Keimanan terhadap Islam sebagai agama samawi yang diturunkan Allah SWT memang sudah muktamad. Akan tetapi, perkara yang sama tidak dapat dikatakan bagi pemahaman manusia terhadap Islam. Ia memerlukan sebuah pengembaraan sehingga mungkin terhenti pada suatu titik.
Jalan-jalan bagi mencapai pemahaman Islam dalam konteks kesyumulan dan kesempurnaannya adalah jalan-jalan yang sangat panjang dan berliku. Setiap zaman dan keadaan memerlukan penyajian tersendiri dari ajaran Islam yang maha dalam maknanya ini. Firman Allah SWT,
“Orang-orang yang berjihad di jalan Kami sungguh akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah menyertai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Al-Ankabuut: 69)
Ibnu Kathir mengatakan apa yang dimaksudkan dengan walladziina jaahduu fiinaa adalah Rasulullah SAW, para sahabatnya dan pengikutnya sehingga ke hari kiamat nanti manakala maksud subulanaa adalah jalan-jalan bagi urusan dunia dan akhirat.
Berkaitan dengan hadis mengenai Mu’adz bin Jabbal yang diutus oleh Rasulullah s.a.w. ke negeri Yaman dan menyatakan akan melakukan ijtihad apabila tidak diperoleh nas dalam Al-Quran dan As-Sunnah dalam memutuskan sesuatu perkara, ramai menekankan yang pintu ijtihad belum lagi tertutup. Dari masa ke semasa akan muncul ulama-ulama besar dengan pemikiran dan pendapatnya yang segar dan baru berdasarkan pemahaman mereka tentang nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah.
Sebahagian kelompok hanya memperhatikan aspek fiqh dalam masalah pembukaan ijtihad dari masa ke masa ini. Namun sesungguhnya lapangan ijtihad itu amat luas, tidak sekadar tertumpua kepada masalah fiqh sahaja tetapi juga merangkumi berbagai bidang yang berkait dengan urusan dunia dan akhirat.
Kejumudan juga tidak seharusnya terjadi kepada para pendokong kebangkitan Islam sebagaimana yang disampaikan Dr. Yusuf Qardawi, “Imam Hasan Al- Banna bukan seorang yang jumud/statik bahkan beliau seorang yang progresif dan dinamik. Dia selalu memanfaatkan semua yang ada di sekekelilingnya, melakukan inovasi diri dan dalam dakwahnya. Seandainya beliau berumur panjang, kita tidak tahu apakah yang bakal diperbuatnya. Sebab itu saudara-saudara dan pengikutnya tidak boleh statik dalam pelbagai wasilah, kaedah ataupun ide pemikiran.”
Pemahaman yang terlalu kaku dengan pendapat yang bersangkutan dengan situasi tertentu akan menyebabkan seorang aktivis dakwah itu tidak mampu menangani masalah yang sedang dihadapinya pada masa kini.
Demikian juga rukun bai’ah yang disusun oleh Imam Hasan Al- Banna. Ia bukan sesuatu yang bersifat mati atau jumud sehingga ia menjadi satu perkara yang sudah tidak relevan atau sekadar berupa barang antik yang harus diwarisi para pendokong dakwah.
Justeru, para pendokong dakwah harus membaca, memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari yang dilaluinya. Pendedahan kepada rukun bai’ah kepada pendokong dakwah akan amal bekerja sebagai sebuah jamaah mungkin telah berlangsung satu, dua, lima, sepuluh, atau dua puluh tahun yang lampau. Namun, aspek penghayatan akan rukun bai’ah itu mesti berlaku pada setiap saat dalam berbagai lapangan medan dakwah. Seharusnya, penghayatan itu juga menjadi semakin mendalam dari hari ke sehari.
Disebabkan itu, rukun al-fahm (pemahaman) harus terus diperkembangkan mengikut jalan dakwah menuju kesyumulan dan kesempurnaannya. Begitu juga rukun ikhlas. Kualiti dan kapasiti ikhlas kita harus terus-menerus diperkembangkan mengikut perjalanan dakwah yang harus dibuka ruang lingkupnya kepada yang lebih besar, sesuai dengan tuntutan syumuliyah dan kesempurnaan dakwah kita.
