Nukilan Syaikh Atif Abu Zithar
Pada suatu hari, saya dikunjungi seorang kawan yang amat saya kasihi. Wajahnya keruh diselaputi kesedihan dan keresahan yang tidak dapat saya duga puncanya. Dengan rasa cemas saya bertanya: “Apa yang telah terjadi? Anta sakitkah?” Dia menggelengkan kepala. Saya bertanya lagi, meneka sesuatu yang lain pula:
“Ada sesuatu yang berlaku di rumahmu? Anak anta kemalangan? Anta kesuntukan wang?”
Setiap soalan yang saya ajukan, dijawab dengan gelengan kepala. Saya keputusan idea untuk meneka, apa sebenarnya yang dialami oleh kawan saya ini.
Walaupun ditanya bertalu-talu dia enggan menceritakan masalahnya. Namun akhirnya dia akur apabila saya tidak putus-putus mendesak agar dia meluahkan apa yang terbuku di benaknya.
Apabila dia mula membuka bicara, hati saya segera terusik, seluruh tubuh saya bergoncang dan mata saya terbeliak kagum dan terpegun!
Dia berkata:
“Ya akhi, sebenarnya saya memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan saya untuk Allah. Pada setiap bulan, apabila saya menerima gaji saya terus saya keluarkan sebagai sedekah. Saya tidak pernah mengabaikannya seperti saya tunaikan perkara yang wajib. Bagi saya ia cukai jihad ke atas saya.”
Saya berkata kepadanya:
“Apa yang anta lakukan itu memang sesuatu yang sangat baik. Saya berdoa mudah-mudahan Allah terima amalmu. Tetapi apa yang merunsingkan anta sekarang?”
Dia menjawab:
“Bulan ini saya terlewat membayar cukai jihad bulanan saya beberapa hari. Pada hari saya terima gaji, saya terus pulang ke rumah. Kerana sibuk dengan pelbagai urusan, saya terlupa untuk membayar apa yang saya lakukan setiap bulan. Beberapa hari berlalu, saya menjadi lebih leka dan lemah semangat. Pada masa yang sama, gaji yang saya terima semakin berkurangan.”
Saya memberikan pandangan:
“Kalau begitu, anta boleh bayar selepas dua hari, tiga hari, empat hari atau lima hari. Kalau anta kesuntukan wang, kami saudara-saudaramu, sahabat-sahabatmu dan teman-temanmu akan bantu.”
Dia berkata lagi:
“Sesungguhnya semenjak saya menanam azam dalam diri saya dan berjanji akan mengeluarkan sebahagian daripada gaji saya setiap bulan pada hari saya menerimanya, saya akan menerima amaran langsung daripada Allah sekiranya saya terlewat melakukannya. Allah akan mengutus kepada saya telegram berupa amaran dan persoalan, mana hak dakwahmu? Mana jihadmu?
Soalan-soalan itu muncul di atas jasad anak-anakku. Yang seorang akan terkena demam panas membahang, yang lain pula menggigil kesejukan. Maka belanjan yang terpaksa dikeluarkanpun meningkat.
Maha Suci Allah! Keadaan akan bertukar. Dengan aku tidak mengeluarkan sedikit daripada gajiku untuk jihad, aku terpaksa menanggung perbelanjaan yang lebih tinggi untuk ubat dan keperluan-keperluan lain. Dan bulan ini berlaku hal yang sama. Aku telah terlewat membayar. Maka telegrampun tiba.
Inilah yang mendorong aku segera datang untuk melunaskan tanggungjawabku. Dan itulah sebabnya anta melihat saya sediah dan sugul. Saya telah terlewat membayar bahagian yang diperuntukkan untuk jihad daripada gaji bulanan saya!”
Saya mengucap syukur dan berdoa semoga Allah memberi ganjaran di atas kefahamannya yang begitu tinggi. Saya memandang tepat ke wajahnya, merenung ke dalam matanya. Saya utuskan rasa hormat dan penghargaan saya kepadanya dengan bahasa mata mengiringi ucapan dengan lidah.
Sambil itu saya berbisik kepada diri sendiri: Maha Suci Allah! Di mana anda wahai saudaraku berbanding dengan sahabatku yang seorang lagi? Ada sahabat yang apabila diminta sedikit sumbangan kehartaan kerana dakwah memerlukannya, akan berubah wajahnya, berkerut-kerut dahinya.
Dengan nada yang berat dia berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya saya sekarang terbeban dengan hutang! Saya telah melabur dalam koperasi, tapi sampai sekarang saya tak dibayar apa-apa. Sungguh, saya benar-benar susah!”.
Terdapat sahabat yang lain pula memberikan pelbagai alasan yang pada pandang saya penuh kecelaruan.
