Sunday, August 29, 2010

Mursyid : Ramadan Bulan Membangun Kemahuan dan Kebebasan

Risalah dari Prof. Dr. Muhammad Badie’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin

Segala puji bagi Allah swt, selawat dan salam ke atas junjungan kita Rasulullah saw, keluarga, para sahabat dan orang-orang mengikutinya.

Dengan limpahan cahaya Ramadan dan keharumannya yang semerbak, muncul di ufuk tentang kemuliannya yang dianugerahkan Allah  swt kepada kita kerana Ramadan adalah bulan al-Quran sebagai panduan untuk umat manusia.

Firman Allah swt bermaksud:

“Bulan Ramadan, adalah bulan diturunkannya Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan bukti yang jelas untuk petunjuk dan Al-Furqan” (Al-Baqarah: 185)

Di bulan Ramadan amal soleh dilipat gandakan, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Sabda nabi saw bermaksud:

“Apabila masuk ke bulan Ramadan pintu langit dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu”.

Pada bulan Ramadan terdapat Lailatul Qadar yang merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan seperti sabda nabi saw bermaksud:

“Di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan sesiapa yang tidak mendapat keberkatannya, maka ia merasai kerugian dan kekecewaan”.

Di bulan ini juga terdapat langkah mencapai maksud takwa dengan cara terbaik. Firman Allah swt bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana orang-orang terdahulu sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertakwa”. (Al-Baqarah: 183)

Rasulullah saw telah berdoa kepada orang yang menyedari Ramadan walaupun sekali tetapi tidak diampunkan dosanya dengan sabdanya: “merasai kerugian dan kekecewaan”.

Ramadan adalah bulan yang merakamkan kemenangan-kemenangan yang besar di dalam sejarah Islam yang silam dan baru. Di bulan ini berlaku kemenangan di dalam peperangan Badar al-Kubra, Fathul Mekah dan sebagainya daripada kemenangan yang mulia terutama kemenangan pada hari ke sepuluh Ramadhan di mana tentera memulakan pertempurannya ketika mereka sedang berpuasa. Kemungkinan di antara sebab kemenangan-kemenangan ini ialah mempraktiskan nilai-nilai yang sebenar dan luhur melalui puasa ke lubuk jiwa. Di antara yang paling utama dan jelas ialah pembebasan kemahuan dan keinginan dengan seluruh nilai-nilainya dan di dalam berbagai peringkat.

Di samping puasa bermatlamat untuk mencapai ketakwaan di dalam jiwa, puasa juga bermatlamat membangunkan kemahuan yang bebas. Oleh kerana itu intipati keikhlasan dan maksudnya ialah kebebasan daripada tunduk kepada semua kuasa selain Allah swt walaupun apa jua kuasa dan bentuknya. Justeru puasa adalah wasilah untuk membebaskan manusia daripada penyembahan kepada manusia, kebiasaaan dan syahwat. Orang yang mahu melatih supaya tidak mengikut – dengan pilihannya – kehendak syahwat dan nafsunya serta hanya taat kepada Allah swt, maka dia perlu membendung hawa nafsu dan kebiasaan-kebiasaannya dan akhirnya akan merasai kemenangan ke atasnya.

Perkara-perkara yang dilarang kepada orang yang berpuasa berkait dalam kehidupan seharian. Ini bertujuan mengukuhkan kesan dalam pentarbiahan kemahuan dalam dirinya untuk menjadikannya lebih kuat semasa latihannya, pembebasan daripada ikatan naluri dan tipu dayanya dan untuk menguatkan keazaman dan meneguhkan cita-citanya.

Oleh itu puasa membataskan kehendak jasad daripada mengatasi ruh dan kebendaan daripada mengatasi keinsanan dan perhambaan mengatasi kebebasan. Justeru kemahuan manusia ketika tunduk kepada kehendak dan ketentuan Allah tidak menyebabkan manusia mati atau kaku tetapi menghidupkan dan meneruskan peranan insan. Bagaimana seorang insan dikira menang ke atas syahwatnya yang halal sedangkan dia tewas di hadapan syahwat yang haram.

