Dengan nama Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan orang-orang yang mengikutinya.. dan selepasnya;
Sudah menjadi sunnatullah bahawa umat Islam sentiasa berhadapan dengan manusia yang ingkar kepada Allah dan menolak syariat Allah, seperti menimbang-nimbang fatwa jika ada yang lebih kuat maka yang lainnya diketepikan. Oleh itu jika umat Islam benar dengan Allah dan setia dalam melaksanakan manhaj dan syariat Allah, sudah pasti Allah akan memberikan berbagai sebab kemuliaan, kekuatan dan kemenangan.
“Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil lalu yang hak itu menghancurkannya, Maka dengan serta merta yang batil itu lenyap”. (Al-Anbiya:18)
Namun jika umat mengabaikan syariat dan hukum-hukum Allah, sehingga kemungkaran berleluasa di kalangan mereka dan tiada lagi nilai-nilai yang mulia dan baik di kalangan mereka, maka tentulah kezaliman, kekerasan dan kekejaman ke atas orang lain akan bermaharaja lela.
Jika umat Islam ramai yang marah – dan mereka mempunyai hak untuk itu – di atas tindakan beberapa pelampau seperti ancaman pembakaran mushaf, yang wajib mereka sedari adalah bahwa ketika mereka terpesong jauh dari syariat Allah dan ajaran-ajaran-Nya serta kekejaman bermaharaja lela di kalangan mereka, maka sebenarnya merekapun turut ditimpa kehinaan dan cinta dunia yang berlebihan.
Benarlah sabda Nabi saw bermaksud:
“Sungguh Allah akan mencabut dari dada musuh-musuh kalian rasa takut, dan akan menimpa dalam diri kalian al-wahn. Para sahabat bertanya: “Apa yang dimaksudkan dengan Al-wahn ya Rasululah?”: Baginda menjawab:”Cinta dunia dan takut mati”. (Abu Daud)
Kehancuran suatu bangsa kerana kezaliman dan kekerasan
Di sana terdapat dua jenis kezaliman:
1. Kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri dengan sebab kefasikan, kejahatan, dan keluar dari ketaatan kepada Allah, serta saling tindas- menindas dan zalim-menzalimi sesama manusia,
2. Kezaliman pemerintah (penguasa) terhadap bangsa dan rakyat mereka sendiri, seperti menafikan hak-hak mereka, mengenepikan kemuliaan dan kehormatan mereka, sehingga menyebabkan mereka lemah dan tidak layak untuk terus hidup dan akhirnya memudahkan musuh untuk mengalahkannya dan mempermainkannya.
Benarlah firman Allah SWT bermaksud:
“Dan berapa banyaknya (penduduk) negeri yang zalim yang teIah Kami binasakan, dan Kami adakan sesudah mereka itu kaum yang lain (sebagai penggantinya)”. (Al-Anbiya:11)
Sesebuah negara boleh kekal dengan keadilannya walau pemerintahannya kufur, sebaliknya sesebuah negara tidak akan kekal selagi melakukan kezaliman walaupun pemerintahannya Muslim. Ini kerana sunnatullah kehancuran suatu bangsa (negara) bukan hanya kerana kekufurannya sahaja, tetapi jika telah bergabung kekufuran dan kezaliman dalam pemerintahannya terhadap rakyatnya, dan penduduknya turut zalim-menzalimi sesama mereka.
Allah berfirman bermaksud:
“Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim, sedang penduduknya orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Hud:117)
Di antara implikasi kezaliman adalah sebuah negeri itu akan hancur dari aspek ekonomi dan pembangunan di samping ramai orang yang enggan bekerja dan menghasilkan produktiviti, dan mereka juga sibuk untuk lari dan keluar dari kezaliman. Ini menyebabkan negara menjadi lemah dan tidak berdaya ketika berhadapan dengan musuh-musuh luarnya dan kekejaman terus bermaharaja lela ke atas rakyatnya yang lemah dan ditindas.
