Selasa 21 Jun 2011
Media barat sering dihantui oleh teori “perpecahan dalaman IM” setiap kali perbezaan pendapat di dalam organisasi berkenaan diketahui umum.
Ini juga ternyata di dalam sebuah artikel New York Times mengenai keputusan Dr. Abdel Moneim Abul Fotouh bertanding sebagai calon bebas di dalam pilihanraya presiden. Ini sekaligus membelakangkan keputusan sebulat suara Majlis Syura IM yang mengambil keputusan untuk tidak bertanding bagi memberi keutamaan kepada perpaduan nasional dan menumpukan kepada aktiviti pengukuhan akar-umbi. Natijahnya, IM melucutkan keanggotaan Dr. Aboul Fotouh, sebagai satu proses normal bagi mana-mana organisasi yang berwibawa bagi memastikan disiplin dan integriti di kalangan ahli-ahlinya.
Pengulas politik ingin mentafsirkannya sebagai tanda perpecahan di dalam organisasi dan tanda keruntuhannya. Padahal, ia sebenarnya mencerminkan kemantapan dan kekuatan IM yang membenarkan anggota-anggotanya (termasuk anggota kanan) bebas menyuarakan pandangan di khalayak ramai dan membuat keputusan selagi mereka sedar tentang natijah tindakan yang mungkin diambil terhadap mereka.
Apa yang sering gagal difahami oleh pemerhati dan pengulas politik ialah hakikat kekuatan dan kemantapan IM tidak bergantung semata-semata kepada bilangan ahlinya yang ramai, tetapi pendirian teguh dan disiplin ahli-ahlinya.