Fenomena Islam Mesir
Artikel asal dari Ikhwanweb http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=21883
Dalam dua puluh tahun kebelakangan, Mesir telah menyaksikan kemunculan fenomena Islam sejagat yang terserlah dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Mesir.
Ahad, November 29, 2009
Oleh: Dia’a Rashwan.
Dalam dua puluh tahun kebelakangan, Mesir telah menyaksikan kemunculan fenomena Islam sejagat yang manifestasinya dapat dilihat dengan jelas dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Mesir. Ia telah dijadikan bahan dalam pelbagai kajian dan rencana dengan menggunakan perbagai istilah untuk memperihalkannya. Ia kelihatan sinonim dengan fenomena Islam secara keseluruhannya.
Trend Islam di Mesir sebenarnya tampak lebih luas dan rumit daripada takrifan ringkas ini. Ia merangkumi banyak fenomena cabang lain yang tidak semestinya mempunyai sifat atau ciri yang sama. Ia berbeza dengan pergerakan-pergerakan Islam lain dari segi hubung kaitnya dengan politik.
Ia terdiri daripada empat sub-fenomena yang tidak melibatkan apa yang dirujuk sebagai persepsi kerajaan tentang “Islam rasmi” yang mewakili institusi-institusi utama milik negara beserta pengaruhnya yang besar dalam masyarakat. Al-Azhar berada di kedudukan paling hadapan bersama-sama kesemua fakulti dan institusinya disamping Kementerian Wakaf termasuk pentadbiran, puluhan ribu masjid di serata negara serta projek sosial dan ekonomi lain kepunyaannya.
Sub-fenomena pertama boleh digelar “Islam sosial", yang dilihat sebagai sebahagian fenomena kebangkitan agama yang melanda banyak masyarakat Muslim di serata dunia termasuk Mesir pada suku abad terakhir. Ini bermakna fenomena itu telah menjadi trend umum dalam masyarakat Mesir, terutama di kalangan kategori kelas pertengahan yang pelbagai, serta segmen-segmen kelas rendah dan atas yang berlumba-lumba ke arah peningkatan pengabdian, akhlak dan agama. Hal ini telah diliputi oleh kajian dan penerbitan yang banyak mengenai fenomena ini pada tahun-tahun terdekat.
Dua ulasan utama berkaitan fenomena sosiologi berkaitan kebangkitan agama boleh diutarakan di sini: pertama, fenomena sosiologi bertambahnya penghayatan agama ini tidak semestinya berkait dengan trend wujudnya kecenderungan sokongan politik terhadap gerakan-gerakan politik Islam. Malah, ia tidak semestinya membayangkan populariti mereka dalam masyarakat Muslim.
Jelasnya, mereka yang mengamalkan ajaran seperti memakai purdah atau mengerjakan solat di masjid atau memiliki dan membeli buku, pita atau CD agama tidak semestinya berminat dalam proses politik atau kepada kumpulan-kumpulan politik pro-Islam yang terkenal di Mesir seperti Ikhwan Muslimun.
Kaitan mereka dengan politik pada umumnya sama dengan kebanyakan penduduk Mesir yang tidak mencampurkan politik dengan agama.
Walau bagaimanapun, kadar kewarakan sosial tidak boleh diabaikan tetapi tidak pula boleh ditunjukkan dengan jelas meskipun terdapat kecenderungan pada umumnya untuk mengundi Ikhwan Muslimun dalam pilihan raya pelajar dan kesatuan pekerja kerana mereka lebih memberikan perhatian kepada kerja politik berbanding rakan sejawat mereka dari kalangan yang tidak ‘cenderung agama’ secara sosiologi dari kelas yang sama.
Pengamatan kedua berkaitan perilaku dan nilai sosial yang menonjol di kalangan kumpulan agama tertentu yang berpegang kepada manifestasi luaran agama terutamanya dalam berpakaian. Walau bagaimanapun ini tidak semestinya bermakna mereka konservatif dari segi sosial dan agama.
Berikut adalah penjelasan yang paling munasabah bagi pegangan kepada fenomena “keagamaan luaran” yang berkaitan dengan proses psikologi sosial yang kompleks termasuk (1) kecenderungan meniru apa yang dilihat ketara pada masyarakat yang disanjung nilainya dan (2) pola perilaku keagamaan. Pada aspek lain, ia merupakan halangan sosial bagi yang tidak mengamalkannya, yang menganggapnya sebagai manifestasi keagamaan yang tersasar dan ketidakterbukaan sosial dan perilaku konservatif di kalangan mereka yang mengamalkannya.
Keduanya, sub-fenomena sufi yang bermula sejak kurun ke-3 H diwakili pada hari ini sekurang-kurangnya oleh gerakan sufi yang terdiri daripada 74 bilangan kumpulan dan sub-pergerakan rasmi yang diiktiraf undang-undang serta melibatkan keahlian seramai 10 juta.
Tarikat dan aktiviti sufi Mesir tertakluk di bawah undang-undang Bil 118 tahun 1976, dan hal ehwalnya diurus oleh Majlis Tertinggi Tarikat Sufi yang terdiri daripada sepuluh ahli terpilih syeikh sufi, lima ahli ex-officio terlantik mewakili Al-Azhar, Kementerian Waqaf, Kerajaan Tempatan, Dalam Negeri dan Kebudayaan.
Fenomena hubungan tasawuf Mesir dengan politik dalam dekad-dekad terakhir tampaknya sangat kompleks dan tidak menuju ke arah tertentu. Di satu sudut, fahaman mistik menyelubungi mereka yang menginginkan selain daripada kepentingan duniawi dan tenggelam dalam usaha memahami “kebenaran”. Mereka mentakrifkan diri mereka sebagai “manusia” yang berbeza daripada “manusia hukum" yang mementingkan fenomena urusan duniawi khususnya aspek politik.