Begitu juga kualiti dan kapasiti amal kita, jihad kita, pengorbanan kita, ketaatan kita, pengukuhan kita, kesungguhan kita, ukhuwah kita, dan keyakinan kita harus terus-menerus diperkembangkan.
Rukun bai’ah harus selalu dirujuk dan dipertingkatkan kefahaman terhadapnya, malah ia patut di dahulukan dan dijadikan batu asas kepada sebarang aktiviti dakwah. Dengan itu, rukun bai’ah akan dapat menjadi pencetus, pemacu dan pemecut bagi kegiatan gerakan dakwah itu sendiri. Dengan demikian juga, sasaran-sasaran dakwah dan tujuan-tujuan dakwah akan dapat tercapai dalam jangka masa yang pendek.
Kesedaran terhadap kepentingan rukun bai’ah amat mempengaruhi kualiti komitmen dai’e akan tugas dakwah dan kepada jamaah. Sekiranya ingatan kepada rukun-rukun itu tertinggal dan terhenti pada suatu titik maka akibatnya, komitmen yang dihasilkan tidak akan mampu lagi bagi menyahut penglibatan dalam dakwah yang kian terus-menerus berkembang.
Politik Dan Dakwah: Pandangan Hasan Al-Banna
Dakwah tidak dapat dipisahkan daripada politik (siyasah) kerana tujuan dakwah itu sendiri adalah penguasaan (siyasah) sebagaimana firman Allah SWT,
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi.” (Al-Fath: 28)
Imam Syahid Hasan Al-Banna telah menjelaskan akan peri pentingnya diwujudkan sebuah Institusi Islam yang mengendalikan dakwah. Sebagaimana ucapan penyampaiannya kepada para pemuda, “Adalah sangat menghairankan apabila sebuah fahaman seperti fahaman komunis mempunyai negara yang melindunginya, yang menyebarkan ajarannya, yang menegakkan prinsip-prinsipnya, dan mengiringi masyarakat menuju ke sana. Demikian juga fahaman Fasisma dan Nazisma, keduanya mempunyai bangsa yang mensucikan ajarannya, berjuang bagi menegakkannya, menanamkan benih kebanggaan di dalam hati para pengikutnya, menyuruh seluruh ideologi bangsa bagi tunduk kepadanya. Dan lebih menghairankan lagi, kita dapati berbagai ragam ideologi sosial politik di dunia ini bersatu bagi menjadi pendukung setianya. Mereka teguh memperjuangkannya dengan penuh jiwa raga, menerusi pemikiran, melalui pena, harta benda dan dengan semangat kesungguhan yang total, sehingga ke titisan darah yang terakhir. Namun sebaliknya, kita belum lagi terjumpa wujudnya suatu pemerintahan Islam yang bekerja keras bagi menegakkan kewajiban dakwah Islam, yang menghimpunkan berbagai aspek positif di seluruh aliran ideologi dan membuang aspek negatifnya. Lalu dipersembahkannya kepada sesuatu bangsa sebagai suatu ideologi alternatif dunia yang mampu memberi penyelesaian yang benar dan jelas bagi seluruh persoalan umat manusia.”
Dalam kesempatan lain Imam Hasan Al-Banna menyatakan, “Sesungguhnya seorang muslim tidak sempurna keislamannya kecuali jika ia bertindak sebagai ahli politik. Pandangannya jauh ke hadapan terhadap persoalan umatnya, memperhatikan dan menginginkan kebaikan baginya. Meskipun demikian, perlu saya katakan yang perkara ini tidak dinyatakan oleh Islam. Setiap organisasi Islam seharusnya menyatakan dengan jelas dalam program-programnya yang ia menitikberatkan persoalan politik ummatnya. Jika tidak berlaku demikian, maka sesungguhnya ia sendiri perlu sekali melihat kembali dan memahami makna Islam.”
