Tuesday, August 17, 2010

Mursyid : Ramadhan...Langkah Pembinaan dan Perubahan

Risalah daripada Prof. Dr. Muhammad Badie’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin

Dengan nama Allah, segala pujian hanya bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w, keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mengikutinya dari semasa ke semasa sehingga hari Kiamat.

Sesungguhnya umat Islam umumnya dan negeri-negeri Arab khususnya telah menempuh peringkat kritikal yang tidak pernah ditempuhi sebelum ini yang mana segala kuasa jahat dan batil telah berkumpul dan bersatu untuk menanamkan benih yang buruk di negeri yang baik dan berkat serta negara yang berada di sekitarnya. Lantaran ia sebuah negeri yang baik dan berkat maka ia telah menggagalkan segala racun dan benih yang buruk dari akar umbinya.

Dalam tempoh masa tersebut Afghanistan di ceroboh, Iraq dijajah, khazanah dirampas, rakyat diusir, ratusan ribu kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa dibunuh, wanita-wanita diperkosa dan tempat-tempat suci dinodai. Begitu juga yang berlaku di Pakistan, Kashmir, Somalia dan Yaman yang menghadapi serangan dari kekuatan jahat sedunia yang didokong oleh Zionis Amerika dan pemimpin-pemimpin negara yang bersekutu dengan mereka serta pihak-pihak yang memberikan lorong untuk campurtangan dan memulakan permusuhan.

Rentetan dari itu maka timbullah :

- Krisis ekonomi dunia yang melanda segala sesuatu, mengesani semua orang dan memberi kesan yang berpanjangan. Apakah yang berlaku selepas Amerika menanggung hutang dengan jumlah yang terlalu besar. Berbagai-bagai Negara mengisytiharkan bangkrap dan begitu juga ratusan bank memgumumkan kerugian dan kemuflisan.

- Perasaan putus asa menyelubungi jiwa para pemimpin dan pemerintah negara. Harapan kepada berlakunya perubahan bagaikan terpadam tanpa sekelumit sinar. Ini menjadikan mereka hanya menerima semua perkara yang disogokkan kepada mereka dan menyerah dalam keadaan yang hina dan memalukan. Mereka langsung tidak berusaha untuk bangkit menentang perampas dan penjajah. Alangkah baiknya jika mereka sendiri mahu menyerah kalah, mereka berikan kepada rakyat mereka hak untuk hidup, menikmati kebebasan dan berjuang menentang perjajahan! Namun apa yang berlaku sebaliknya. Tangan-tangan rakyat diikat dan dipukul dengan tongkat besi yang keras supaya mereka tidak berupaya meninkmati hak mereka menentang penjajahan. Bukan sekadar itu! Malah apa yang dikatakan kebebasan itu semuanya dirampas daripada rakyat.

- Kebejatan moral dan kehilangan nilai-nilai yang mulia dan contoh teladan yang unggul.

- Tiada keamanan dan kedamaian di serata dunia.

- Kesusahan dan kepayahan yang tidak diketahui sebabnya oleh manusia. Tetapi Allah telah mengajar kita tentang hal itu di dalam firmanNya (bermaksud):

“Dan siapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta”. (Taha: 124-126)

- Realiti merupakan sebaik-sebaik saksi bahawa kuasa dunia yang mahu menguasai dunia sebenarnya rosak dalam serba-serbi, hala tujunya dan nilai-nilai murninya. Agenda yang mereka bawa semuanya menemui kegagalan baik ketenteraan, politik, ekonomi dan moral. Mereka telah mengalami kegagalan di semua Negara yang mereka takluki. Tidak lama lagi mereka akan keluar dari Palestin, Afghanistan dan Iraq dengan hati mereka yang remuk dihempap rasa keciwa dan duka. Mereka akan mengeluh sambil menghitung-hitung kerugian besar yang mereka tanggung di atas apa yang mereka telah belanjakan. Mereka akan menanggung kesedihan sebelum tiba azab siksa yang sangat pedih dan kekal di akhirat nanti. Firman Allah (bermaksud):

“Sesungguhnya orang-orang kafir itu, menginfakkan harta mereka untuk menghalang-halangi orang di jalan Allah. Mereka akan terus menginfakkan harta itu, kemudian mereka akan menyesal sendiri, dan akhirnya mereka akan dikalahkan. Ke dalam neraka Jahannamlah orang-orang kafir itu akan dikumpulkan” (Al-Anfal: 36)

- Wahai umat Islam di semua tempat! Wahai manusia seluruhnya! Ini hanyalah satu sudut yang terlalu kecil yang menggambarkan sebahagian daripada penderitaan dan keperitan yang dialami umat manusia pada hari ini. Semua orang mencari penyelamat yang dapat menarik mereka keluar dari keadaan yang melemaskan dan keluar dari kegelapan yang mencengkam. Namun mereka tidak menemuinya padahal penyelamat berada di hadapan mereka dan penawar ada di sisi mereka.
- Sesungguhnya penyelamat itu adalah Islam, Agama rahmat, keadilan, persamaan dan kebebasan. Islam mengajar nilai-nilai murni yang unggul dan mendidik menusia dengan akhlak mulia dan terpuji.