Allah berfirman bermaksud:
“Berapalah banyaknya kota yang Kami telah membinasakannya, yang penduduknya dalam Keadaan zalim, Maka (tembok-tembok) kota itu roboh menutupi atap-atapnya dan (berapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi”. (Al-Hajj:45)
Dari mentaliti kelemahan menuju kepada mentaliti kemuliaan diri
Kini telah terbukti pelbagai kegagalan kerajaan-kerajaan Arab dan Islam dalam membangunkan bangsanya yang disebabkan mereka masih tetap menjadi ‘pak turut’ dan menerapkan pemerintahan al-wahn, sehingga sering mengeluarkan tindakan yang berlawanan dengan kemaslahatan umat, dan jika mendapatkan ubat maka sering berlaku kesilapan dalam memilih ubatnya dan terus menderita penyakit yang berpunca dari kelemahan mentalnya.
Oleh sebab itu, tanah Arab dan bumi Islam ketika ini menanggung pelbagai masalah, kerana ‘keinginan’ dan ‘kemahuan’ telah hilang, lalu rela tunduk di bawah telunjuk musuhnya seperti Zionis dan sekutunya. Mereka telah lupa atau pura-pura lupa bahwa musuh mereka yang sebenar di dalam dada mereka dan tunduk kepada Rejim Zionis, dan akhirnya -pemerintah pak turut ini - menghalakan senjatanya untuk rakyatnya sendiri dan lari dari tanggungjawab memerangi Zionis.
Bahkan mereka tidak berusaha mewujudkan kesatuan umat dan kebangkitannya, dan melupakan perintah Allah untuk berjihad di jalanNya dengan harta dan jiwa demi menjadikan agama Allah yang tertinggi dan kekufuran yang terendah.
Allah berfirman bermaksud:
“Berangkatlah kamu baik dalam Keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”. (At-Taubah:41)
Alangkah berhajatnya umat Islam hari kepada mentaliti kemuliaan dan apa jua cara yang menghasilkan sumber-sumber kekuatan di saat menghadapi zionis antarabangsa yang tidak mengenal ‘bahasa’ melainkan bahasa kekuatan. Justeru mereka mesti ditentang besi dengan besi, dan angin dengan taufan.
Alangkah berhajatnya Umat Islam kepada suatu kesedaran bahwa pengislahan dan perubahan yang diidamkan tidak akan mampu tercapai melainkan dengan jihad dan pengorbanan serta dengan mencetak genarasi mujahid yang cintakan kematian (syahadah) sebagaimana musuh cintakan hidup.
Penentangan adalah satu-satunya jalan penyelesaian
Tempoh rundingan tidak langsung telah berakhir namun sedikitpun tiada rakyat Palestin yang memperolehi kebaikannya dan juru runding Palestin sama sekali tidak mahu mengambil pelajaran dan menjadikannya sebagai pengajaran. Demikianlah yang dilakukan oleh pemerintah Fatah di Palestin – mereka kembali melakukan perundingan dengan Zionis – dan dibimbangi, pada akhirnya dirinya hanya mampu mengeluarkan kata-kata di atas meja perundingan sahaja.
Sementara itu rakyat Palestin terus melakukan penentangan melalui intifadhah ketiga dalam rangka mengenang intifadhah kedua, dan kita melihat rakyat ketika ini begitu membara semangatnya, seperti pemuda-pemuda di Tebing Barat dan Gaza terus menentang Rejim Zionis dan pihak yang menyokong mereka.
Amerika tidak akan mampu selama-lamanya memaksa penyelesaian kepada rakyat Palestin sekalipun memiliki kekayaan dan berbagai kekuatan. Inilah Amerika, terpaksa menarik keluar tenteranya dalam keadaan menanggung kekalahan dan penderitaan di Iraq, bahkan tidak lama lagi akan menarik keluar tenteranya dari Afghanistan.
Oleh kerana itu, pesawat-pesawat tempur, peluru berpandu, dan kecanggihan teknologi ketenteraan sekalipun akhirnya dapat dikalahkan di hadapan kehendak dan keinginan umat yang diiringi dengan tentangan yang berterusan. Perang Gaza dan Lebanon adalah contoh yang paling jelas.
