Wednesday, May 19, 2010

Risalah Mursyid: Janganlah Kamu berbuat Kerusakan Di Muka Bumi Selepas Kamu Memperbaikinya..!!




Risalah dari Dr. Muhammad Badie’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin, 30-04-2010
Dengan nama Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah saw beserta keluarganya dan para sahabatnya serta orang-orang yang mengikuti mereka hingga hari Kiamat, selanjutnya…

Sesungguhnya sangatlah perlu setiap insan yang berakal waras (terutama orang-orang  yang membawa risalah perubahan pada zaman kita ini di manapun mereka berada) untuk berfikir dengan serius tentang masa depan planet bumi yang menjadi tempat kita hidup ini. Ia kini dikelilingi oleh bencana yang melanda dari segenap penjuru yang berpunca daripada perbuatan kita sendiri, baik secara langsung mahu pun tidak langsung. 

Bencana tersebut mampu mengancam kita dan mengancam semua potensi serta kekayaan umat manusia,  mulai dari pencemaran alam hinggalah kepada masalah pemanasan global, dari ancaman nuklear  hingga penjajahan moden yang terkutuk dengan segala bentuk permusuhan dan eksploitasinya; yang disasarkan kepada  masyarakat yang lemah dan negara-negara yang mundur untuk menghisap darah, mencuri sumber alam mereka dan menguasai keputusan dalam menentukan hala tuju negara mereka.

Ini ditambah pula dengan keruntuhan aspek-aspek nilai, kecenderungan kepada materialistik dan menuruti hawa nafsu, yang mengakibatkan kepada keruntuhan akhlak, pelanggaran kehormatan diri, kezaliman ke atas hak yang sah dan lupa kepada hari pembalasan.

Beriman kepada Hari Pembalasan serta takutkan siksaan merupakan benteng yang dapat mengawal seseorang dari melakukan kezaliman terhadap manusia dan mengurangkan keangkuhan para pemegang kuasa dalam menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka.

Keadaan dunia yang sedang diancam bahaya ini sepatutnya membangkitkan suatu kesedaran di kalangan para pemimpin dan ahli fikir  dari pelbagai keturunan, warna kulit dan agama, untuk mengambil suatu pendirian yang tegas, menyeru dengan suara yang lantang agar dihentikan segala bentuk pencerobohan, kekejaman, kediktatoran dan kerosakan.  Hal ini tidak sukar dilakukan kerana di sana terdapat pelbagai alat komunikasi yang moden serta canggih.


Inilah kami menyeru  mereka
Wahai para pemimpin dunia ..
Wahai para cendekiawan dunia ..
Wahai para pemegang amanah hak-hak manusia…
Seluruh manusia ..
Bersatulah dan bantu-membantulah antara satu sama lain dan gabungkanlah daya usaha kamu dalam berbagai-bagai pertubuhan masyarakat (NGO) untuk menyelamatkan manusia dari apa yang sedang menimpanya dan apa yang mengancam mereka jika situasi tetap seperti yang ada pada hari ini..

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. (Ar-Ruum:41)

Jika kita lontarkan pandangan secara menyeluruh terhadap sebab-sebab utama suasana yang terjadi ini sangatlah banyak dan pelbagai; kita dapati Allah telah menciptakan alam semesta sangat baik sejak dari awal kejadiannya, dan telah dipersiapkan  untuk manusia sebelum diciptakan Adam dan Hawa, dan Allah menjadikan semua manusia sebagai anak dari seorang ayah dan ibu, dan diberikan hak kepada manusia yang di antara ciri kehidupannya ialah sebagai khalifah di muka bumi dan bertanggung jawab untuk memakmurkannya ..

هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا
“ Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya”. (Huud:61)

Di antara kemurahan Allah dan kebaikan-Nya kepada seluruh umat manusia ialah Allah telah menciptakan bumi ini dalam dua hari dan memberikan makanan di dalamnya dalam empat hari untuk  siapa yang memerlukannya. Ia bermaksud manusia sebenarnya berkongsi dalam semua unsur kehidupan di dunia. Justeru adakah ada peliharaan untuk manusia dari Tuhan mereka yang maha Pengasih yang lebih baik daripada ini?!
Dialah Allah SWT telah menyimpankan dan menyediakan kepada manusia bahkan kepada seluruh hidupan elemen kehidupan dan mata pencariannya masing-masing ..