Suatu catatan penting dari Imam Hasan Al-Banna adalah peringatannya tentang wujud suatu pemahaman sempit yang beranggapan, jika disebut sahaja politik maka manusia akan segera membayangkan sebuah parti politik. Politik yang dimaksudkannya bukanlah sekadar sebuah parti politik; akan tetapi keseluruhan aktiviti dakwah yang dilakukan adalah bagi mengendali nasib umat sehingga mampu mengangkat mereka kepada kedudukan sebagaimana yang diperintahkan Al-Quran di tengah-tengah manusia lain.
Bahkan, Al-Banna mempunyai kritikan-kritikan yang bernas terhadap parti politik yang berkembang pada saat itu. Kata beliau, “Ikhwanul Muslimun berkeyakinan yang parti-parti politik yang ada di Mesir didirikan dalam suasana yang tidak kondusif. Sebahagian besar adalah didorong oleh kepentingan peribadi dan bukannya demi kemaslahatan umum. Ikhwan juga berkeyakinan, parti-parti yang ada sehingga kini, belum lagi dapat menentukan program dan manhajnya secara pasti. Ikhwan berkeyakinan, sistem kepartaian yang seperti itu akan merosakkan seluruh kehidupan, membenam kemaslahatan, membinasa akhlak dan memporakperandakan kesatuan umat.”
Kaitan Amal Siyasi Dengan Rukun Bai’ah
Amal siyasi adalah sebahagian penting dari keseluruhan amal Islami dan harus mendapat perhatian yang serius dari para pendokong dakwah. Bahkan, apabila mereka berbaiah pada jalan dakwah, ia juga adalah baiah kepada amal siyasi.
Dakwah Islam tidak menyuruh para dai bersikap memisahkan diri dari persoalan-persoalan kemasyarakatan yang dihadapi umat Islam. Sekalipun terdapat usaha membeda-bedakan lingkungan kehidupan para pendokong dakwah dari masyarakat umum, tujuannya bukan bermaksud melarikan dari masyarakat yang menjadi tanggungjawab dakwahnya. Malah, hal itu dilakukan hanya bagi pelarasan dalaman mereka supaya mampu memiliki kekuatan yang lebih besar dalam memecahkan persoalan-persoalan masyarakat tersebut. Ataupun, supaya mereka tidak tergelincir dek pelbagai tarikan ke arah kemaksiatan yang lebih kuat sehingga ia akhirnya terjerumus dan menjadi sebahagian daripada punca permasalahan tersebut.
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur). Barangsiapa yang membelakangi mereka di waktu itu, kecuali berbelok untuk (siasat) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah, dan tempatnya adalah neraka jahannam. Dan amat buruklah tempat kembalinya.” (Al-Anfaal: 16)
Kefahaman tentang amal siyasi yang dikembangkan pada saat ini boleh jadi berbeza dengan sebelumnya disebabkan perbezaan situasi dan keadaan bagi mereka yang menyertainya. Sungguhpun pandangan Imam Hasan Al-Banna tentang sistem kepartian menyebabkan beliau sendiri tidak mendirikan parti politik, namun pendirian membenarkan penyertaan dalam pilihanraya umum telah diletakkan secara aktif dalam beberapa kurun terakhir. Parti-parti politik berbagai bentuk telah ditegakkan dan didokongi para pendokong dakwah di berbagai negara dalam rangka amal siyasi mereka berdasarkan syura yang mereka lakukan.
Amal siyasi yang dilakukan bukanlah sekadar bagi meraih kekuasaan dan mencapai kedudukan tinggi dalam pemerintahan. Ia adalah semata-mata ditujukan bagi penegakan hukum-hukum Allah s.w.t dalam masyarakat berdasarkan prinsip-prinsip keadilan yang telah digariskanNya. Inilah rukun ikhlas yang akan menjauhkan pendokong dakwah dari jerangkap kediktatoran, rasuah dan kesombongan tatkala meraih sesuatu kedudukan tinggi dalam kerajaan.
Setiap pendokong menyedari sungguh-sungguh dengan kefahamannya dan keikhlasannya bahawa amal siyasi yang dilakukannya adalah sebahagian dari tugas besar dari tangga-tangga mihwar ta’sisi, mihwar tanzimi, mihwar sya’bi, mihwar muasasi dan mihwar dauli.
