Risalah Muhammad Mahdi Akif, Mursyid Am Ikhwanul Muslimin, 10-12-2009
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, selawat dan salam ditujukan kepada Muhammad bin Abdullah, Nabi Penutup yang amin, beserta keluarga dan para sahabatnya, serta para pengikutnya hinggalah ke hari pembalasan ..
Tidak akan hilang kewibawaan suatu umat sepanjang sejarahnya lalu menjadi tewas, dan tidak akan runtuh suatu peradaban yang telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia lalu menghilang, kecuali disebabkan oleh keadaan bangsanya yang semakin lemah; kerana kehilangan kebebasan, terlucut kehormatan dan dikaburi segala keinginan.
Sepanjang sejarah ketamadunan manusia hingga ke hari ini, penguasa yang zalim sentiasa berusaha melakukan penindasan dengan pelbagai cara; meneruskan penaklukan dengan menggunakan segala kelengkapan, melakukan kekejaman menggunakan pelbagai kekuatan; menindas dengan bertindak ganas, tidak lain hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari peradaban dan kebangkitannya. Ini dilakukan dengan cara melakukan pemenjaraan dan penjajahan terhadap kesedaran umat; mengubah dari kesedaran yang sebenar tentang hak mereka untuk mendapatkan kehidupan yang bebas dan bermartabat, kepada kesedaran palsu sehingga menjerumuskan umat pada realiti yang mencemaskan.
Apakah yang boleh kita tafsirkan dengan peristiwa-peristiwa berikut:
- Kes kemarahan dan permusuhan antara kedua negara (Mesir dan Algeria), yang memiliki ikatan akidah yang sama, satu rumpun, satu bahasa, satu jihad, satu pengorbanan dan satu perjuangan , akhirnya dicerai beraikan hanya disebabkan satu pertandingan (bolasepak)?!
- Kes perpecahan dalam pasukan pejuang Palestine dalam menghadapi satu musuh yang keji dan telah merampas negerinya, kehormatannya, kesuciannya, bahkan nafas kehidupannya?!
- Kes kegelapan yang diderita oleh kebanyakan manusia (buta hati), sehingga tidak mampu melihat dan menyedari akan keadaan tragis dan mencemaskan yang menimpa warga Palestina di Gaza; mereka terkepung dari berbagai sudut baik di laut, udara dan darat?!
- Kes persaingan hidup yang membawa seseorang mudah membunuh saudaranya sendiri seperti di Iraq, Pakistan, Somalia dan Yaman?!
- Kes kebisuan dan kelesuan secara menyeluruh yang berlaku di tengah-tengah bangsa kita dalam menghadapi pemerintah kejam yang mencengkam keinginannya; memenjara kehidupan dan masa depannya?!
Segala permasalahan yang dikemukakan tersebut bukanlah sekadar untuk memantau keadaan kelesuan yang berlaku di kalangan bangsa Arab dan umat Islam, namun ianya bertujuan untuk menghentikan dan menghadapi pengaruh keji yang telah menjadi ancaman bagi kemanusiaan secara keseluruhan, tanpa membezakan antara Muslim dan Kristian atau Arab dan Barat.
Seterusnya, kita dapat melihat wujudnya persamaan tentang pandangan negatif di kalangan umat kita terhadap hak bangsa Arab dan dunia Islam dengan pandangan negatif yang anti Islam di kalangan masyarakat Barat. Pandangan negatif inilah yang telah mendorong masyarakat barat melakukan penolakan jilbab ke atas wanita Muslim di dalam di komuniti mereka kerana menganggapnya sebagai budaya yang bertentangan dengan budaya mereka. Demikian juga tentang larangan melaungkan azan, bahkan adanya demonstrasi menentang Islam kerana ia dianggap sebagai agama Osama Bin Laden sahaja!.