Justeru penentangan adalah satu-satunya penyelesaian dalam menghadapi kekejaman dan kekerasan Zionis dan Amerika. Cukuplah bangsa Arab dan umat Islam seluruhnya berdiri di sebalik perjuangan ini dengan menyatakan sokongan dan pertolongan. Kini rakyat telah menyedari siapakah pejuang sejati dan dan siapakah yang sanggup menjual permasalahan ini dan berdamai dengan mereka. Kita sampaikan pesan kepada saudara-saudara kita para mujahidin di Gaza; bersabarlah dan bertahan dalam kesabaran serta tabahlah!! dan ketahuilah bahwa Allah bersama kalian dan tidak akan mensia-siakan amal kalian…
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, Padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman”. (Ali Imran:139)
Kejatuhan Amerika dan kemusnahan rejim Zionis
Jika Soviet Union telah jatuh secara dramatik, maka tanda-tanda keruntuhan Amerika lebih kuat daripada tanda-tanda yang menghancurkan kesatuan Soviet. Ini kerana umat yang tidak menjunjung tinggi nilai-nilai moral dan nilai-nilai kemanusiaan tidak layak memimpin umat manusia dan sama sekali tidak diperlukan hartanya jika telah datang azab Allah seperti yang pernah terjadi pada bangsa dan umat sebelumnya, dan ketika ini kita telah menyaksikan bagaimana Amerika berada di garisan akhir dan bergerak menuju kehancurannya.
Firman Allah bermaksud:
“Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam”. (Al-An’am:45)
Firman Allah bermaksud:
“Dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, Maka mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjelajah di beberapa negeri. Adakah (mereka) mendapat tempat lari (dari kebinasaan)?” (Qaaf:36)
Manakala Rejim Zionis, melalui pengakuan Martin Craveld profesor sejarah di Universiti Hebrew dan seorang pakar strategi ketenteraan, dalam sebuah wawancaranya dengan wartawan, yang diterbitkan oleh majalah”Ayalon”, dan akhbar “Amtsaa Khedira” bertarikh 08-03-2002. Menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya: “Apa yang akan berlaku jika tentera Zionis dipanggil untuk melawan tentara kerajaan seperti Syria atau Lebanon? Dia menjawab: “Pada pendapat saya mereka pasti akan melarikan diri dari perang, seperti yang berlaku pada peperangan yang meletus pada tahun 1973, sebahagian besar tentera meletakkan ‘kedua kakinya di atas pundaknya’ lalu lari lintang-pukang, dan peperangan Zionis menentang orang-orang lemah masih terus berlangsung .. lebih dari dua puluh tahun sejak penyerbuan Lebanon dan telah mengubah mereka menjadi sekumpulan manusia pengecut dan murung”. Craveld menambah: “Ketika kami berada di majlis pengkebumian tentera, kami meratap dan merintih, sedangkan rakyat Palestin menuntut bela di atas jenazah-jenazah mereka”.
Umat Islam memiliki keupayaan untuk melakukan pengislahan dan perubahan
Sesungguhnya umat Islam memiliki keupayaan untuk melakukan pengislahan dan perubahan.
Allah berfirman bermaksud:
“Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami”. (Fathir:32)
Ini kerana umat Islam memiliki panduan, manhaj dan petunjuk jalan, memiliki contoh mithali yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah saw dan tekniknya dalam sirah Nabi saw yang menjadi wasilah penjelasan tertentu tentang cara berinteraksi dengan nilai-nilai yang terdapat di dalam al-Kitab dan as-Sunnah pada setiap waktu dan tempat, dan ditambah dengan adanya peninggalan sejarah dari perjalanan hidup para nabi-nabi terdahulu dan tentang keadaan suatu umat dan bagaimana kejatuhan dan kebangkitannya.
