Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada
Rasulullah, keluarganya dan orang yang mengikut mereka dengan baik sehingga
hari kiamat.
Sesungguhnya apa yang berlaku di bumi Syam – di Palestin yang suci dan Syria yang mulia
– memanggil umat manusia seluruhnya, menuntut umat Islam khususnya dan semua
orang yang merdeka di dunia ini, untuk menghulurkan tangan bagi membantu dan
menyokong mereka. Penderitaan yang mereka lalui mewajibkan semua orang untuk
memberikan bantuan kebendaan dan sokongan moral supaya dapat dipelihara nyawa
dan kehormatan dan diselamatkan harta benda, disamping untuk memastikan mereka menikmati
keamanan dan keselamatan di rumah sendiri, dan kekal merdeka di tanah air
mereka.
Sikap membisu dan berdiam diri
terhadap jenayah-jenayah keji yang berlaku, atau memberikan sokongan kepada
rejim-rejim zalim dan kuku besi yang melakukan penindasan untuk menyembelih
rakyat di Palestin dan Syria, atau pembunuhan beramai-ramai keatas segala yang
bernyawa di atas muka bumi adalah suatu jenayah perang. Ia mewajibkan pesalah
dihadapkan ke tribunal antarabangsa, sebagai penjenayah perang dan pelaku
penyembelihan beramai-ramai.
Wahai umat Islam di mana-mana … wahai dunia yang merdeka … wahai para
aktivis hak-hak kemanusiaan …
Kini sampailah masa untuk
menyelamatkan orang yang tertindas dan melepaskan orang yang dizalimi, mahupun
menyelamatkan orang yang dikepung di rumah dan tanah air mereka!! Kini sampailah masa untuk
menghentikan jenayah rejim zalim dan diktator, sebelum dunia terjerumus ke
dalam jurang dan terjebak di tengah-tengah perang yang akan menghancurkan!!
Wahai umat Islam … Adakah anda kini tidak memahami sejauh mana perikatan Zionis-US merancang dan melaksanakan
konspirasi terhadap anda untuk melakukan kemusnahan sejak dua dekad yang lalu? Di
belakangnya ialah kebanyakan kuasa dunia yang menyokong dan menolongnya. Hal
ini terbukti dengan jelas apabila terlukis peta bumi yang sentiasa berlegar dan
berputar dengan pelbagai kancah peperangan dalam dua dekad yang lalu: Palestin,
Bosnia dan Herzegovina, Kosovo, Chechnya, Somalia, Afghanistan, Pakistan, Iraq,
Sudan, Yaman, Lebanon, dan akhirnya di Syria kini. Bukankah ia menimbulkan syak
wasangka yang mendalam tentang tujuan di sebalik semua itu adalah untuk
menghentikan kebangkitan Islam di negeri-negeri Islam dari
mengambil tempatnya? Kebangkitan itu untuk membangkitkan umat mereka,
meninggikan panji mereka sehingga tersebar keadilan, meluasnya kasih sayang dan
mencapai kesamarataan agar semua orang dapat menikmati kebebasan, dan semua
orang Islam dan bangsa-bangsa lain merasai keselamatan untuk diri, harta
benda dan kehormatan mereka.
Allah Membela
Orang Beriman
Allah SWT berfirman (bermaksud):
“Sesungguhnya
Allah membela orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada
tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur. Diizinkan
berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana
sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk
menolong mereka (mencapai kemenangan).” (Al-Hajj: 38-39)
Allah telah berjanji untuk mempertahankan orang
beriman yang telah terkandas, yang telah lemah kedudukan mereka dan dikuasai
sewenang-wenangnya oleh pemerintah zalim dan kejam. Mereka dibunuh dan
ditindas, sehingga mendorong mereka meninggalkan tanah air dan negara asal
mereka, memecah belahkan kesatuan mereka sedangkan tiada sebarang pertolongan
dari kuasa dunia, bahkan dari jiran yang sebangsa dengan mereka sendiri dan
satu agama dengan mereka. Malahan mereka ini menyebelahi penindas dan penzalim
pula, membantunya melakukan kezaliman. Mungkin mereka ini lebih zalim dan lebih
kejam. Ketahuilah tentang laknat Allah ke atas orang yang zalim dan orang yang
membantu mereka yang melakukan kezaliman.