Tanggungjawab Media
Tidak syak lagi bahawa peranan media sangat penting di dalam menyemai benih-benih kesedaran, apatah lagi di era media menjadi wahana umum yang mampu menguasai aliran pemikiran sesuatu bangsa. Jika tidak tentulah tidak mungkin sebuah pertandingan bolasepak bertukar menjadi medan pertempuran antara dua negara Arab dan Islam?! Alasan apakah yang boleh digunakan bagi menjelaskan sebab-sebab berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam yang sekaligus meranapkan kesatuan? Saling berbunuhan antara satu sama lain seperti yang berlaku di Iraq, Pakistan dan Somalia; wujudnya pemberontakan di Yaman serta tidak memberikan pembelaan terhadap rakyat Palestine?!
Cuba renungkan!
Mengapa terjadi demonstrasi di Barat sekadar untuk melakukan pembelaan terhadap haiwan yang mengalami kepupusan namun di sudut lain tiada siapa yang peduli tentang pembelaan rakyat Palestine yang terbunuh di bawah penindasan dan kekejaman Zionis? Apakah yang mendorong masyarakat yang mendakwa sebagai pendukung kebebasan dan kemerdekaan, tetapi membunuh Marwa El-Sharbini hanya kerana dirinya seorang Muslimah yang mengenakan jilbab?!
Semua jawapan kepada persoalan-persoalan ini ada kaitannya dengan peranan media; adakalanya mampu mengubah sebuah pemikiran menjadi sebilah tombak yang mampu membunuh dan menikam.
Di sinilah pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh media kita di saat berhadapan dengan sasaran dari dalaman juga penindasan dari pihak luaran. Oleh itu media kita perlulah:
Pertama:
Memperkuat dan membangkitkan keimanan yang lemah; menjadi penawar kepada penyakit dalam hati umat ; mampu menyatukan umat bukan memecah belahkan mereka.
Kedua:
Membimbing umat mengenali siapa musuh sebenar yang selalu merosakkan jati diri umat dan melunturkan akhlak, peradaban bahkan kewujudannya.
Ketiga:
Membangkitkan semangat dan sikap positif terhadap perjuangan, dengan memberikan perbezaan antara perjuangan menghadapi penjajah bersenjata dan perjuangan menghadapi kuasa tidak bersenjata.
Keempat:
Menolak pelbagai syubhat yang berkembang dan anti Islam (Islamphobia) yang ditonjolkan oleh media Barat, sebaliknya berusaha menampilkan gambaran Islam yang sebenar sebagai agama yang lengkap dan menyeluruh serta menyeru seluruh manusia untuk mendapatkan keamanan, ketenangan dan kedamaian, kebenaran dan keadilan serta kebebasan. Allah berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وأُنثَى وجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal”. (Al-Hujurat: 13).
Hakikat Kesedaran:
Apa yang dimaksudkan dengan kesedaran di sini adalah ruh yang harus diterapkan ke dalam diri setiap Muslim iaitu:
- Memahami hakikat kedudukan umat yang telah dianugerahkan kemuliaan oleh Allah. Allah SWT berfirman:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dibangkitkan untuk umat manusia” (Ali Imran:110).
- Bentuk acuan reformasi (islah) yang harus dicelupkan ke dalam ruh generasi umat ini pada semua peringkat islah, tanpa ada perbezaan antara reformasi ekonomi, politik, moral atau sosial, sepertimana yang digambarkan oleh Allah SWT tentang jati diri umat ini,
تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
“Menyeru pada yang Ma’ruf dan mencegah kemungkaran” ( Ali Imran: 110).
- Kandungan manhaj ini iaitu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Para Rasul-Nya dan hari akhirat, keimanan yang tidak pernah bercampur rasa gentar dan ragu, keyakinan yang tidak pernah luntur, dan Jihad di jalan Allah dengan segala harta yang dimiliki:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. mereka Itulah orang-orang yang benar”. (Al-Hujurat: 15).
Kesedaran inilah yang menjadi jalan dan landasan utama untuk memperkukuhkan keimanan umat ini, kerana terdapat kekuatan ruh dan keluhuran akhlak di dalamnya. Namun jika kekuatan ini hilang bermakna kekuatan kebendaan akan menguasainya dari segenap penjuru.
