Friday, May 27, 2011

Risalah Mursyid: Memperingati Nakbah… Warga Arab mengepung rejim Zionis

Risalah daripada Prof. Dr. Mohammed Badie
– Mursyid Am Ikhwan Muslimun

20 Mei 2011

"Palestin" … negeri yang berkat, negeri para anbiya’; tempat turun pelbagai risalah; negeri jihad dan ribat (perjuangan) sehingga hari kiamat. Ia terukir di kedalaman jiwa, menjadi jantung yg sentiasa berdenyut dan merupakan urat nadi dengan setiap titisan darah yang tumpah ke bumi. Negeri ini adalah sebahagian dari aqidah umat.

Isu Palestin merupakan isu umat yang telah membina suatu kesatuan yang menggabungkan tanahair, bangsa dan akidah. Oleh kerana itu ia menuntut sebuah perjuangan menyeluruh bagi umat Islam di serata pelosok dunia Islam. Ia juga masih lagi menjadi tenaga membara bagi membangkitkan sensitiviti Islam terhadap ancaman Amerika-Zionis yang terus menodai Masjid al-Aqsa, Jerusalem (Al-Quds) dan negeri bagi rakyat Palestin secara keseluruhan.

Islam telah menjadikan Masjid Al Aqsa salah satu daripada tiga buah masjid yang digalakkan melakukan perjalanan kepadanya. Justru, isu Palestin telah menjadi tumpuan isu-isu Islam yang menarik setiap orang Muslim melakukan perjalanan dari serata ceruk negara, benua dan dunia Islam.

Ikhwan dan Palestin

Ketika Imam al-Banna mengasaskan Ikhwan Muslimun pada tahun 1928, beliau telah menjadikan isu Palestin sebagai isu yang paling penting yang diurus oleh Jamaah. Beliau memberikannya perhatian yang sangat istimewa. Imam al-Banna meneliti isu Palestin dengan penuh minat sehingga di mana sahaja beliau berucap pasti akan menyentuh isu Palestin. Beliau pernah menggambarkan hal ini dengan mengatakan: "Palestin menduduki tempat dalam jiwa dan roh kita yang kesuciannya mengatasi makna nasionalisme semata-mata. 

Ini kerana kita telah dikurniakan kota Baitulmuqaddis yang penuh berkat, keberkatan para anbiya’ dan siddiqin, dan tempat kelahiran Nabi Isa as. Semua ini dapat menyegarkan jiwa dan menghidupkan roh." Imam al-Banna telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya membela Palestin; dengan pena, lidah, wang dan dirinya sendiri – sehingga beliau terkorban syahid. Beliau benar-benar syahid kerana Palestin sungguhpun tidak mati di negeri itu.

Ikhwan Muslimun tidak membataskan usaha mereka sekadar mengingatkan tentang bahaya Zionis tetapi turut membangkitkan umat seluruhnya dan memobilisasi usaha untuk melawan bahaya tersebut. IM juga mempamerkan - dan akan terus mempamerkan - pengorbanan demi pengorbanan untuk membela Palestin. Justeru IM terus menyedarkan orang yang lalai, membangunkan orang yang tidur, mengorbankan wang ringgit, dan menyerahkan para syuhada’ yang berkorban untuk Palestin, sehingga Palestin bebas sepenuhnya dan kembali ke pangkuan umat Islam.

Pada bulan Mei 1948 Imam al-Banna telah mengutus surat kepada para pemimpin Arab yang bertemu di Lubnan. Beliau menegaskan kesediaan Ikhwan Muslimun untuk menyediakan sepuluh ribu Mujahid yang bersedia untuk mati syahid pada jalan Allah demi membela Palestin. 

Ketika bermula perang di Palestin pada tahun 1948, pasukan Inggeris telah berundur selepas kewujudan tentera bersenjata Israel. Tentera Arab yang berada di bawah pimpinan yang dikuasai pegawai Inggeris turut campur tangan. Rakyat Palestin pula berada di persimpangan antara tentera Zionis dan pemimpin Arab yang secara rasmi mengalah dan tunduk dengan kemahuan Inggeris. Mereka tidak menemui seorang pun penolong yang sebenar selain Ikhwan Muslimun.