- Penyelamat itu adalah Al-Quran, ajaran Allah yang kekal. Firman Allah (bermaksud) :

“Yang tidak akan didatangi oleh kebatilan baik dari depan mahupun dari belakang (pada masa lalu dan yang akan datang), yang diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, Maha Terpuji”. (Fussilat: 42)

- Penyelamat itu adalah Rasulullah s.a.w. utusan terakhir yang membawa rahmat, hidayah, nikmat yang tidak ternilai serta cahaya yang terang benderang. Firman Allah (bermaksud) :

“Tidak Kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam”. (Al-Anbiya’: 107)

Bulan Ramadhan adalah langkah perubahan

Langkah pengislahan bermula dari jiwa. Pengislahan yang kita laungkan bukanlah terlalu sukar dan bukanlah jauh dari kita. Ia hanya tercapai dengan pengislahan diri yang kita pikul dipundak kita dan memperbaikinya dengan mengambil panduannya dari apa yang diredai oleh Allah, kerana hanya Allah yang mampu mengubah apa jua di sekeliling kita. Benarlah Firman Allah (bermaksud):

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”. (Ar-Ra’d: 11)

Justeru setiap orang Islam lelaki dan perempuan wajib mengenali Tuhannya dan memperbaiki dirinya serta menyeru orang lain ke arah kebaikan ini.

Bulan Ramadhan memulakan hembusannya yang bertiup ke arah kita dari jauh yang membawa tujuan semua makna-makna perubahan dan ciri-ciri pembinaan jiwa yang bermula dengan pembersihan daripada dosa dan noda yang kemudian sampai kepada setinggi-tinggi tingkat penyucian. Firman Allah (bermaksud):

“Demi jiwa serta penyempurnaannya. Maka Dia mengilhamkan kepadanya jalan kejahatan dan ketakwaannya. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya. Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya”. (As-Shams: 7-10)

Inilah bulan puasa, bulan al-Qur’an, bulan berqiamullail dan bulan sabar. Inilah bulan yang merupakan musim ketaatan. Di dalam bulan ini terkandung ibadah-ibadah khusus di bulan Ramadhan dan ibadah-ibadah lain yang dilipat gandakan pahalanya di bulan ini. Ibadah-ibadah yang mengindahkan waktu-waktunya, menghiasi detik-detiknya, mencantikkan hari-hari dan malam-malamnya. Ibadah yang manis pada setiap waktu, dan pada bulan ini bertambah manis lagi. Ganjarannya pula lebih besar dan lebih hebat.

Bulan Ramadhan adalah bulan tarbiyyah, penyucian dan kemenangan

Ibadah puasa merupakan pembebasan daripada cengkaman nafsu. Oleh kerana itu Allah mewajibkan puasa untuk membebaskan manusia daripada belenggu nafsu dan memulakan langkah keluar daripada penjara jasadnya dan menewaskan belitan syahwatnya, meletakkan diri pada tahap keinsanan dan menyerupai para malaikat. Tidak hairan ruh orang berpuasa meningkat naik dan semakin dekat dengan Raja yang Tertinggi dan orang yang berpuasa mengetuk pintu langit dengan doanya lalu dibuka pintu langit, dan dia berdoa kepada Tuhannya lalu diperkenankan permintaannya, dan orang yang berpuasa memanggil-Nya lalu Allah berkata (maksudnya): “Aku menyahut panggilanmu hambaku, Aku menyahut panggilanmu”.

Kemungkinan inilah hikmahnya kenapa ayat tentang doa diselitkan di celah-celah ayat-ayat puasa. Firman Allah (maksudnya):

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi perintahKu dan beriman kepadaKu, agar mereka memperolehi kebenaran”. (Al-Baqarah: 186)

Puasa membersihkan daripada dosa. Bagaimana doa seorang muslim tidak diperkenankan Allah sedangkan puasa membersihkannya dengan sebersih-bersihnya daripada dosa.

Daripada Abu Hurairah r.a dari nabi saw bersabda (maksudnya):

"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah tentulah dosa-dosa yang terdahulu akan diampunkan”.