Menyentuh perkara yang berkaitan dengan strategi kerja, Imam Hasan Al-Banna menyatakan, “Tidaklah mengapa menggunakan orang-orang bukan muslim – jika keadaan darurat- asalkan bukan bagi mengisi jawatan dalam jabatan yang strategik (dalam pemerintahan).”
Kesungguhan dalam amal siyasi adalah sebahagian dari jihad yang harus dilakukan. Kesungguhan itu akan terjadi jika pendokong dakwah menghargai dan mematuhi jalan dakwah yang telah digariskan berdasarkan syura. Tidak boleh sama sekali seorang itu bersikap bermalas-malasan dalam bidang ini hanya kerana dia berasa itu bukan bidangnya ataupun disebabkan dia tidak sependapat dengan keputusan syura.
Apapun yang disumbangkan dalam amal siyasi, bermula dengan harta sampailah ke jiwa dan raga, semuanya adalah sebahagian dari ruh tadhiyah (pengorbanan) di jalan dakwah. Tidak ada istilah mati sia-sia dalam suatu amal siyasi kerana seluruh pengorbanannya harus diyakini akan dihisab oleh Allah SWT dengan timbangan kebaikan dakwah.
Ketaatan dalam janji setia pendokong dakwah adalah ketaatan yang sepenuhnya selama masih berada dalam jalan Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada ketaatan yang bersifat separuh-separuh, misalnya hanya kepada perintah-perintah atau kesepakatan-kesepakatan dalam bidang sosial sahaja, sedangkan dalam politik ia membangkang. Termasuk dalam perkataan fil makrah (dalam keadaan tidak menyenangkan) adalah ketaatan kepada hal-hal yang ketika bersyura kita tidak sependapat dengan hasil keputusannya.
Thabat (keteguhan) adalah bahagian penting dalam dakwah ini dan lebih istimewa lagi dalam amal siyasi. Jika dalam kerja sosial mungkin banyak pujian yang mendatang tetapi dalam amal siyasi keadaannya mungkin terbalik. Banyak orang yang berasa terancam dengan kehadiran dakwah dan Islam di pentas politik, banyak orang yang tergugat; bahkan memusuhinya sebagai sebahagian dari konspirasi global yang sudah terjadi sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W.
Risiko-risiko yang diterima tanpa adanya thabat akan menular menjadi asas perasaan sesal di atas keputusan yang telah disepakati, sedangkan waktu adalah sebahagian daripada penyelesaian. Keberhasilan perjuangan seringkali tidak dapat diukur dalam jangka waktu yang pendek.
Amal siyasi yang diperjuangkan adalah amal siyasi yang menepati Islam. Ini adalah komitmen yang tidak boleh berubah, meskipun tawaran berbagai ideologi sangat banyak dalam dunia politik. Manhaj Islam sedemikian sudah terang lagi bersuluh. Disebabkan itu, pendokong dakwah tidak akan terjebak dalam kancah pemikiran dan kaedah yang tidak jelas hanya karena ia tidak sabar sewaktu dalam proses usaha yang memakan masa yang panjang. Ini adalah makna sebenar tajarrud (kemurnian total) dalam rukun bai’ah yang sepuluh.
Dunia politik memiliki karakternya yang tersendiri sehingga ramai yang mengatakan “politik itu kotor”. Perkataan itu sesungguhnya tidak benar kerana dunia sosial, perdagangan, bahkan dunia dakwah itu sendiri boleh sahaja menjadi “kotor” akibat tangan-tangan seseorang atau sekelompok mereka yang tidak bertanggungjawab. Namun demikian, tidak dapat dinafikan yang begitu banyak perpecahan, persengketaan, permusuhan di antara teman, lawan dan fitnah sememangnya akan berlaku dalam ruang lingkup dunia politik.
Oleh kerana itu, jika rukun ukhuwah diabaikan dan pendekatan terhadapnya tidak memaksimumkan usaha dalam amal siyasi, kebarangkalian akan semua kekhawatiran itu akan mungkin terjadi pada diri kita amatlah tinggi.
