Mesej daripada Prof. Dr. Mohammed Badie
– Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin
28/4/2011
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarganya, para sahabat, mereka yang mengikutinya dan menurut petunjuknya.
Pembersihan yang berterusan
Revolusi Mesir yang diberkati masih membuahkan hasil dan menunjukkan bukti praktikal kekuatan rakyat yang hebat, yang hidup dan sentiasa hadir dan yang masih menikmati semua unsur kekuatan, kesihatan dan keselamatan yang menjanjikan masa depan lebih cerah dalam waktu terdekat, dengan izin Allah. Kita telah melihat rakyat Mesir memutuskan untuk membenteras parti yang korup dan pendokong kerosakan, dan menuntut supaya dikembalikan dana dan harta awam yang dirampas untuk diserahkan kepada negara. Rakyat yang hebat masih bersungguh-sungguh memburu pemimpin dan sisa korupsi yang telah merencatkan kemajuan bangsa sejak beberapa dekad yang lalu, dan telah menghancurkan keperibadian Arab Mesir yang tinggi untuk kepentingan musuh-musuh bangsa demi faedah peribadi dan diri sendiri.
Adalah penting untuk meneruskan proses pembersihan menurut caranya sambil kebangkitan rakyat terus berkekalan. Proses pendakwaan yang adil dan serius perlu dijalankan sehingga tiada lagi saki baki rejim yang terlepas daripada kejahatan mereka, atau melupuskan dokumen di tangan mereka yang mendedahkan rasuah dan kejahatan mereka, atau meneruskan usaha penyeludupan wang dan harta benda hasil rampasan milik bangsa ini.
Dalam hal ini, kita menarik perhatian para pegawai dan mereka yang memerintah negara tentang keperluan untuk membuat susulan dengan baik dan serius mengenai nasib yang berbeza di antara antara pemimpin korup yang dipenjarakan dengan rakan mereka yang masih bebas dan pemimpin yang melarikan diri ke luar negara. Ini kerana tidak diragukan lagi bahawa mereka tidak berhenti dari menggerakkan usaha untuk merapatkan barisan dan organisasi operasi mereka dalam cubaan untuk memadamkan Revolusi, dan cubaan untuk menyingkirkan semua dakwaan.
Menuju masa depan untuk membina sebuah kebangkitan bangsa
Sekalipun kami sangat berminat dengan kesinambungan revolusi dalam hal proses pembersihan, ini tidak bererti bahawa kami hanya menitikberatkan permasalahan ini sahaja. Malah, usaha mestilah dilanjutkan untuk mencapai mesej revolusi dibina, iaitu mesej kebangkitan di Mesir dan pembentukan sebuah negara bebas dan moden hasil dari pengorbanan para syuhada’ dan darah mereka yang tercedera demi revolusi ini, dan yang telah menyerahkan kebebasan, kemuliaan, umur dan harta mereka demi mencapai impian yang diidamkan. Hal ini mewajibkan mereka bekerja untuk kestabilan urusan negara, segera mengembalikan aktiviti awam dan kegiatan ekonomi, wajib menghapuskan semua halangan untuk menyumbang dalam program yang mulia ini, dan wajib semua orang yang memiliki kemuliaan dan keikhlasan kepada bangsa ini untuk mengambil bahagian dalam melaksanakan kerja, seperti firman Allah swt (bermaksud):
“dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa” (Al-Maidah: 2)
Dalam hal ini, kita menyeru kepada perkara berikut:
* Menarik perhatian kerajaan dengan tuntutan revolusi dan rakyat berkaitan pelantikan gabenor. Tidak logik untuk meletakkan urusan ini sama seperti yang dilakukan pada zaman yang penuh korupsi dengan melantik gabenor dari wajah-wajah sama yang telah menyumbang kepada korupsi pada masa lalu; yang membawa pengaruh buruk, memprovokasi rakyat dan menghalang kepentingan negara dan merosakkan prestij negara.
* Melakukan penyelesaian segera berkaitan majlis tempatan yang merupakan salah satu aspek terpenting yang telah menjerumuskan rejim Mesir lepas kepada korupsi.
* Terdapat kemahuan yang sebenar untuk melakukan penstrukturan dan pembangunan semula Sinai Utara dan Selatan, dan kerja-kerja projek nasional untuk membangun semula Sinai bagi meningkatkan pelaburan ke atas kekayaan mineral Sinai, dan mengeksploitasi kekayaan air bawah tanah, memajukan bidang pertanian yang berjuta-juta hektar, dan melaksanakan pembangunan yang menyeluruh ke atas sebahagian daripada negara yang sangat berharga yang berfungsi untuk menjaga sempadan timur Mesir.
