Sunday, August 8, 2010

Risalah Mursyid : Ulamak Umat dan Harapan yang didambakan

Risalah dari Dr. Mohammad Badie’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin (15 Julai 2010)

Segala puji-pujian hanya bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabatnya serta orang-orang yang mengikutinya sehingga hari Kiamat. 

Muslim dan Muslimah yang diRahmati  oleh Allah SWT,

Sesungguhnya ulamak mempunyai martabat yang tinggi dan kedudukan yang dihormati kerana mereka adalah golongan yang Allah SWT pilih dari kalangan hamba-Nya dan mereka mewarisi Kitab suci yang mulia penuh manfaat.

Firman Allah SWT (maksudnya):
“Kemudian Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami”. (Fatir: 32)

Firman Allah SWT lagi (maksudnya):
“Nescaya Allah akan mengangkat (derjat) orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa derjat”. (Al-Mujadalah: 11)

Tidak sama antara orang yang mengetahui (alim) dengan orang yang tidak mengetahui (jahil).

Firman Allah SWT (maksudnya):
“Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui”. (Az-Zumar: 9).

Allah SWT memuji para ulamak di dalam firman-Nya (maksudnya):
“Allah menyatakan bahawa tidak ada tuhan selain Dia. Dengan demikian pula para malaikat dan orang-orang yang berilmu yang menegakkan keadilan. Tidak ada tuhan selain Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Ali-Imran: 18)

Allah SWT telah memilih mereka untuk menjalankan tugas membimbing manusia mengenali jalan-jalan kehidupan di dunia dan akhirat. Allah telah menjadikan mereka sebagai pemimpin orang-orang yang bertakwa dan imam kepada umat Islam. Mereka adalah pengawal syariat dan agama. Mereka adalah pewaris para nabi.

Sabda Rasul saw (maksudnya):
“Sesungguhnya para ulamak adalah pewaris para nabi. Para nabi pula tidak meninggalkan wang dinar atau dirham tetapi mereka mewariskan ilmu. Oleh itu orang yang mengambilnya dia memperolehi keuntungan yang melimpah-limpah”.

Wahai para ulamak,

Anda adalah tiang seri Islam. Kewujudan anda menambahkan iman, membahagiakan di dua negeri (dunia dan akhirat), memakmurkan tanahair, mensejahterakan rakyat dan pemerintah serta membuatkan syaitan kecewa dan marah. Anda adalah pemisah antara yang halal dan haram, penunjuk kepada jalan yang betul. Andalah yang menyelesaikan pertikaian dan permusuhan yang berlaku sesama manusia. Allah SWT telah menghimpunkan kebaikan kepada anda ketika Allah memahamkan suatu ilmu tentang agama kepada anda.

Sabda Rasulullah SAW (maksudnya):
“Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan pastilah dia diberikan kefahaman tentang agama. Nama saya adalah Qasim(pembahagi), tetapi Allah-lah yang sebenarnya Pemberi dan Pembahagi (rezeki dan lain-lain). Umat ini akan terus tegak selama-lamanya di atas landasan Allah, tiada sesiapa yang mampu memudaratkannya sehingga datang ketentuan Allah SWT”.

Ulamak adalah jalan kesatuan Umat

Jikalau umat Islam telah terbahagi kepada pelbagai negara dan kerajaan, sementara setiap negara terpecah pula kepada pelbagai parti dan kumpulan hingga berlaku bermacam-macam persengketaan, maka ulamak mestilah berperanan dalam menyatukan umat. Ulamak mesti sedar betapa besarnya kewajipan ini. Kita sebagai umat Islam mesti bersatu sesama kita, memberi tumpuan kepada membina bukan meroboh, menghimpunkan bukan memecahkan, mendekatkan dan bukan menjauhkan. 

