Nukilan Syaikh Atif Abu Zithar
...sambungan dari Bahagian 1
Abdullah bin Ja’far bin asy-Syahid at-Toyyar radhiallahu’anhuma pernah ditegur oleh setengah sahabatnya kerana terlalu banyak infaqnya di jalan Allah. Mereka bertanya kepada Abdullah: “Adakah setiap kali diminta kamu akan beri? Tidakkah kamu bimbang masa membalikkan keadaanmu?”
Beliau berkata kepada mereka: “Sesungguhnya Allah telah membiasakan aku dengan satu kebiasaan dan aku membiasakan hamba-Nya dengan satu kebiasaan. Allah membiasakan aku dengan pemberian-Nya kepadaku setiap kali aku memberi kepada hamba-Nya. Dan aku membiasakan hamba-Nya dengan setiap kali mereka meminta, aku akan beri. Maka aku takut jika aku tidak memberi, aku tukar kebiasaanku dengan hamba-Nya, Dia tidak lagi memberi kepadaku dan menukar kebiasaan-Nya denganku!”
Sesungguhnya seseorang itu akan mendahului orang lain dengan sebab pandangannya yang jauh. Dia melihat sesuatu perkara dan mengukurnya dengan kacamata akhirat, keredhaan Tuhannya dan Pelindungnya Yang Maha Mengetahui tentang dirinya. Orang ini disifatkan oleh al-Hasan al-Basri rahimahullah dengan kata-katanya: Manusia berada dalam satu keadaan dan dia berada dalam satu keadaan yang lain. Manusia tidak penat memikirkannya, tetapi dia penat memikirkan masalah manusia.
Kini saya teringat kata-kata Ibn al-Jauzi ketika beliau menghuraikan perbezaan antara mereka yang berpendapat hak dakwah di dalam pendapatan bulanannya sebagai cukai dengan mereka yang berpendapat hak dakwah di dalam pendapatan bulanannya sebagai jihad.
Orang yang berpendapat ia sebagai cukai tidak akan membayarnya kecuali apabila diminta, seperti seorang hamba yang jahat. Dia tidak akan datang mengadap tuannya kecuali dipanggil. Itupun selalu lambat. Dia tidak menyahut dengan cepat. Orang yang menganggap hak itu sebagai cukai perlu diketuk pintunya beberapa kali. Ada yang sampai ke tahap terpaksa diberi amaran, diutus polis untuk menangkap dan dibawa ke muka pengadilan dan akhirnya dipenjara atau dihalau keluar negara.
Adapun mereka yang menganggap hak itu sebagai jihad akan bergerak sendiri untuk menunaikannya. Dia melihat sesuatu perkara itu dari segi hakikat dan kedudukannya yang asal. Dia faham hanya dengan isyarat. Begitulah setiap yang berakal akan faham hanya dengan isyarat.
Ibn al-Jauzi menambah: Tidakkah kamu melihat orang-orang yang pakar dalam pelbagai bidang, apabila mereka memasuki sebuah kota yang maju, kamu akan dapati ahli binaan akan melihat kepada pintu dan dinding-dinding, tukang kayu akan melihat kepada pintu, tukang jahit akan melihat kepada hasil tenunan. Begitulah mukmin yang celik mata hatinya, apabila dia melihat kegelapan dia teringat kepada kubur, apabila dia ditimpa sakit dia teringat azab neraka, apabila dia terdengar gegaran suara yang lantang dia teringat tiupan sangkakala, apabila dia melihat orang tidur nyenyak dia teringat orang mati terbujur di dalam kubur dan apabila dia melihat sesuatu yang lazat dia teringat syurga.
Manakala Ibn Rajab berkata di dalam bukunya Nur al-Iqtibas: Sesiapa yang menegakkan hak-hak Allah, maka sesungguhnya Allah jamin akan pelihara semua kepentingannya di dunia dan akhirat. Dan sesiapa yang mahu supaya Allah menjaga dan memelihara semua urusannya maka peliharalah hak-hak Allah ke atasnya. Dan sesiapa yang tidak mahu ditimpa sesuatu yang tidak digemarinya maka janganlah dia melakukan sesuatu yang tidak digemari oleh Allah.