Oleh sebab itu puasa merupakan ibadah yang banyak mengukuhkan rohani dalam diri manusia, kerana puasa melemahkan syahwat lantaran tidak makan dan minum.

Dengan demikian tercapai tujuan untuk meningkatkan martabat ruh kepada benar-benar takutkan Allah  swt dan beriltizam dengan sepenuhnya apa yang dituntut dalam ibadah tentang disiplin, akhlak dan adab, di mana orang yang berpuasa sentiasa rasa diawasi oleh dirinya daripada perkara yang membatalkan puasa dan perkara yang haram dan ia tidak menunjuk-nunjuk (riya’) di hadapan orang tentang puasanya.

Ini kerana puasanya dapat mengubati daripada penyakit ini yang sangat dibimbangi oleh Rasulullah saw kepada kita yang dinamakan syirik kecil supaya ia menunaikannya dalam bentuk yang sempurna sepertimana yang dikehendaki dan disukai oleh Allah swt dan akhirnya sampai kepada darjat golongan rabbani yang mengagungkan ajaran Allah swt dalam perkataan dan perbuatan. Justeru seluruh pergerakan, diam, solat, ibadah, hidup dan mati mereka adalah semata-mata kerana Allah. Firman Allah swt bermaksud:

“Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah Tuhan semesta alam”. (Al-An’am: 162)

Inilah pesanan nabi saw:

“Apabila seorang daripada kamu berpuasa maka janganlah ia menuturkan kata-kata yang buruk (keji) dan janganlah menjerit-jerit tidak menentu (hiruk pikuk). Apabila ia dimaki atau dicabar oleh seseorang hendaklah ia berkata saya berpuasa, saya sedang berpuasa”. (Bukhari).

Pesanan nabi saw ini mendidik muslim tentang kekuatan kemahuan dan menjadikan puasa sebagai wasilah untuk mengindahkan akhlak, menahan kemarahan, menghadapi berbagai penghinaan dan kejahilan dengan kemaafan dan lapang dada.

Seorang muslim di bulan Ramadan berbeza dengan hari-hari biasanya, terutama adat kebiasaannya dan membebaskan diri dari belengunya serta meninggalkan kebiasaannya yang dihalalkan oleh Allah swt. Kita lihat ia menahan daripada makan, minum dan memenuhi syahwat pada siang Ramadan kerana mentaati perintah Allah swt. Oleh sebab itu puasa di sisi seorang muslim sebagai lapangan yang terbaik untuk menguatkan kemahuan kerana lebih tinggi daripada memenuhi keperluan jasad kerana mengutamakan ganjaran dan pahala yang diberikan oleh Allah swt.

Antara Kemahuan dan Kebebasan

Jelas bahawa kemahuan atau kehendak ialah kekuatan yang terdapat dalam diri manusia yang membolehkannya berkata: “Ya” atau “Tidak” dengan kebebasan mutlak yang lahir daripada penyerahan diri kepada Allah swt semata-mata tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu ketika syahwat atau perasaan memanggilnya, ataupun orang zalim cuba menggunakan untuk tujuan dan kepentingannya. Ketika itu pemimpin dan ketuanya ialah ketakwaan kepada Allah swt dan mengharapkan redha-Nya. Keupayaan untuk menolak dan menahan lebih kuat daripada keupayaan untuk menerima dan menyahut. Oleh itu ketika kemahuan generasi pertama Islam bebas daripada tarikan nafsu dan syahwat serta melaksanakan nilai-nilai sebenar puasa dalam diri mereka, maka mereka layak mengecapi pertolongan Allah swt dan dunia tunduk untuk mereka. Justeru kalau kita mahu mencapai kemenangan maka kita sewajarnya membebaskan diri dan kemahuan kita seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu.

