Saturday, May 22, 2010

Manifesto menyeluruh IM untuk pilihan raya Majlis Syura Mesir


Selasa, 11 Mei 2010
IM telah mengumumkan secara rasmi bahawa mereka akan mengambil bahagian dalam pilihan raya pertengahan penggal Majlis Syura 2010 Mesir dengan menggunakan motto “Al-Islam hua al-Hal” (Islam penyelesaian semua perkara).
Gerakan IM akan bertanding dalam pemilihan Majlis Syura Mesir ini kerana mereka percaya bahawa mereka perlu menjalankan tanggung jawab agama untuk mencapai reformasi politik, ekonomi dan sosial yang menyeluruh. Hal ini dapat dilakukan dengan menghilangkan percanggahan yang tampak antara prinsip-prinsip Syariah dan asas-asas negara madani moden, memperkasakan hak kebebasan setiap insan dan menuntut kepada governan baik yang melaksanakan prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan antara semua ahli masyarakat.
IM akan menyertai pilihan raya ini dengan tujuan untuk membela hak-hak dan prinsip-prinsip serta mempromosikan rasa hormat kepada matlamat bangsa. IM percaya kepada prinsip pemisahan kuasa, peralihan kuasa yang aman, menghormati kebebasan kehakiman, kebebasan untuk membentuk parti politik, hak untuk menerbitkan akhbar, majalah, dan barang cetak lain tanpa sekatan kerajaan. IM bersumpah untuk memerangi segala bentuk rasuah, kezaliman dan pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan sewenang-wenangnya dan mengisytiharkan secara terbuka penolakan kepada pemerintahan darurat yang diamalkan sekarang. Mereka juga bertekad untuk mengambil langkah-langkah yang bermakna dalam memberikan penyelesaian praktikal kepada masalah-masalah sebenar di negeri ini, meringankan beban rakyat, dan memperjuangkan hak rakyat untuk memperoleh manfaat yang sekata dari pengagihan kekayaan dan sumber negara.
Gerakan ini menegaskan bahawa tema Ikhwan Muslimun, "Islam adalah penyelesaian" sebenarnya adalah konsisten dengan beberapa fasal perlembagaan Mesir, sebagaimana terkandung dalam Fasal II, yang telah disahkan oleh Mahkamah Agung Pentadbiran.
Hal ini timbul pada saat landasan Gerakan yang terdiri daripada 7 bab telah diterbitkan untuk menjelaskan kaedah-kaedah untuk menghasilkan reformasi sosial, ekonomi dan politik Mesir samada di dalam ataupun di luar negara.
Elemen reformasi politik
"Prinsip yang paling penting berkaitan reformasi yang dihajatkan ialah dengan mencipta nilai yang tinggi bagi manusia kerana pada dasarnya dialah agen efektif bagi perubahan yang dikehendaki itu.” Kepentingan menjamin kebebasan dan hak asasi manusia bagi semua orang, tanpa mengira warna, jantina, dan agama akan terus diperjuangkan oleh IM kerana ia adalah hak semula jadi setiap insan.
Secara politik, pendekatan Gerakan ini menegaskan perlunya reformasi mahkamah dan sistem pemilihan yang demokratik dalam kerangka undang-undang Islam. Perkara ini pada akhirnya akan memastikan hak asasi individu untuk menyertai politik secara aktif sebagai asas untuk merasionalisasi proses membuat keputusan politik, baik secara dalaman mahupun luaran.
Ikhwan menyeru supaya dihadkan tempoh jawatan presiden kepada maksimum dua penggal berturut-turut sahaja. Pemimpin negara tidak seharusnya memimpin sesebuah parti politik dan harus terpisah dari kuasa eksekutif. Gerakan ini menyeru supaya dihapuskan pemerintahan darurat, undang-undang darurat dan semua peruntukan yang menyekat kebebasan. Mereka menuntut supaya Fasal 76, 77 dan 88 Perlembagaan Mesir digubal semula.
Gerakan ini menuntut supaya ditubuhkan sebuah badan kehakiman bebas dan berkecuali yang bertanggung jawab untuk menyelia proses pengurusan pilihan raya dan referendum perlembagaan. Tugas utamanya ialah untuk mengawasi pilihan raya, sewaktu pencalonan dan sepanjang seluruh proses pemilihan dan pengiraan undi serta mengisytiharkan keputusan. Badan eksekutif dan agensi keselamatan yang berkaitan dengan pilihan raya, yang seharusnya tunduk sepenuhnya kepada Suruhanjaya Kehakiman Bebas ini juga mesti diambil kira.
Berkaitan Palestin, Ikhwan membuat petisyen supaya dipertimbangkan kembali perjanjian-perjanjian dan ketepatan-ketetapan antarabangsa, khususnya terma dan syarat Perjanjian Camp David yang telah disajikan dalam suatu referendum buat mendapatkan sokongan dan peranan Liga Arab. Piagam dan mekanisme penglibatan bersama pihak Arab, Afrika dan Mesir perlu dilihat semula.
Ikhwan menekankan perlunya dikeluarkan pasukan penakluk dari Iraq dan keperluan menyerahkan kepada rakyat Iraq untuk menangani urusan mereka sendiri memandangkan pendudukan Iraq adalah masalah keselamatan negara Arab. Mereka juga menyeru campur tangan lanjut Arab untuk penyelesaian masalah Sudan.