Rasulullah saw telah menyebut
bahawa kedudukan para mujahidin di Syria dan Palestin yang tidak mendapat
pembelaan dan pertolongan sewajarnya, semua ini sedikitpun tidak akan menggugat
dan melemahkan mereka. Dari Abu Hurairah ra,
Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud):
“Akan sentiasa ada
segolongan dari umatku yang berperang dan berjuang di pintu Damsyik dan di
sekelilingnya, dan pintu Baitul Maqdis dan di sekitarnya; tidak dapat menggugat
mereka orang yang enggan menolong mereka. Mereka terus teguh di atas kebenaran
sehingga ke hari kiamat.” (Abu Ya’la dan Ibn ‘Asakir)
Dalam usaha untuk mencapai pertolongan
dan pembelaan Allah keatas para penolongNya mereka mestilah:
1 – Bersatu
padu dan tidak berpecah belah. Pertolongan hanya berlaku apabila berpegang
teguh dengan agama Allah:
“Berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali
Allah (agama Islam),
dan janganlah
kamu bercerai-berai.” (Al-Imran: 103)
2 – Taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan jangan
berselisih faham:
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah
kamu berbantah-bantahan;
kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang
kekuatan kamu,
dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal
hati);
sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.” (Al-Anfal: 46)
3 – Terus menerus dalam kesabaran dan ketabahan, dan juga kuatkan
kesabaran mengatasi kesabaran musuh:
“Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu
(menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang
berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh,
di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di
daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya
(mencapai kemenangan). (Ali-Imran: 200)
4 – Melakukan persiapan dan persediaan dengan segala kekuatan yang kita miliki
… Tentang kekuatan, Imam al-Banna rahimahullah telah berkata: “Kekuatan adalah lambang Islam
dalam setiap sistem dan undang-undangnya. Al-Quran al-karim
sendiri menyebut dengan jelas dan nyata:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang
menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan.” (Al-Anfal:
60)
dan Nabi saw juga bersabda (bermaksud):
“Orang beriman yang kuat lebih baik daripada orang
beriman yang lemah.”
Malah kekuatan menjadi lambang Islam termasuk dalam doa, sekalipun doa
adalah lambang kekhusyukan dan ketenangan. Dengarlah doa Nabi saw untuk dirinya
sendiri dan diajarkan kepada para sahabatnya. Baginda bermunajat kepada
Tuhannya:
“Ya Allah, aku
memohon agar Engkau jauhi diriku daripada rasa murung dan sedih, aku memohon
agar Engkau jauhi diriku daripada rasa lemah dan malas, aku memohon Engkau
jauhi diriku daripada rasa takut dan kedekut, aku memohon agar Engkau jauhi
diriku daripada kongkongan hutang dan penindasan manusia.”
Bukankah kesemua doa ini bertujuan agar Allah
menjauhkan sifat-sifat lemah? Lemah kehendak kerana murung dan sedih. Lemah
bekerja kerana tidak berupaya dan malas. Lemah dengan wang kerana rasa takut
dan kedekut. Lemah harga diri kerana hutang dan penindasan orang lain. Apa lagi
yang kamu mahu daripada penganut agama ini selain mempunyai kekuatan dalam
segenap aspek; slogannya ialah kuat dalam segala hal! Ini bermakna setiap
anggota Ikhwan Muslimun mestilah kuat dan mereka juga perlu bekerja dengan kuat!
5 – Membuang perasaan takut dari hati … Iaitu dengan cara membaharui
keimanan kepada Tuhan dan menyempurnakan tawakal kepadaNya, bergantung
kepadaNya, dan yakin Allah sentiasa bersamanya dan kemenangan dariNya. Orang
yang diberikan pertolongan dan kemenangan tiada siapa pun yang mampu
mengalahkannya … Allah swt telah berfirman
(bermaksud):
“Dan Allah tidak
menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya
hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi
Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Anfal:
10)
Firman Allah lagi (bermaksud):
“Jika Allah
menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat
mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat
menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada
Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.”