Di dalam ibadah puasa juga meningkatkan kekuatan akhlak: Justeru puasa membersihkan jiwa muslim dan meninggikan akhlaknya kerana semasa menjalani puasa dipesankan supaya mengelakkan diri daripada memekik tak tentu pasal dan menuturkan kata-kata keji serta tidak melemparkan tuduhan melulu dan mengumpat, malah dipesan supaya ingat tentang nilai puasa. Daripada Abu Hurairah r.a bahwa Rasulullah saw bersabda (dalam sebuah hadith Qudsi) (maksudnya):

“Apabila seorang daripada kamu berpuasa maka janganlah ia menuturkan kata-kata yang buruk (keji) dan janganlah menjerit-jerit tidak menentu (hiruk pikuk). Apabila ia dimaki atau dicabar oleh seseorang hendaklah ia berkata saya berpuasa, saya sedang berpuasa”. (Al-Bukhari)

Begitu juga semasa berpuasa dipesankan supaya mengelakkan diri daripada penyaksian palsu dan bekerja untuknya (antaranya penipuan pilihanraya), dipesankan supaya tidak membantu sebarang bentuk kekejaman atau menyokong kebatilan hingga menggagalkan hasil puasanya. Nabi pernah menyatakan berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya):

“Orang yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya tidaklah Allah berhajat supaya dia meninggalkan makanan dan minumannya”.

Menurut kata penyair tentang hal in i:

Jika aku tidak dapat menutup telingaku daripada mendengar perkataan yang buruk,
Tidak dapat menundukkan mataku daripada melihat perkara yang haram,
Tidak dapat mengawal lidahku daripada berkata dusta
Maka habuanku daripada puasaku hanyalah lapar dan dahaga
Sekalipun aku mengaku berpuasa pada suatu hari, namun sebenarnya aku tidak puasa!

Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an: Di dalam bulan Ramadhan al-Quran telah diturunkan untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya, memberi petunjuk kepada jalan yang lurus, meletakkan suatu peraturan yang lengkap untuk mereka dan undang-undang yang kekal dalam segenap bidang kehidupan. Di dalam bulan Ramadhan manusia umumnya berada di masjid dan rumah sambil membaca al-Quran dan mentadabburnya. Begitu juga pengajaran dan intipati al-Quran diterjemahkan ke dalam amalan. Dengan itu al-Quran akan menggilap jiwa, mendidik akhlak dan menghiasi diri dengan al-Quran. Al-Quran inilah yang menjadi akhlak Rasulullah s.a.w.

Daripada Abu Darda’, Aku bertanya Aisyah tentang akhlak Rasulullah. Beliau menjawab: “Akhlak Rasulullah adalah al-Quran. Baginda marah lantaran al-Quran marah dan baginda suka lantaran al-Quran suka”.

Dunia Islam di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini bertukar seolah-olah menjadi sebuah masjid. Alangkah hebatnya! Dunia ini menjadi sebuah masjid yang amat besar, setiap sudutnya bergema dengan alunan ayat-ayat al-Quran, setiap batang tiangnya di kelilingi jutaan huffaz al-Quran! Mereka mengalunkan ayat-ayat suci yang diturunkan dari langit, diperdengarkan kepada seluruh penghuni bumi! Senario yang sungguh indah, menarik dan bergemerlapan! Bertepatan dengan firman Allah (maksudnya):

“Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan batil)”. (Al-Baqarah: 185)

Di bulan Ramadhan dipenuhi Qiamullail: Berqiamullail mengandungi kelebihan yang besar yang tidak dapat diatasi melainkan oleh solat yang fardu. Daripada Abu Hurairah r.a secara marfu’ berkata:

Nabi saw ditanya, apakah solat yang paling utama selepas solat fardu? Dan apakah puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan? Nabi menjawab: Solat yang paling utama selepas solat fadu ialah solat di tengah malam. Puasa yang lebih utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan Haram”.

Daripada Abu Malik al-Asy’ari, Rasulullah saw telah bersabda (maksudnya):

“Di dalam syurga ada sebuah bilik. Diperlihatkan luarnya dari dalamnya dan diperlihatkan dalamnya dari luarnya yang Allah sediakan untuk orang yang memberi makan kepada orang lapar, orang yang lembut kata-katanya, orang yang sentiasa berpuasa dan orang yang solat ketika manusia sedang tidur”.

Qiam di bulan ramadhan boleh membersihkan diri daripada dosa. Daripada Abu Hurairah r.a berkata. Aku mendengar Rasulullah s.aw. berkata tentang Ramadhan (maksudnya):

“Barangsiapa yang mendirikan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah tentulah dosa-dosanya yang terdahulu akan diampunkan”.

