Saturday, February 4, 2012

Lawatan bersejarah dua Naib Mursyid Am Ikhwanul Muslimin ke Malaysia

PDF Cetak E-mail  Share on MySpace
Sabtu, 04 Februari 2012 10:47

KUALA LUMPUR – Dua Naib Mursyid Am Ikhwanul Muslimin (IM), Syeikh Dr Jumu’ah Amin dan Syeikh Dr Mahmoud Ezzat telah melawat Malaysia baru-baru ini. Lawatan yang dihoskan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah dicatat sebagai lawatan bersejarah oleh dua pimpinan tinggi IM pasca revolusi Mesir.



Ceramah khas Syeikh Dr Mahmoud Ezzat telah diadakan pada Ahad 29 Januari 2012 bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiasaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Shah Alam. Beliau menyampaikan tajuk “Ikhwanul Muslimin di Era Baru” di hadapan lebih 2,000 hadirin. Beliau mengupas empat aspek; risalah yang diperjuangkan IM, sifat asasi IM, sejarah IM dan perkembangan revolusi dan pilihanraya umum Mesir.



Pada Selasa 31 Januari 2012, beliau telah membuat lawatan rasmi ke Hospital Pakar An-Nur di Bandar Baru Bangi, sebuah hospital yang dikendalikan oleh Medical Interest Group (MIG), institusi IKRAM Health. Beliau diiringi Timbalan Presiden IKRAM Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom dan disambut oleh Ahli Lembaga MIG dan para kakitangan hospital. Dalam majlis sambutan, beliau diberi taklimat tentang perkembangan dan masa depan institusi kesihatan di bawah IKRAM.




Cenderamata keris dengan ukiran ayat Al-Quran dan hadiah songkok menjadi kenangan bermakna buat beliau sempena lawatan terebut. Selesai majlis, beliau diberi penghormatan untuk melawat pesakit-pesakit di Hospital An-Nur. Yang paling istimewa, beliau telah melakukan acara ‘tahnik’ atau belah mulut kepada seorang bayi bertuah yang baru lahir di hospital tersebut.




Keesokannya, Rabu 1 Februari 2012, Dr Mahmoud telah melawat Sekolah Sri Al-Amin Bangi. Diringi Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dan disambut oleh Pengerusi Lembaga Sekolah Hj Ridzuan Jaafar, beliau telah membuat lintas hormat di hadapan pasukan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Musleh. Beliau turut menyampaikan ucapan dan tazkirah kepada para guru, kakitangan, pelajar dan ibubapa pelajar sekolah yang hadir.




Dr Mahmoud diberi penghormatan untuk menandatangani buku lawatan sekolah dan menanam sepohon pokok sempena lawatan beliau. Beliau turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Islamic Relief Malaysia (IRM) yang diwakili Pengarah Negara, Ir Hj Zairulshahfuddin Zainal Abidin dengan Sekolah Sri Al-Amin Bangi yang diwakili Hj Ridzuan.



Ceramah khas Syeikh Dr Jumu’ah Amin pula telah diadakan pada Selasa 31 Januari 2012 di Dewan Banquet, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Beliau menyampaikan tajuk “Membina Generasi Rabbani” di hadapan lebih 3,000 hadirin. Menurut beliau, sebelum diperintahkan berjihad, Rasulullah SAW telah mentarbiah para sahabat dengan kasih sayang Allah dan kesatuan hati.




Ia terlebih dahulu dibangunkan daripada pembangunan sebuah daulah. Mereka bangun malam, banyak berzikir mengingati Allah sehingga basah air mata mereka. Merekalah ‘ibadurrahman’ seperti yang disebutkan dalam Surah Al-Furqan, iaitu sifat rabbaniah yang merupakan sifat-sifat Allah. Tambahnya, sifat rabbaniah hanya bernilai jika dua perkara berlaku, iaitu rasa kebersamaan Allah secara yakin dan redha dengan Allah iaitu menerima perkara yang ditetapkan oleh Allah.



Media-media tempatan turut mengambil peluang menemuramah kedua-dua tokoh ini terutamanya mengenai kemenangan sayap politik IM, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dalam pilihanraya umum Mesir pasca revolusi baru-baru ini. Semoga kedatangan kedua-dua tokoh penting IM ini memberi suntikan baru kepada gerakan dakwah, tarbiah dan perubahan di Malaysia ke arah yang lebih baik.

http://ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=565%3Alawatan-bersejarah-dua-naib-mursyid-am-ikhwanul-muslimin-ke-malaysia&catid=54%3Autama&Itemid=52
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template