Keimanan seseorang sewajarnya diasaskan kepada ajaran tentang kesedaran muslim terhadap aqidahnya, diikuti dengan kesedaran untuk melakukan agenda reformasi yang merupakan perkara asas dan tidak dapat dipisahkan dalam dakwah Ikhwanul Muslimin. Imam As-Syahid Hasan Al-Banna dalam risalahnya berkata:
ولا معنى لإيمان لا يتبعه عمل، ولا فائدة في عقيدة لا تدفع صاحبها إلى تحقيقها والتضحية في سبيلها
“Tidaklah bererti suatu keimanan yang tidak diikuti oleh tindakan, dan tidaklah bermanfaat suatu keyakinan yang tidak mendorong pemiliknya untuk merealisasikannya dan berkorban di jalannya.”
Oleh itu, tidak bermanfaat sama sekali kesedaran umat terhadap hak-haknya jika tidak bertunjangkan akidah yang mampu menggerakkan serta membakar ruh bagi mencapai kehendak untuk berubah. Begitu juga tiada harganya kesedaran yang hanya sekadar teori, hanya terbatas pada perbualan di kedai-kedai kopi dan forum, tetapi tidak mampu membangkitkan semangat gerakan umat. Sebaiknya semua ini dipacu untuk mendekatkan diri kepada pemilik kebenaran (Allah SWT), sehingga kita dapat merasakan apabila kita berada di jalan mencapai keredhaanNya maka jalan-jalan selainnya akan menjadi hina. Dengan itu tidak ada perbezaan kesedaran berdasarkan aqidah, antara pegawai atau petani, ahli politik atau ahli akademik di universiti; kerana setiap orang memiliki kesedaran berdasarkan hak-hak yang sama.
Pemahaman terhadap Islam dan fikrahnya yang sebenar, sebagaimana yang diyakini oleh Ikhwanul Muslimin , mampu dimiliki oleh semua golongan yang terdiri dari orang awam hinggalah kepada pemimpin syuhada Khalifah umat Islam iaitu Saidina Umar. Dengan memahami hakikat Islam yang sebenar, seorang pemimpin sehebat Saidina Umar sanggup menarik kembali keputusannya berkaitan hak mahar dalam perkahwinan hanya kerana tunduk kepada hak rakyat! Tidak pernah ada rasa kesal dalam dirinya akibat tunduk kepada kemahuan dan kehendak rakyat. Peribadi mulia ini kekal meninggalkan teladan yang baik sepanjang sejarahnya. Hal ini berlaku kerana wujudnya kesedaran umat akan pentingnya pendapat dalam membuat sesuatu keputusan politik. Maka ketika itu Saidina Umar diperintahkan (sebagai saluran media pada masa itu) untuk berputar mengelilingi jalan sambil berkata:
أصابت المرأة وأخطأ عمر
“Benarlah wanita itu dan Umar yang keliru”
Dalam menghadapi realiti umat masa kini, keimanan yang hakiki adalah impian yang diharapkan. Keimanan yang padu ini akan menghilangkan segala sikap putus asa sebaliknya mampu membakar semangat untuk terus bekerja dan berkorban bagi mencapai perubahan yang diimpikan. Namun di sudut lain, keimanan yang padu, secara sunnatullah, sudah tentu akan menghadapi berbagai rintangan dan halangan dari pihak pemerintah; bagi membangunkan sistem sosial yang dilindungi pemerintah, pada masa yang sama tetap setia pada Negara dalam usaha melindungi hak-hak bangsa yang memiliki kesedaran, bersatu seia sekata serta mempunyai kemahuan yang bergelora dan iman yang kuat.