(Ali-Imran: 161)
Jika perasaan takut menjadi
naluri pada manusia, kita mesti mengatasinya. Para rasul juga terdapat perasaan
takut, apabila Tuhan menghantar Musa dan saudaranya kepada Firaun:
“Mereka
berdua berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan
segera menyiksa kami, atau ia akan melampau batas.” Allah
berfirman: “Janganlah kamu takut, sesungguh-nya Aku ada bersama-sama kamu; Aku
mendengar dan melihat segala-galanya.” (Taha: 45-46),
Dan pada ketika;
“berkatalah pengikut-pengikut Nabi Musa: “Sesungguhnya kita
akan dapat ditawan.” (As-Syu`ara’: 61)
Lalu nabi Musa berkata kepada mereka:
“Nabi Musa menjawab: “Tidak! Jangan fikir (akan
berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan
pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku”. (As-Syu`ara’: 62)
Dan dengan membuang ketakutan
dari hati maka semua anggota umat akan mengikuti jejak perjuangan, bahkan
melahirkan pejuang-pejuang yang berani, serta melakukan gerakan untuk menikmati
ketinggian, kemuliaan dan
kebebasan.
6 – Membuang
perasaan putus asa dan menghidupkan cita-cita dan harapan … Orang Islam tidak mengenal putus asa
sebagai jalan ke dalam hati, dan putus harapan sebagai jalan ke dalam jiwanya;
Al-Quran al-karim mendidik mereka dengan;
“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan
Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu
melainkan kaum yang kafir”. (Yusuf: 87)
Sekiranya sifat berputus asa
telah menimpa sesuatu bangsa dan kekecewaan telah menguasai seseorang, ia akan
menyebabkan mereka hanya berpeluk tubuh dan meninggalkan kerja, seterusnya
menjadikan mereka orang yang rugi.
Dalam pada itu, orang Islam hendaklah maju ke hadapan dan sentiasa memastikannya bercita-cita
tinggi kerana ia mematuhi sesuatu yang benar dalam kehidupan dan perjuangannya.
Janji Allah untuk memenangkan yang benar walaupun memerlukan jihad yang
panjang.
“Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar
menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang
lenyaplah dia.” (Al-Anbiya’: 18)
Firman Allah swt lagi (bermaksud):
“Kemudian Kami menyiksa orang yang berlaku salah
(mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong
orang yang beriman.” (Ar-Rum: 47)
Antara sebab tuntutan harapan dan
cita-cita kepada penduduk Syam ialah kerana Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada
mereka. Sabda Rasulullah saw kepada mereka:
“Berbahagialah
penduduk Syam.” Kami berkata: Wahai Rasulullah, apakah maksudnya?
Beliau berkata:
“Allah melimpahkan rahmat kepada mereka.”
Oleh
sebab itu, janganlah berputus asa wahai orang yang ‘merdeka’ di Palestin dan
Syria. Janganlah anda putus harapan dari memperolehi rahmat Allah dan
pertolonganNya, tidak kira bagaimana beratnya bentuk kezaliman dan penindasan
yang dilakukan dan bagaimana tinggipun pengorbanan dan tanggungjawab yang
diperlukan. Ini kerana kebebasan tidak akan diterima daripada manusia dan bukan
pula hasil dari berunding dengan pembunuh yang telah meminum darah. Sebaliknya,
kebebasan adalah hadiah yang terlepas daripada orang yang merampasnya dan dari orang
yang melantik diri mereka sebagai tuhan dengan menggunakan kekerasan. Jadi
bukanlah jalan untuk mencapai kebebasan dengan harga yang murah.
