Monday, February 1, 2010

Badee’: IM meninggalkan politik adalah ramalan tidak berasas

Menjawab khabar angin tentang penglibatan politik


Sabtu, Januari 23, 2010







IM akan menyertai semua pilihanraya


Mursyidul Am IM yang baru Dr. Mohamed Badee’ membidas pandangan yang meramalkan IM akan mengurangkan penyertaan politik atau meninggalkan kerja politik. Beliau menganggapnya sebagai ramalan yang tidak berasas.
Dalam satu kenyataan eksklusif kepada "islamiyoon.net" sebelum pelantikannya, Badee’ menekankan yang IM akan mengambil bahagian dalam semua pilihanraya parlimen, kesatuan sekerja, kelab guru, dan majlis tempatan kerana "Islam yang kami wakili adalah Islam yang syumul (komprehensif) yang merangkumi seluruh aspek kehidupan."

Ketika ditanya mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh IM dalam perdebatan di kalangan masyarakat Mesir berkaitan pemilihan presiden mendatang dan kebimbangan tentang pemerintahan yang diwarisi secara turun-temurun, ketua IM itu menegaskan, "kami akan terus memainkan peranan kami" sambil menjelaskan bahawa "dalam beberapa bulan terakhir gerakan ini sibuk dengan urusan dalamannya." Badee’ menekankan bahawa tidak akan ada perubahan pada perancangan, matlamat atau pendekatan mereka.
"Dalam hal ini kami menggalakkan semua badan dan pertubuhan sosial dalam masyarakat untuk menyokong sebarang gerakan ke arah kebaikan masyarakat," beliau menambah.

Kebimbangan tentang kumpulan pemisah


Kebimbangan perpecahan muncul setelah timbul kekhuatiran tentang masa depan penyertaan politik IM di bawah Maktab Irsyad yang didominasi oleh puak konservatif. Hal ini menimbulkan perdebatan mengenai kemungkinan IM akan meninggalkan kerja politik untuk menumpukan kepada kerja amal di samping tumpuan kepada urusan pentadbiran dan pendidikan dalaman dan dengan itu meminggirkan kehadiran mereka dalam masyarakat umum. Dengan itu juga dibimbangi suara pembangkang terbesar di negara itu akan menyepi.

Ramalan ini diperkuatkan oleh apa yang disebut oleh pemerhati sebagai "perjuangan berlarutan" dalam IM di antara dua kecenderungan. Masing-masing mempunyai visi, pendekatan dan rancangan untuk masa depan IM. Satu pihak adalah terbuka kepada masyarakat termasuk menerusi kuasa politik dan parti, sementara yang satu lagi mahu menumpukan dedikasi ke arah reformasi hal ehwal dalaman IM.

Perkara ini dapat disaksikan baru-baru ini dalam apa yang disebut oleh sebahagian pihak sebagai "pertempuran sengit" dalam pilihanraya Maktab Irsyad yang baru lepas di mana pihak yang dikatakan berkecenderungan konservatif telah menewaskan pihak yang digelar penyokong reformasi seperti Dr Mohamed Habib, mantan ahli Maktab Irsyad, dan Dr Abdel Monem Abul Fotouh, setiausaha agung Persekutuan Doktor Arab.
Berikutan keputusan itu, khabar angin tersebar luas tentang masa depan politik IM dan penyertaannya dalam pilihanraya parlimen dan pemilihan presiden mendatang, terutama dalam konteks isu pemerintahan yang diwarisi secara turun-temurun di Mesir.

Diaa Rashwan, seorang penyelidik dan penganalisis hal ehwal gerakan Islam meramalkan bahawa IM tidak akan mengambil bahagian dalam pilihanraya parlimen dan Majlis Syura pada tahun 2010, terutamanya kerana kumpulan yang menang tidak begitu cenderung dengan pilihanraya umum.
Dalam sebuah wawancara dengan saluran TV satelit Al-Hiwar, Rashwan percaya bahawa pihak yang mendominasi IM akan membawa IM kembali ke bidang pendidikan dan keagamaan, sambil menggambarkan yang situasi ini sebagai "menyenangkan" kerajaan Mesir.

