Kaherah: Konvoi "Penyelamat Nyawa" yang dianjurkan oleh "Viva Palestin" dan diketuai oleh MP British terkenal George Galloway mula bergerak dari Pelabuhan El Arish menuju ke pintu laluan Rafah pada hari Rabu selepas pertengkaran sepanjang hari di antara penganjur Konvoi dan pasukan keselamatan Mesir. Mereka dalam perjalanan ke Semenanjung Gaza.
Konvoi sedang membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin termasuk 158 kenderaan yang membawa bantuan kemanusiaan, ubat-ubatan dan peralatan perubatan.
Mesir memutuskan untuk membuka laluan Rafah pada hari Khamis selepas konvoi melepasi laluan itu pada hari Rabu dalam perjalanan ke Semenanjung Gaza.
Keganasan meletus pada petang Rabu di sempadan Mesir, selepas beberapa penunjuk perasaan Palestin dan penyokong konvoi melontar batu dan menembak ke arah pasukan keselamatan Mesir, menyebabkan 17 pegawai polis Mesir tercedera dan mengorbankan seorang pegawai dari Beni-Sueif bernama Ahmed Shaaban. Tunjuk perasaan itu dianjurkan oleh gerakan Islam Hamas.
Pihak keselamatan Mesir menahan 7 orang daripada peserta yang terlibat dalam peristiwa itu. Mereka terdiri dari pelbagai kerakyatan, termasuk seorang warga Amerika, dua Turki, dua British, seorang Malaysia dan seorang Kuwait. Mereka yang ditahan telah dirujuk ke pihak pendakwa untuk siasatan lanjut.
55 orang mengalami kecederaan pada petang Selasa di bandar El Arish, 50 batu dari sempadan dengan Gaza, dalam pertempuran antara polis Mesir dan aktivis pro-Palestin yang terlibat dalam konvoi "menyelamatkan nyawa" itu.
Konvoi yang membawa bantuan ke Semenanjung Gaza tiba di El Arish pada hari Isnin, tetapi dihalang dari bergerak ke Gaza disebabkan perbezaan yang timbul antara penganjur dan pihak berkuasa yang enggan membenarkan 59 trak untuk masuk.
Satu sumber pihak keselamatan Mesir di Rafah menyebut lewat semalam bahawa kenderaan dalam konvoi mula bergerak dalam kumpulan dalam perjalanan mereka menuju El Arish selepas persetujuan dicapai di antara pasukan penguasa Mesir dan pengawal untuk menahan 40 kenderaan di El Arish sehingga persetujuan lanjut untuk menyeberangi laluan dicapai.
Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=22548