Perkara terakhir, makna thiqah perlu direnungi daie; iaini rasa puas terhadap pemimpin di atas kemampuan kepemimpinannya mahupun keikhlasan, dengan kepuasan yang mendalam, yang akhirnya membuahkan perasaan cinta, penghargaan, penghormatan, dan ketaatan. Semakin jauh wawasan organisasi itu dari titik garisan keputusan yang dicapai, akan semakin signifikan rukun thiqah ini dalam membangunkan komitmen.
Sudah pasti, rukun ini tidak menyingkirkan fungsi pemimpin sebagai guru dan pembimbing kepada para anggotanya sehingga kepuasan itu hadir dengan penuh qanaah dan dalam keadaan yang tidak dipaksa. Keputusan-keputusan dalam amal siyasi dalam kadar tertentu kadangkala memang begitu rumit disebabkan betapa kompleksnya persoalan yang dihadapi. Thiqah di antara pendokong dakwah dapat mengurangi kemungkinan terjadinya syak wasangka kerana adanya keputusan-keputusan qiyadah yang belum dapat difahami.
Komitmen Bai’ah Secara Aktif Dalam Dakwah
Kekuatan hubungan terhadap rukun bai’ah akan dapat mempertahankan penampilan sinergi dan manhaj amali pendokong dakwah sehingga mampu bersaing dalam persaingan di antara aliran, antara parti-parti politik dengan aneka ragam mabadi (ideologi). Insya Allah dengan komitmen bersifat terus-terusan terhadap rukun bai’ah jamaah dakwah, akan dapat menghasilkan penampilan yang sanggup menghadapi tentangan keras yang semakin tajam antara aliran ideologis dan beranika pemikiran yang terdapat secara umum di lapangan.
Ustaz Hilmi Aminuddin menyatakan penampilan sesuatu jamaah yang diharapkan bakal tumbuh dan berkembang hasil dari penghayatan terhadap rukun bai’ah yang terus-menerus itu ialah:
Pertama, mazhhar atsbatu mauqifan (penampilan dalam pengukuhan sikap) iaini sikap yang paling teguh di antara sikap-sikap yang ditampilkan oleh golongan-golongan, madzhab-madzhab dan aliran-aliran lain. Bukannya sikap yang tidak tetap, yang tenggelam timbul, yang tidak yakin tatkala menghadapi tentangan-tentangan yang semakin kuat dan terang-terangan.
Sekali lagi, tentangan yang semakin terang-terangan mengingatkan kita bahawa kini kita sekarang berada dalam era jahriyah (keterbukaan). Sikap teguh kita harus ditampilkan secara sepenuhnya dalam sinergi, prestasi dakwah jamaah dan partai kita. Sikap teguh adalah penampilan awal yang berupa buah yang terhasil dari kekuatan yang dibajai aqidah kita.
Kedua, mazhar arhabu shadran. Keteguhan sikap itu tidak melahirkan sikap yang kaku kerana selain adanya aqidah yang teguh, aqidah yang kuat, perlu juga ada akhlak mulia yang akan melahirkan arhabu shadran (kelapangan dada). Di atas keteguhan sikap itu, kita paling layak dan paling sanggup berlapang dada dalam menghadapi realiti kehidupan, dalam menghadapi tentangan, dalam bermuamalah menghadapi berbagai sikap-sikap lain. Termasuk ketika kita berinteraksi dengan sesama kelompok Islam yang kebetulan mereka belum lagi berada dalam satu manhaj dengan kita serta memiliki perlakuan dan sikap yang tidak menyenangkan.
Ketiga, lahirnya mazhar a’maqu fikran (penampilan kedalaman dalam berfikir) dalam menghadapi aneka situasi dan keadaan sehingga kita tidak memberi tindakbalas secara tergesa-gesa. Kita selalu berfikir secara sangat mendalam dan penuh teliti dalam menentukan langkah-langkah yang harus kita ambil, melalui proses dan prosedur benar yang sudah kita sepakati bersama. Tidak boleh ada satupun keputusan jamaah ini yang dibuat tanpa melalui proses a’maqu fikran. Malah secara praktikalnya, perkara begini selalu diwujudkan dan dipelihara dalam syura wadah. Sehingga tidak ada lagi alasan dari kita untuk tidak mendukung sikap yang diambil oleh jamaah, kerana proses dan prosedur yang diambil adalah sebenar-benarnya, tetap serta tidak terburu-buru.