Di dalam himpunan risalahnya dia berkata: antara rahsia-Nya yang indah ialah beriringannya antara kesenangan dengan kesulitan. Sesuatu kesullitan yang menimpa, apabila tiba ke puncaknya di mana upaya manusia telah tiada, harapan telah terputus, jalan-jalan telah tertutup, ketika itu pergantungan hanya terpaut pada Yang Esa, harapan hanya terarah kepada Dia Yang Maha Kuasa. Sesiapa yang telah putus harapannya dengan makhluk dan dia hanya bergantung kepada al-Khaliq, maka pasti akan datang pertolongan dari-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Bentengi harta kamu dengan berzakat, rawati sakitmu dengan bersedekah, dan persiapkan diri menghadapi ujian dengan berdoa.” (At-Tobrani)
Di manakah perginya mereka yang mempunyai matahati supaya mereka membaca kata-kata ini? Supaya mereka beriman bahawa hak dakwah di dalam pendapatan bulanannya adalah jihad, bukan cukai!
Jika mereka tunaikan dengan sempurna, mereka laksanakan janji mereka dengan-Nya, Allah jamin akan memelihara dan menjaga mereka, Allah akan qabul doa mereka dan tunaikan hajat-hajat mereka.
Allah ‘Azza wa Jalla berfirman maksudnya: “(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal) dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Muhammad:38)
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Tidak akan berkumpul debu-debu jihad di jalan Allah dengan asap jahannam di dalam kerongkong seseorang hamba selama-lamanya. Dan tidak berkumpul sifat kedekut dengan iman di dalam hati seseorang hamba selama-lamanya” (Ahmad dan an-Nasaei)
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada suatu haripun, apabila seorang hamba bangun waktu pagi, kecuali dua malaikat akan turun kepadanya. Salah satunya akan berkata: “Ya Allah, berilah kepada orang yang menginfaqkan hartanya itu gantinya”. Manakala yang satu lagi berkata: “Ya Allah, berilah kepada orang yang menahan hartanya (tidak infaq di jalan Allah) kebinasaan”. (al-Bukhari)
Apa akan jadi sekiranya pada hari qiamat nanti dakwah datang bergantung kepada orang yang memikulnya tetapi tidak mahu mengeluarkan harta untuknya? Dakwah akan berkata: “Wahai tuhanku, ini hamba-Mu! Dia dulu membawa aku tetapi dia tidak memberikan hartanya untukku!”.
Daripada Abdullah bin Umar radhiallahu’anhuma katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Berapa banyak jiran yang bergantung dengan jirannya pada hari qiamat nanti seraya berkata: Ya Tuhanku, jiranku ini menutup pintunya dariku dan tidak memberikan hartanya kepadaku”. Ini baru seorang jiran yang bergantung dengan orang yang bakhil dan tidak menolong jirannya.
Maka apa akan terjadi ke atas kita sekiranya kita bakhil terhadap dakwah yang membawa kebaikan kepada seluruh manusia, menyelamatkan mereka dari siksa api neraka, membimbing mereka kepada hidup mulia, untuk semua golongan dan semua bangsa? Apa akan terjadi ke atas kita sekiranya semua lidah yang bercakap, telinga yang mendengar dan mata yang melihat, semuanya bergantung pada kita, meraung dan mengadu kepada Allah bahawa kita telah memutuskan harapan mereka, kita tidak memberikan harta kita untuk selamatkan mereka?
Seandainya para du’at enggan berjihad dengan hartanya, maka siapakah yang akan berjihad? Seandainya du’at bakhil, maka siapakah yang pemurah? Sekiranya du’at tidak mengangkat bendera jihad dengan harta, maka siapakah yang akan mengangkatnya?
Sesungguhnya jihad dengan harta di dalam medan ini sangat luas, manfaatnya sangat banyak, pahala serta ganjarannya sangat besar dan menyeluruh.
Daripada Abi Musa al-Asy’ariy r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Asy’ariy, apabila mereka meninggalkan balu-balu kerana berjuang atau kurangnya makanan ahli keluarga mereka di Madinah, mereka akan kumpulkan makanan yang ada pada mereka di dalam sehelai kain kemudian mereka bahagikan sesama mereka di dalam satu bekas setiap satu keluarga sama banyak. Dan aku adalah sebahagian daripada mereka”. (Muttafaq ‘alaih).
Suatu kemuliaan yang sungguh hebat bahawa kamu menjadi sebahagian daripada ahli bait Nabi s.a.w. tetapi dengan syarat kamu hendaklah jadi seperti Asy’ariyyin dari segi kerjasama dan saling bantu membantu ketika ditimpa bencana dan kesusahan. Ini tidak sukar dan tidak susah kerana kesempitan hidup berlaku dari masa ke semasa ke atas saudara-saudaramu yang memikul beban seperti yang kamu pikul, yang banyak masalah seperti kamu juga. Dan dengan jihad harta yang kamu sumbang, dapat meringankan beban mereka di samping kamu dapat berkongsi dalam menyibarkan cahaya, menerangi sebahagian daripada kegelapan orang-orang yang membuat kerosakan lagi merosakkan.
