Salah satu pusaka peninggalan yang paling berharga dari Imam Hasan Al Banna adalah ‘Risalah Ta’alim’ di
mana jika kita membacanya dengan saksama serta menyusuri isi
kandungannya secara mendalam, niscaya kita akan mengetahui betapa
luasnya cakrawala pemikiran dan gerakan yang dibina oleh Imam Hasan Al
Banna.
Karya ini hampir-hampir merupakan ijtihad terakhir beliau dalam bidang pemikiran dan gerakan.
Selain itu, ia juga merupakan buah pandangan yang bernas dan jitu terhadap :
1. Perjalanan sejarah.
2. Realiti ummat.
3. Kefahamannya yang tepat tentang nash-nash syari’at.
Mungkin ramai yang hairan setelah mengetahui bahwa ‘Risalah Ta’alim’ yang
hanya merupakan tulisan dalam beberapa lembaran kertas, namun ternyata
ianya menggariskan beberapa petunjuk di sepanjang jalan sejarah untuk
membangun beberapa generasi.
Sesungguhnya
tidak berlebihan jika kita mengatakan bahwa ia menggariskan
petunjuk-petunjuk perjalanan umat Islam dalam usaha mencapai agenda
kemenangan dan selepasnya hingga jangkauan yang sebegitu jauh.
Itu merupakan salah satu bukti nyata ‘kejeniusan’ Imam Hasan Al Banna. Bahkan itu merupakan salah satu bukti nyata anugerah Ilahi yang diberikan kepada lelaki ini.
Ramai di antara murid-murid dan pengikut Imam Hasan Al Banna yang telah mensyarahkan dengan lebih mendalam terhadap ‘Risalah Ta’alim’ dan di antaranya adalah Syeikh Sa’id Hawwa yang menulis di dalam kitabnya yang berjudul “Fi Afaaq at Ta’alim’.
Mari kita susuri sebahagian dari tulisan beliau di dalam kitab tersebut.
Tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menulis syarah (komentar) bagi ‘Risalah Ta’alim’
atau risalah-risalah Imam Hasan Al Banna yang lain. Ini adalah kerana
kata-kata beliau mudah difahami oleh semua orang; perkara yang jarang
dilakukan oleh kebanyakan ulama’, di samping saya tidak mahu menjadi
hijab antara Imam Hasan Al Banna dengan pembacanya.
Namun, saya diminta oleh seseorang yang permintaannya itu tidak mungkin saya tolak, maka saya tulislah kitab ini.
Oleh
kerana tulisan Imam Hasan Al Banna amat mudah difahami dan tidak
memerlukan penafsiran harfiah kecuali sedikit sahaja, maka dalam kitab
ini saya tidak akan mengikuti cara penafsiran dan komentar yang biasa
berlaku.
Saya hanya akan memberi komentar terhadap beberapa bahagian yang kiranya diperlukan oleh pengkaji ‘Risalah Ta’alim’ dan bahagian lain yang dikehendaki oleh Hasan Al Banna ketika ia menulisnya untuk menjadi acuan awal untuk melangkah.
Oleh kerana kitab ini bukan merupakan syarah secara tradisional sebagaimana lazimnya, maka saya namakannya ‘Fi Afaaqit Ta’alim’ (Di Ufuk Risalah Ta’alim) .
Saya
tidak akan menurunkan tulisan Imam Hasan Al Banna secara perkataan demi
perkataan lalu mensyarahkannya, meskipun perkara itu kadang-kadang
berlaku di beberapa tempat. Namun, bukan itu cara yang saya pakai dalam
penyusunan ‘Risalah Ta’alim’ ini.
CARA KAJIAN
Secara kontekstual, ‘Risalah Ta’alim’ mengungkapkan
persoalan yang sangat mendasar, iaitu keperibadian muslim di zaman
kini, meliputi tiang-tiang pembentukan dan kewajiban-kewajibannya.
Ia telah
menyebutkan tiang-tiang itu melalui penjelasan sepuluh rukun-rukun
bai’ah dan seterusnya dihuraikan kewajiban-kewajiban yang mesti
ditunaikan.
Melalui
pembicaraan tiang-tiang pembangunan keperibadian Islam dan
kewajiban-kewajibannya ini, beliau menyebutkan juga tujuan-tujuan yang
mesti diwujudkan, selain juga menyebutkan fasa-fasa dakwah.
Dalam
pembahasan ini saya akan menghuraikan tentang tujuan, berbagai wasilah
yang digunakan, kemudian disusuli dengan fasa-fasa dakwah, tiang-tiang
pembinaan keperibadian Islam dan kewajiban-kewajibannya.