Segala yang berlaku di sekeliling kita mencerahkan
harapan walaupun ada sikap negatif daripada golongan pesimis. Imam al-Banna rahimahullah pernah berkata: “Pernah pada suatu ketika dahulu umat kita kaku dan diam membisu tetapi
kini ia mula bangkit dengan semangat yang membara. Jika tidak kerana belenggu
yang terlalu berat dan kepimpinan yang tidak berpusat, sudah tentu kesedaran
ini akan membawa kesan yang menakjubkan. Belenggu ini tidak akan kekal
selama-lamanya dan pasti berakhir. Dalam sekelip mata Allah boleh mengubah
banyak perkara. Orang yang kehairanan tidak akan selamanya dalam kehairanan,
setelah dia memperolehi petunjuk dan setelah keadaan huru-hara bertukar menjadi
stabil. Segala-galanya terserah kepada Allah. Anda sendiri pernah membaca awal
surah al-Qasas:
“Taa, Siin, Miim. Inilah ayat-ayat
Kitab – Al-Quran – yang memberi penjelasan. Kami bacakan kepadamu
(wahai Muhammad) sebahagian dari kisah Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan
yang benar bagi orang yang beriman. Sesungguhnya Firaun telah
berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan
penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak
lelaki mereka dan membiarkan hidup anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah
ia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami hendak berihsan
dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan
hendak menjadikan mereka pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang yang
mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami
hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak
memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang
mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.” (Al-Qasas: 1-6)
Apabila anda membaca ayat ini anda lihat bagaimana
keangkuhan golongan yang sesat. Mereka berbangga dengan kekuatan mereka. Mereka
begitu yakin dengan kehebatan mereka sehingga melupakan Allah yang sentiasa
memerhati mereka. Di saat mereka begitu gembira dengan kekuatan yang dimilki,
Allah yang Maha Berkuasa mengazab mereka. Kehendak Allah pasti membantu orang
yang dizalimi dan akan membantu orang yang menolong golongan yang lemah hingga
akhirnya golongan yang sesat akan hancur sama sekali. Ketika itu kebenaran akan
tertegak kukuh dan pendokongnya akan mencapai kemenangan. Ayat ini dan ayat
lain yang termaktub dalam Kitab Allah cukup untuk menolak segala alasan untuk
berputus asa oleh mana-mana bangsa Islam yang beriman dengan Allah, utusanNya
dan kitabNya. Bilakah umat Islam akan memahami hakikat yang dinyatakan oleh
kitab Allah ini?
Kewajipan kita
untuk menolong Palestin dan Syria
–
Berusaha
secara berterusan dan bekerja keras untuk mencapai perpaduan di kalangan semua
rakyat Palestin dan Syria; kerana kemenangan mereka bergantung apabila
berpegang teguh kepada Allah dan tidak berpecah-belah. Sebarang perpecahan dan
perselisihan mereka adalah tanda kegagalan dan kerugian; kerana perpaduan
adalah rahsia kekuatan mereka.
–
Bekerja untuk menyatukan bangsa Arab dan Islam, menyatukan pandangan
mereka dan menyusun barisan mereka kepada matlamat utama yang paling besar,
yang boleh disimpulkan dalam dua perkara:
·
Berdiri
teguh di hadapan pemerintah, penzalim dan pembunuh.
·
Menyumbangkan segala yang ada untuk memberikan bantuan material dan sokongan moral
kepada saudara-saudara kita di Palestin dan Syria.
–
Bekerja untuk menggembeling seluruh dunia; dalam usaha untuk menyelamatkan
rakyat tersebut daripada penindasan dan kekejaman tentera, yang dibantu oleh
Barat dan Timur; untuk menghalang senjata daripada sampai kepada regim ini,
menyatakan pandangan di dalam forum-forum antarabangsa, mengenakan sekatan dan
melemahkan kuasanya.
–
Segera dalam berdoa … Orang Islam, selain dari mengambil semua yang ada dari segi material, ia juga
hendaklah mengetuk pintu langit dan mengadapkan wajah kepada Allah dengan doa
orang yang ditindas dan ditekan supaya dibukakan kepadanya pintu langit.
“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita
apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan
kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah
sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang
mengingati (nikmat Allah itu).” (An-Naml:
62)
kerana Rasulullah saw telah
bersabda (bermaksud):
“Sesungguhnya doa dan bencana
adalah dua perkara yang berhimpun.”
