Rabu, Disember 9, 2009
Oleh Khalid Amayreh dari wilayah Palestin yang dijajah
Peneroka haram Yahudi berfikiran Nazi terus bermaharajalela di seluruh Tebing Barat, mengganasi warga Palestin yang tidak mempunyai perlindungan dan merosakkan harta benda milik mereka.
Pemimpin-pemimpin peneroka haram, rata-rata merupakan rabbai Yahudi yang terpelajar dalam undang-undang Yahudi atau Halacha, telah membuat ketetapan bahawa mereka diharuskan untuk menyerang orang-orang Palestin dan harta benda mereka bertujuan untuk memprotes keputusan kerajaan yang membekukan peluasan penempatan Yahudi di beberapa bahagian wilayah-wilayah yang dicerobohi.
Di desa Tebing Barat Um Jourtel Shama'a dan Salmouna berhampiran Bethlehem, peneroka-peneroka Yahudi membawa raifel automatik pada hari Ahad, menebang dan kemudian membakar sebanyak 50 pokok zaitun matang milik petani Palestin.
Petani-petani, termasuk pemilik pokok yang dimusnahkan, menuduh bahawa tentera Penjajah Israel (IOF) tidak melakukan apa-apa pun untuk menghentikan para penceroboh.
"Peneroka haram dan tentera penjajah adalah sama. Peneroka melakukan pekerjaan kotor mereka, dan tentera hanya memerhati, itu sahaja," kata seorang petani.
"Mereka yang mengatakan bahawa peneroka haram melakukan jenayah tanpa sokongan tentera adalah pendusta. Wujud kerjasama lengkap di antara kedua belah pihak."
Peneroka Yahudi yang diindoktrinasi dengan supremasi agama Yahudi mempercayai bahawa Palestin dianugerahkan kepada mereka oleh Tuhan dan mereka meyakini bahawa orang-orang bukan Yahudi tidak mempunyai hak untuk hidup di negeri itu melainkan jika mereka masuk agama Yahudi atau menerima status yang begitu hina dengan berkhidmat kepada orang Yahudi sebagai pembawa air dan pembelah kayu.
Peneroka-peneroka haram ini, yang bertindak atas fatwa keagamaan yang dikeluarkan oleh rabbai mereka, secara rutin memusnahkan pokok-pokok zaitun kepunyaan orang Palestin, terutama berhampiran penempatan haram yang dibangunkan di tanah Palestin yang dicerobohi, bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Para peneroka berharap bahawa pemusnahan pokok zaitun orang Palestin akan memaksa kebanyakan orang Palestin untuk berpindah, bahkan berhijrah untuk selama-lamanya, bagi membolehkan peneroka-peneroka haram mengambil alih tanah orang Palestin.
Banyak keluarga Palestin bergantung kepada minyak zaitun sebagai mata pencarian dan kelangsungan hidup ekonomi.
Di desa Aynabus di utara Tebing Barat, penduduk Yahudi menyerang dan merosakkan dua buah kedai dan mesin-mesin pertanian milik orang Arab pada hari Ahad.
Para peneroka haram mengatakan mereka memprotes keputusan yang dibuat oleh kerajaan Benyamin Netanyahu sebelum itu untuk membekukan peluasan penempatan Yahudi selama sepuluh bulan.
Keputusan itu tidak merangkumi Baitulmuqaddis Timur maupun penempatan-penempatan yang begitu luas yang lain. Ia dilihat sebagai taktik hubungan awam bertujuan untuk menenangkan pentadbiran Amerika.
Malah, kurang daripada 24 jam selepas keputusan itu diambil, penguasa penceroboh Israel memutuskan untuk membina puluhan unit penempatan dan "bangunan-bangunan awam" di Tebing Barat.
Beberapa wartawan dan kolumnis Israel telah menggambarkan keputusan untuk membekukan peluasan penempatan itu sebagai sekadar "drama" yang sedang dilakonkan melalui koordinasi rapi di antara para peneroka haram di satu pihak dan kerajaan Israel dan tentera penjajah di pihak yang lain.
Kerajaan Netanyahu menggunakan "langkah penting" itu untuk tujuan propaganda, sambil mengisytiharkan bahawa bola sekarang berada di gelanggang Palestin dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk tidak kembali ke meja rundingan.
Sementara itu, peneroka haram Yahudi di pusat bandar al-Khalil membaling batu ke arah orang Arab yang sering mengunjungi Masjid Ibrahimi untuk beribadat.
Pegawai Wakf Jabari Zaid Rasmi menuduh tentera penjajah Israel bertindak sebagai "pendorong dan pelindung pengganasan Yahudi terhadap orang-orang kami."
"Tentera penjajah Israel memberitahu dunia bahawa mereka mengekalkan kehadiran di bandar ini untuk melindungi orang Yahudi dan memelihara undang-undang dan keamanan. Tapi apa yang dilakukan tentera pada kenyataannya ialah untuk membolehkan peneroka-peneroka menyerang orang awam Palestin dan mensabotaj perniagaan dan harta benda mereka.
Seorang lagi warga Arab menggambarkan peneroka haram sebagai "kepala ular" dan tentera sebagai "ekornya."
Pada hari Sabtu, tentera penjajah Israel membenarkan peneroka-peneroka fanatik berarak melalui persekitaran Jabari dalam apa yang digambarkan oleh penduduk tempatan sebagai perarakan yang provokatif.
Pada tahun 1994, seorang pengganas Yahudi yang telah berhijrah dari AS membunuh sekurang-kurangnya 29 orang Palestin ketika mereka sedang bersolat di Masjid Ibrahimi.
Peneroka-peneroka haram secara terbuka menuntut pembersihan etnik bukan Yahudi dari Palestin yang ditakluki.
Pemerhati-pemerhati di Palestin yang ditakluki berpendapat kekenduran kerajaan dan tentera Israel telah menggalak peneroka-peneroka haram itu supaya lebih berani melakukan serangan ganas terhadap orang-orang Palestin.
Lebih tepat lagi, pendekatan ‘sarung tangan lembut’ oleh sistem kehakiman Israel terhadap peneroka-peneroka turut menyampaikan mesej yang jelas, iaitu mereka boleh menyerang orang Palestin dan menghancurkan harta benda mereka tanpa perlu bimbang kepada sebarang tindakan.
Sumber-sumber Palestin telah memberi amaran bahawa serangan dan tindakan vandalisme berterusan oleh penduduk Yahudi terhadap warga Palestin dan harta benda mereka boleh mengundang reaksi keras.