Tuesday, September 6, 2011

Risalah Mursyid: Anugerah Ramadan


Perutusan dari Prof. Dr. Muhammad Badi’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin 25/8/2011

Segala puji bagi Allah, dan selawat dan salam kepada junjungan kita Rasulullah saw, dan selepasnya ..

Kebijaksanaan Allah yang Maha Adil telah menentukan bahawa setiap orang yang berusaha bersungguh-sungguh akan memperolehi habuannya, dan setiap amal yang soleh memperolehi ganjaran dari amalannya. Balasan kesabaran itu adalah kemenangan dan kelapangan "Sesungguhnya kemenangan bersama dengan kesabaran kerja," dan "bahawa tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Asy-Syarh: 6)

Seluruh umat Islam berpuasa pada bulan yang suci ini. Ramadhan tahun ini seumpama ‘makanan’ yang baru dan situasi yang menggembirakan, yang datang selepas Mesir dan Tunisia dan yang terakhir di Libya menikmati angin kebebasan dan musim bunga yang penuh kemuliaan. Masjid-masjid penuh dengan orang-orang yang rukuk dan sujud, dan meraikan malam-malamnya dengan iktikaf, bermabit dan bertilawah al-Quran, tanpa rasa takut adanya pemantauan atau intipan, serbuan, tangkapan dan serangan yang dahulunya pernah sampai tahap larangan dan penutupan masjid, sekatan ke atas imam-imam dan halangan daripada menghirup ilmu-ilmu mereka, terutama ke atas golongan yang berani menyatakan kebenaran dalam menghadapi kepalsuan ke atas semua negara-negara ini.

“Adakah mereka semua telah berpesan-pesan (dan mencapai kata sepakat) untuk melemparkan tuduhan itu ? (Sudah tentu mereka tidak dapat berbuat demikian), bahkan mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas (dalam keingkarannya).” (Az-Zariyat: 53)

Inilah bangsa yang suci murni kembali kepada Tuhan dengan perasaan rindu dan cinta, selepas terlerai ikatannya, dan terburai belenggu kekejaman, malah terhumban para pemimpin rejim diktator ke dalam penjara; supaya mereka menerima pembalasan yang setimpal akibat daripada jenayah dan pengkhianatan hak rakyat dan negara mereka.

Inilah bangsa yang diumumkan identiti dan keasliannya .. bangsa yang diangkat dan ditinggikan oleh Islam, dimuliakan dan disatukan, dan dicelup dengan celupan yang termahal, tertinggi dan terunggul:

“Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat." (Al-Baqarah: 138).

Ramadan telah datang tahun ini adalah untuk mengingatkan umat tentang identiti dan kesatuannya, dan telah bersatu di dalam ibadah puasa – sama juga ketika berhimpun di hadapan juadah berbuka – semua kelompok-kelompok umat, biarpun berbeza pandangan dan berlainan ideologi .. Tetapi semuanya hanya taatkan Allah, sama dalam ibadah dan penyembahan, hidup harmoni dengan jirannya dan turut serta dalam setiap isu di tanah air, masa depan dan kesudahan.

Tiba sepuluh hari terakhir. Semua orang berusaha meningkatkan ibadahnya supaya tercapai kesudahan yang baik dan memperolehi malam yang lebih baik daripada seumur hidup, iaitu malam Lailatul-Qadar:

“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr: 2.3).

Inilah kita berhimpun hari ini untuk berdoa kepada Allah untuk diri kita, keluarga kita dan orang yang kita sayangi, negara kita dan bangsa kita, bahkan untuk semua manusia, supaya Allah memberi rahmat kepada makhluk-makhluk dan hamba-hamba-Nya, dan menunjukkan mereka jalan-jalan yang betul, dan menolong kita untuk memperbaiki apa yang telah dirosakkan oleh golongan perosak dan apa yang dimusnahkan oleh para rejim dictator.