Pembahasan ini saya lakukan sebagai komentar terhadap tulisan Imam Hasan Al Banna dalam ‘Risalah Ta’alim’nya. Keempat bab ini merupakan intisari pembahasan ‘Risalah Ta’alim’.
Sebelum
itu, saya bahas terlebih dahulu tiga bab lain yang isinya membicarakan
tentang ketokohan Imam Hasan Al Banna dalam kapasitinya sebagai peletak
dasar teori tentang amal-amal islami (gerakan islam) moden, kemudian
tentang kunci-kunci untuk memahami dakwahnya dan setelah itu pembicaraan
tentang tanggungjawab besar dalam dakwah ini. Dengan yang demikian,
buku ini memuat tujuh bab.
Agar ‘Risalah Ta’alim’ dapat menduduki posisinya dalam kerangka umum dakwah Ikhwanul Muslimin, maka saya tuliskan pula bab kelapan yang bertajuk ‘Fasal Penyempurnaan’ yang disusuli dengan ‘Kata-Kata Penutup’ di bab kesembilan sebagai bab terakhir.
Imam
Hasan Al Banna telah menetapkan beberapa tujuan yang mesti dicapai oleh
setiap muslim, selain menjelaskan kandungan-kandungannya. Ia bukanlah
tujuan-tujuan yang disusun secara serampangan, melainkan tujuan-tujuan
yang ditetapkan melalui penelitian yang mendalam ke atas nash-nash
syariat yang ada.
Beliau
juga menetapkan fasa-fasa amal untuk mencapai tujuan-tujuan itu dengan
memperhatikan keperluan umat Islam di setiap kawasan.
Beliau
menetapkan pula ciri-ciri keperibadian Islam melalui rukun-rukun bai’ah
dan kewajiban-kewajiban yang diperlukan oleh gerakan Islam dalam rangka
mencapai tujuan di setiap fasanya.
Beliau
juga menetapkan beberapa kaidah pokok yang menjadi bingkai kepada
kefahaman yang sahih, hubungan dan perjalanannya di mana tidak ada :
a. Sikap ekstrim dan menceroboh batasan.
b. Perilaku melampau.
c. Pengabaian terhadap hukum sunnatullah.
Semua itu telah terangkum dalam dua bahagian dari ‘Risalah Ta’alim’ iaitu :
PERTAMA : RUKUN-RUKUN BAI’AH
KEDUA : KEWAJIBAN-KEWAJIBAN SEORANG MUJAHID
Imam
Hasan Al Banna melalui dua bahagian dari risalahnya itu telah berhasil
menjelaskan perkara-perkara yang sangat diperlukan oleh setiap peribadi
dewasa ini untuk bangkit secara benar bersama kaum muslimin lainnya demi
meraih cita-cita.
Oleh kerana itu, meskipun ‘Risalah Ta’alim’ dilukiskan dalam bentuk taujih (pengarahan) kepada individu tetapi ia juga menyebutkan pandangan keseluruhan gerakan iaitu :
a. Menyangkut proses menuju penegakan daulah.
b. Cara perjalanan sesudah daulah diwujudkan.
c. Strategi politik gerakan.
dan lain-lainnya.
Semua
itu disampaikan secara langsung dalam bentuk arahan kepada individu.
Ini adalah kerana, jika individu tidak mempunyai pandangan yang jelas di
dalam sesuatu perkara, maka keupayaannya untuk bertolak secara
berterusan di dalam suatu barisan yang mantap akan menjadi lemah.
Titik tolak untuk mewujudkan saf yang mampu mencapai tujuan adalah dengan tersedianya indidvidu-individu yang :
1. Mempunyai kefahaman yang jelas tentang matlamat.
2. Mempunyai kefahaman yang jelas tentang cara-cara untuk melaksanakan matlamat tersebut.
3. Mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan dirinya dengan saf.
‘Risalah Ta’alim’ memberikan
semua ini walaupun melalui lembarannya yang agak sedikit. Itulah salah
satu bukti anugerah Ilahi bagi Imam Hasan Al Banna.
Dalam bahagian kedua, ‘Risalah Ta’alim’ memperincikan
segala sesuatu yang diperlukan oleh setiap peribadi muslim dewasa ini,
agar tidak mengulangi kesalahan-kesalahan masa lalu, di samping
menjelaskan petunjuk-petunjuk untuk meniti masa depan.
Dengan yang demikian, ‘Risalah Ta’alim’ telah menetapkan titik bermula bagi setiap muslim untuk mencapai posisi ‘Hanya kalimat Allahlah yang tertinggi’ di muka bumi ini.