Demikianlah puasa mendidik manusia supaya merdeka dan bebas di dalam kehidupannya secara keseluruhan, di mana dia tidak tunduk kepada syahwat, tidak dikuasai oleh perasaan dan memiliki kemahuannya sendiri. Demikianlah puasa menjadikannya tuan kepada diri atau nafsunya dan memiliki hak memilih sama ada mahu atau tidak. Di samping itu juga manusia boleh mengembangkan kebebasan kemahuan, melatih dan membentuk perjalanan hidupnya dengan keteguhan, keazaman dan kecekalan tanpa rasa hina dan kerdil. Justeru puasa itu sendiri sebagai latihan kepada nafsu untuk dididik memiliki kemahuan kerana ia adalah ibadah kepada Allah  swt yang mendekatkan seorang muslim kepadaNya.

Bila orang Islam mengambil peluang di bulan yang berkat ini dengan menguatkan azam dan kemahuannya dan perubahan akan berlaku ke atas dirinya, suatu perubahan yang menusuk kalbu, meneguhkan sifat dan akhlak yang mantap yang bukan sekadar impin sahaja, selalu saling bantu-membantu bersama masyarakat yang sekaligus bergabung di dalam ibadah dan amal soleh ini. Oleh itu semua pihak bersama-sama di dalam melakukan perubahan yang turut membantu meluaskan kesan terhadapnya meliputi semua bidang dalam kehidupannya secara total. Di sini wujud perbezaan ketara antara saya menyertai aktiviti masyarakat dan masyarakat mengikuti saya dalam perkara kebaikan dan antara saya sebagai seorang yang tiada pendirian dan tidak memiliki kemahuan, kerana manusia ketika berada di suasana terakhir di sebut akan menyertai masyarakat di dalam perkara kejahatan jikalau mendapati ada orang yang melakukan kejahatan. Oleh sebab itu Rasulullah saw berpesan kepada kita dengan sabdanya bermaksud:

“Janganlah kalian menjadi orang yang tiada pendirian, kalian mengatakan: Jika manusia baik kami ikut baik, dan jika mereka zalim maka kamipun ikut zalim, namun mantapkanlah jiwa kalian; jika masyarakat baik kalian tetap melakukan kebaikan dan jika mereka melakukan kejahatan maka jangan ikut melakukan kezhaliman”. (At-Tirmidzi)

Manusia secara umum sentiasa wujud dalam dirinya dua kekuatan yang saling tarik menarik:
Pertama adalah maddiyah (material).. yang mana sumbernya adalah unsur material dalam pembentukannya, seperti tindakan yang lahir tidak sama dengan perilakunya jika hanya mementingkan material saja..Firman Allah swt bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, Apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah swt” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit”. (At-Taubah:38)

Kedua adalah ruhiyah (kerohanian) yang sentiasa mendorong kepada peningkatan tindakan terhadap apa yang kurang pada agama atau akhlaknya, yang dapat meninggikan derjat dari kehinaan dan kesalahan.

Ibadah dalam Islam bertujuan mendukung unsur-unsur kerohanian yang ada dalam diri manusia, sehingga dapat menyempurnakan kemenangan ke atas unsur material. Selagi unsur kerohanian kuat maka hubungan dengan Tuhannya akan lebih kukuh dan teguh. Di kesempatan ini ibadah puasa datang untuk mengukuhkan tarikan unsur kedua dan meneguhkannya di dalam jiwa. Orang yang berpuasa dapat melatih nafsunya dan membebaskan kehendak dari berbagai pengaruh, keinginan dan syahwat. Justeru dengan sendirinya akan mampu membebaskan dan memerdekakan kehendaknya.

Pengalaman yang agung ini yang melatih diri dengan kelaparan dan memerdekakan keinginan kepada perkara larangan dan memperkukuh keazaman melalui ibadah puasa dengan sendirinya akan memberikan kekuatan dan pengetahuan.

