Sunday, January 31, 2010

Salam penghormatan buat Mantan Mursyid Am

Selasa. 26 Januari 2010 19:36

Kemunculan pertama mantan Mursyid Am bagi IM Ustaz Mahdi Akif di khalayak ramai, saya lihat dua hari yang lalu ketika beliau menghadiri Seminar Kesusasteraan di Dewan Ihsan Abdul Qudus di bangunan Kesatuan Media.

Saya memerhatikan beliau dari masa ke semasa. Saya perhatikan pada riak wajahnya suatu yang cukup mengkagumkan saya tentang tumpuan dan keprihatinan beliau terhadap ucapan dan pandangan para hadirin dalam majlis tersebut. Dari awal majlis hingga selesai yang memakan masa hingga dua jam, beliau mendengar dengan khusyuk setiap pandangan dan ucapan para penceramah yang terdiri dari sasterawan, wartawan, ahli politik dan pakar sejarawan. Beliau turut menyaksikan filem dokumentari tentang Ihsan ( seorang sasterawan), dan mengikuti penyampaian hadiah kepada para pemenang hadiah sastera oleh Menteri kebudayaan, Faruq Husni. Kemudian beliau keluar secara perlahan sambil mengangkat dan melambaikan dua tangannya seperti seorang pahlawan yang menang dalam pertarungan, tanpa saingan, tanpa pengawal (body guard) yang mengiring. Ketika saya mengucap salam kepadanya, beliau melemparkan senyuman kepada saya seperti apa yang dilakukan seorang sahabat kepada sahabatnya. Saya berkata kepadanya dengan perasaan kagum: betapa indahnya peralihan kepimpinan yang baru berlangsung wahai mursyid yang mulia! Lalu beliau ketawa dan tidak membalasnya.

Ketika saya perhatikan peribadi mantan mursyid ini, saya melihat suatu sahsiah insan yang natural dan bersahaja. Justeru, saya dapat mengerti mengapa kita sentiasa kagum terhadap orang-orang yang memiliki keinginan dan keupayaan untuk melepaskan kedudukannya sekalipun mendapat pelbagai tekanan agar mereka terus berada di situ hingga ke penghujung usia.

Beliau sebenarnya bukanlah meninggalkan tanggungjawab tetapi sekadar mengundur dari jawatan. Kami di Mesir tidak pernah melihat perkara yang sedemikian kecuali dalam keadaan luar biasa. Kerana itu timbul fitnah apabila segolongan kecil menunjukkan contoh meninggalkan jawatan apabila telah tamat tempoh atau sumbangan telah berkurangan. Maka dia meninggalkan kerusi empuknya, kerusi yang mampu menjadikan manusia yang melabuhkan punggung di atasnya merasa seolah-olah telah menjadi tuhan dan burung merak yang sombong angkuh dek kecantikan bulunya. Dengan bertambah panjangnya masa seseorang pemimpin itu bertakhta di atas kerusinya, semakin suburlah peranan para pengampu yang mengambil kesempatan meraih keuntungan daripada kuasa yang ada. Para kroni dan penyokong mengambil alih kuasa perlembagaan, undang-undang dan enakmen-enakmen supaya kekuasaan pemerintah berterusan hingga ke nafas terakhir.

Perubahan pucuk pimpinan yang sepatutnya berlaku dan merupakan sunnah kehidupan dimasukkan ke dalam kubur, ditanam dalam lubang masa depan yang tidak boleh dipandang!
Kita tidak perlu melihat contoh dari luar Mesir seperti wira Afrika Nelson Mendela atau presiden Sudan Siwar Zuhab. Kita juga tidak perlu melihat contoh kehebatan tokoh-tokoh di Asia, Afika atau Eropa.

Tetapi marilah kita perhatikan dengan lebih mendalam keadaan mantan Mursyid sesudah diringankan dari bebanan jawatannya sebagai tempat rujukan umum kepada jamaah. Beliau telah berubah serta merta dari seorang lelaki tua kepada pemuda yang tangkas dan cergas. Beliau telah memakai pakaian kehebatan yang baru, kehebatan seorang yang tidak mahu terus memegang kuasa dan tidak ingin menikmati kedudukan istimewa sebagai ketua.

Sesungguhnya beliau telah bermati-matian menolak segala percubaan untuk mengekalkannya di kerusi mursyid. Ini merupakan suatu keadaan luar biasa bagi kami kerana pada kebiasaannya pemimpin mencari jalan untuk kekal, bukan mencari jalan untuk berundur.
Lantaran itu setelah turun dari jawatannya, beliau mula menjalani kehidupan seperti manusia biasa, bahagia dan ceria menikmati rezeki yang ada. Beliau yakin bahawa sumbangannya kepada jamaah akan lebih bermakna dan lebih banyak manfaatnya dengan kedudukannya yang baru ini. Beliau akan meraih thiqah daripada ahli kerana terbukti kezuhudan dan tidak ada padanya perasaan tamakkan kuasa.

Beliau juga menjadi sumber ilham kepada orang yang datang selepasnya sesudah dia membuktikan slogan perubahan yang dilaungkannya dan membebaskan dirinya dari fitnah berperap di atas kerusi sebagai ketua, fitnah yang hampir-hampir tidak ada orang yang terselamat daripadanya di bumi Mesir ini.
Maka salam penghormatan buat pemimpin perubahan daripada seorang penulis yang berbeza pandangan dengannya dari segi ukuran prestasi, tetapi mengiktiraf keunggulan peribadi. Dulu saya pernah mengkritik kepemimpinannya sebagai mursyid, sekarang saya menundukkan kepala saya kepadanya. Dia adalah contoh seorang mas’ul yang boleh dipertanggungjawabkan.


Oleh: Izazi Ali Izazi
http://www.ikhwanonline.com


 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template