Friday, July 15, 2011

Risalah Mursyid: Umat dan Mi’raj ke langit

Risalah daripada Prof. Dr. Mohammed Badie
– Mursyid Am Ikhwan Muslimun

30 Jun 2011

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah dan orang-orang yang mengikutinya.

Tiada seorang pun dalam sejarah manusia melalui pengalaman yang sama seperti Rasulullah saw. Baginda melalui pengalaman luar biasa melepasi blok kehidupan ini ke tingkatan langit terakhir, dan berpindah dari alam yang nyata ke alam ghaib. Baginda melihatnya sendiri – dengan dua mata kepalanya – dan menerima berita atau pendengaran tentang risalah langit seluruhnya. Kemudian baginda kembali semula untuk memberitahu manusia apa yang beliau lihat melalui matanya sendiri sambil diperkuatkan dengan sumpah dari Tuhan yang memiliki ketinggian. Firman Allah swt (bermaksud):

“Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan indah yang diizinkan ia melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.” (An-Najm: 17-18)

Jelasnya mukjizat Isra’ dan Mi’raj adalah satu keajaiban buat Nabi Muhammad saw, untuk menggembirakan hatinya, meninggikan kedudukannya dan melapangkan fikirannya … selepas usaha keras dan kerja yang berterusan semasa berdakwah kepada manusia dan menyampaikan syariat Allah … selepas Rasulullah saw menempuh pelbagai kesusahan, keletihan, tentangan dan pendustaan, penipuan dan keangkuhan yang tidak mampu dipikul oleh manusia. Dan selepas berakhirnya tahun kesedihan buat Rasulullah saw setelah kehilangan isterinya yang mulia, Khadijah ra dan bapa saudaranya, Abu Talib dan dihambat oleh kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa hingga pulang dari Taif dalam keadaan kaki berdarah dan hati yang sedih. Baginda telah membacakan doa berikut dengan penuh khusyuk (bermaksud):

“Ya Allah aku mengadu kepadaMu. Lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku, dan hinanya aku ini di kalangan orang ramai. Wahai Tuhan yang paling penyayang di kalangan yang penyayang, Engkaulah Tuhan orang-orang yang kena tindas dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapa ingin Engkau serahkan diriku wahai Tuhan. Adakah kepada orang jauh yang bermasam muka denganku ataupun kepada musuh yang Engkau jadikan mereka itu menguasai urusanku. Jika Engkau tidak murka kepadaku wahai Tuhan, aku tidak peduli. Namun afiatMu lah yang paling luas untukku. Aku berlindung dengan wajahMu wahai Tuhan yang dengannya diterangi kegelapan. Jangan Engkau turunkan marah-Mu kepadaku. Dan jangan Engkau halalkan kemurkaan-Mu kepadaku. Selagi tiada murkaMu kepadaku wahai Tuhanku, aku tidak peduli. Tidak ada daya dan tidak ada upaya melainkan dengan mengharapkan Engkau jua wahai Tuhan.

Jelasnya perjalanan Isra’ dan Mi’raj adalah satu bukti tentang keupayaan dan kekuasaan Allah apabila memecahkan undang-undang fizikal, dan menampakkan kemutlakan kuasa Ilahi … Halangan masa dan tempat tidak mampu menyekat kehendak Ilahi dan kemahuan Tuhan. Inilah Mi’raj sebenar, yang memerlukan kita berlindung kepada Allah swt, memastikan hubungan yang baik denganNya, memperbanyakkan amal solih, melaksanakan ibadah dengan pengertian yang sebenar serta mengambil berat isu dan hal ehwal umat. Semua itu dan lain-lain telah memi’rajkan kita supaya memperolehi sokongan Allah, bantuan dan pertolonganNya.

Meskipun bumi ini sempit baginya namun dibuka pintu langit yang luas terbentang kepadanya. Meskipun pelbagai penghinaan dan tentangan dari kejahatan kaumnya namun diperlihatkan kemuliaan dan penghormatan di langit yang tertinggi hingga sampai ke Sidratul Muntaha. Meskipun para pembesar menentang dan menolaknya, namun semua nabi dan rasul solat di belakangnya, yang dihimpunkan oleh Allah melalui kekuasaanNya yang mutlak dalam satu tempat dan satu masa … Para nabi dan rasul mengisytiharkan kepimpinannya dalam agama dan penyudah risalah para rasul, dan memikul amanah dan menyampaikan risalah. Ini merupakan suatu tanda tentang tanggungjawab umat selepasnya. Firman Allah swt (bermaksud):

“supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).” (Al-Baqarah: 143).