Mereka mendesak supaya perhatian diberikan kepada keselamatan awam bagi memastikan kestabilan dalam masyarakat, menyokong usaha memerangi jenayah terancang dan melindungi moral dengan mengerahkan tenaga untuk mereformasi pelbagai perkhidmatan keselamatan dan mempertahankan matlamat untuk membela masyarakat tanpa prasangka atau berat sebelah.
Berkaitan ekonomi, Gerakan ini menyatakan bahawa sebarang reformasi harus berteraskan kepada pembangunan mampan melalui mobilisasi simpanan domestik, serta memanfaatkan sepenuhnya sumber kewangan, sumber manusia dan sumber alam tempatan. Gerakan ini menekankan keperluan terhadap pelaksanaan yang telus dan pangkalan data yang tepat untuk mencipta pelaburan stabil yang diwarnai dengan ketelusan.
Berkaitan dengan penswastaan, IM menyatakan mereka mempunyai keyakinan penuh kepada kemampuan perekonomian Mesir dan percaya bahawa sektor-sektor produktifnya boleh mencipta peluang untuk pertumbuhan dan pembangunan melalui sumber-sumber kewangan tempatan jika ia digunakan dengan baik.
Gerakan ini mendesak supaya disediakan perkhidmatan kesihatan yang berterusan untuk semua warga. Apa pun status kewangan mereka, khidmat kesihatan dan insuran harus disediakan kepada semua, selain perkhidmatan baik yang menyumbang kepada kualiti perkhidmatan kesihatan yang lebih cemerlang terutamanya dengan menumpukan perhatian yang lebih kepada institusi-institusi kesihatan awam.
Mengenai kajian saintifik pula, Gerakan ini mengusulkan pembangunan satu perancangan kebangsaan yang mengenalpasti bidang-bidang keutamaan penyelidikan saintifik yang dihubungkaitkan dengan pusat-pusat pengeluaran dalam rangka untuk menarik para saintis dan penyelidik yang berkhidmat di luar negara.
Dalam programnya, Ikhwan menangani isu pembangunan bandar yang mendasarkan bahawa pembangunan merupakan satu usaha penting dalam Islam. Mereka mengusulkan satu inisiatif yang lebih tersusun dan menyeluruh. inisiatif pembangunan bandar yang lebih luas itu harus merangkumi perancangan bandar, perumahan, kemudahan, pengangkutan, komunikasi dan pembangunan pelancongan yang telah disepadukan ke dalam konsep pembangunan bandar. IM bertekad untuk memaksimumkan penggunaan unsur pembangunan, meningkatkan keselamatan negara, dan menyediakan kemudahan perkhidmatan perumahan yang mencukupi untuk menjamin kehidupan yang selesa dan bermaruah.
Pengangkutan merupakan salah satu sektor perkhidmatan yang paling penting dalam melonjakkan pembangunan sektor-sektor ekonomi yang lain memandangkan produk siap perlu dihantar ke pasaran domestik dan antarabangsa. Justeru, pentingnya sistem pengangkutan termaju. perkembangan dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan komunikasi yang maju kepada warga negara akan memungkinkan penyebaran penduduk dan perumahan yang sihat pada peta ekonomi negara.
Pembangunan ekonomi Mesir di bidang pelancongan menuntut perasaan bangga terhadap negara itu. Ini memerlukan penyusunan perancangan yang sesuai untuk melindungi kawasan-kawasan pelancongan di bandar-bandar Mesir kuno, di pantai Laut Tengah dan Laut Merah menggunakann pendekatan pelancongan moden. Pertumbuhan bangunan yang tak terancang di sekitar wilayah tersebut harus dicegah untuk mempromosikan pelancongan.
Mengenai pembangunan pertanian, IM menyeru diperluaskan kawasan pertanian melalui projek-projek mega, mengamalkan dasar pertanian yang menjamin perubahan struktur tanaman untuk memastikan keperluan negara yang mencukupi dan menghasilkan tanaman bernilai tinggi yang juga sesuai untuk eksport. Berusaha untuk membekalkan pengairan ke semua tanah pertanian yang ditebus dan mengaktifkan kembali perjanjian-perjanjian Mesir-Arab dan Mesir-Eropah juga akan memberikan sumbangan kepada pembangunan pertanian.
Ikhwan Muslimun mengambil perspektif yang berbeza terhadap aspek industri. Ia menyatakan bahawa "Industri di era moden adalah tulang belakang ekonomi dan pembangunan yang diilhamkan oleh keperluan terhadap usaha sama yang bersepadu oleh sektor awam dan swasta, baik tempatan, Arab atau antarabangsa, bagi membina pangkalan pembuatan yang padu”.
Visi Ikhwan tentang reformasi institusi-institusi agama menyatakan bahawa mereka menyeru kepada pengaktifkan peranan Akademi Penyelidikan Islam, penstrukturan semula institusi-institusinya dan persepaduan Majlis Ulama Kanan ke dalamnya. Mereka akan bekerja keras untuk mewujudkan sistem pemilihan bagi Majlis Ulama dan Sheikh Imam Besar Masjid Al-Azhar.
Program IM melibatkan Gereja Koptik pada dasarnya dilandaskan kepada "keperluan menyokong peranan utama Gereja Mesir dalam mempertahankan etika dan nilai masyarakat, serta mendepani pencerobohan budaya yang semakin meningkat terhadap masyarakat Mesir dan dunia Arab dan Islam”.
Artikel asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=24719
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template