Keempat, dari sudut pandangan fenomena kehidupan dan perjuangan ini, kita harus mempunyai mazhar awsa’ nazharan (penampilan dengan pandangan yang lebih luas). Bahkan, kita harus mempunyai pandangan yang sangat luas, seluas ufuq yang boleh dijangkau sedaya mata kita. Kita tidak boleh mempunyai pandangan beku yang sempit, yang bersifat kepartaian atau khusus bagi sekelompok atau aliran tertentu. Kita harus memiliki pandangan yang sangat luas kerana sasaran dakwah yang telah dicanangkan adalah bina-ul fard (pembinaan individu), bina-ul mujtama’ (pembinaan masyarakat), bina-ud daulah (pembangunan negara), bina-ul khilafah (pembangunan khilfah) sehingga kepada ustadziyatul ‘alam (guru semesta alam).
Di sana kita harus menyebarkan rahmatan lil ‘alamin sehingga setiap makhluk yang hidup–bukan sekadar manusia sahaja, yang dapat merasakan sentuhan rahmat dari kita. Masakan dapat kita lakukan itu sekiranya kita tidak mempunyai pandangan yang sangat luas terhadap kehidupan ini?
Kelima, kita harus mendukung mazhhar ansyathu ‘amalan (penampilan sebagai pihak yang paling giat bekerja). Ini adalah disebabkan mazhhar-mazhhar sebelumnya harus dibuktikan dalam ansyathu ‘amalan (kegiatan kerja). Hendaknya, kita selalu beramal paling aktif dan menjadi pendokong/amilin yang paling giat, berkesan dalam mengerahkan tenaga dan potensi diri serta langkah-langkah yang diambil selalunya tepat pada sasaran. Semua ini seharusnya terjadi, terpantul dan berpunca dari aqidah dan fikrah kita.
Keenam, begitu juga kita menyedari sepenuhnya bahawa kesyumulan Islam tidak mungkin diperjuangkan secara individual, tetapi harus diperjuangkan secara jama’iy (berkumpulan). Maka, kita pun harus menampilkan struktur organisasi secara ashlabu tanziman (organisasi yang paling teguh dan kukuh bagaikan bata tersusun rapi). Tanzim kita adalah tanzim yang gagah, tidak mudah lentur oleh cabaran-cabaran yang diarahkan oleh lawan, musuh, pesaing mahupun orang yang belum memahami dakwah kita.
Kita tetap teguh. Keputusan jamaah tidak pernah dihasilkan oleh desakan, tekanan, ataupun sebarang ancaman. Penting sekali, segala proses dan prosedur yang berjalan adalah diputuskan dengan tidak menghiraukan tekanan dari mana-mana pihakpun. Ini adalah sebagai pembuktian terhadap ashlabu tanzhiman.
Ikhwan dan akhawat fillah, pada akhirnya adalah perkara yang ketujuh iaitu mazhhar aksaru naf’an (penampilan sebagai pihak yang paling banyak memberi manfaat). Terdahulunya, sering saya katakan yang kita dituntut oleh Allah s.w.t menjadi orang yang produktif serta menghasilkan amal kebajikan. Ini berdasarkan secara fitriyah kita adalah bersifat sebagai seorang pengguna. Dalam permasalahan pengguna, ia tidak perlu didorong serta tidak perlu diprogram, kerana perkara itu sudah menjadi tabiat semulajadi. Sejak kita lahir lagi, kita telah secara automatis, terbiasa dan tersentuh hati akan belaian dari seorang ibu, menerima layanan kasih dari seorang ayah, termakan budi dengan sikap ambil berat dari saudara-saudara kita serta keprihatinan tetangga-tetangga yang menimang-nimang kita. Wallahu a’lam.
________________________________________
Article printed from Al-Ikhwan.net: http://www.al-ikhwan.net
URL to article: http://www.al-ikhwan.net/urgensi-arkanul-bai%e2%80%99ah-dalam-amal-siyasi-2560/