Dengan
keengganan Arab menyokong dan menolong rakyat Palestin dan Syria mahupun dunia
bersekongkol atas keengganan mereka itu; maka semestinya bagi umat Islam tidak
berhenti dari berdoa kerana doa adalah senjata yang dimiliki oleh setiap umat
Islam. Ibnu Abbas ra
meriwayatkan bahawa Nabi saw telah mengutus Mu’adz ke Yaman dan baginda berkata
kepadanya:
"Takutlah kamu akan doa seorang yang dizalimi, kerana
doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah." (Bukhari
dan Muslim)
Sabda Rasulullah saw (bermaksud):
“Doa orang yang dianiaya itu akan diangkat oleh Allah ke
atas awan, dan dibuka untuknya pintu-pintu langit, kemudian Allah berfirman, "Demi
kemuliaan-Ku, sungguh Aku akan tolong engkau walaupun tidak sesegera.” (Tirmizi dan Ahmad)
Di antara doa Salahuddin al-Ayubi
iaitu: "Wahai Tuhanku, kekuatan manusia telah tidak berdaya untuk menolong
agamaMu, hanya yang tinggal ialah merasa tenang kepadaMu, berpegang teguh
dengan agamaMu, dan bergantung harap kepada keagunganMu. Cukuplah Engkau
sebaik-baik tempat berserah." Alangkah lembut dan halus doa ini yang lahir
daripada hati orang yang tertindas di Syria: Ya Allah, wahai Tuhan, tiadalah
bagi kami penolong selain Engkau, ya Allah …
Ya, tiada penolong untuk anda
selain Allah. Tiada bantuan untuk anda melainkan dari Allah. Tiadalah bagi anda
penjaga dan penolong selain Allah. Cukuplah Allah sebagai penjaga dan cukuplah
Allah sebagai penolong.
Mungkin situasi yang kita lihat
di rantau Arab ketika ini, sebagai jawapan daripada Allah kepada doa-doa orang
yang dizalimi dan ditindas telah diangkatkan kepada Allah tanpa hijab.
Sesungguhnya telah tiba saat kemenangan selepas kekejaman sampai ke kemuncaknya.
Rakyat telah menanggung beban kekejaman seberat gunung sehingga bilangan orang
Syria yang terkorban mencecah 10,858 orang syahid di hari ke 365 .
Jumlah yang terkorban di Palestin
dalam sedekad yang lalu menghampiri 8,000 orang syahid, termasuk 1,923
kanak-kanak dan 460 wanita.
Wahai warga Palestin, wahai warga
Syria … Tetap teguhlah, tetap teguhlah
kerana kemenangan akan menjelma.
Kemenangan akan muncul hari esok dengan pembukaan dan penaklukan dari Allah
serta kemenangan yang nyata. Kenapa tidak ..
Saudara-saudara anda di Mesir sehingga pada petang 11 Februari 2011, tiada
seorang pun terbayang bahawa mereka berjaya menjatuhkan regim Mubarak selepas
beberapa minit kemudian. Sebelumnya di Tunisia, presidennya secara tergesa-gesa
melarikan diri meninggalkan negara. Di Libya dan Yaman rejim jatuh setelah
beberapa ketika. Kini tiba giliran rejim-rejim yang lain di mana orang yang
ditindas dan disiksa berkata bilakah datangnya pertolongan Allah? Jawapan
daripada Tuhan: Ketahuilah bahawa saat pertolongan Allah kian hampir.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga,
padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku
kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang berada
bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya
pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama
Allah).” (Al-Baqarah: 214).
Janji
Allah ialah memberikan ganjaran yang besar di akhirat dan juga kemenangan serta
penaklukan di dunia.
“Wahai orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu
perniagaan yang boleh menyelamat-kan kamu dari azab seksa yang tidak terperi
sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang
membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang
demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat
yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa
kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya sungai,
serta ditempatkan kamu di tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah
kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu
sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa
berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang yang
beriman.” (As-Soff: 10-13)
Allah yang Maha Besar dan segala pujian hanya bagi Allah.
Selawat dan salam ke atas Nabi
Muhammad saw yang bersifat ummi, keluarganya dan para sahabatnya. Segala pujian
adalah untuk Allah Tuhan seluruh alam.