Selepas itu tiba hari raya sebagai hari anugerah, hari yang Allah sempurnakan ganjaran kepada hamba yang bersungguh-sungguh dan ikhlas, para mujahidin di jalan Allah, dan para amilin yang bekerja untuk kemajuan negara, dan para pereka dan pencipta untuk membawa kebahagiaan ke atas rumah-rumah penduduk, dan melalui zakat fitrah akan menghilangkan kesakitan, dan mengatasi kehausan, dan menceriakan kehidupan .. Hari raya adalah hari anugerah, hari Eid dan hari bergembira:

Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)". (Yunus: 58),

Kegembiraan ini tidak akan dirasai melainkan hanya orang yang ikhlas kepada Allah dalam beribadah, menyempurnakan ‘tawajuh’ kepada Pencipta dengan beramal dan berusaha bersungguh-sungguh, dan menanggung kesusahan dan kesukaran dengan sabar dan mengharapkan keredhaan Allah:

“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya (nanti).” (Bukhari & Muslim)

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu yang diberi nama Ar Rayyan, pada hari qiamat nanti, orang-orang yang berpuasa akan melaluinya, dan dilarang masuk selain daripada mereka, dan jika mereka semua sudah masuk maka pintu itu akan ditutup.” (Bukhari, Muslim, Turmizi & An Nasa’i)" .

Kini tiba untuk kita katakan bersama Rasulullah saw: "Kehausan telah hilang, dan peluh telah kering dan pastilah pahala untuk kita, insya-Allah."

Kita akan katakan di negara kita selepas dibebaskan dan dibersihkan dirinya: Telah pergi ketidakadilan, penindasan, penghinaan dan perhambaan, dan kita menghirup sumber mata air “Salsabil” kemuliaan dan kebebasan, dan kita akan mengambil ganjaran kita dan ganjaran para syuhada’kita dibayar dengan darah mereka yang suci .. Sebuah kehidupan yang bebas, kehormatan yang mulia dan kedudukan yang tinggi.

Manakala para syuhada, mereka merupakan orang-orang yang dipilih oleh Allah, mereka kini berada di atas makam tertinggi:

“Mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Al-Imran: ayat 169),

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai, Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.” (Al-Qamar: 54-55),

Kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita menjejaki mereka, dan menghimpunkan kita bersama-sama mereka selepas kita menyempurnakan kerja-kerja mereka, dan menuai hasil kerja mereka, dengan memperolehi kesejahteraan dan pembaharuan di dunia ini dan kebahagiaan tempat tinggal di akhirat.

Janganlah lupa kita berada dalam kegembiraan di hari raya .. Kegembiraan menikmati sumber mata air selepas dahaga dan kebebasan selepas dibelengu .. Ada bangsa yang masih berjuang untuk mendapatkan kebebasan mereka, dan memusnahkan belengu dan ikatan mereka, dan mengembalikan maruah mereka; di Syria yang berjuang dan Yaman yang berjihad, yang semakin hampir dengan berita kemenangan, dan Palestin yang tercinta, pusat jihad umat, dan menjadi punca yang akan menerbitkan cahaya dari masjid al-Aqsa dalam keadaan telah kembali ke tangan umat selepas sekian lama menunggu:

“Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku), Sedang Kami memandangnya dekat, (tetap akan berlaku).” (Al- Ma'arij: 6.7)

“dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janji-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Ar-Rom :4-6).
Jangan lupa, ketika kita berada dalam kegembiraan dan kemeriahan hari raya, saudara-saudara kita menanggung lapar dan dahaga di Somalia dan tempat lain. Kita tahu bahawa membantu dan menolong mereka adalah satu amanah di tengkuk kita. Tidak lengkap kegembiraan kita sehingga kelaparan mereka telah kenyang, kehausan mereka telah hilang dan keperluan tempat tinggal mereka telah dipenuhi.

“Sesungguhnya ugama Islam inilah ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” (Al-Anbiya’: 92)

Bandingan orang-orang mukmin sesama mereka dalam berkasih sayang, hormat menghormati dan saling bersimpati dan saling bersimpati di antara mereka adalah seperti tubuh yang satu. Apabila satu anggota tubuhnya mengadu sakit maka semua anggota tubuh itu turut merasa sakit dengan berjaga malam (tak tidur) dan demam.” (HR. Muttafaqun Alaih)

Semoga setiap tahun anda dalam kebaikan. Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan anda. Justeru, hari ini adalah hari kepujian, kesyukuran, pengetahuan dan keceriaan, tasbih dan takbir:

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah:185),

Iaitu hari yang dijanjikan untuk bekerja, keteguhan hati dan perjuangan untuk mencapai tambahan nikmat:

“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu.” (Ibrahim: 7).

Ya Allah, selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad, keluarganya dan parasa sahabatnya.
Allah Maha Besar .. Allah Maha besar ..Segala puji hanya bagi Allah.

http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=90105
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template