Artikel Asal: http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=22027
Selasa, Disember 8, 2009
Oleh Joseph Mayton
Kaherah: Pertembungan di antara kerajaan Mesir dan Ikhwan Muslimun terus bergolak. Kali ini, 10 ahli kanan kumpulan pembangkang Islam itu ditangkap pada hari Sabtu lepas. Gerakan itu melaporkan kepada Bikya Masr melalui satu kenyataan rasmi. Penangkapan itu menyerlahkan pergelutan berterusan di antara Ikhwan dan pasukan keselamatan kerajaan.
Menurut Ikhwan, pegawai-pegawai itu ditangkap di daerah pentadbiran utara Delta Nil di Kafr el-Sheikh pada hari Sabtu sewaktu mereka sedang mengadakan perjumpaan. Mahmoud Ezzat, seorang pemimpin kanan Ikhwan mengesahkan penangkapan itu dan menambah bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa maklumat tentang alasan penahanan mereka.
"Perlembagaan, yang melarang penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya, sekali lagi telah diabaikan dengan penangkapan yang tak berasas ke atas 10 lagi ahli Ikhwan Muslimun di Kafr el-Sheikh. Trend ini terus memuncak ketika polis dan pasukan keselamatan berterusan melakukan penangkapan tanpa tuduhan di bawah Undang-Undang Darurat," kenyataan itu menyebut.
Peguam terkemuka Ikhwan, Abdel Moneim Abdel Maksoud berkata penangkapan ini adalah suatu petanda yang "keadaan tidak akan menjadi lebih baik dan kerajaan percaya mereka boleh melawan populariti kami."
Dia menambah bahawa tidak wujud sebarang asas bagi penahanan ini dan "kerajaan akan menyedari sedikit masa lagi bahawa penangkapan pemimpin dan tokoh Ikwan hanya akan menambah pengaruh dan populariti ke atas usaha mereka."
Kementerian Dalam Negeri enggan memberi komen ke atas penangkapan itu, sambil mengatakan mereka tidak mempunyai butiran lanjut lebih daripada apa yang sudah diterbitkan. Keadaan ini bukanlah suatu yang asing bagi tokoh-tokoh pembangkang, termasuk Ikhwan. Mereka kerap berhadapan dengan penangkapan oleh kerajaan yang mahu menyekat populariti mereka di seluruh negara.
Pemimpin Ikhwan yang terkenal, Abdel Moneim Aboul Fotouh, menghabiskan masa hampir lima bulan di penjara selepas ditangkap musim panas lalu. Penahanan beliau telah menyebabkan banyak pihak di seluruh negara mempersoalkan taktik kerajaan dalam memerangi apa yang dilihat sebagai "ancaman terhadap kuasa mereka," kata seorang penganalisis yang tidak mahu dikenali.
Ikhwan, yang menguasai satu perlima kerusi Parlimen, diharamkan sebagai sebuah pertubuhan tetapi anggotanya dibenarkan bertanding dalam pilihanraya umum sebagai calon bebas.
Sejak kejayaan mereka di Parlimen, kerajaan telah bertindak keras terhadap kumpulan yang diharamkan itu. Namun hanya baru-baru ini ahli-ahli kanan telah menjadi sasaran dalam siri penangkapan yang melibatkan penahanan selama 15 hari.
Penangkapan Aboul Fotouh dan penahanan selanjutnya membangkitkan banyak kemarahan di kalangan aktivis, termasuk yang sekular.
Mereka menganggap bahawa tindakan keras terhadap ahli Ikhwan sangat "tidak berpatutan." George Ishaq, seorang aktivis terkemuka Gerakan Kefaya, memberitahu Bikya Masr semasa demonstrasi solidariti di pusat bandar untuk membangkang terhadap penangkapan pemimpin IM musim panas lepas bahawa "rejim ini ingin menangkap sesiapa saja yang menentangnya. Walau bagaimanapun hal ini tidak akan berlaku. Kami akan berdiri kuat dalam menghadapi keangkuhan mereka."
Amaran ini merisaukan banyak pihak di Mesir. Mereka merasakan yang penangkapan itu lebih banyak menghasilkan kerugian daripada kebaikan. Tapi, apa yang pasti ialah Ikhwan terus bergerak maju, sambil membuat persiapan untuk memilih Murshidul Am baru pada bulan Januari nanti.
"Kami tidak akan disekat oleh kerajaan dalam mengadakan pilihanraya yang demokratik, sesuatu yang mereka tidak amalkan," kata Murshidul Am sekarang, Mahdy Akef.
Sumber:
http://bikyamasr.com
http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=22027