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأَرْضِ إِلاَّ عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. semuanya tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)”. (Huud:6)

Sebagai contoh adalah tersimpannya minyak sesuai dengan keperluannya. Hasil minyak  merupakan mukjizat Rabbani yang  sangat luar biasa, yang mampu tersimpan selama ratusan juta tahun di dalam tanah. Lantas setelah matang fikiran manusia dan melalui perkembangan teknologi dengan menemui pelbagai ciptaan baru yang akhirnya mampu mencipta alat-alat untuk menggali  tanah tersebut. Allah tetap memberikan petunjuk sehingga mampu mengekploitasi ‘harta karun’ untuk dimanfaatkan, dan ‘harta karun’ lainnya masih banyak, ia tetap ada dan tersimpan hingga hari kiamat.

وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلاَّ عِنْدَنَا خَزَائِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُ إِلاَّ بِقَدَرٍ مَعْلُومٍ
“Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya; dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu”. (Al-Hijr:21)

Oleh kerana itu, apakah peranan manusia setelah melihat  dan menyaksikan semua kurnia Ilahi ini dan setelah disampaikan semua seruan ini?

يَا أَيُّهَا الإنْسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ
“Hai manusia, Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu yang Maha Pemurah”. (Al-Infithar:6)

Allah nyatakan dengan jelas bahawa nikmat yang telah dianugerahkan ini telah berubah menjadi sebab kepada pertikaian, menyuburkan kezaliman, peperangan dan kekejaman, sebagai usaha untuk menguasai sumber-sumber minyak, dan menyalakan api peperangan sehingga merosakkan tanam-tanaman dan ternakan, melakukan monopoli yang menjijikkan terhadap harta dan yang lainnya ini dan membahagi-bahagikannya melalui berbagai undang-undang dan persidangan yang jahat, sepertimana mereka telah mengagih-agihkan tanah jajahan kepada kuasa-kuasa  yang berpengaruh di mana-mana negeri yang dikuasainya. Oleh itu pada persidangan ”Sykes-Picot”, dan juga diikuti dengan perjanjian-perjanjian lainnya seperti perjanjian “Balfour” yang membuka jalan kepada pendudukan haram ke atas bumi Palestin. Kita melihat Congo sebahagiannya dijajah oleh Perancis, sebahagian lagi adalah Belgium, dan yang  ketiga adalah Portugal. Kita juga mendengar tentang Somalia Itali, Somalia Inggeris , Somalia Perancis dan Somalia Amerika.

Sementara itu, perang dingin dan perang panas untuk menguasai dan menduduki sesuatu daerah demi memperluas pengaruh masih terus berlangsung; Jika kita tidak berusaha menghentikan kerakusan ini, dan menuntut pengharaman segala bentuk eksploitasi dan kolonialisme maka kemungkinan kerakusan ini akan menelan seluruh potensi dan sumber kekayaaan alam Justeru semua manusia yang berakal dan bijaksana mestilah bangkit untuk menentang para pendokong kejahatan ini bagi menyelamatkan kapal yang kita naikinya di alam semesta ini. Ini kerana tujuan kita diciptakan adalah untuk bekerjasama bukan untuk bersengketa dan bermusuh...