IM telah berjuang dalam pertempuran sengit menentang tentera Israel. Pertempuran paling terkenal ialah "Ramat Rahil" ketika sekumpulan Mujahidin IM menyerang kubu penjajah pada malam  26 Mei 1948. Mereka berjaya menguasai kawasan tersebut dan membunuh lebih dari 200 tentera Israel. Begitu juga mujahidin Ikhwan berjaya mengembalikan kedudukan "panitera 86" setelah tentera kerajaan gagal menguasainya. Bagaimanapun, pihak pemerintah di Mesir telah berkomplot dengan musuh. Mereka telah mengistiharkan resolusi tentera untuk membubarkan Jamaah Ikhwan pada tahun 1948. Selepas sehari resolusi ini, tentera Mesir yang ditempatkan di Gaza diperintah untuk mengumpulkan semua senjata milik Mujahidin Ikhwan Muslimun Mesir.

Pada tarikh 12 Februari 1949 berlaku pembunuhan Imam Hassan al-Banna di pusat bandar Kaherah pada waktu tengah hari. Dua hari selepas pembunuhan itu, keluar pula arahan penangkapan mujahidin Ikhwan Muslimun. Mereka disumbatkan di penjara Rafah sehingga  18 Jun 1949. Namun mereka kemudian dipindahkan ke Mesir dalam keadaan dikurung dengan jeriji besi untuk mendekam di penjara Mesir; sebagai balasan yang setimpal dari jihad dan keinginan mereka untuk mati syahid demi Palestin. Mujahidin Ikhwan Muslimun menunjukkan reaksi mereka seperti yang dinyatakan Allah dalam firmanNya (bermaksud):

“Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita’. Dan benarlah Allah dan RasulNya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan”. (Al-Ahzab: 22).

Generasi selepas mereka pula mengulang-ulang ayat yang berikutnya (bermaksud):

“Antara orang mukmin itu ada orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; Maka antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merobah (janjinya)”. (Al-Ahzab: 23).

Revolusi Mesir mengembalikan Palestin menuju era baru

Melalui Revolusi Mesir yang diberkati dan dengan kembalinya kuasa Mesir serta peranan kepemimpinannya di rantau Arab, telah memberikan kesan terbesar sehingga kedua-dua pihak menandatangani persefahaman politik di Palestin, iaitu antara "Fatah" dan "Hamas". Perjanjian rekonsiliasi dan menamatkan pembahagian Palestin ini merupakan perkembangan utama yang disambut gembira oleh umat.

Sesungguhnya kesatuan warga Palestin telah kembali. Dengan itu mereka telah mensejajarkan dirinya selaras dengan revolusi yang meluas di negara-negara Arab untuk menentang diktator yang korup, terutama rejim Mesir yang merupakan teras rejim ini. Rejim diktator itu juga merupakan ‘tiang yang longgar’ yang disebut sebagai “ruang kesederhanaan” Arab, yang telah memohon untuk berdamai dengan rejim Zionis dan meneruskan hubungan dengannya serta bersekongkol dalam menghapuskan gerakan perjuangan dan jihad melawan Zionis.

Jelasnya pemuafakatan rekonsiliasi akan terus kukuh, bukan hanya kerana wujudnya aspirasi rakyat Palestin, tetapi juga kerana ia didasarkan pada asas Revolusi Mesir yang keluar dari timbunan korupsi dan perhambaan kepada Amerika dan rejim Zionis. Lanjutan dari itu, isu Palestin kembali menerbitkan babak yang baru sebagai isu bangsa Arab dan umat Islam yang utama tanpa dapat disangkal. 

Inilah bangsa Arab dan umat Islam, semua bangkit untuk mengingati Nakbah sambil mengatakan: Kita telah memulakan era pembebasan untuk semua manusia terutama sekali untuk rakyat Palestin. Mereka telah mengharungi penjajahan terburuk yang pernah dikenali manusia iaitu penjajahan Zionis. Semua orang mengulang-ulang firman Allah swt yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. (Al-Hajj: 40)

Hak untuk kembali tidak akan gugur dengan lamanya masa

Sesungguhnya pemuda Arab dan Palestin yang menggerakkan usaha memperingati 63 tahun Nakbah Palestin, kemasukan sempadan Palestin, halangan dari Zionis di Maroun al-Ras di Lubnan selatan, Majdal Shams di Dataran Tinggi Golan, dan pos pemeriksaan Qalandiya di Tebing Barat dan Beit Hanoun di Semenanjung Gaza adalah usaha-saha mendapatkan kembali hak dan mengingatkan isu terbesar dan terpenting. Gerakan dan usaha ini tampil dari utara dan selatan, timur dan barat untuk mengesahkan bahawa hak kembali tidak gugur dengan lamanya masa. 

