Ku coretkan bicara hati
Buat teman-teman
Yang sudi
Menadah telinga
Membuka minda
Melapangkan dada
Saksikanlah Ya Rabbi
Bahawa aku tidak berkata menurut hawa
Bahawa aku tidak berhukum kerana suka-suka
Aku dambakan maghfirahMu
Aku perlukan rahmatMu
Aku menjejaki redhaMu
Aku adalah hambaMu
Dan hamba-hambaMu adalah
Saudaraku .....
Aku melakarkan coretan ini kerana tiba-tiba aku terpana dan terkesima dengan jawapan seorang rakan bahawa menurut ijtihadnya tajdid bai’ah tidak perlu kerana bai’ahnya yang dahulu tidak pernah terbatal. Dia tidak mahu menghina bai’ahnya sendiri yang telah dilafazkan sebelum ini.
Kerana kebodohan dan kurang ilmu aku tidak mampu membalas hujjah yang begitu mantap. Namun dalam hati aku berbicara, bukankah bai’ah itu suatu janji untuk taat kepada qiadah? Dan tajdid bai’ah adalah satu daripada arahan qiadah. Maka apakah dengan tajdid bai’ah bererti menghina bai’ah terdahulu atau tidak tajdid itulah sebenarnya memungkiri bai’ah terdahulu? Dan bukankah memungkiri bai’ah itu suatu kehinaan?
Aku bertanya lagi (dalam diri sendiri), apakah untuk taat kepada qiadah perlu ijtihad? Bukankah dalam nas bai’ah itu terkandung persetujuan untuk dengar dan taat fil mansyat wal makrah (selama mana arahan itu bukan maksiat)?
Jika semua arahan Qiadah boleh diijtihad oleh jundi, apa ertinya berbai'ah? Jika keputusan Qiadah boleh diabaikan, apa maksud ta'ah? Tidakkah tidak mentaati Qiadah itulah merupakan sebesar-besar penghinaan kepada Bai'ahnya selama ini?
Aku tidak mampu membendung perasaan yang bergelodak di dalam dada. Maka inilah aku luahkan....
Tajdid Bai’ah: Kenapa?
Tajdid adalah nama terbitan daripada katakerja (fi’l) jaddada yang bermaksud membaharui.
Kadang-kadang kita membaharui sesuatu:
· kerana yang lama sudah tidak boleh digunakan disebabkan sudah tamat tempoh seperti kita membaharui cukai jalan, lesen memandu dan lain-lain,
· bukan kerana yang lama sudah tamat tempoh tetapi untuk memperteguh dan memperkuatkan yang telah sedia ada seperti membaharui azam dan tekad untuk berjihad fi sabilillah setiap kali menjelang Ramadhan,
· sekadar untuk menimbulkan suasana mesra dan ceria seperti kita mengulang ungkapan cinta kepada suami/isteri. Bukan kerana cinta yang dijalin sebelum ini telah luput, pupus, hancur dan musnah. Apabila sekali sekala cuping telinga kita disentuh bisikan romantis ’ana uhibbuk’ sudah pasti kebahagiaan akan meresap ke segenap pelusuk jiwa dan raga.
Jadi membaharui tidak bermakna yang lama telah rosak kerana kalau rosak biasanya kita ganti yang lain atau kita baiki. Kita tidak kata membaharui.
Di dalam Islam, setiap kali kita berdiri menunaikan solat fardhu lima waktu kita membaharui iqrar untuk menyerahkan hidup dan mati kita kepada Allah semata-mata (dalam doa iftitah), kita membaharui syahadah setiap kali kita bersimpoh di hadapanNya pada rakaat ke dua dan ke empat. Semua itu kita lakukan bukan kerana iqrar yang kita lafazkan dan syahadah yang kita ungkapkan di dalam solat sebelumnya telah batal, atau dengan ungkapan kedua membawa maksud kita menghina dan mensia-siakan ungkapan sebelumnya.
Sebelum menunaikan solat kita berwudhuk untuk mengangkat hadas kecil. Tetapi kadang-kadang kita berwudhuk sekadar untuk membaharui walaupun wudhuk yang kita ambil sebelumnya belum batal. Membaharui wudhuk adalah sunat dan disukai oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang berwudhu dalam keadaan dia suci (tidak berhadas) maka baginya sepuluh hasanah”. Riwayat Abu Dawud dan at-Tirmizi.
Di dalam sejarah Rasulullah s.a.w., baginda mengambil bai’ah daripada para sahabat r.a. lebih daripada satu kali, di beberapa tempat dan dalam beberapa situasi; sebelum hijrah dan selepas tertegaknya daulah. Tidak timbul masalah bai’ah yang dahulu terbatal atau menghina janji sendiri.
Dalam kontek jamaah Islam yang mana ahli-ahlinya berpadu untuk mencapai objektif yang satu dengan mengikuti wasilah-wasilah tertentu yang boleh membawa kepada tercapainya objektif, sewajarnya antara mereka harus ada ikatan dan janji setia sesama mereka, iaitu bai’ah. Janji setia ini diberikan kepada pucuk pimpinan untuk dengar dan taat dalam perkara yang bukan maksiat sedaya mampu, melaksanakan kewajipan demi mencapai matlamat yang ditetapkan.
Andai telah termeterai bai’ah, maka wajib di atas setiap anggota dengar dan taat, wajib di atas pihak yang dipertanggungjawabkan memikul tanggungjawabnya sebagaimana yang dipersetujui bersama. Setia kepada bai’ah adalah wajib dan mengkhianatinya adalah berdosa. Namun merungkai bai’ah adalah harus.
Orang yang ingin merungkaikan bai’ahnya hendaklah memohon kepada ketua atau pemimpin supaya melepaskannya daripada ikatan bai’ah dan segala tuntutan yang berkaitan dengannya. (Mustafa at-Tahhan 2002, al-Fikr al-Islami al-Wasat, Dirasat fi Fikr al-Ikhwan al-Muslimin)
Justeru, adalah sesuatu yang mulia dan beradab seandainya mana-mana akh atau ukht yang rasa berat untuk taat kepada qiadah, mengemukakan permohonan dengan terus terang agar dilepaskan daripada ikatan bai’ahnya. Selepas itu beramallah dengan cara yang dipilihnya sebebas-bebas dan semahu-mahunya. Memilih untuk tidak taat kerana arahan yang diberi bercanggah dengan ijtihad sendiri adalah pelik dan janggal.
http://fikrah-dakwah.blogspot.com