Friday, October 7, 2011

Hamas: Cubaan Abbas di PBB Hanya Fantasi dan Ilusi

Sabtu  24 September, 2011

Osama Hamdan, Ketua Jabatan Perhubungan Antarabangsa Pergerakan Hamas menegaskan bahawa penolakan pergerakan itu terhadap cubaan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas, yang mengusulkan pembentukan negara Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini adalah kerana ia terperangkap dalam konteks inisiatif yang disebut, kononnya, sebagai ‘proses damai’, yang jauh menyimpang daripada asas rujukan Palestin, serta mengabaikan hak pelarian Palestin untuk kembali ke rumah dan tanah air mereka.

Hamdan menganggap cubaan di PBB itu hanya sebagai helah politik yang boleh dibuat pada bila-bila masa, sambil enggan menggelarnya 'Hak (atau Kelayakan) September' (September Entitlement). Beliau berkata, mereka memanggilnya 'Hak' kerana ia dikaitkan dengan ‘proses damai’ caturan AS/Israel. Hakikatnya, musuh Zionis yang mengemukakan tuntutan, sedangkan perunding Palestin tidak mampu berbuat apa-apa sama sekali. "Oleh itu, ia telah dibesar-besarkan dan disebut sebagai 'Hak' dengan harapan ia akan memberikan sedikit ruang kepada kumpulan perunding Palestin."

"Hamas tidak mempunyai masalah dengan penggunaan kaedah diplomatik untuk mempertahankan hak dan prinsip-prinsip Palestin. Hamas percaya bahawa perjuangan pembebasan Palestin harus membawa kepada tanah air yang bebas buat rakyat Palestin, yang mesti mendapatkan semula tanah mereka dan menubuhkan kerajaan mereka yang berdaulat sepenuhnya di atas tanah air mereka yang telah dibebaskan. Bagaimanapun, penolakan Pergerakan mereka adalah berdasarkan kepada beberapa sebab," tambah beliau.

"Cubaan ini terperangkap dalam konteks permainan ‘proses damai’ dan tidak menjawab isu penaklukan, seperti yang disahkan oleh kata-kata Abu Mazen sendiri: “Kami akan menuju ke PBB, kemudian kembali ke meja rundingan.” Beliau berharap langkah itu akan menghasilkan anjakan dalam proses rundingan, untuk menaikkan kuasa rundingannya. Hal ini jelas kerana, selepas ucapan yang diberikan oleh Obama dan Sarkozy, Nabil Shaath berkata: “Kami bersedia untuk memberikan masa untuk komunikasi antarabangsa.” Jadi, isunya bukan mengenai 'negara' tetapi bertujuan untuk menolak proses rundingan ke hadapan sedangkan langkah itu terbukti sia-sia sejak lebih dua puluh tahun yang lalu," beliau menjelaskan.

Sebab kedua bagi penolakan itu, Hamdan menambah, ialah kerana: "langkah itu adalah sesuatu yang asing dalam konteks persefahaman Palestin seperti yang dipersetujui di Kaherah selepas perjanjian perdamaian ditandatangani, malah sebelum itu lagi. Abu Mazen tidak berunding dengan Majlis Pusat mahupun PLO mengenai langkah beliau. Sebaliknya, beliau membuat keputusan sendiri dan hanya meminta Majlis Pusat untuk menerima rancangannya."

Hamdan menjelaskan lagi: "Dalam pandangan yang lebih umum, langkah ini akan membuka pintu kepada beberapa masalah dan persoalan asas dan prinsip seperti hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah dan rumah mereka, yang darinya mereka telah diusir. Jelas bahawa pasukan rundingan tidak pernah memikirkan isu-isu ini, atau mungkin juga pernah mempertimbangkannya - kemudian memutuskan untuk tidak mengendahkannya. Sebagai contoh, apabila pemimpin pasukan ini ditanya tentang masa depan PLO, jawapan beliau ialah ia boleh berubah menjadi sesuatu badan seperti Agensi Yahudi, yang terkenal dengan hubungan sosial, manakala kuasa politik adalah domain kerajaan, dan kekal di bawah entiti Zionis."

Beliau menegaskan bahawa Pergerakan ini tidak menolak 'negara Palestin' per se, tetapi mereka hanya menolak pendekatan Abu Mazen, "kerana negara hanya boleh ditubuhkan selepas ia dibebaskan. Negara bukan sekadar cakap kosong. Malah, sebuah negara telah diumumkan pada tahun 1988 lagi, tetapi nilai politiknya sifar. Kami menentang usaha yang hanya mengulit fantasi dan ilusi, kerana ia menghabiskan tenaga rakyat Palestin, dari segi moral dan material. Ia meletihkan rakyat dari segi moral melalui longgokan kekecewaan yang terkumpul ke atas mereka. Dan ia meletih dan merugikan mereka secara material kerana setiap langkah dalam proses rundingan sebelum ini telah disertakan dengan pelepasan hak atau tanah di peringkat nasional."

Hamdan mengakhiri dengan menegaskan bahawa: "tiada apa yang akan berubah selepas September: masih ada tentera/kuasa penakluk di Palestin, yang hanya boleh dikeluarkan dengan kekuasaan. Pandangan AS terbukti melalui ucapan Obama, dan pertaruhan di pentas antarabangsa tidak mungkin berhasil tanpa prestasi yang kukuh secara praktikal di lapangan bagi meyakinkan musuh dan penyokong-penyokongnya bahawa penerusan penjajahan bukan suatu pilihan dan semestinya ia tidak akan dibiarkan."

http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=29061
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template