkan peranan seorang pekerja dalam menyumbangkan tenaga dan produktiviti, bersemangat dalam kerja-kerja kebajikan dan kepentingan umum dan menghindari diri daripada kepentingan peribadi.
Imam Al-Banna telah menulis sebuah pesanan khas yang menggalakkan umat untuk bekerja dengan tema: “Adakah kita golongan yang bekerja” maksudnya adalah kita berpegang kepada kerja bukan sekadar kata-kata, sebagaimana Imam Al-Banna juga menyampaikan kepada Ikhwan Muslimin untuk sentiasa bekerja dan cekap di dalam pekerjaannya, beliau berkata dalam risalah “At-Ta’alim”:
- Sentiasa menjalankan kegiatan ekonomi walaupun anda sudah kaya.
- Cuba mengusahakan kerja sendiri biarpun kecilnya pekerjaan, dan melibatkan diri di dalamnya walau apapun taraf pendidikan anda.
- Sentiasa melaksanakan tugas anda dengan baik dan cekap, tidak menyeleweng dan menepati waktu.
Sesungguhnya kecekapan, amanah, menepati janji dan menghindari pembohongan, penipuan dan penyelewengan.. Semua itu merupakan nilai-nilai yang berlaku di dalam masyarakat pekerja sejak dahulu kala, di mana Ikhwan Muslimin terus berusaha menanam dan meneguhkannya sehingga menjadi ciri khas masyarakat pekerja di pentas dunia.
Pada ketika sempena bulan ini (Mei) seluruh dunia merayakan hari Pekerja dan menghargai pekerja dan menganggapnya sebagai dasar peradaban dan pembangunan bangsa; sebaliknya kita menderita sakit di tanah air Islam dan khususnya di Mesir. Nilai-nilai telah bertukar terutama kepada golongan buruh, berubah hirarki sosial dan kasta; sehingga golongan buruh berada pada taraf paling rendah dari hirarki social. Mereka dikaitkan dengan kemiskinan, kadar upah yang rendah, keluar ke tempat kerja sejak pagi buta, sedangkan golongan pemodal dan kaya terus mengecapi kesenangan dan pendapatan mereka dengan mudah. Implikasinya bermakna Mesir telah mengusir para pekerja yang memiliki kepakaran tersendiri, di mana mereka bermusafir atau berhijrah dan menyelamatkan diri daripada layanan buruk di negara sendiri dan menjadikan Negara lain sebagai tempat untuk bekerja dan mengadu nasib.
Sungguhpun ada badan hak asasi pekerja yang merupakan wadah untuk membela hak-hak buruh, namun mereka sering mengabaikan kepentingan para buruh, bahkan menjadi ‘pedang tajam yang siap memenggal leher mereka’.
Islam yang Agung telah meminta kita untuk memberikan upah kepada pekerja sebelum kering keringatnya dan menerima piagam hak-hak pekerja – baik yang dikeluarkan oleh PBB atau Pertubuhan Buruh Antarabangsa – sebagai sebahagian dari hak-hak buruh untuk bekerja tanpa diskriminasi, dengan memberi mereka gaji yang mencukupi untuk memenuhi keperluan asas mereka seperti makanan, pakaian dan minuman, dan melindungi mereka dari pengangguran dan kos perubatan, memberikan kursus dan latihan dengan kemahiran yang sesuai dengan perkembangan kemajuan. Namun pekerja di negeri Islam kita kehilangan semua ini, terutama di negara-negara yang telah menamatkan keistimewaan syarikat, di mana negara menjualnya kepada pihak asing dengan harga paling rendah.
Islam telah memerintahkan kita untuk memberikan jaminan ekonomi dan moral kepada para pekerja. Allah telah menjadikannya sebagai kurniaan terbesar bagi kaum Quraisy:
الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ
“Yang telah memberi mereka makan dari kelaparan dan jaminan keamanan dari ketakutan”. (Quraisy: 4).
Jika kelaparan masih menjadi ‘hantu’ yang menakutkan bagi para buruh di dunia Islam, maka hilangnya rasa aman lebih menakutkan lagi dalam jiwa para pekerja, baik di negara asal mereka atau yang bekerja di luar Negara hingga ke negara yang telah Allah anugerahkan dengan kekayaan minyak.
Oleh kerana itu, undang-undang darurat di Mesir – yang telah dikuatkuasakan melebihi tiga puluh tahun lamanya- adalah perlanggaran yang sangat serius terhadap hak asasi manusia dan golongan buruh; dimana dengan undang-undang tersebut mereka dilarang untuk mendapatkan hak-hak mereka yang dirampas atau menyatakan pendapat dengan demonstrasi aman atau mogok, apatah lagi mahu mencalonkan diri sebagi anggota pertubuhan buruh. Malahan apa yang berlaku ialah penangkapan ribuan orang dan menyumbatkan mereka ke dalam penjara-penjara.
Akhirnya, saya tujukan seruan kepada para pekerja pada hari sambutan pekerja untuk tetap menjaga nilai-nilai Islam di tempat kerja, dan bekerja sesuai dengan tugas-tugasnya. Ini kerana menuntut hak-hak harus diiringi dengan senantiasa menjaga tugas kita dan perusahaan kita, yang mana hal tersebut merupakan jalan untuk membela tanah air dan keamanan rakyat dan untuk membenteras penyalahgunaan wang rakyat dan mengutamakan kepentingan awam daripada kepentingan peribadi, sambil berusaha mempertahankan hak-hak golongan pekerja dan melindungi mereka dari sebarang bentuk penganiayaan atau penindasan.
Allah adalah tujuan dari semua ini dan Dialah yang menunjukkan jalan yang lurus.
Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=64740&SecID=213