Kita telah berbicara tentang Isra’ dalam risalah yang lalu, dan hikmah yang terdapat di negeri yang suci antara Mekah dan al-Quds - di Semenanjung Arab dan Syam tempat turun wahyu dan terbit cahaya kebenaran. Rasulullah saw telah dibawa mengelilinginya seolah-olah dia menerima kunci kepimpinan risalah langit keseluruhannya. Dengan itu, baginda adalah pewarisnya, penutupnya dan pemegang amanah sehingga ke hari Kiamat.

Kemudian datang perjalanan Mi’raj … untuk membuktikan keutuhan hubungan antara langit dan bumi, antara kehidupan dunia dan kehidupan akhirat, antara dunia yang ghaib dan dunia yang nyata, antara dunia material dan dunia roh. Tiadalah kehidupan dunia yang penuh dengan pancoraba, peristiwa, suka dan duka melainkan satu masa yang singkat. Singkat jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat tanpa kesudahan ... Firman Allah swt (bermaksud):

“sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil.” (Ar-Ra’d: 26)

“Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja.”
(Ar-Rum: 55)

Walaupun kita dituntut – dari segi syarak – bekerja dan mengembling tenaga, berusaha bersungguh-sungguh dan berinovasi, dan beramal solih dalam kehidupan dunia, namun kita sebenarnya mengharapkan di sebaliknya ialah memperolehi balasan yang baik, keluasan ganjaran dan nikmat yang kekal di dalam;

“dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Imran: 133).

Sesungguhnya kezaliman material pada zaman kita – dan sejak zaman dahulu – telah menyebabkan ramai manusia tidak mengambil berat melainkan kehidupan duniawi, harta benda dan keseronokan yang sementara …

"Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman" (Al-Jatsiah: 24)

… dan kemudian mereka sangat rakus untuk mendapatkan harta dan kesenangan tanpa mengira halal atau haram, jalan kesusahan dan kerja keras, rampasan atau rompakan. Fiman Allah SWT (bermaksud):

“Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).”
(Al-Qiyamah: 20-21 )

Kesudahan kerakusan ini menyebabkan kehidupan manusia bertukar menjadi kasar dan buas … yang kuat menindas yang lemah, yang besar menzalimi yang kecil, yang kaya bertambah jahat dan yang miskin bertambah hina dan susah, semua orang berjuang untuk mendapatkan kesenangan tanpa kawalan atau batas. Dengan itu ia akan melanggar hak-hak asasi, kehilangan maruah, menghancurkan kemuliaan, menjatuhkan moral dan memusnahkan umat manusia seluruhnya. Manusia hidup dalam kesengsaraan yang tiada kesudahan setelah mereka hilang tujuan dan matlamat serta lenyap sistem dan panduan.

Sesungguhnya perjalanan Mi’raj membuktikan dengan jelas dan terang, penuh yakin dan pasti bahawa setiap amal yang solih di dunia ini akan diberikan balasan yang amat besar di akhirat – jauh lebih utama daripada kesenangan di dunia. Balasan itu tidak tertanding dan menjangkau ke dunia penuh abadi.

Begitu juga setiap penyelewengan, kesalahan, dosa dan kejahatan di muka bumi akan mendapat hukuman sehingga melahirkan ketakutan, jauh lebih hebat daripada hukuman sementara di dunia ini kerana bencana untuk dirinya di akhirat tiada kesudahan dan tidak ada tempat untuk melarikan diri darinya.

“Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah. Dan tiada sesiapapun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belengguNya.” (Al-Fajr: 25-26)

Rasulullah saw telah melihat balasan kepada orang-orang berjihad yang menanam dan menuai dalam satu masa, dan melihat kenikmatan orang-orang yang beramal solih dengan mata kepalanya. Begitu juga Rasulullah saw telah menyaksikan balasan pemakan riba, pengumpat, orang yang enggan membayar zakat, penyebar fitnah dan orang yang mengkhianati amanah.

Jelasnya asas ganjaran dan hukuman adalah asas hak dan keadilan di alam semesta ini … dengan tertegak langit dan bumi … Kehidupan manusia tidak akan sejahtera melainkan adanya asas ini.

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya
(dalam surat amalnya)!” (Al-Zalzalah: 7-8)

“Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?”
(Ar-Rahman: 60)

“Siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?" (Al-An’am: 47).

Beriman kepada perkara ghaib adalah melalui pengetahuan dan kepastian, pemikiran dan akal, memerhatikan ayat-ayat Al-Quran, dan keyakinan dari kata-kata Rasulullah saw, dan kemudian melalui riwayat yang benar dari orang yang menyaksikan semua ini dalam suatu perjalanan yang unik; supaya tidak ada lagi sebarang alasan atau ragu-ragu … Keimanan yang benar dan tulus kepada perkara ghaib adalah satu jaminan untuk memastikan kehidupan manusia dan perjalanan mereka di atas jalan yang benar.