Tarikat sufi Mesir terlibat dalam politik terutamanya pada masa sekarang, dengan pilihan raya yang semakin hampir, mereka menunjukkan sokongan kepada parti pemerintah. Hal ini merupakan suatu tradisi tetap dalam kehidupan politik Mesir sejak revolusi tahun 1952 dan 1960-an. Pihak pemerintah turut campur tangan dalam susunan sufi untuk mempergunakan populariti mereka yang besar di saat-saat kritikal seperti itu bagi mengukuhkan legitimasi kerajaan Mesir dan beberapa polisi utama mereka.
Salafisme adalah cabang fenomena Islam Mesir yang ketiga. Ia adalah fenomena sosial dan keagamaan konservatif yang menolak sepenuhnya daripada terlibat dalam kegiatan politik. Individu mereka terutamanya mahukan pembaharuan keagamaan dan kepatuhan terhadap semua yang ditinggalkan oleh leluhur yang soleh dan memerangi apa yang dilihat sebagai inovasi (bid'ah) yang bertentangan dengan risalah sejati Islam. Salafisme adalah suatu fenomena keagamaan lama di Mesir yang wujud sejak awal abad ke-20. Ia memiliki institusi-institusi besar yang dibentuk dalam masyarakat seperti Al-Jam`iyyah As-Shar`iyyah - mentadbir manusia dengan Kitab (Al-Quran) dan Sunnah, yang ditubuhkan pada tahun 1912 atau Jama'at Ansar al-Sunnah al-Muhammadiyah yang ditubuhkan pada tahun 1926. Hari ini ia mempunyai ratusan cawangan dan puluhan ribu masjid serta projek-projek sosial dan agama di pelbagai wilayah Mesir, di samping prinsip-prinsip murni Salafi yang terkenal.
Pelbagai persatuan dan kumpulan Salafi di Mesir, baik pada masa lalu atau sekarang, sentiasa menjauhkan diri daripada amalan politik. Mereka tidak menubuhkan sebarang organisasi berdasarkan kriteria politik. Mereka yang mengaggotai gerakan Salafi, sama ada lelaki atau perempuan beriltizam dengan amalan-amalan ketat berdasarkan apa yang mereka yakini sebagai Sunnah (Sunnah muakada) yang diperintahkan oleh Nabi (saw) yang tidak boleh ditinggalkan.
Tiada keraguan bahawa Mesir telah menyaksikan dalam beberapa tahun lepas pertambahan pengaruh Salafisme jika dilihat dari tersebar luasnya gadis berjubah dan berpurdah dan janggut bagi laki-laki atau meningkatnya jumlah masjid milik ahli Salafi serta peningkatan jumlah pendakwah Salafi, baik di masjid-masjid mahupun di saluran TV.
Walaupun Salafisme kini mempengaruhi segmen yang besar di Mesir mereka tetap menjarakkan diri dari kegiatan politik tradisional meskipun mereka berpegang secara teorinya kepada «Islam Agama dan Negara». Menurut mereka, rejim pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Tuhan adalah «rejim kafir».
Beberapa individu dan kumpulan kecil yang tidak berpengaruh telah muncul sepanjang
Kelompok-kelompok kecil ini boleh dicirikan dengan beberapa ciri utama. Pertama: sumber utama idea-idea baru mereka diperolehi melalui internet, yang sekarang ini termasuk senjata besar buku Salafi jihadi. Kedua: tidak seorang pun daripada mereka telah beralih daripada keyakinan intelektual kepada kegiatan jihad Salafi itu disebabkan samada oleh kekurangan pengalaman atau dasar keselamatan yang ketat.
Akhirnya ialah cabang fenomena keempat yang merupakan gerakan-gerakan Islam yang paling terkenal. Mereka bersatu dalam mengiktiraf Islam serta aspek-aspek dan pentafsirannya sebagai landasan kepada kewujudan dan matlamat mereka. Mereka bergiat menggunakan pelbagai cara untuk menegakkan Islam seperti yang mereka faham dalam masyarakat, negara dan lokaliti mereka. Kumpulan-kumpulan ini mungkin berlainan pandangan dalam cabang-cabang kefahaman dalam aspek intelektual, politik dan peraturan sosial Islam serta prinsip-prinsipnya. Begitu juga mereka mungkin berbeza pendapat dalam mentafsirkan sebahagian peraturan dan asas. Namun begitu mereka terus tekun dan beriltizam serta yakin dengan Islam sebagai landasan mereka dan mereka sentiasa mencari jalan yang berlainan untuk menegakkannya.
Terdapat banyak gerakan Islam di Mesir, tetapi majoriti terbesar sekarang ini terdiri dari kategori kumpulan sosio-politik yang berpegang kepada kaedah aman dan menolak keganasan dalam gerakan sosial dan politik mereka. Mereka diketuai oleh Ikhwan Muslimun.
Mesir menyaksikan beberapa abad dahulu, sebilangan kumpulan Islam militan dan ganas yang bergantung kepada senjata sebagai satu-satunya cara untuk menegakkan fahaman mereka terhadap tuntutan politik Islam. Kesemuanya bergantung kepada pemikiran dan tanggapan masing-masing. Mereka kini menjadi semakin hampir pada dasarnya dengan pendekatan aman Ikhwan Muslimun dalam perubahan agama dan politik.
Sebenarnya, mereka tidaklah mewakili kumpulan yang besar dalam masyarakat meskipun diberikan liputan politik dan media yang luas sewaktu membincangkan fenomena gerakan Islam di Mesir. Malah, bilangan ahli bersekutu mereka tidak melebihi beberapa ratus ribu.