Tulisan:
Sheikh Mohamed Hamed Eliwa
Terjemahan:
Ustaz Tajul Arifin Che Zakaria (TACZ)
Sesungguhnya
Imam Al-Banna telah menegaskan makna ini ketika bercakap di hadapan Ikhwan pada
suatu hari: “Usrah merupakan Qaedah Asas dalam binaan dakwah kita. Naqib
usrah pula adalah batu penjuru dalam binaan ini”. Ia merupakan kalam pengasas
(Ikhwah Muslimin) bagi menunjukkan betapa mustahak dan betapa kesatuan dakwah
ini terbina di atas sistem ini. Justeru Imam Al-Banna telah meletakkan Peraturan
Khusus (Laihah Khas) bagi menjamin kelangsungannya berdasarkan disiplin
yang telah ditetapkan dan efektif agar pentarbiyahan individu terlaksana.
Itulah matlamat daripada dakwah ini. Peraturan ini telah ditetapkan pada
bulan Rabi’ul Awal 1362H bersamaan bulan Mac 1943.
Berkenaan Sistem Usrah ini, Imam Al-Banna berkata: “Wahai
Ikhwan sekalian, sistem ini amat berguna untuk kita dan dakwah ini dengan izin
Allah SWT. Ia berfungsi untuk mengontrol ikhwan yang ikhlas dan menjadikan
mereka berada dalam suasana mudah dihubungi dan menerima arahan dari masa ke
semasa untuk kepentingan dakwah yang mulia ini. Ia akan menguatkan ikatan dan
meningkatkan ukhuwah satu sama lain dari tahap kata-kata (teori) ke tahap
perbuatan dan praktikal (pelaksanaan)”.
Usrah adalah Wadah Utama Tarbiyah kerana tarbiyah berdasarkan
Sistem Usrah adalah merupakan tarbiyah sebenar (hakiki) disebabkan beberapa faktor:
(1) Di dalam usrah kehalusan dan kedalaman tarbiyahnya wujud
(kerana bilangan sedikit dan mudah dimutaba’ah dan berlakunya muayasyah).
(2) Di dalam usrah adanya hikmah dan berlakunya proses pemindahan
pengalaman (di bawah seliaan seorang mu’allim dan murabbi iaitu naqib)
berpandukan Manhaj Tarbiyah bersumberkan Al-Quran, As- Sunnah dan terikat
dengan jadual masa secara bertahap dan terarah.
Tatkalamana tarbiyah melalui jalan usrah memungkinkan tersedianya
individu secara islami dan sempurna, maka ianya (Sistem Usrah) akan berterusan
sekalipun setelah tertegaknya Kerajaan Islam. Kerana tarbiyah melalui jalan
usrah akan berfungsi sebagai pembekal untuk kerajaan memenuhi keperluan sumber
manusia berkualiti. Ciri-ciri insan soleh seumpama itu memang diperlukan oleh
mana-mana kerajaan secara berterusan. Ini bermakna bahawa Sistem Tarbiyah melalui
Usrah adalah Unsur Tetap (thawabit) dakwah Ikhwan Muslimin.
Sebagaimana Usrah merupakan wadah utama tarbiyah, Usrah juga
merupakan Unit bagi mengawal keanggotaan dan tanzim dalam Struktur Jemaah.
Bagaimana mungkin unit keanggotaan (sepenting ini) boleh berubah? Ia boleh
berubah mengikut situasi dan keadaan?!!
Ingatlah bahawa Unit Keanggotaan adalah sebahagian dari sistem itu.
Ia adalah batu bata dalam struktur binaannya dan tidak mungkin mana-mana binaan
akan kekal bilamana batu bata- batu batanya terpisah (terkeluar) dari struktur
asalnya.
Usrah merupakan keluarga setiap al-akh dan ia adalah kaum kerabat
terdekatnya. Ia merupakan ikatan sebenar dan amat diperlukan bagi menghubungkan
antara individu dan Jemaah. Ia merupakan satu-satunya wasilah yang akan
membantu Jemaah memutaba’ah anggotanya dari pelbagai sudut. Semua kepentingan
tersebut menjadi ciri-ciri khusus bagi usrah.
Tidak ada seorang pun yang mengatakan bahawa Sistem Usrah merupakan
Unsur Thawabit dalam Islam, tetapi sebagai anggota Ikhwan Muslimin kita telah
bersetuju menjadikannya sebagai salah satu Unsur Thawabit dalam dakwah kita.
Penentuan tersebut sebagai mencontohi tarbiyah yang dilaksanakan
oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya di Darul Arqam ibn Abi Al-Arqam.
Penentuan tersebut juga berdasarkan pendirian yang diambil oleh Nabi SAW
bersama kaum Ansar yang berbai’ah dengan baginda pada Bai’at Aqabah Kedua.
Justeru itu tidak harus ada seorang pun daripada kalangan kita
yang boleh mengeluarkan kenyataan bahawa
Usrah bukan dari Thawabit Ikhwan Muslimin. Kita tegaskan kepadanya …”tidak
sekali-kali tidak”.
Dalam Ikhwan Muslimin, Usrah merupakan Unsur Tetap (tidak berubah)
daripada Thawabit Sistem Tarbiyah dan keanggotaan kerana ia adalah wadah
tarbiyah utama dan unit keanggotaan dalam struktur tanzim Jemaah. Lebih-lebih
lagi ia juga merupakan unit terpenting untuk kelangsungan individu dan
jemaahnya.
وآخر دعوانا أن
الحمد لله رب العالمي