Oleh sebab itu minda dan perasaan Rasulullah saw hendaklah diperluaskan termasuk alam ghaib dan memindahkannya ke dunia nyata, dan melangkaui pandangan beliau sehingga ke langit yang jauh dari kesempitan di dunia ini kepada keluasan dunia dan akhirat. Rasulullah saw menyedari bahawa untuk memperolehi kejayaan pada akhirnya, baginda mestilah melalui amal solih yang dilakukan dalam kehidupan ini. Justeru dunia adalah tempat beramal, bekerja dan berusaha;

“Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.” (Al-Anbiya’: 90)

“Dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.” (Al-Mutaffifin: 26)

“Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).” (As-Saffat: 61)

Apa yang berlaku hasil keimanan kepada perkara ghaib – dengan tulus dan yakin - membawa kepada menjunjung kehidupan dunia dengan menyempurnakan amalan, pengorbanan dan usaha keras, dan melindunginya daripada kejahatan dan korupsi, di samping berasa tenteram tentang balasan di akhirat walaupun mereka terlepas dari mendapat balasan di dunia sama ada sebahagian atau keseluruhannya.

Sementara mereka yang suka kehidupan dunia dan tidak mempercayai hari pembalasan, sudah tentu mereka tidak menyempurnakan amalan melainkan ingin mendapatkan faedah di dunia dan keuntungan peribadinya sahaja. Oleh itu jika sesuatu usaha yang diperlukan itu tidak menghasilkan balasan atau habuan yang lebih besar, pasti mereka menolaknya, berasa malas dan berundur ke belakang …

“Oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah.” (At-Taubat: 58)

Begitu juga mereka tidak boleh dilarang dari melakukan kejahatan kecuali apabila merasa takut kepada hukuman di dunia. Namun sekalipun mereka mempercayai hukuman ini atau menangguhkannya mereka masih berkeliaran di tempat yang haram, dan menjadi ketagih untuk melakukan kejahatan yang tidak mampu dihalang oleh mereka yang menghalang, tidak mampu ditegah oleh mereka yang menegah … Oleh itu, manakah antara dua golongan ini lebih baik untuk dunia ini?!

Orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang berjaya … Dunia mereka dan akhirat mereka adalah kejayaan, serta ketenangan hati dan kelapangan dada mereka. Mereka tetap mencetak kebaikan dan meneruskan usaha biarpun balasannya ditangguhkan.

Dalam Mi’raj Nabi Muhammad saw ke Sidratul Muntaha hingga di hadapan Allah swt, merupakan satu situasi yang tidak pernah dirasai oleh manusia dan raja sebelum Nabi saw atau selepasnya. Dalam situasi ini difardukan solat lima waktu, sebagai hadiah daripada Allah swt kepada semua orang yang beriman; supaya hati mereka tetap berhubung dengan Tuhan siang dan malam. Inilah yang membahagiakan setiap orang yang beriman, ketenangan setiap hati, kelapangan setiap dada dan hidayah kepada setiap jiwa. Dan setelah selesai menukilkan kejadian ini tentang kesaksian solat untuk mengingat setiap Muslim dan Muslimah yang mencintai Rasulullah saw supaya tidak melupakan kedudukan ini. Selepas Allah swt memujinyanya, "salam sejahtera kepada anda wahai Nabi, rahmat dan keberkatan Allah untuk anda," lalu beliau berkata, "salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh"; supaya kesejahteraan, rahmat dan keberkatanNya menyeluruh dan tidak hanya kepada dirinya sahaja ... Benarlah Allah telah menyebutkan tentang beliau … Firman Allah swt (bermaksud):

“(dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubat: 128)

Justeru, perjalanan Isra’ dan Mi’raj adalah satu penghormatan buat Nabi Muhammad saw khasnya dan hadiah buat setiap orang yang beriman amnya, membetulkan kehidupan manusia antara material dan roh, yang ghaib dan yang nyata, kehidupan dunia dan di akhirat.

Selepas Mi’raj, solat masih sebagai ‘Mi’raj’ bagi setiap orang yang beriman lelaki dan perempuan sehingga hari kiamat.

“dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.” (Al-Mutaffifin: 26).

Oleh itu, adakah kita mengulang perhitungan dan menyusun lembaran kita, dan mempersiapkan diri kita untuk melaksanakan ‘Mi’raj’ sebenar yang akan membangkitkan masa depan semua manusia?

“Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Qasas: 83)

Adakah anda menjadi sebahagian dari mereka?!

http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=86895
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template