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
“Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal”. (Al-Hujurat:13)

Tugas kita adalah melakukan pengislahan dan bukan  melakukan kerosakan. Kita tidak boleh membiarkan orang yang  melakukan kerosakan kerana tindakan mereka boleh membahayakan semua orang.
Dari segi yang lain, kita lihat orang-orang yang merenungkan ciptaan Allah akan mendapati secara jelas iaitu bagi mereka yang memiliki mata yang tajam dan akal yang cerdas bahawa Allah telah menciptakan keseimbangan dalam berbagai peranan kehidupan; ada peranan untuk oksigen dan ada untuk nitrogen, kedua, adanya karbon dioksida yang saling bertukar peranan antara tanaman dan haiwan, dengan manusia yang bermanfaat, sebagaimana mereka juga saling bertukar manfaat satu sama lain. Begitu pula peranan yang seimbang kepada air seperti laut dan darat,  pemeluwapan dan awan, hujan dan sungai kemudian mengalir ke laut dan ke darat lagi, dan dari peranan mineral dan garam dari tanah ke tanah.

وَأَنۢبَتۡنَا فِيہَا مِن كُلِّ شَىۡءٍ۬ مَّوۡزُونٍ۬
“Dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran”. (Al-Hijr:19)

Lalu, apakah layak mereka menjadi manusia yang bodoh dan tidak memahami hukum-hukum Allah di alam semesta ini kerana mereka sendiri melanggarnya, merosak serta membantutkan pusingan kehidupan dan selepas itu mengeluh tentang akibat yang ditanggung kerana perbuatan tangannya sendiri?!

Antaranya ialah berlaku pencemaran alam yang berpunca daripada kemajuan industri dan kegiatan ala mafia oleh pihak kapitalis. Mereka saling  bermuka-muka antara satu sama lain di dunia ini demi kepentingan dan keuntungan dengan mengorbankan kesihatan manusia dan hak asasi manusia; yang telah hancur dan luluh tanpa belas kasihan.

Contoh lain ialah berlaku pencemaran dalam pelbagai unsur kehidupan seperti udara, air, tumbuhan, haiwan termasuk juga manusia iaitu dengan menggunakan racun serangga sehingga sebahagian manusia yang berisiko mengidap kanser. Begitu juga penggunaan baja yang tidak selamat dan banyak lagi yang lainnya. Kemudian setelah berleluasa penyalahgunaan bahan tersebut akibat daripada kesilapan memahami hukum alam, lalu terjadilah bencana penyakit kanser yang pada hakikatnya adalah jenayah manusia terhadap manusia itu sendiri. Mesir merupakan salah satu Negara yang paling teruk di dunia yang rakyatnya berisiko terkena kanser.

Setelah itu semua, bagi mengatasi pelbagai sakit kronik yang dialami yang telah mengakibatkan kerugian yang tidak ternilai dari segi kemanusiaan dan kewangan, mereka cuba pula penanaman anggota dan ubatan antibiotic. Percubaan ini juga tidak menjamin kejayaan, sebaliknya kerugian yang terpaksa ditanggung adalah lebih parah lagi. Pendek kata, dalam apa jua keadaan manusia tetap menjadi mangsanya.

Contoh yang paling serius adalah pencemaran nuklier  di mana telah diadakan satu Persidangan Khas tentang isu ini di New York, AS (walaupun AS adalah satu-satunya Negara yang pernah menggunakan senjata ini dalam sejarah). Kita berharap ini adalah langkah awal untuk memandu usaha serius ini seumpama senjata yang mempunyai serampang dua mata, iaitu mampu menjaga umat manusia dari bahaya senjata yang mudah  tersebar. Tetapi apabila pihak Zionis memberikan tekanan pastilah akan menghalang usaha murni tersebut. 

Terbukti mereka tidak hadir dan tidak ada komitmen untuk menghadiri persidangan, malah mereka berusaha merubah agenda perbincangan kepada soal keamanan bahan nukliar saja. Umat manusia tetap terdedah kepada risiko yang dikuasai oleh tangan yang penuh dengan lumuran kejahatan, kerusakan dan kedurjanaan, menaburkan kehancuran  di muka bumi, padahal Allah tidak menyukai kerusakan dan orang-orang yang melakukan kerusakan.

Ada bahaya lain yang sewajarnya menjadi peringatan bagi siapa yang memiliki akal, yang sebenarnya baru pada peringkat permulaan yang ramai manusia tidak menyedari tentang kejahatan yang dilakukannya kecuali setelah berlalu waktu yang lama; iaitu manipulasi proses  genetik dan penggunaan kejuruteraan genetik yang sangat berbahaya dan jauh dari manfaat, di mana pengetahuan kita tentang hal ini pun masih terbatas. 