Sesungguhnya dengan jihadmu wahai saudaraku yang mulia, akan mengangkat bendera yang hampir tersungkur, menjulang mushaf (kitab suci al-Quran) yang ingin dipijak oleh musuh dan mendaulatkan syari’ah yang ingin dipinda, diseleweng dan dipadamkan.
Sesungguhnya dengan jihadmu wahai saudaraku, engkau berkongsi di dalam membiayai penuntut ilmu, menghulur sesuap makanan kepada balu-balu dan meringankan penderitaan pesakit yang sedang bertarung dengan maut.
Sesungguhnya dengan jihadmu wahai saudaraku, engkau mampu menyebarkan dakwah, memegang tangan insan yang berdosa lalu memimpinnya menuju cahaya, menunjuk jalan kepada orang yang sedang teraba-raba dalam kesesatan, ikut serta dalam meletakkan batu-bata bagi mengukuhkan binaan agama Allah di muka bumi.
Sesungguhnya kami menyeru agar engkau rasa cemburu melihat golongan batil begitu gigih berkorban harta, masa dan tenaga mereka untuk menyibarkan kebatilan mereka dan mempertahankannya. Sesungguhnya al-Quran telah merakamkan tentang pengorbanan orang-orang kafir dengan harta mereka demi nemegakkan kebatilan mereka di dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam Neraka Jahanam.” (Al-Anfal:36)
Inilah saudaraku yang mendorong kita untuk berkorban demi menyibarkan dakwah kepada Allah di kalangan manusia siang dan malam dengan apa saja nikmat yang diberikan kepada kita sama ada waktu, harta dan idea demi mencari redha Allah ‘Azza wa Jalla.
Seorang lelaki meminta Ahmad bin Hanbal rahimahullah agar menasihatinya, beliaupun berkata: “Sekiranya Allah telah menjamin rezeki untukmu, maka untuk apa kamu begitu mengambil berat tentangnya? Sekiranya kamu tahu bahawa rezeki setiap orang telah dibahagikan dengan kadar tertentu, maka kenapa masih tamak? Sekiranya harta yang dibelanjakan di jalan Allah, dijamin akan diganti maka kenapa bakhil? Sekiranya syurga itu benar, maka kenapa berehat daripada mengejarnya? Sekiranya dunia ini akan binasa, maka kenapa tenang bersenang lenang dengannya? Sekiranya hisab (perhitungan amal pada hari qiamat) itu benar, maka mengapa masih leka mengumpul harta? Sekiranya segala sesuatu itu berlaku mengikut qadha’ dan qadar, maka mengapa sedih dan dukacita?”
Kita sangat berhajat kepada pengorbanan untuk dakwah lebih daripada berhajatnya dakwah kepada pengorbanan kita. Sesiapa yang percaya kepada perkara ini dia akan berusaha untuk segera berjihad dengan hartanya. Sesiapa yang tidak percaya, maka dia akan tunggu pemungut cukai datang mengutip hartanya dengan mengetuk pintunya, merayu secara diam-diam, kemudian mendesak pula secara lantang.
Diceritakan bahawa Ibrahim bin Adham hendak memasuki bilik air, maka dia dihalang oleh penjaga bilik air dari memasukinya tanpa bayaran. Lalu Ibrahim menangis sambil berkata: kalaulah aku tidak dibenarkan memasuki rumah syaitan dengan percuma, bagaimana aku akan dapat memasuki rumah kediaman para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin tanpa bekalan dan tanpa amalan? Maka hulurkan bayaran, tunaikan janjimu, berniagalah dengan Tuhanmu, nescaya Dia akan tunjukimu jalan yang lurus.
“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-‘Ankabut:69)
Dan pujilah Allah yang telah membuka kepadamu pintu jihad dengan harta sepanjang hayatmu, di ketika Dia menutup pintu itu di hadapan ramai orang dari kalangan umatmu.
Awas wahai saudaraku, jangan sampai Allah tutup wajahmu dari sinaran cahaya-Nya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “….tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka dan dikatakan (oleh Syaitan): Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal.” (At-Taubah:46)
Mudah-mudahan Allah kurniakan kita kesihatan dan kesejahteraan, anugerahkan kita cintakan jihad di jalan-Nya. Amin! Amin!
Segala puji bagi Allah Rabbul-‘alamin.
Artikel asal: http://www.ikhwanon line.com/ Article.asp? ArtID=63930&SecID=360