Pegangan kita adalah firman Allah (maksudnya):
“Dan berpegang teguhlah kamu dengan Agama Allah dan janganlah kamu bercerai-berai”. (Ali-Imran: 103)

Firman Allah SWT (maksudnya):
“Sungguh, (Agama tauhid) inilah agama kamu, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku”. (Al-Anbiya’: 92)

Tidak keterlaluan jika kita yakini formula terbaik yang dilaungkan oleh pelopor perubahan dan yang diseru oleh para pejuang pembaharuan, terutama Imam Hassan Al-Banna iaitu beliau berkata: “Kita saling tolong-menolong dalam perkara yang kita sepakati dan kita bertolak ansur dan berlapang dada dalam perkara yang kita perselisihkan kerana slogan kita dalam bertolak ansur dan bersaudara ialah: “Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara”.(Maksud Al-Hujurat: 10)

Imam Al-Banna menambah: “Perselisihan pendapat fekah dalam masalah furu’ bukan menjadi sebab berlaku perpecahan di dalam Agama dan tidaklah membawa kepada permusuhan dan kebencian kerana setiap ijtihad memperolehi pahala. Tiada halangan untuk membuat semakan ilmiah yang baik dalam masalah perselihan dalam suasana penuh kasih sayang kerana Allah dan tolong-menolong untuk sampai kepada kebenaran. Perbezaan pendapat tidak seharusnya mengheret kita kepada pertengkaran yang tercela dan taksub membabi buta. 

Kita mengharapkan para ulamak di seluruh pelosok dunia bersatu di bawah panji persatuan ulamak, yang menghimpunkan barisan mereka dan tidak mewakili mana-mana kumpulan, mazhab, Negara dan jamaah, tetapi hanya mewakili Islam semata-mata. Islam menyeru kepada perubahan, pembaharuan dan penyatuan. Janganlah hati-hati mereka berselisih sekalipun berbeza pendapat mereka kerana slogan mereka ialah: Perselisihan ulamak adalah rahmat yang luas dan kesepakatan ulamak pula adalah hujah yang bernas.
Ulamak dan peranan mereka di dalam menentang golongan perosak.

Sesungguhnya Islam adalah sistem hidup yang bersifat universal yang terbina di atas landasan akidah yang mantap. Sistem hidup Islam mampu memberi kebahagian kepada manusia sehingga hari Kiamat. Lantaran itu Islam mewajibkan perlantikan seorang ketua atau pemimpin yang akan melaksanakan seluruh sistem-sistemnya, menyebarkan akidahnya ke seluruh dunia serta memelihara kepentingan manusia berlandaskan ajarannya. Dan Islam mengekalkan hak umat dalam memuhasabah ketua yang diberi tanggungjawab melaksanakan urusan umat sekiranya dia cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya atau terseleweng dari hukum-hukum Islam, atau tersasar dari batasnnya atau tidak mengambil berat dalam menyebarkannya. Islam tidaklah sekadar menjadikan muhasabah ini sebagai satu pilihan untuk umat melaksanakannya atau tidak melaksanakannya, malah Islam menjadikan muhasabah ini sebagai tugas yang wajib. Bagi para ulamak pastilah kewajipan itu lebih besar lagi. 

Tugas muhasabah bagi ulamak adalah fardu ain, kerana mereka merupakan pemimpin umat yang sebenarnya, golongan manusia yang sedar dan penegak urusan agama, penyampai dan penyeru kepada hukum-hakam Islam. 

Firman Allah SWT(maksudnya):
“ Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Ali-Imran: 104)

Rasulullah SAW telah menyampaikan berita gembira kepada orang-orang yang mara menghadapi kezaliman dan menentang para penzalim, bahwa mereka tergolong pemimpin para syuhada’. 

Sabda Nabi saw (maksudnya):
“Penghulu para syuhada’ ialah Hamzah bin Abdul Mutalib, dan lelaki yang berhadapan dengan pemimpin yang zalim dengan menyuruh yang makruf dan menegah yang mungkar. Lalu dia dibunuh”.