Bahkan ‘Risalah Ta’alim’ telah meletakkan anak kunci alam di tangan orang-orang Islam jika mereka pandai bergerak dan beramal secara betul, insyaAllah.
Di antara perkara penting yang diwujudkan oleh ‘Risalah Ta’alim’ pada sedikit halamannya adalah berupa penjelasan mengenai berbagai perkara yang diperlukan oleh gerakan Islam :
a. Dari yang berbentuk umum kepada yang lebih terperinci.
b. Dari yang samar-samar kepada bentuk yang lebih jelas.
Misalnya dalam permasalahan bai’ah di mana selama ini istilah “bai’ah”
dalam masyarakat Islam hanya dikenali dengan makna janji setia untuk
mengamalkan wirid tertentu atau untuk taat pada seseorang syeikh atau
tok guru tertentu.
RUKUN-RUKUN BAI’AH
‘Risalah Ta’alim’ datang dengan penjelasan tentang batasan-batasan bai’ah yang diperlukan pada zaman ini, bahwa ia adalah:
1. ‘Bai’ah’
untuk memahami Islam secara benar. Tanpa kefahaman yang benar ini,
aktiviti atas nama Islam tidak akan pernah berlaku. Tanpa kefahaman,
langkah bersama menuju Islam tidak dapat diwujudkan. Jika pun dapat
diwujudkan, maka ia hanya berada di ruang lingkup yang sempit dan tidak
dapat memenuhi keperluan masa kini mahupun masa mendatang.
2. ‘Bai’ah’
untuk ikhlas. Tanpa keikhlasan, amal apapun tidak akan diterima oleh
Allah dan tidak juga dapat bergerak di medan dakwah secara benar di
samping saf itu sendiri boleh ditipu.
3. ‘Bai’ah’
untuk beramal, yang telah ditentukan garis permulaannya dan jelas
kesudahannya iaitu yang dimulai dari diri sendiri dan berakhir dengan
penguasaan Islam ke atas dunia seluruhnya. Ini merupakan kewajiban yang
tidak disedari oleh orang-orang Islam namun tiada seorang muslim pun
yang terlepas dari kewajibannya.
4. ‘Bai’ah’ untuk melakukan jihad, yang ramai orang Islam lupa bahwa ia adalah neraca untuk menimbang keimanan.
5. ‘Bai’ah’ untuk berkorban dengan segala yang dimiliki, demi meraih tujuan suci dan syurga Allah.
6. ‘Bai’ah’ untuk taat sesuai dengan peringkat dan tingkatan kemampuan.
7. ‘Bai’ah’ untuk tegar menghadapi segala keadaan di setiap waktu.
8. ‘Bai’ah’ untuk memberikan kesetiaan bagi dakwah ini dengan melepaskan diri dengan keterikatan selainnya.
9. ‘Bai’ah’ untuk berukhuwah sebagai titik tolak untuk bergerak.
10. ‘Bai’ah’ untuk tsiqah (memberikan kepercayaan) kepada pemimpin dan safnya.
Demikianlah
bai’ah memiliki sepuluh rukun. Jika berlaku pelanggaran pada salah satu
dari rukun ini, maka titik tolaknya telah keliru dan pembinaan tidak
mungkin sempurna serta bangunan dakwah tidak akan pernah selesai secara
utuh.
Jika
itu yang berlaku, maka mungkin akan terjadi keretakan melalui rukun
yang cacat ini buat seseorang akh di mana Jamaah pun akhirnya akan
mendapat kesan dari keretakan ini melalui akh tersebut.
Oleh
kerana itu, pematerian dan penjelmaan tiap-tiap rukun yang sepuluh ini
dalam diri setiap akh merupakan satu-satunya syarat yang akan menjamin
permulaan langkah dan penerusannya.
Itulah bahagian pertama dari ‘Risalah Ta’alim’.
KEWAJIBAN-KEWAJIBAN SEORANG PEJUANG
Apabila
ia telah menjadi jelas, bererti telah ditemui sebuah peribadi pejuang
yang siap sedia memberikan komitmennya pada segala perkara yang
dituntut oleh harakah. Dari sanalah munculnya bahagian kedua yang
memuatkan tiga puluh lapan (38) arahan, dilanjutkan dengan penutup
risalah yang berisi kesimpulan dan rangsangan untuk beramal.
Oleh
yang demikian, dalam risalah ini telah digariskan perkara-perkara yang
diperlukan oleh seorang akh dalam kedudukannya sebagai seorang muslim
moden, serta seorang pejuang yang berkomitmen penuh kepada saf dan
pimpinannya.