Jelaslah bahwa keselamatan pemikiran atau penyusunan ideologi merupakan asas sesuatu perubahan. Oleh kerana itu Allah SWT menganggap jihad dengan menggunakan Al-Qur’an dan membina keutuhan ideologi merupakan peringkat jihad tertnggi. Perubahan yang hakiki dan sempurna hanya dengan keutuhan Al-Qur’an.
Allah SWT berfirman bermaksud:
“Dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Quran dengan Jihad yang besar”. (Al-Furqan:52)
Oleh itu, terdapat gambaran palsu dalam melakukan perubahan dan transformasi,iaitu yang hanya mementingkan kuasa politik dan ekonomi. Namun seandainya telah mencapai kekuasaan politik dan negara tanpa memiliki ciri-ciri pemikiran ini, maka perubahan terus terasing daripada sanubari umat dan tidak mampu melakukan perubahan meskipun masanya panjang.
Allah menjanjikan keteguhan dan kemenangan
Allah berfirman bermaksud:
“Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang”. (Al-Qamar:45)
Ayat di atas memberikan penjelasan tentang janji Allah kepada orang-orang beriman bahwa mereka akan mengalahkan musuh-musuhnya pada masa akan datang, dan musuh akan mundur ke belakang. Para sahabat telah menikmati janji Al-Qur’an ini padahal mereka ketika di Mekah adalah kelompok yang lemah, tersiksa dan tertekan, sementara musuh pada ketika turunnya ayat ini memiliki kekuatan dan kemenangan. Pihak yang memperolehi janji ini sepatutnya adalah para pembesar kota Mekah dan pemimpinnya, di mana di tangan mereka kekuasaan, harta, jawatan dan keputusan, dan manusia seluruhnya mengikuti mereka. Sementara umat Islam, ketika itu hanya minoriti dan lemah, tidak memiliki harta, kekuasaan dan kekayaan. Namun setelah beberapa tahun berhijrah, datanglah janji Allah yang telah disebutkan sewaktu sembilan tahun sebelum hijrah, dan hal itu berlaku semasa perang Badar.
Dari Umar bin Khattab ra berkata: ketika turun ayat Allah bermaksud:
“Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang”. (Al-Qamar:45)
Menyebabkan saya berkata-kata: golongan mana yang akan kalah?.. hingga di saat perang Badar saya melihat Rasulullah saw meneguhkan dan memberi motivasi di tengah angkatan muslimin dan berkata tentang firman Allah bermaksud:
“Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang”. (Al-Qamar:45)
Maka pada ketika itu saya baru memahami maksudnya…
Apakah kita dapat membandingkannya dengan apa yang terjadi di Gaza?!!
Alangkah berhajatnya umat Islam ketika ini kepada kesatuan, ikatan yang erat, persiapan yang rapi, dan sebelum semua itu tentunya umat berhajat kembali kepada Allah.
Justeru wahai umat Islam bersatulah, wahai rakyat Palestin bersatulah semua untuk menghadapi masuh-musuh yang sentiasa melakukan tipu daya kepada kalian, dan ketahuilah bahwa Allah adalah sebaik-baik pembuat tipu daya, dan kalian –insya Allah- yang akan menang dan Islam akan mampu menghadapi kezaliman dan kekerasan, dan marilah kita semua sedar bahwa natijah pertembungan telah diputuskan oleh Allah Yang Maha Kuasa, sebagaimana firman-Nya bermaksud:
“Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, Maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, Maka arus itu membawa buih yang mengambang. dan dari apa (logam) yang mereka lebur dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tak ada harganya; Adapun yang memberi manfaat kepada manusia, Maka ia tetap di bumi”. (Ar-Ra’ad:17)
Firman Allah bermaksud:
“Dan Sesungguhnya telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi rasul, (yaitu) Sesungguhnya mereka Itulah yang pasti mendapat pertolongan. Dan Sesungguhnya tentera Kami. Itulah yang pasti menang”. (Ash-Shaffat:171-173)
Yakinlah bahwa Allah berada di sebalik semua tujuan ini dan Dialah yang akan menunjukkan jalan (yang lurus).
Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=71461&SecID=213