Friday, April 8, 2011

Peranan Agama Dengan Kemunculan Revolusi


Agama sentiasa memainkan peranan penting di Mesir dan lebih-lebih lagi selepas Mubarak turun, Islam muncul kembali dalam arena politik.

Khamis, 7 April, 2011

Dengan kejayaan revolusi di Mesir dan kejayaan mengusir Mubarak dan rejimnya, rakyat Mesir sekarang berjaya mencipta suatu persekitaran politik baru dan sekarang peranan agama dalam kehidupan politik kembali menjadi tajuk perbincangan. Agama sentiasa memainkan peranan penting di Mesir dan lebih-lebih lagi selepas Mubarak tumbang, kumpulan Islam muncul kembali dalam arena politik.

Sewaktu Mubarak masih berkuasa, Ikhwan Muslimun telah mengutarakan slogan keagamaan yang diterima dengan baik oleh rakyat Mesir. Sekarang dengan kemunculan IM sebagai sebuah entiti yang sah di Mesir dari segi undang-undang, dan dengan kewujudan pelbagai kumpulan pembangkang yang berusaha untuk mengemukakan pindaan dan perubahan yang diperlukan, perdebatan telah bermula mengenai tempat agama dalam Perlembagaan masa depan Mesir dan aktiviti politik yang kembali giat di kalangan kumpulan-kumpulan Islam. Memandangkan Mesir terkenal sebagai masyarakat beragama, jelas bahawa Islam akan mempunyai tempat dalam gerakan menuju demokrasi.

IM adalah satu bahagian asas dan penting dalam kerangka agama Mesir dan mereka begitu dihormati. Mereka memegang suatu persepsi Islam yang sederhana dan bertolak ansur. Bagi IM, tidak ada pertentangan antara demokrasi moden dan undang-undang Islam yang menjamin kebebasan kepercayaan dan bersuara berdasarkan kesopanan awam dan hak-hak yang sama bagi wanita. IM juga komited kepada pembentukan sebuah kerajaan berdasarkan kedaulatan rakyat. Pengalaman menunjukkan bahawa IM telah berjaya mengadun gabungan strategi politik dengan prinsip-prinsip agama yang membentuk landasan etika dan moral.

Fasal satu dalam Perlembagaan Mesir - tahun 1971 - menjadikan Islam sebagai agama negara dan prinsip-prinsip undang-undang Islam sebagai dasar undang-undang. Fasal khusus ini tidak termasuk dalam referendum yang diadakan baru-baru ini tetapi beberapa pihak bimbang bahawa jikalau wujud sebuah perlembagaan baru, fasal tersebut mungkin tercicir. Pada masa yang sama pihak sekular khuatir yang fasal tersebut boleh mengarah kepada pembentukan negara Islam, seterusnya menjadikan Kristian Koptik didiskriminasikan.

Pindaan Perlembagaan, walaubagaimanapun, menjamin kewarganegaraan yang sama bagi setiap orang tanpa memandang agama, bangsa atau kepercayaan. Identiti agama di suatu negara tidak perlu mengganggu proses politik, tetapi, pada masa yang sama, mestilah dipelihara.

Sementara orang-orang Kristian Koptik menuntut peluang yang sama untuk menyertai arena politik, begitu juga kumpulan-kumpulan Islam, yang telah ditekan sekian lama, pun tidak seharusnya dikecualikan daripada kehidupan politik. Siapa saja yang menghormati prinsip kebebasan beragama dan kesamaan semua pihak mempunyai hak untuk turut serta dalam pembangunan Mesir baru. Pada masa yang sama, setiap individu atau kumpulan yang mencetuskan sebarang bentuk sektarianisme haruslah dipandang sebagai ancaman bagi demokrasi.

Islam di Mesir mempunyai pelbagai sudut dan tidak ada kumpulan yang boleh mengatakan ia mewakili 'Islam'.

Ikhwan Muslimun mewakili Islam sederhana, parti Wasat menawarkan tafsiran agama yang lebih progresif, dan gerakan Salafi mengambil pendekatan lain sama sekali dan pendirian mereka untuk menolak dan mengecam usaha revolusi baru-baru ini, yang dilihat sebagai pemberontakan terhadap kuasa yang memerintah, jelas menampakkan pandangan mereka.

Kewujudan kumpulan-kumpulan tersebut tidak semestinya bererti bahawa kebebasan Mesir yang baru dijumpai itu berada di bawah ancaman. Bahkan, arena terbuka politik Mesir akan memberikan peluang dan kesempatan kepada kumpulan-kumpulan agama untuk menyajikan mesej yang menarik kepada majoriti rakyat Mesir yang masih resah. Radikalisme, sebaliknya, adalah suatu ancaman kerana ia bertentangan dengan undang-undang yang baru ditubuhkan dan pastinya, mereka yang menyokongnya akan terpinggir dari segi politik.

Mesir baru saja berjaya menggulingkan autoritarianisme, dan sama sekali tidak bersedia untuk mengembalikannya dibawah topeng agama. Islam di Mesir tidak akan dibenarkan menjadi alat untuk menindas, tetapi sebagai sarana untuk toleransi dan kebebasan.

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28359
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template