Melalui
pembicaraan yang diarahkan kepada individu, maka bangunan jamaah, masa
depan harakah dan konsep perjalanan gerakannya telah ditegakkan.
Barangsiapa
yang tidak memahami risalah ini, maka ia tidak akan mengenali dakwah
Ikhwanul Muslimin dan barangsiapa yang tidak berpegang teguh dengannya
maka ia bukanlah golongan Ikhwanul Muslimin, meskipun mengibarkan
panjinya dan mendakwakan diri dengannya.
Dengan memerhatikan risalah ini dari mukadimah hingga penutup, dapatlah difahami bahwa ‘Risalah Ta’alim’ bersifat praktial di mana ianya ditujukan secara khusus untuk golongan tertentu dari kalangan Ikhwanul Muslimin.
Gagasan
Imam Hasan Al Banna yang mengkhususkan pembicaraan untuk sekelompok
tertentu dari ikhwan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang aneh
kerana cara seperti ini juga merupakan cara yang dilakukan oleh Al
Qur’an dan sebahagian dari sunnah Rasulullah saw.
Al
Qur’an telah berbicara secara khusus kepada Rasulullah saw, lalu kepada
orang-orang yang beriman, dan di saat lain dengan golongan lain pula.
Oleh
kerana itu, jika Imam Hasan Al Banna mengkhususkan pembicaraan kepada
orang tertentu di kalangan Ikhwan, perkara itu menunjukkan atas
kearifannya.
Imam
Hasan Al Banna sedar bahwa tidak semua orang muslim dewasa ini memiliki
kesediaan untuk mewujudkan komitmen atas keislamannya yang tertinggi.
Beliau sedar bahwa Islam memerlukan suatu kelompok tertentu. Untuk
tujuan itulah beliau membuat peringkat-peringkat keterikatannya kepada
dakwah.
Risalah
ini ditujukan kepada anggota ikhwan pada peringkat pejuang dengan
maksud agar dapat membangkitkan cita-cita umat Islam dan pada saat yang
sama dapat mengetahui syarat-syarat yang perlu dipenuhi dalam jihad.
Sungguh,
Islam tidak akan bangkit tanpa kelompok seperti ini. Kelompok seperti
ini tidak akan mampu melaksanakan syarat-syarat kebangkitan kecuali jika
ia memiliki komitmen penuh dengan risalah ini, yakni komitmen terhadap
rukun-rukun bai’ah dan menunaikan kewajiban-kewajibannya.
DAKWAH IKHWAN ADALAH UBAT
Dakwah
Ikhwanul Muslimin adalah merupakan ubat. Setiap individunya diberi
panduan khusus. Jika berlaku kecacatan pada panduan maka berlaku jugalah
kecacatan pada ubat sehingga ia boleh menjadi racun.
Oleh
itu, setiap al akh hendaklah menjaga ciri-ciri dakwah ini dengan
sempurna dengan tidak mengubah panduannya, kerana itu akan memberi
akibat yang buruk.
Dengan panduan ini, jamaah menjadi ubat yang mujarab bagi setiap penyakit yang menimpa orang-orang Islam.
Jika
panduan berbeza maka berbeza pula cara pengubatannya. Oleh itu
hendaklah kita menjaga panduan supaya ia menjadi ruh bagi umat ini.
Kita
hendaklah bijak berdakwah kepada Allah dan dakwah kita hendaklah
semata-mata untuk Allah bukan utuk diri kita. Kedapatan ramai di antara
pendakwah-pendakwah yang memulakan dakwah mengajak mansuia kepada Allah
kemudiannya bertukar dengan mengajak manusia kepada diri mereka sendiri.
Kita
hendaklah fahami betul-betul tentang jiwa manusia, pandai mendidiknya,
pandai membersihkannya dan pandai meningkatkannya. Ini tidak boleh
dilakukan kecuali kita memiliki kunci untuk membuka pintu hati manusia.
Kunci ini tidak boleh diperolehi tanpa ilmu dan amal di samping hikmah
dan petunjuk dari Allah Rabbul Alamin
Ya
Allah, jadikanlah kami penolong-penolong agamaMu yang berjanji setia
untuk mendengar dan taat samada dalam keadaan susah atau senang, samada
semasa suka atau terpaksa. Tetapkanlah kami di atas jalan dakwah ini
sehingga kami dipanggil pulang kepadaMu dalam keadaan ridha dan
meridhai.
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/2012/04/menerobos-ke-ufuk-taalim.html