Peranan ini menghendaki para ulamak – di peringkat Negara Islam dan dunia – supaya menjalankan tugas mereka secara ilmu, amali dan didikan yang berterusan. Mereka hendaklah berani mengatakan kebenaran tanpa takut dan bimbang. 

Firman Allah (maksudnya) :
“Iaitu orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepadaNya ,dan tidak merasa takut kepada sesiapapun selain kepada Allah”. (Al-Ahzab: 39)

Mereka menyampaikan risalah Islam kepada dunia dengan penuh yakin seperti ungkapan Imam Syafie:
Seandainya aku hidup, aku tidak akan kehabisan bekalan untuk dimakan (maksudnya rezeki dijamin oleh Allah SWT). Seandainya aku mati, pasti ada kubur untukku disemadi. Aku memiliki cita-cita tinggi seperti raja-raja.Jiwaku merdeka yang melihat sikap menghina diri itu sama dengan kekufuran!

Para ulamak hendaklah menjadikan agama mengatasi kehidupan dunia mereka, meletakkan permasalahan umat mengatasi kehendak pemerintah mereka. Justeru, janganlah ambil peduli apa jua yang menimpa di jalan Allah SWT. 

Ulamak al-Azhar adalah pemimpin bangsa dan jurucakap yang membela bangsa, mereka menghalang kezaliman dan menentang penguasa zalim kerana ulamak adalah pihak yang memimpin massa dan menyuarakan kebenaran untuk menegakkan pembaikan dan keadilan. Jiwa mereka tidak akan berasa tenang selagi kezaliman dan kekejaman tidak lenyap dan keadilan memperolehi kemenangan seperti yang mereka ingini. Ketika itu jiwa mereka boleh berehat dan berasa tenang seperti yang pernah dilakukan oleh Syeikh al-Anbaby seorang Syeikhul Azhar ketika Lord Cromer datang menemuinya. Beliau berjabat tangan dengan Lord Cromer sambil duduk. Lord Cromer berasa hairan dengan sikap Syeikh, lalu dia bertanya, bukankah anda berdiri menyambut Khedive? Syeikh menjawab: Ya! Kerana Khedive adalah ketua kami. Dan dia dari kalangan kami. Dan anda tidak sepertinya di sisi kami! 

Syeikh berkata demikian bukan kerana mahu mengampu Khedive, tetapi ia mempamerkan sikapnya, seorang alim yang berani. Beliau juga tidak gentar berdepan dengan Khedive Taufeeq dan pernah mengeluarkan fatwa supaya melucutkan jawatannya dan menyingkirkannya. 

Tidak jauh dari anda ialah seperti yang dipamerkan oleh Jamaah Ikhwan Muslimin dalam hal menasihati pemerintah dan berkata benar di hadapan penguasa yang zalim. Justeru sebahagian daripada mereka gugur syahid kerana menyuarakan kebenaran seperti Abdul Qadir Audah, Muhammad Faraughly dan Syed Qutb, dan puluhan yang lain yang syahid semasa di penjara tentera dan ribuan yang lain disiksa selama bertahun-tahun. Mereka tidak sekali-kali tunduk dengan tekanan dan berlembut dengan apa jua tawaran, malah apabila mereka keluar selepas di penjara puluhan tahun, mereka tetap meneruskan perjalanan dakwah kepada Allah dengan sedikitpun tidak merasa lemah dan putus asa di atas apa yang menimpa mereka. 