Para salihin zaman silam mereka akan naik ke menara tertinggi sambil mendendangkan nasyid:

“Wahai lelaki yang menghidupkan malam, bersungguh-sungguhlah!
Boleh jadi satu suara (ungkapan doa) tidak akan ditolak.
Tidak bangun pada waktu malam kecuali
Orang yang mempunyai azam dan tekad”

Bulan Ramadhan adalan bulan jihad

Bulan Ramadhan kekal mengurniakan kepada umat Islam kekuatan dan mengingatkan mereka kepada Perang Badar. Musuh Allah sebenarnya gentar untuk berhadapan dengan tentera muslimin di bulan Ramadhan kerana mereka yakin bahawa bulan Ramadhan membekalkan orang Islam dengan kekuatan yang tidak diperolehi pada bulan lain. Sesungguhnya orang-orang Russia menganggap Ramadhan adalah bulan malang kerana mereka pernah menerima kekalahan pada masa lalu. Mereka takut bulan jihad tiba ketika mereka sedang berperang dengan tentera Islam. Kalau itu berlaku pastinya mereka akan ditewaskan!

Bulan ramadhan bukan bulan menyerah dan malas bahkan Ramadhan ialah bulan sabar yang memberikan bekalan jihad kepada seorang muslim. Bekalan yang pertama untuk berjihad ialah sabar dan kemahuan yang kuat. Sekiranya orang yang tidak mampu berjihad melawan nafsunya jauh sekali mampu melawan musuhnya. Orang yang tidak mampu memenangi ke atas nafsu dan syahwatnya jauh sekali mampu memenangi perjunagan melawan musuhnya. Orang yang tidak mampu bersabar menahan lapar dalam sehari jauh sekali mampu bersabar menghadapi perpisahan dengan keluarga dan tanah air demi mencapai matlamat yang besar. Ibadah puasa yang terkandung makna sabar dan mengekang runtunan nafsu merupakan wasilah paling ampuh dalam mempersiapkan individu yang beriman, sabar, tangkas dan semangat juang yang tinggi. Mukmin yang bersedia menanggung kehausan, kelaparan dan kepayahan, yang sanggup menempuh keperitan, kesukaran dan tekanan hidup selagi mana masih di jalan Allah..Sejarah menyaksikan beberapa peperangan besar berlaku pada bulan yang mulia ini seperti Badar al-Kubra, Fathu Mekah, pertempuran Balat Syuhada’ pada tahun 114H / 732M di Poitiers, Perancis dan Peperangan Ain Jalut tahun 658H/1260M di Palestin.

Oleh sebab itu musuh kita menyedari hakikat ini. Seorang Orientalis Nicholson telah menyatakan rahsia kemenangan tentera Islam di Badar walaupun jumlahnya yang sedikit melalui komentarnya: “Sesungguhnya kemenangan Muhammad ke atas tentera Quraisy yang menyembah berhala merupakan satu perkara yang semulajadi dan jelas sekali. Ini kerana Rasul mengajar pengikutnya system ketenteraan sepenuhnya sebanyak lima kali sehari di masjid.” Tidak dinafikan bahawa pemikiran ketenteraan terjelma di dalam solat..Tidak dinafikan bahawa melalui solat mempunyai kesan dan natijahnya. Namun di sana wujud ruh lain yang tersembunyi yang membantu kemenangan yang cemerlang ini. Iaitu ruh kemahuan yang dinyalakan di dalam jiwa orang Islam pada bulan Ramadhan yang sebenarnya berlaku satu pertempuran kemanusiaan yang besar di bulan ini. Jiwa-jiwa yang turut berperang di dalam barisannya para malaikat mestilah telah sampai kepada kesucian, keimanan, keikhlasan, ketulusan yang melayakkan turunnya tentera langit. Sesungguhnya tentera langit tidak turun dari langit kecuali untuk membantu manusia bertaraf malaikat. Manusia yang telah dididik oleh Rasulullah s.a.w di madrasah wahyu, di maahad al-Quran dan di antara dua dinding masjid. Semua itu terpancar daripada firman Allah Ta’ala (bermaksud): “Mudah-mudahan kamu bersyukur”. ( Ali-Imran: 123)”

Demikianlah puasa menurut Islam bukan disyariatkan untuk menyiksa manusia. Bagaimana hal ini terjadi sedangkan Allah nyatakan ayat-ayat tentang puasa: “Dan mudah-mudahan kamu bersyukur”. (Al-Baqarah: 185)

Allah telah menyediakan jalan untuk membangkitkan ruh, menyihatkan jasad, menguatkan kemahuan, membiasakan diri menahan sabar, mengetahui nikmat, mendidik perasaan belas kasihan dan latihan untuk menyerah diri kepada Allah Tuhan seluruh alam secara total.

Moga Allah menerima amal soleh kami dan anda semua, dan menjadikan kita semua ke dalam golongan yang mendengar peringatan, lalu mengikutinya dengan sebaiknya..Setiap tahun anda semua dalam ketaatan.

Kesejahteraan, kerahmatan dan keberkatan Allah untuk anda.

Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=68892&SecID=213
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template