Untuk para ikhwan…
Wahai para ikhwan di mana saja kamu berada… ketahuilah bahawa kesedaran akan hakikat sebenar peranan kamu, kesucian dakwah kamu dan keagungan misi dan tujuan kamu; mewajibkan kamu menjadi pembawa bendera kesedaran yang hakiki dalam rangka menghadapi kepalsuan dan pemalsuan, tidak ada pengecualian dari kamu; samada kumpulan kecil, pegawai atau seorang surirumahtangga, semuanya menghadapi tanggungjawab terhadap masa depan yang sama. Semuanya memiliki kedudukan tersendiri untuk bergerak di dalamnya. Panggilan dari lingkungan kamu adalah milik kamu, maka gunakanlah kesempatan yang baik tersebut dan jangan mensia-siakannya, tempatkanlah umat manusia untuk bersama kamu dengan baik. Dan tidaklah kita melihat adanya kisah benar warga Yasin kecuali untuk menghadang rintangan dengan cara yang benar di hadapan seluruh isi umat:
وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ
“Dan datanglah dari hujung kota, seorang laki-laki dengan bergegas-gegas ia berkata:
“Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu”. (Yasin:20)
Sebaiknya kamu dan umat manusia bersama-sama memahami tabiat marhalah yang mengiringi kehidupan umat kita.
Cukuplah bagi kita mengambil iktibar dengan merujuk pada halaman 31 dari buku “Yudaisme,” dari seorang peneliti “Israel Shahak,” yang menyebutkan pendapat seorang jeneral “Gazit Shlomo yang merupakan seorang mantan ketua tentera perisikan Zionism. Menurut beliau, Peranan Regim Zionis di daerah (lokasi geografi Israel di tengah-tengah bangsa Arab Timur Tengah – Muslim) ialah meningkatkan kemampua, “Israel” sebagai pengawal kestabilan di seluruh negara-negara sekitarnya, peranannya adalah melindungi regim yang ada; untuk mencegah berlakunya transformasi radikal atau menghentikannya, dan menghalang penyebaran semangat fundamentalisme agama, dan untuk tujuan ini “Israel” berusaha mencegah terjadinya perubahan yang melampaui batas “Israel”, yang menganggap perubahan tidak mampu dibendung, sehingga wujud rasa keterpaksaan menggunakan segala kekuatan tenteranya untuk mencegah mereka, atau menghadangnya. ”
Jika inilah visi Zionis, maka peranan kamu wahai Ikhwanul Muslimin adalah membangkitkan kesedaran umat dan berusaha menghadapi tipu daya mereka dalam rangka memenuhi panggilan Allah,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إلَى الأَرْضِ
“Hai orang-orang yang beriman, Apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu?” (At-Taubah:38)
Ini adalah panggilan untuk memenuhi panggilan perang dengan damai; untuk membetulkan kembali kesedaran umat yang sesuai dengan keadaan dan tabiat marhalah.. membuang sifat bermalas-malasan untuk menunaikan risalah sehingga ada kaum lain yang menggantikan kedudukan kamu,
إلا تَنفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا ويَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ولا تَضُرُّوهُ شَيْئًا واللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”. (At-Taubah:39)
Oleh itu bekerjalah, berjalanlah dan teguhkanlah diri kamu, dan yakinlah terhadap masa depan umat ini.. bahawa Allah akan mewariskan bumi ini kepada siapa saja yang dikehendaki dari hamba-hamba-Nya yang soleh,
وَلا تَهِنُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, Padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman”. (Ali Imran:139)
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik”. (Al-Ankabut:69)
فاللهم اجعلنا ممن يعي ويوعي فترتفع رايات عزِّ أوطانه في الدنيا ويكون من أهل الجنة في الآخرة
Ya Allah jadikanlah kami termasuk orang-orang sedar dan diberikan kesedaran, sehingga mampu meninggikan bendera kemuliaan bangsanya di dunia dan menjadi bahagian dari penghuni syurga di akhirat kelak…
Akhirnya doa kami adalah bahawa segala puji hanya milik Allah Tuhan semesta alam .
________________________________________
Artikel Asal: http://www.al-ikhwan.net/umat-islam%e2%80%a6-antara-kesadaran-hakiki-dan-kesadaran-palsu-3381/