Ini kerana hal tersebut memberikan kesan yang sangat besar dalam mendidik peribadi muslim yang berpuasa, memperteguh dan membersihkannya dari anasir kelemahan, al-wahn (cintakan dunia dan takut mati) dan kelesuan. Dengan itu tercapai dalam diri kita “Muslim yang kuat dan dipercayai” yang merupakan peribadi yang paling dicintai oleh Allah sebagaimana yang pernah disampaikan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya bermaksud:

“ Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah swt daripada Mukmin yang lemah. ” (Muslim)

Pembebasan di bulan Ramadan 

Ayuh kita jadikan bulan Ramadan sebagai peluang untuk menguatkan kehendak dan keinginan dan menjauhkan diri dari syahwat dan perkara-perkara yang diharuskan, kebebasan dari belenggu adat istiadat, sehingga kita menjadi orang mendapatkan rahmat Allah swt dan melakukan puasa dan qiyam dengan penuh keimanan dan pengharapan sehingga dosa-dosa mereka diampunkan. 

Puasa merupakan latihan hati dan bukan sekadar pengharaman jasad sahaja, Oleh itu kita sangat memerlukan langkah untuk meningkatkan jati diri pada bulan Ramadan melalui pemantapan dan pengukuhan kemahuan dan keinginan. Petanda terbesar dari itu semua adalah menunaikan segala perintah Allah swt dan mencegah diri dari apa yang diharamkan ke atas kita, sehingga mengubati kerohanian kita dan bertambah kuat, melalui interaksi secara intensif dengan Al-Qur’an. Firman Allah swt bermaksud:

“Dan Demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al Quran) dengan perintah kami. sebelumnya kamu tidaklah mengetahui Apakah Al kitab (Al Quran) dan tidak pula mengetahui Apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan Dia siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba kami. dan Sesungguhnya kamu benar- benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus”. (Syura: 52).

Sesungguhnya kekuatan keazaman dan kemahuan yang ditanamkan dalam ibadah puasa pada diri juga merupakan keperluan umat dalam menghadapi hawa nafsu, syahwat, fitnah dan berbagai rintangan, dan diperlukan untuk menghadapi kecenderungan diri kepada kemunduran, kerehatan dan memilih berdamai daripada berjihad, berjuang dan berkorban.

Kita sangat memerlukan pembebasan kemahuan umat dan kehendak pemimpinnya dari tarikan duniawi dan bekerja keras kerananya, untuk mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan sendiri, dan memenangi isu-isu umat dan membelanya, dan tidak menganggap remeh, tidak membiarkan isu-isunya dan memilih cara berdamai dalam menghadapi tentangan dan memenanginya.

Malahan perubahan yang ditempuh dalam jiwa pada bulan Ramadan tidak hanya secara individu sahaja, tetapi merupakan perubahan secara jamaah di semua peringkat dan mencakupi umat dengan seluruh unsur-unsurnya. Justeru umat sangat berhajat kepada pembebasan kemahuan, terutama para pemimpin dan ketuanya. Mereka dituntut untuk membebaskan kemahuan mereka dari pengaruh luar yang tidak mengingini sebarang kebaikan kepada umat dan masa depannya. Mereka sama sekali tidak mampu mendatangkan manfaat kepada kalian, tidak mampu mendatangkan mudarat ataupun kemegahan untuk kalian, sebagaimana firman Allah swt bermaksud:

“Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka Sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah swt”. (An-Nisa:139)

Ketahuilah bahawa dalam membebaskan kemahuan berarti membebaskan kemahuan umat seluruhnya, dan jika mereka merasa berat dan melambat-lambatkannya maka mereka akan terjerumus pada dosa umat seluruhnya. Sunnatullah akan sempurna di alam semesta ini dan perubahan akan berlaku dan menjadi kenyataan. Oleh kerana itu, lakukanlah peranan masing-masing, tunaikanlah kewajiban yang diamanahkan tanpa merasa berat dan rendah diri. Ketahuilah bahwa rakyat mengharapkan kalian. Justeru berikanlah mereka haknya dan lindungilah mereka.

Wahai Ikhwan Muslimin..Wahai umat manusia seluruhnya

Sesungguhnya kebangkitan hakiki adalah dimulai dari perubahan dalaman. Oleh kerana itu barangsiapa yang tewas dengan apa yang ada di dalam jiwanya maka akan menjadi orang yang paling lemah untuk mengalahkan yang lainnya. Mari kita jadikan bulan Ramadan sebagai peluang terbaik untuk melakukan perubahan dan mulai dengan kerja keras untuk membebaskan kehendak pada semua peringkat, berpegang teguh sepenuhnya terhadap semua yang Allah swt perintahkan, dan bersungguh-sungguh menunaikan seluruh perintah-Nya dan mengaplikasikannya dalam diri kita. 