* Seruan kepada warga Mesir yang berada di luar negara untuk menyumbang kepada pembangunan tanah air, dan melaburkan pengalaman mereka yang pelbagai dan wang yang disimpan dalam pembangunan dan kebangkitan tanah air tercinta ini. Pihak kerajaan hendaklah menetapkan peraturan dan perlindungan untuk menarik modal warga Mesir dan Arab, dan menyediakan sebab-sebab kejayaan projek secara serius.
* Seruan kepada usahawan Arab dan Muslim untuk melabur dalam pelbagai bidang di Mesir yang telah bebas dari rasuah, dan penuh dengan peluang yang menjanjikan kegembiraan dan kepuasan kepada setiap pelabur yang serius. Dalam hal ini, kita menghargai usaha yang kerajaan lakukan untuk menggiatkan hubungan dengan negara-negara Arab dan negara-negara jiran, dan menghargai kunjungan yang kerap dari negara-negara Arab, dan seruan untuk pemulihan lengkap peranan Mesir di dunia Arab dan serantau setelah dimusnahkan oleh rejim terdahulu.
* Mengucapkan terima kasih kepada pihak tentera dan kerajaan Mesir kerana mengembalikan peranan Mesir yang asasi dan sebagai pelopor dalam memelihara dan melaksanakan keamanan, menamatkan kepungan ke atas saudara-saudara kita di Palestin, dan meminta pegawai di sempadan untuk membuka terus sempadan Rafah untuk saudara-saudara kita di Gaza, dan bekerja untuk membentuk kawasan perdagangan bebas di daerah Rafah. Inilah kedudukan saudara-saudara kita di Palestin yang merupakan sebahagian dari kita, kedudukan Mesir di tengah-tengah Bangsa Arab dan peranannya di kalangan saudara-saudaranya yang lain.
* Seruan kepada kerajaan Mesir untuk lebih memberi perhatian kepada senario di Afrika, khususnya negara-negara di Lembah Nil. Kami juga menyeru Al-Azhar dan Gereja Mesir untuk menyokong pendirian Mesir di Afrika.
* Kami mengajak masyarakat dan kerajaan-kerajaan Arab dan Islam untuk menyokong gerakan rakyat marhaen untuk kebebasan di Libya, Yemen dan Syria. Kami berharap penguasa negara-negara ini memiliki patriotisme dan nilai kemanusiaan untuk mendahulukan kepentingan masyarakat dan bangsa daripada apa jua kepentingan lain. Ini kerana rakyat dan bangsa terus kekal sedangkan penguasa akan silih berganti. Begitu juga supaya mereka tahu bahawa Allah akan menyoal mereka tentang apa yang dilakukan terhadap urusan negara dan hak-hak orang lain, dan boleh memilih untuk mengajak diri mereka kepada Rasulullah saw kerana terdapat ungkapan seorang sarjana: "Ya Allah, sesiapa yang menjalankan sesuatu urusan umatku sehingga membahagiakan mereka, maka berilah kebahagian kepadanya. Sesiapa yang memecah-belahkan urusan umatku sehingga berlaku persengketaan, maka pecah belahkanlah hidupnya”. Kami mengingatkan mereka bahawa rakyat yang keluar untuk menuntut hak-hak asasi mereka seperti kebebasan dan keadilan tidak mungkin berundur selagi tujuan mereka keluar itu tidak tercapai. Darah orang yang tidak berdosa akibat tindakan kejam rejim diktator akan menjadikan revolusi terus menyala dan terus melaungkan tuntutan pejuang-pejuang pembaharuan. Ini kerana kekejaman dan ketidakadilan selama mana sekalipun ia tetap akan lenyap. Firman Allah swt (bermaksud):
“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira bahwa Allah lalai
dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim” (Ibrahim: 42).
Kita meminta kerajaan membina semula hubungan Mesir dengan pelbagai negara di seluruh dunia atas dasar persamaan dan perkongsian; demi mencapai ketinggian bangsa Mesir. Begitu juga kerajaan mestilah serius untuk mengambil tindakan lanjut terhadap penjarah wang rakyat yang dilarikan oleh pimpinan korup dalam rejim yang lepas ke luar negara dan melaksanakan pembentukan jawatankuasa khas undang-undang untuk mengembalikan harta rakyat yang merupakan hak bangsa ini.
Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga dan para sahabatnya, dan segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.