Rentetan daripada pengetahuan kita ini yang sangat terbatas yang hampir kepada kejahilan telah mengakibatkan kepada musibah yang lebih besar lagi. Justeru orang-orang yang memiliki kepakaran dalam bidang ini perlu bersatu untuk menghentikan rancangan yang sia-sia ini. Kita menanti sampai pengetahuan kita benar-benar mendalam, maka selepas itu kita bergerak sesuai dengan ilmu pengetahuan, bukti klinikal dan cahaya dari Allah SWT.

Begitu juga masalah gejala sosial yang melanda umat manusia sebenarnya adalah hasil tangan manusia sejak permulaan hingga yang terkini. Ia adalah musibah yang telah terjadi dan tiada berkesudahan. Gejala social merupakan asas dari segala macam kerusakan dan kebejatan. Benarlah setengah ungkapan: “Sesungguhnya umat itu akan terus kekal kerana keutuhan akhlaknya. Jika lenyap akhlaknya maka hancurlah umat tersebut”.

Di antara bentuk kecelaruan terhadap pemikiran manusia ialah apabila mereka berada di bawah telunjuk hawa nafsunya tanpa ada kendali dari nilai-nilai agama samawi yang termaktub di dalam kitab Taurat, Injil dan Al-Qur’an malahan tanpa ada pimpinan dari pemikiran yang  matang .. Allah SWT telah menciptakan manusia laki-laki dan perempuan, dan dari keduanya berkembang biak laki-laki mahupun wanita, bahkan Allah menciptakan daripada keduanya saling berpasangan sehingga dapat melakukan reproduksi dan kelangsungan hidup. Justeru bagaimanakah manusia telah mencampur-adukkan gaya hidupnya dengan kebodohan dan hanya menuruti hawa nafsu yang menyelewengkan dari jalan yang benar. Lalu manusia telah menghancurkan fitrahnya yang asal seperti yang pernah dilakukan oleh kaum nabi Luth.

مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ
“(Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu), yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun di dunia ini sebelummu?” (Al-A’raf:80)

إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”. (Al-A’raf:81)

Biarpun telah membawa kehancuran fitrah manusia dan penyebaran penyakit  seperti yang dialami oleh umat terdahulu dengan sebab kedurjanaan dan pelanggaran yang mereka lakukan mampu menghentikan proses kelangsungan manusia sebagaimana yang telah Allah ciptakan, namun mereka masih tetap tidak memiliki perasaan malu, malah kita dapati ada di antara mereka yang menuntut hak mereka. Jadi pemikiran apakah ini? Kebebasan apakah ini?!

Justeru, inilah Ikhwan Muslimin yang hanya memiliki secebis dari cahaya Allah dengan membawa risalah Islam yang syumul. Mereka dan semua Muslim di seluruh dunia bahkan seluruh pendokong perubahan yang sedar tentang bahaya membiarkan potensi manusia yang dimanipulasi oleh kepentingan dan hawa nafsu. Mereka yakin bahawa Allah akan membela dan menolong pendokong perubahan, kerana Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan dan penegakkan kebaikan dan membenci kerusakan dan pendokong  kerusakan…

وَلَوْلا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الأَرْضُ وَلَكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ
“Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam”. (Al-Baqarah:251)

Namun Allah memiliki dan menguasai kurnia ke atas manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
Marilah kita semua meyakini bahawa kegelapan dunia ini belum cukup kuat untuk memadamkan cahaya lilin, bahkan lilin yang sederhana ini mampu menghilangkan kegelapan yang pekat ini.

Begitu juga kita tidak boleh mengabaikan sebarang usaha yang tulus  yang diiringi dengan usaha yang jujur kerana sungai yang ada di dunia adalah gabungan daripada titisan-titisan air hujan.

Untuk akhirnya kami sampaikan firman Allah..

إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah Mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. (At-Thalaq:3)

Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=64060&SecID=213
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template