Sunday, March 6, 2011

Ikhwan Muslimun - Berdiri Sendirian dalam Lautan Ideologi

Juma’at, Mac 4, 2011

Selama bertahun-tahun Ikhwan Muslimun mendominasi daerah-daerah miskin di Alexandria dan Kaherah dan kini, di Mesir dalam era pasca-Mubarak, mereka mengambil langkah-langkah untuk menjadi sebuah parti rasmi.

Ketika dunia masih bingung tentang pelbagai ideologi Islam dan kumpulan manakah yang mewakili pemahaman dan pendekatan tertentu terhadap Islam, hakikat bahawa IM mempertahankan suatu identiti 'Islam' masih menimbulkan ketakutan ramai di Barat.

Konsep ideologi Islam adalah satu tajuk yang masih diperdebatkan, tetapi yang pasti pemuda-pemuda dalam Revolusi Mesir – ramai antaranya mewakili IM – dianggap sederhana meskipun oleh pemikir Barat.

IM menyeru dan mengajar cara-cara perubahan damai, memanfaatkan sistem demokrasi dan peningkatan kesedaran. Dari mentaliti ini muncul orang-orang muda yang sangat sedar tentang keadaan negara mereka, wilayah mereka dan apa yang perlu dilakukan untuk memperbetulkan kerosakan yang disebabkan oleh salah urus dan pengabaian oleh rejim pemerintah selama berdekad-dekad lamanya.

Ramai aktivis muda melihat bahawa perkara pertama yang harus dilakukan oleh Mesir di bawah pemerintahan demokratik adalah untuk memutuskan semua hubungan dengan Israel kerana mereka melihat bahawa hal ini telah menyebabkan kehancuran mereka dan bahawa Mubarak pada asasnya hanyalah agen Israel. Ramai juga melihat bahawa Amerika adalah sama dan serupa seperti Israel, sekiranya mereka menyimpan niat buruk terhadap Mesir. Pemuda Mesir tidak mahu bantuan dari siapapun, mereka hanya ingin negara lain tidak mengganggu mereka, dan mereka yakin bahawa mereka boleh mengurusnya sendiri.

Seperti negara demokrasi lain di dunia, rakyat Mesir mahukan hak untuk memilih siapa yang mereka akan sokong, berkawan dan menyekutukan diri dengan siapa sahaja. Dan, mereka memilih untuk tidak berkawan dengan Israel. Namun, meskipun wujud perbezaan pendapat di kalangan umat Islam tentang masalah ini, pemimpin Ikhwan Muslimun telah menolak kekerasan dan menyokong reformasi demokratik, dan telah mengisytiharkan bahawa mereka akan menyokong perjanjian keamanan yang sedia ada di Mesir, termasuk yang dibuat pada tahun 1979 dengan Israel.

Mantan presiden, Hosni Mubarak menggunakan kehadiran IM dan kebimbangan Barat terhadap Islam untuk menekan IM selama beberapa dekad, dan menjadikannya sebagai alasan kepada kerajaan autoritariannya. Protes damai yang bermula pada 25 Januari 2011, bagaimanapun, adalah bukti jelas yang Mubarak salah, dan bahawa Barat tidak perlu takut kepada dasar Islam yang diwakili oleh gerakan IM.

Mempercayai persepsi yang baru mereka temui terhadap IM dan menyedari mereka telah ditipu oleh Mubarak, Barat sekarang bersedia untuk memperakui kewujudan IM yang telah berperanan sekian lama dan memberanikan diri mereka terhadap peranan yang akan dimainkan mereka dengan Mesir baru.
Pada titik inilah agama dan negara bertindih. Pihak tentera dalam era Mesir pasca Mubarak telah menunjukkan keyakinan pada kemampuan Ikhwan untuk membuat analisis dan perubahan fundamental, dan atas sebab itu telah menawarkan IM untuk duduk dalam jawatankuasa menyemak semula Perlembagaan. Jawatan ini telah dipenuhi oleh seorang ahli politik IM yang terkenal, Sobhi Saleh, peguam dari Alexandria.

Sebahagian orang Mesir melihat bahawa Mesir sekarang mengikuti undang-undang Perancis, dan ini dipandang sebagai tinggalan zaman penjajahan Perancis. Dengan bermulanya politik baru di Mesir sebahagian rakyat Mesir lebih suka untuk melihat pelaksanaan literal Syariah sebagai sarana pengurangan kegiatan jenayah secara membina.

Pada masa yang sama, Mesir mahu membentuk parti politik dalam suatu masyarakat pluralis. Mesir menginginkan kebebasan politik mereka dan hak-hak untuk memilih sistem politik. Wujud perbezaan pendapat di seluruh dunia Muslim mengenai pelbagai isu.

Salah satu contohnya adalah bagaimana undang-undang Islam harus dilaksanakan dan peranan wanita. IM sama sekali tidak menolak wanita berperanan di peringkat tinggi dalam struktur politik; mereka boleh menjadi timbalan presiden atau perdana menteri tetapi, IM menambah, mereka tidak boleh menjadi presiden kerana peranan ini memerlukan ia mengimamkan solat dan menyampaikan khutbah Jumaat.

Ini adalah pendapat yang banyak dipegang di dunia Muslim, bukan hanya di Mesir sahaja dan ia disokong oleh ramai kaum lelaki dan wanita. Dalam masyarakat awam yang penduduk majoritinya Muslim, jika majoriti mengundi dan memutuskan apa yang mereka anggap terbaik bagi diri mereka sendiri, peranan yang tak jelas antara presiden dan pemimpin solat, antara peranan awam dan keagamaan akan menjadi semakin tidak relevan jika ia didasarkan kepada kehendak dan pilihan rakyat yang bebas.

Di mata Barat ini mungkin bererti sekatan kebebasan. Namun, IM bertegas bahawa ia tidak mahu menggantikan satu kediktatoran dengan yang lain berupa kediktatoran agama.

Banyak aktivis muda Mesir yang berjuang untuk revolusi di jalan-jalan bersama penunjuk perasaan liberal dan sekular melihat Turki sebagai model utama mereka, sebuah negara yang kelihatan kepada mereka telah memenuhi potensi ekonomi dan strategik di bawah pemerintahan Muslim yang dibanggakan. Ia sekutu kepada Barat tetapi bukan budak suruhan Barat. Dengan resolusi yang kuat mereka tidak mahu dihakimi sehingga mereka telah diberikan peluang untuk menunjukkan kepada dunia jenis masyarakat dan pemerintah yang mereka inginkan.

Walaupun Barat bimbang kepada rejim Islam seperti Iran, Mesir - termasuk IM - sangat berbeza dan tidak akan sekali-kali berdiri untuk kerajaan seperti Iran.

Artikel asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28155
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template