Saat ini saya sedang berdiri di antara dua orang sahabat yang saya muliakan:
Pertama: Sahabat yang tinggi kefahamannya, melonjak iman serta keyakinannya, setia dengan bai’ahnya kepada Allah Ta’ala yang berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (At-Taubah:111)
Ketika membaca ayat di atas, fikirannya teringat pula kepada ayat lain yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (An-Nahl:91)
“…. dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (Al-Fath:10)
Sahabat yang sentiasa berwaspada dan takut kepada sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husayn r.a. (maksudnya):
“Sebaik-baik kamu adalah kurunku, kemudian yang mengikutinya, kemudian yang mengikutinya”
‘Imran berkata: “Aku tidak mengetahui sama ada baginda menyebut dua atau tiga selepas kurunnya sebelum baginda menyambung sabdanya (bermaksud):
“Kemudian datang satu kaum yang bernazar tetapi tidak menyempurnakannya. Mereka khianat dan tidak boleh dipercayai, mereka menyaksi (sesuatu kejadian) tetapi tidak sanggup menjadi saksi. Akan lahir di kalangan mereka gejala gemuk”. (Al-Bukhari).
Di bibirnya melekat kata-kata Imam al-Banna rahimahullah ketika beliau menjawab soalan yang sering ditanyakan oleh mereka yang meragui kemampuan gerakannya: “dari mana datangnya harta (untuk membiayai keperluan dakwah ini)?”
Mereka yang tidak nampak kepentingan dakwah, melemparkan tuduhan dari jauh kepada ikhwan dan memerhati penuh sangsi seraya berkata: “Dari mana mereka dapat wang untuk membiayai dakwah mereka? Adakah mereka memiliki harta untuk menjayakan dakwah dan mengembangkannya, sedangkan masa sekarang kebanyakan manusia berada dalam kepayahan, dan ramai manusia dikuasai penyakit tamak dan bakhil?”
Sesungguhnya jawapanku kepada mereka ialah:
Bahawasanya seruan keagamaan, tiangnya adalah iman sebelum harta, aqidah sebelum barang-barang yang pasti hilang lenyap. Apabila telah wujud iman yang benar, akan wujudlah bersamanya jalan-jalan kejayaan. Dan sesungguhnya pada harta Ikhwan yang sedikit itu, yang mereka ambil daripada perbelanjaan sara hidup mereka, mereka berjimat dalam membeli keperluan rumah dan keperluan anak-anak mereka, lalu mereka sumbangkan kepada dakwah dengan penuh redha, lapang dada dan tenteram jiwa dan raga.
Setiap orang daripada ahli Ikhwan bercita-cita kalaulah mereka memiliki lebih banyak daripada itu nescaya mereka akan sumbangkan berganda-ganda lagi demi agama Allah. Andainya terdapat di kalangan mereka yang tidak punya sesuatu untuk disumbangkan, mereka beredar dengan linangan air mata, sedih kerana tidak dapat menyumbang untuk agama.
Pada harta yang sedikit ini dan iman yang besar Alhamdulillah menjadi bukti yang nyata bagi kaum yang ikhlas beribadah, menjadi tonggak kejayaan bagi mereka yang beramal dengan ikhlas. Sesungguhnya Allah s.w.t. yang di Tangan-Nya segala sesuatu akan memberkati setiap sen yang disumbangkan oleh Ikhwan.
Firman Allah bermaksud:
“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya…..” (Al-Baqarah:276)
“….dan sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.” (Ar-Rum:39)
Sahabat saya yang kedua pula adalah yang telah sirna daripadanya fiqh awlawiyyat (kefahaman tentang keutamaan dalam beramal). Dia hanya menggunakan sebelah kacamata sahaja. Lantaran itu dia melihat kefaqiran dunia, tetapi lupa kefaqiran akhirat. Dia hanya ingat kekayaan dunia tetapi lupa kekayaan akhirat, mengejar keuntung dunia, tetapi lupa keuntungan akhirat, takut kerugian di dunia tetapi lupa kerugian di akhirat.
Saya berdiri diapit dua sahabat yang begitu berbeza sekali. Dalam pada itu saya teringatkan sikap serta pendirian yang ditunjukkan oleh para sahabat dan tabi’ein semasa hayat mereka. Contoh-contoh pendirian itu datang bertalu-talu dari segenap penjuru, belum sempat kita membaca satu kisah, muncul pula kisah lain yang tak kurang hebatnya. Dan saya bandingkan antara dua orang sahabat saya tadi, siapakah antara mereka berdua itu yang berhak menerima penghormatan intima’ kepada dakwah dan berkorban untuk dakwah?
Siapakah di antara mereka yang berhak mendapat kemuliaan memikul beban dakwah atau dakwah yang terbeban dengan mereka? Siapa di antara mereka yang hidup di pinggiran jalan dakwah dan siapa yang di dalam dirinya dakwah hidup?
.... Bersambung ke bahagian 2
Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=63930&SecID=360
.... Bersambung ke bahagian 2
Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=63930&SecID=360