Rejim Zionis cuba untuk melupakan generasi baru tentang hak sejarah yang suci yang merupakan asas isu Palestin. Bagi Zionis, ia suatu pertaruhan yang merugikan kerana ia diperjuangkan oleh kuasa rakyat bukan sahaja di Tebing Barat dan Gaza, namun di Lubnan, Syria, Jordan, Mesir dan di seluruh dunia Arab tanpa kecuali, serta para syuhada’ yang telah bangkit dalam hal ini. Hari ini, semua pihak menegaskan bahawa senjata berbahaya Zionis tidak membezakan antara orang Islam dan Kristian, lelaki atau wanita, orang Sunni atau Syiah. Justeru, Zionis adalah musuh setiap orang …

“Maka anggaplah ia musuh(mu)”. (Fathir: 6)

Kuasa rakyat lebih kuat daripada rejim pemerintah

Revolusi rakyat Arab telah berjaya menumbangkan rejim pemerintah yang terlalu korup yang selama ini berlutut tanpa malu di kaki Zionis. Mereka menjalin hubungan dengan mereka dan menyerah kepada arahan Amerika. Sebaliknya rejim Zionis tidak pernah menghormati ketetapan-ketetapan Majlis Keselamatan PBB dan tidak pernah setia dalam apa jua perjanjian… Firman Allah swt (bermaksud):

“Sesudah itu mereka mengkhianati janjinya pada setiap kalinya. (Al-Anfal: 56)

”dan setiap kali mereka mengikat janji, segolongan mereka melemparkannya?“ (Al-Baqarah: 100)

Demikianlah firman Allah tentang mereka … Revolusi yang diberkati ini adalah permulaan untuk menamatkan kekejaman dan keangkuhan Zionis, membebaskan tempat-tempat suci dan menamatkan kebiadapan Zionis dalam segala bentuknya. Kini tibalah hari peringatan Nakbah pada 15 Mei 2011; ia akan menjadi ‘nakbah’ kepada rejim Zionis dan sesiapa sahaja yang menolongnya. Firman Allah swt (bermaksud):

“dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai”. (Al-Isra’: 7)

Bangsa Arab telah membuktikan bahawa mereka lebih kuat daripada rejim pemerintah, seterusnya lebih kuat dari rejim Zionis. Ini kerana setelah berjaya memecahkan rasa takut kepada rejim pemerintah yang korup, kini menjadi lebih mudah untuk memecahkan rasa takut kepada rejim Zionis. 

Revolusi Arab telah mengembalikan sinar dan mengambilnya melalui sumber pemberontakan dan ketidakstabilan yang sebenar, bukan hanya di rantau ini, bahkan si seluruh dunia. Rejim Zionis tidak akan lena tidur selepas hari ini. Mereka tidak akan mengenal erti keamanan dan kestabilan selama mereka menggadaikan hak-hak rakyat Palestin, tidak menghormati perjanjian, dan menodai tempat-tempat suci Islam dan Kristian. Mereka akan menikmati minuman dari gelas yang sama selama mereka masih memberinya kepada orang lain.

Sesungguhnya rejim Zionis suatu ketika pernah merasai situasi tenang hasil dari kesombongan kuasa yang mereka miliki selama perang enam hari bersama Arab. Tetapi ia kini digantikan dengan rasa takut dan cemas selepas serangan dari rakyat yang tidak memiliki apa-apa selain kehendak , keteguhan dan keazaman. Sebagaimana rakyat telah berjaya menumbangkan diktator korup, maka tanpa diragui lagi mereka akan berjaya dalam menunduk dan menumpaskan rejim Zionis …

“dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”.
(Yusuf: 21)

Allah Maha Besar dan bagi Allah pujian, dan segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=84620
 

My Blog List

FIKRAH & DAKWAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template