Isnin, 8 Mac 8, 2010
Perdana Menteri Turki Recep Erdogan menekankan bahawa masjid-masjid di Palestin yang dijajah, terutama sekali Masjid al-Aqsa, tidak pernah dan tidak sama sekali akan menjadi sebahagian daripada warisan Yahudi. Sebaliknya mereka adalah tempat-tempat suci Islam sejak dahulu.
"Baru-baru ini, ada beberapa keputusan sehala Israel yang tidak boleh kita terima sama sekali," Erdogan memberitahu satu delegasi wartawan Palestin di Istanbul. "Kami telah menolak keputusan Israel mengenai warisan Yahudi. Bangunan-bangunan tersebut adalah masjid dan tidak boleh dengan cara apa pun menjadi warisan Israel," tambahnya.
Perdana Menteri Turki itu menegaskan bahawa masalah Palestin adalah juga agenda Turki yang tidak akan dilupakan daripada agendanya walaupun untuk satu hari. "Saya mahu anda memahaminya dengan baik bahawa anda mempunyai seorang teman dan penyokong, iaitu Turki, yang selalu mengangkat suaranya pada pertemuan-pertemuan antarabangsa untuk menyokong hak-hak Palestin, dan kami akan sentiasa bersedia untuk bertindak dengan cara ini," pesan Perdana Menteri itu kepada rakyat Palestin.
Perdana Menteri itu juga mendesak Israel supaya menamatkan kepungan yang tidak adil ke atas Semenanjung Gaza dan menamatkan penderitaan kemanusiaan rakyatnya. "Ada satu ungkapan yang ingin saya katakan dengan jelas, saya tidak meminta untuk ditamatkan pengepungan di Semenanjung Gaza kerana saya Muslim, tetapi tugas saya sebagai manusia yang bertanggung jawab menuntut saya berbuat begitu."
"Sangat tidak masuk akal bahawa setahun selepas perang di Semenanjung Gaza, terdapat lima ribu keluarga Palestin yang masih tinggal dalam khemah," tegasnya. Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=23598