Perutusan dari Prof. Dr. Mohammed Badi’ - Mursyid Am Ikhwan Muslimin
26 Mei 2011
Satu hari daripada hari-hari Allah yang penting lagi bersejarah itu adalah Hari Pembukaan ibu pejabat Ikhwan Muslimin yang baru di Jabal Mokattam di Kaherah, pada hari Sabtu 18 Jamadil Akhir 1432H, bersamaan dengan 25/05/2011, setelah beberapa bulan berlaku revolusi rakyat yang diberkati, yang membebaskan Mesir dari rejim yang menindas, zalim, mundur dan korup, yang memerintah negara lebih daripada tiga puluh tahun. Malah pada hakikatnya, lebih enam puluh tahun sejak revolusi Julai 1952, kemudian berlaku penyelewengan revolusi pada tahun 1954.
Upacara penuh berkat itu dihadiri oleh ribuan lelaki, perempuan dan pemuda Ikhwan Muslimin dari seluruh negara Mesir - walaupun dihadkan kehadiran kerana ruang yang terbatas - bahkan dihadiri oleh delegasi dari seluruh dunia ... Sudan, Jordan, Palestin, Arab Saudi, Turki, Afghanistan, Malaysia, Austria, Australia ... dan dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri dari warga yang besar dan hebat, dan juga dihadiri oleh agensi berita, saluran satelit antarabangsa dan tempatan untuk merakamkan peristiwa besar ini, supaya dapat diikuti oleh berjuta-juta manusia di seluruh dunia.
Hari tersebut adalah hari-hari Allah SWT .. menunjukkan dengan jelas lagi terang kuasa Allah, yang menyerupai mukjizat, seperti firman Allah (bermaksud):
“…dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur”. ( Ibrahim: 5)
Tiada manusia yang akan merasai kebesaran ayat-ayat ini melainkan mereka yang menanggung kesabaran selama berbulan dan bertahun , dan kemudian merasa kemanisan syukur setelah dikurniakan nikmat, iaitu sebagai balasan dan kurniaan dari Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Saya telah melihat dataran tinggi Mokattam sebagai titik permulaan usaha untuk membangunkan umat, membangkitkan pemuda dan menghidupkan kembali keyakinannya, yang dipimpin oleh Imam al-Banna, yang telah menganjurkan katibah, mukhayyam (perkhemahan) dan mu’askar (kem ala tentera) untuk generasi baru yang terdiri dari anak muda yang bersih hatinya, kuat ibadahnya dan berjiwa mujahid. Imam Al-Banna berjaga malam bersama mereka sepanjang malam, membacakan kepada mereka ayat-ayat al-Quran, dan menghubungkan hati mereka kepada Allah swt, dan membuka ufuk fikiran mereka pada kebesaran alam semesta dan keagungan pencipta-Nya, dan mengingatkan mereka akan tugas mereka terhadap agama mereka dan bangsa mereka, dan mempersiapkan mereka untuk jihad yang perit untuk menentang penjajah, dan berhadapan dengan Yahudi perampas.
Kemudian tibalah saat ujian dan kesulitan – yang merupakan sunnah Allah untuk penyaringan dan ujian - yang tak dapat dielakkan bagi dakwah yang benar, dan datang hari-hari kesabaran yang penuh kepahitan, dan Jabal Mokattam menyaksikan pengkebumiaan mayat para syuhada yang suci kerana penyiksaan pada tahun-tahun kekerasan, dan dicatat oleh Syeikh Qaradhawi dalam bait-bait puisinya yang terkenal:
“Tanyalah kepada Bukit Mokattam, dialah sebaik-baik saksi, berapa ramai yang gugur syahid dan dikebumikan di perbukitannya
Berapa ramai anak muda disembelih, darah mereka ditumpahkan sewenang-wenangnya seolah-olah mereka hanyalah seekor anak lembu yang sedang menyusu
Apabila mereka terkorban tubuhnya dikebumikan di bukit Mokattam sedangkan ia tidak menerimanya
Mereka menyembunyikan dari mata makhluk, mereka tak tahu sedangkan Allah mengelilingi mereka dengan saksi-saksi mereka
Dan malam yang menyaksikan, bintang-bintang dan planet melihat mereka dikebumikan, dan cukuplah bagi mereka sebagai syuhada di hari kiamat”
Berlalu selama bertahun-tahun, orang-orang yang ditarbiyah untuk taat kepada Allah dan mengikuti contoh Rasulullah saw tidak berhenti dari menyampaikan dakwah, menyebarkan agama, dan menyuburkan akhlak-akhlak mulia, biarpun pemerintah yang zalim, dan penguasa yang korup mendatangkan kesulitan, ketidakadilan, penganiayaan dan pemulauan, membuang negeri, merampas hak asasi, mengkhianati rakyat mereka, bersekutu dengan musuh, mengagih-agihkan hasil mahsul rakyat, mereka menjadi raja kepada rakyat, dan diwariskan turun temurun dari generasi ke generasi, dan mereka mengira bahawa seluruh isi bumi telah tunduk kepada mereka, dan mereka telah mencapai tingkat keangkuhan dan kesombongan kerana telah bersumpah untuk menjadikan tahun 2011 ini sebagai tahun penghancuran dan pembenterasan semua pembangkang, terutama yang dipimpin oleh Ikhwan Muslimin.