Ketahuilah bahawa bebasnya kehendak merupakan rahsia kekuatan dan kemenangan kita dan tidak menerima keputusan kekuatan lain dalam tubuh kita, yang merupakan motivasi yang sebenar untuk menolak segala bentuk penghinaan, kerendahan dan kelemahan yang mungkin sebahagian orang yang lemah imannya merasa cukup dengan situasi tersebut terutama mereka yang tidak menghayati hakikat puasa Ramadan dalam bentuk realiti dan bermakna.

Jelas bahwa perhatian kita yang utama ialah kehendak dan perhatian kita yang terakhir ialah cita-cita. Justeru, marilah kita bergerak dan menyeru kepada Allah swt pada setiap saat dan ketika, janganlah merasa relak dan bosan, dan jadikanlah tarbiyah Ramadan sebagai bekalan ruh kita untuk mencapai matlamat kita. Marilah kita menggemblingkan semaksima mungkin tenaga untuk mencapainya. Jadikanlah slogan kita sebagaimana yang diungkapkan oleh para salaf-salih:

“Penggemblingan tenaga manusia yang paling besar berpunca daripada keyakinan yang paling besar”.

Ketahuilah bahawa langkah pertama menuju kemenangan adalah membebaskan kehendak dari berbagai tarikan duniawi.

Wahai para presiden, menteri dan pemimpin 

Ketahuilah bahawa bulan Ramadan adalah kesempatan untuk membebaskan kemahuan kalian, menghiasi diri dengan akhlak puasa dan kemuliannya dan memberikan perhatian kepada kepentingan umat dan rakyat kalian, agar kalian dapat memperolehi keredhaan Tuhan mu dan kepercayaan umat dan rakyat kalia. Jelas bahawa kehinaan dan kelemahan yang ditanggung umat adalah akibat siasah kalian yang sangat jauh dari kepentingan rakyat dan umat kalian. Kalian hanya menitik beratkan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum. 

Oleh kerana itu kembalilah kepada Tuhan kalian pada bulan yang suci ini, dan bebaskanlah kemahuan kalian kerana Allah swt, Tuhan semesta alam. Firman Allah swt bermaksud:

“Sesungguhnya Allah swt pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah swt benar-benar Maha kuat lagi Maha perkasa”. (Al-Hajj:40)

Wahai saudara tercinta yang berada di sebalik jeriji besi

Kalian telah menjadi simbol dan contoh tentang keteguhan dan kesabaran bersama kalian keluarga dan anak-anak kalian dalam memerdekakan kemahuan kalian, tidak mudah tunduk walaubagaimanapun keadaannya terhadap diri kalian. Kalian menghadapi apa yang kalian alami dengan penuh azam tanpa mengenal erti lemah atau kalah.. Ketahuilah bahawa orang yang kalah adalah orang yang tidak mampu mengalahkan kepercayaan dan ideologi kalian, dan merekalah yang pasti akan hancur kemahuannya jika tidak memenuhi petunjuk yang telah diberikan, dan kembali pada jalan Tuhan mereka sebagaimana firman Allah swt bermaksud:

“Dan Allah swt berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya”. (Yusuf:21)

Semoga Allah swt sentiasa menolong kalian dalam ketaatan dan kebaikan, dan mempercepatkan kalian mendapatkan jalan keluar, sesegera mungkin bukan selambat mungkin. Kalian telah mewariskan dakwah, umat, keluarga, anak dan harta sebagai sebaik-baik warisan seperti yang telah dilakukan oleh hamba-hamba Allah swt yang soleh.
Selawat dan salam ke atas nabi kita Muhammad saw, beserta keluarga dan para sahabatnya..Dan segala puji hanya bagi Allah swt, Tuhan semesta alam

Allahu Akbar walillahilhamd!

Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=69226&SecID=213
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template