Benarlah Allah mengungkapkan di dalam firman-Nya (maksudnya):
“Di antara orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak mengubah janjinya”. (Al-Ahzab: 23)

Ulamak dan peranan mereka di dalam jihad pada jalan Allah 

Di antara kewajipan ulamak ialah berjihad pada jalan Allah dan menggesa umat supaya berjihad pada jalan Allah kerana mereka adalah pewaris para nabi. Di antara kewajipan mereka ialah sebagai contoh teladan dalam kesetiaan aku janji dengan Allah, berdasarkan firman Allah (maksudnya):
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar dari Allah di dalam Turat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih baik menepati janjinya selain Allah Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung”. (At-Taubah: 111)

Wahai para ulamak yang dihormati,

Peranan anda sangat besar dalam menggerakkan barisan para mujahidin menentang rejim Zionis dan agenda Zionis Amerika. Anda hendaklah menjadikan isu Palestin dan al-Quds sebagai isu asasi di dalam kehidupan anda kerana para ulamak selayaknya berada di barisan hadapan dalam jihad menentang penjajahan. Peranan Al-Azhar di dalam membangkitkan api perjuangan menentang Bangsa Perancis tidaklah jauh dari kita. Begitu juga peranan mereka yang besar di dalam jihad ke atas penjajah British dan Itali, malah ulamak juga telah memimpin barisan mujahidin dan sukarelawan yang keluar memerangi tentera Israel pada tahun 1948 ketika pengumuman tertegaknya Negara haram Israel. Ikhwan Muslimin turut memulakan dan menampilkan suara ulamak seperti Syekh as-Syahid Muhammad Faraghly, Dr. Mustafa As-Sibaie, Syekh Muhammad Mahmud as-Sowaff dan ramai lagi. Adakah di sana terdapat pengganti ulamak yang telah pergi?

Wahai para ulamak yang dimuliakan,

Sesungguhnya kita telah kehilangan beberapa orang ulamak tercinta yang bekerja, para mujahid yang jujur dan pendakwah yang ikhlas. Mereka telah memberikan kesan yang nyata di dalam mentarbiyyah generasi umat dan peranan yang jelas di dalam jihad pada jalan Allah. Pemergian mereka dari sisi kita merupakan kehilangan ilmu yang mereka dukungi. 

Daripada Abdullah bin Amru r.a dari Nabi SAW yang bersabda (maksudnya):
“Sesungguhnya Allah tidak melenyapkan ilmu dengan mencabutnya dari dada manusia, tetapi Allah melenyapkan dengan mematikan para ulamak. Ini kerana sekiranya tiada lagi orang alim pastilah orang jahil (bodoh) akan menambil tempat untuk menjadi ketua. Lalu bila mereka ditanya, mereka akan memberi fatwa tanpa ilmu. Dengan mereka sesat dan menyesatkan”.

Di dalam sebuah Athar:
“Kematian orang alim adalah bencana yang tidak dapat dielakkan dan lubang yang tidak mampu ditutupi seumpama bintang yang terpadam cahayanya. Kematian satu kabilah lebih mudah dari kematian seorang alim”. 

Sesungguhnya kewajipan anda wahai para ulamak ialah menutupi kekosongan ini dengan berjaga malam untuk mendalami ilmu agama dan tabah dalam memantapkan ilmu yang berguna serta bersabar menghadapi pelbagai kecaman ketika berkata benar. 

Allah SWT telah merahmati di kalangan ulamak kita yang mati, memuliakan ulamak yang menutupi kekosongan dengan menghabiskan usianya untuk mendalami ilmu, memuliakan mereka dengan ilmu yang berguna dan amal yang soleh. Semoga Allah memberi taufik kepada Yang Mulia Syeikhul Azhar agar mengembalikan Universiti Al-Azhar ke kedudukannya yang tinggi seperti dahulu dan penghormatan buat ulamak al-Azhar supaya mereka menjadi contoh teladan dalam ilmu, amal dan pimpinan umat dalam semua kebaikan, mencapai kemuliaan pada tangga yang tertinggi dan terulung. Dengan demikian hanya Allah yang memiliki kemuliaan. Allah tidaklah jauh dari kita. Allah menguasai atas semua perkara tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. 

Allah Maha Besar dan segala puji hanya bagi Allah SWT.

Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=67921&SecID=213
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template