Namun sebaliknya dengan kehendak Allah yang mengatasi segala sesuatu menjadikan tahun ini sebagai tahun kemenangan kepada golongan yang tertindas dan tahun kehancuran penguasa yang zalim. Firman Allah swt (bermaksud):
“Dan kami hendak memberi karunia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi), Dan akan kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman beserta tenteranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu “. (Al-Qashash: 5-6)
Nikmat Allah dapat dirasai dalam waktu singkat sehingga tercapai apa yang kita harapkan selama bertahun-tahun:
1 - Penggulingan pemimpin-pemimpin rejim korup secara keseluruhan, sama ada mereka yang ingin membaharui, yang sudah tak sabar untuk mewariskan, dan yang terlibat dalam semua kerja-kerja terkutuk termasuk perompakan, perampasan, penderaan dan penindasan.
2 - Pembubaran Dewan Parlimen yang penuh penipuan (Dewan Rakyat dan Dewan Syura), yang telah meminggirkan Ikhwan Muslimin sebagai wakil rakyat yang sebenar dan pembangkang, dalam satu penipuan yang dilakukan yang telah menjadi skandal di dunia.
3 – Pembubaran Parti Kebangsaan yang korup, dan menutup – bahkan membakar - semua pejabat pentadbirannya yang sudah lama menjadi sarang korupsi dan rasuah, dan tempat berlindung dan berseronok bagi semua pengkhianat amanah rakyat dan para perompak kekayaan rakyat.
4 - Pembubaran pasukan keselamatan negara, yang sudah sekian lama melakukan ketidakadilan, kezaliman, penindasan, pembunuhan, penyiksaan, penghancuran negara, penganiayaan terhadap rakyat yang tidak bersalah dan penyekatan terhadap kebolehan rakyat .
5 - Pembebasan dan pelepasan para tahanan yang tidak bersalah yang telah disumbatkan ke dalam penjara melalui ketidakadilan mahkamah yang hanya menurut arahan dari rejim pemerintah yang korup, setelah bertahun-tahun menanggung penderitaan, penindasan, kesakitan dan pengusiran.
Di antara nikmat yang wajib sentiasa disyukuri, iaitu semua ini selesai dalam masa beberapa hari sahaja, dan revolusi aman yang dibangunkan di atas ketinggian keluhuran dan ketamadunan, disertai oleh segenap lapisan warga Mesir, lelaki dan perempuan, muda dan tua, Kristian Koptik dan Muslim, dan Angkatan Bersenjata yang turut menyebelahi rakyat. Tidak ada darah yang tumpah melainkan darah para syuhada’ yang dibunuh oleh talibarut rejim korup dan penolong-penolong nya seperti “Baltojah” (polis preman) dan perompak.
Kini, kita sedang menyaksikan pembebasan Rakyat seluruhnya, sebuah kebebasan setelah terlepas dari belitannya, dan penyertaan dari semua kekuatan dalam program-program pembinaan dan pembangunan ... Kini, kita membuka pejabat-pejabat yang baru, di setiap inci negara yang suci ini, untuk menjadi tempat memenuhi keinginan dan perlindungan untuk semua lapisan masyarakat; untuk bermesyuarat, nasihat-menasihati, bekerja dan berusaha.
Di antara bukti syukur atas nikmat-nikmat ini, iaitu memelihara kesatuan soff, kesatuan usaha, kajian masalah, dan menggariskan rancangan, kebijaksanaan penyelesaian, segera bekerja, dan menggalakkan semua orang untuk terlibat, selepas Mesir kembali kepada rakyatnya, dan mengembalikan hak untuk pemiliknya yang sebenar.
Di antara nikmat Allah kepada kita, iaitu Mesir kembali kepada kedudukannya di dunia Arab, Islam dan Afrika, malah seluruh dunia turut menyaksikan sendiri revolusi terbesar dalam sejarah moden, dan menyaksikan warganya dengan penuh ketinggian dan ketamadunan, bahkan mengambil inspirasi dari pemuda-pemuda ini sebagai teladan dan contoh yang diingini untuk pemudanya.
Di antara nikmat Allah kepada kita, iaitu kita menyaksikan ibu pejabat Ikhwan Muslimin yang baru di Mokattam yang menjadi tempat persidangan dari semua puak Palestin, dan sempurna kesepakatan di antara mereka hanya dalam masa empat hari sahaja, selepas kesepakatan ini sukar berlaku selama empat tahun di bawah rejim sebelumnya, yang telah ditentukan gagal dalam segala hal, yang membuktikan bahawa ia bertindak mengikut kemahuan musuh kita, sehingga Pedana Menteri rejim Zionis pernah berkata tentangnya: “Ianya (Mubarak) adalah harta strategik kepada Israel”.
Di antara tanda syukur di atas nikmat-nikmat ini, ialah memelihara dan mempertahankan sumber pendapatan rakyat, dan mengawasinya daripada saki baki rejim, konspirasi dan racunnya, dan kita hendaklah sentiasa berjaga-jaga pada tahap tertinggi untuk memulakan kembali revolusi jika kita mendapati wujud ancaman kepada rakyat, biarpun membebankan kita dengan usaha keras dan pengorbanan.
Inilah ibu pejabat baru bagi Jamaah Ikhwan Muslimin yang mengajak kepada kebenaran, kekuatan dan kebebasan, yang membuka pintu seluasnya untuk semua lapisan masyarakat yang mulia, menyebarkan cahaya, menaburkan kebaikan dan membawa fajar baru dan saling bekerjasama dengan semua orang untuk kebangkitan, kemajuan dan ketamadunan umat. Firman Allah swt (bermaksud):
“..Dalam beberapa tahun lagi. bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman,5. Karena pertolongan Allah. dia menolong siapa yang dikehendakiNya. dan dialah Maha Perkasa lagi Penyayang. (sebagai) janji yang Sebenarnya dari Allah. Allah tidak akan menyalahi janjinya, tetapi kebanyakan manusia tidak Mengetahui”. (Ar-Rum: 4-6)
http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=85033