Sunday, August 21, 2011

IM Desak Mesir kaji semula Dasar Luar terhadap Israel selepas serangan di sempadan


Ahad, Ogos 21 2011

Berikutan serangan agresif Israel yang mengakibatkan kematian askar Mesir di sempadan, Ikhwan Muslimun mengeluarkan satu kenyataan pada hari Ahad menuntut supaya Duta Besar Israel diusir dari Mesir dan Duta Besar Mesir di Tel Aviv dipanggil balik. Kenyataan itu juga menggesa supaya perjanjian damai dikaji semula dan agar autonomi Sinai dipulihkan sepenuhnya.

Kenyataan itu menegaskan bahawa Mesir berbeza selepas revolusi, dan jenayah seperti itu tidak akan dibiarkan tanpa sebarang tindakan seperti yang mungkin berlaku di bawah rejim lepas.

Kenyataan IM itu memberitahu Israel bahawa mereka silap jika menganggap yang tentera Mesir terlalu sibuk dengan politik dalaman, atau jika kuasa-kuasa politik di Mesir begitu berpecah dalam pandangan mereka sehingga mereka akan membiarkan begitu sahaja sebarang serangan lanjut. Semua rakyat Mesir, tanpa mengira perbezaan ideologi, telahpun dan sentiasa akan bersatu sesama mereka dan juga dengan tentera, dan sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pencerobohan terhadap negara mereka. "Rakyat Mesir bersedia untuk melawan dan mempertahankan tanah air dan anak bangsa mereka," kenyataan itu menambah.

IM menolak kenyataan Setiausaha Negara AS, Hilary Clinton yang menggesa Mesir untuk mengawasi sempadannya, dan menyifatnya sebagai campur tangan yang tidak boleh diterima dalam hal ehwal Mesir. Ia menambah bahawa Mesir tahu bagaimana untuk melindungi tanah dan rakyatnya.

Mengakhiri kenyataan itu IM menyeru majlis tentera untuk menyerahkan kuasa secepat mungkin supaya ia boleh memberi tumpuan kepada peranan asalnya membentengi keselamatan negara, manakala pada pihak polis pula memikul tanggungjawab dalam melindungi dan memulihkan ketenteraman.

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=28955
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template