Namun Dr Rafiq Habib tidak bersetuju dengan pandangan ini. Beliau melihat perubahan struktur Maktab Irsyad boleh "mengakibatkan keseimbangan antara penekanan aktiviti pendidikan dan aktiviti politik." Atas alasan itu beliau tidak menjangkakan sebarang pemencilan IM daripada penglibatan politik, sambil menambah, "mungkin dalam tekanan politik dan media semasa, yang akan berubah ialah kuantiti dan bukannya prinsip."
Dalam satu kenyataan kepada "islamiyoon.net" penyelidik hal ehwal gerakan Islam itu menyentuh mengenai perbahasan tentang dua kecenderungan dalam IM. Menurut beliau, menghadkan kes kepada dua kelas tidak tepat. Seharusnya trend itu dikategorikan kepada tiga, "trend yang difokuskan kepada kerja politik, dan trend yang memfokuskan kepada kerja kemasyarakatan dan trend ketiga yang mengimbangkan keduanya." Ini yang dominan dalam IM, namun tidak diberikan perhatian sepatutnya atas beberapa sebab, seperti yang ditekankan Dr Habib. Beliau mengutarakan bahawa ketiga-tiga trend sepakat tentang keutamaan kerja politik dan penglibatan awam. Trend-trend ini masih wujud dan pelantikan Maktab Irsyad dan Mursyidul Am baru "tidak membawa perubahan besar atau asas memandangkan beberapa ahli lama masih terpilih."

Dalam konteks perjuangan antara reformis dan konservatif, pemerhati percaya bahawa pihak reformis yakin bahawa segala macam penglibatan sosial dan politik gerakan itu adalah suatu keperluan. Penyertaan dalam kegiatan pembangkang dan penglibatan dalam arena politik termasuk kuasa politik dan kebudayaan melalui dialog, seiring dengan kumpulan-kumpulan lain, adalah untuk tujuan pembaharuan (reform). Ia merupakan faktor umum yang disepakati oleh mereka.


Namun, kecenderungan konservatif melihat bahawa penting untuk meninggalkan pentas politik untuk menumpukan perhatian kepada struktur IM, terutamanya selepas serangan keselamatan yang yang dikenakan kepada IM, di samping kempen penangkapan yang mengganggu kegiatan IM dan menghalangnya daripada mengajak ahli baru kepada kumpulan itu terutama dari kalangan universiti dan kesatuan sekerja.
Dibandingkan dengan keputusan sederhana yang telah dicapai oleh IM dalam Parlimen di mana mereka memenangi 88 kerusi, mereka tidak mampu menghalang keputusan oleh kerajaan disebabkan dominasi parti yang berkuasa (NDP) dalam Parlimen.

Penyertaan adalah Perlu


Dr. Abdel Rahman El-Bar, seorang ahli Maktab Irsyad dari kalangan konservatif mengkritik para penyelidik dan penganalisis yang membuat ramalan tentang IM. Beliau menekankan bahawa penyertaan dalam semua pilihanraya "adalah keputusan yang IM tidak akan ubah." Beliau percaya yang IM tidak akan mengundurkan diri daripada menyertai mana-mana kegiatan," kerana pendekatannya berasal dari al-Quran dan Sunnah.


Profesor di Universiti Al-Azhar itu menambah bahawa semua Muslim yang mengimani al-Quran dan Sunnah memahami bahawa "setiap Muslim sepatutnya berminat dengan politik." Secara umum, semua perlu peduli dengan urusan-urusan negara, bekerja untuk kesejahteraannya serta terlibat dalam kerja ekonomi, sosial dan amal. Beliau menolak tuduhan bahawa ahli IM mungkin sibuk dengan kegiatan politik sehingga melupakan tugas dan tanggung jawab mereka, sambil menekankan, "menjadi ahli politik tidak bererti seseorang itu mengabaikan solat, puasa, haji atau zakatnya."

El-Bar menyebut bahawa adalah salah untuk menganggap bahawa ketiadaan Dr Mohamed Habib dan Dr Abdel Monem Abul Fotouh dalam Maktab Irsyad akan menukar prinsip-prinsip mereka. Beliau menambah Habib dan Abul Fotouh mengambil bahagian dalam semua urusan IM kerana mereka "dalam hati dan fikiran setiap Ikhwan Muslimun" dan mereka adalah "tokoh utama dan sangat disanjung" dalam gerakan itu. Dia menolak desas-desus yang menyatakan bahawa kumpulan tersebut dikawal oleh satu orang atau satu kelompok kerana IM mempunyai perancangan dan pendekatan yang tidak berubah, sambil mengatakan, "kami tidak menimbangkan perubahan apa pun kecuali untuk yang terbaik."

Berkaitan perbezaan antara pendidikan dan kegiatan politik dalam gerakan tersebut, El-Bar yang merupakan penceramah Islam terkenal di beberapa saluran satelit melihat bahawa pendekatan IM tidak melebihkan satu trend dari yang lain. Tambahan pula, IM berpegang kepada keseimbangan dan inilah yang membezakan IM daripada pertubuhan lain kerana "ia menempatkan semua yang baik dalam satu bakul."


El-Bar menyeru semua kuasa sosial untuk menjabat tangan yang dihulurkan oleh IM yang berusaha untuk membantu semua melalui penyertaan dan kerjasama. Beliau menyebut "kami mencintai negara ini dan kami mahu memperbaharui seluruh anggota tubuhnya" sambil menambah, "IM tidak mahu dikecualikan orang lain dan tidak mahu mengecualikan orang lain."


Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=22779
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template