Wednesday, August 11, 2010

Mursyidul Am Ikhwan Muslimun : Kami Memperjuangkan Negara Madani dengan Nilai-nilai Islam

Mursyidul Am Ikhwan Muslimun : Kami percaya semua orang harus diperlakukan sama tanpa mengira agama, keyakinan dan warna.

Sabtu, 7 Ogos 2010
Dalam wawancara dengan saluran satelit Al-Arabia pada petang Selasa, pemimpin Ikhwan Muslimun Dr Mohamed Badie’ menegaskan bahawa keputusan berkaitan penyertaan dalam pilihanraya parlimen akan datang akan ditentukan dalam masa terdekat setelah meninjau pendapat semua kuasa pembangkang politik nasional di Mesir.

Badie’ menyebut bahawa tujuh tuntutan reformasi yang dianjurkan oleh badan-badan berpengaruh seluruh Mesir melalui petisyen-dalam-talian yang telah berjaya mengumpul hampir setengah juta tanda tangan, telah dilancarkan bertujuan bagi mengelakkan berulangnya penipuan dan pemalsuan yang berlaku sewaktu pilihan raya pertengahan penggal Majlis Syura Mesir pada Jun lepas. Tuntutan reformasi itu menuntut jaminan keadilan dalam pilihan raya. Tuntutan itu termasuk melonggarkan syarat ke atas calon pilihan raya dan memberikan hak dan peluang yang sama kepada semua selain menuntut diadakan pengawasan antarabangsa atau perundangan serta diadakan pemantauan pilihan raya. Beliau menekankan bahawa sebarang pengulangan penipuan seperti pemilihan Syura yang lepas, tentu sekali tidak akan diterima dengan mudah oleh rakyat.

Pemimpin IM itu menegaskan bahawa beliau menghormati keputusan untuk memboikot pilihan raya yang dibuat oleh pelbagai faksi pembangkang sambil menekankan itu adalah kebebasan berpendapat. Dia menyatakan bahawa polisi IM yang menyarankan penyertaan dalam semua pilihan raya adalah sebahagian daripada penglibatan gerakan itu dalam urusan masyarakat di samping aktiviti lain termasuk aktiviti amal dan pembelaan Palestin.

Badie’ menolak tuduhan kononnya gerakan itu akan menyokong Dr Mohamed ElBaradei dalam pemilihan presiden dan menyatakan yang isu itu masih awal untuk dibincangkan. Hakikatnya, mantan tokoh IAEA itu belum pun lagi mencalonkan dirinya untuk jawatan tersebut. Namun beliau mempertahankan bahawa gerakan itu menyokong seruannya terhadap reformasi politik dan pindaan perlembagaan dan bahawa usaha kolektif dari pembangkang politik yang menghasilkan kesepakatan tentang tujuh tuntutan berkaitan pilihan raya adalah serupa dengan tuntutan IM yang telah diutarakan kepada kerajaan beberapa kali sebelum ini.

Badie’ mendakwa bahawa keutamaan IM ketika ini adalah mencari dan memberikan jaminan bagi membolehkan warga Mesir memilih siapa yang mereka inginkan sebagai pemimpin dalam suasana bebas dan demokrasi.

Menjawab pertanyaan tentang pencalonan anak Presiden, Gamal Mubarak, 47 tahun, dalam pilihan raya akan datang, pemimpin IM itu berpendapat bahawa IM tidak akan menerima dia sebagai calon berpotensi jika dia terus bergantung pada ayahnya untuk meraih sokongan berbanding menawarkan diri sebagai calon secara saksama seperti pesaing lain.

Beliau menegaskan bahawa pendirian gerakan itu mengenai pencalonan wanita dan Koptik untuk jawatan Presiden telah diambil berlandaskan undang-undang Syariah Islam setelah merujuk pandangan ulamak Islam yang dipercayai. Beliau menekankan bahawa Ikhwan Muslimun sentiasa menyeru penubuhan negara madani secara damai berdasarkan nilai-nilai Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan Mesir, yang menggariskan bahawa Syariah Islam adalah sumber utama undang-undang, menunjukkan bahawa Islam menganjurkan kesetaraan untuk semua tanpa memandang bangsa, agama dan kepercayaan. Beliau menegaskan bahawa tidak ada pemisahan antara agama dan negara dan keduanya bersepadu atas landasan yang sama.

Tentang ada yang menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin politik, Badie’ menolak yang beliau melihat dirinya seperti itu. Sebaliknya beliau memilih untuk menggambarkan dirinya sebagai berkhidmat untuk IM dan beliau terbuka kepada idea-idea sambil menekankan yang mekanisme utama gerakan itu terletak pada syura dan kesatuan keputusan dengan mengenepikan pandangan atau kepentingan peribadi.

Badie’ mengakhiri wawancaranya dengan berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dan Mesir yang telah memudahkan urusan perjalanannya menunaikan ibadah umrah ke Mekah dengan keluarga. Beliau menyatakan harapan semoga hal itu akan menjadi permulaan awal kepada suatu era yang akan meningkatkan interaksi bermakna dengan semua pembangkang politik dan yang akan menamatkan ketidakadilan yang dikenakan ke atas orang yang tak berdosa seperti Timbalan Mursyidul Am IM, Khairat Al-Shater dan teman-temannya yang disekat pembebasan mereka meskipun telah menghabiskan lebih separuh daripada tempoh hukuman. Pada saat ini mereka sedang menjalani hukuman penjara yang keras yang dikeluarkan oleh mahkamah tentera walaupun telah banyak kali dibebaskan oleh mahkamah awam.

Artikel asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=25949
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template